DUNIA dijangka akan menghadapi krisis makanan pada tahun 2050
walaupun sesetengah pihak meramalkan bahawa bahana itu akan mula dirasai
seawal tahun 2030.
Ancaman yang menakutkan itu dianggap faktor yang boleh mengancam keselamatan sesebuah negara selepas perang.
Malaysia juga tidak akan terkecuali kerana isu ini adalah krisis
sejagat akibat perubahan cuaca dunia, pertambahan penduduk dunia serta
keluasan tanah pertanian subur yang semakin berkurangan.
Menyedari kepentingan isu tersebut, Pelan Strategik Hala tuju Latihan
Agro Makanan Negara (2012-2020) telah disediakan oleh Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Majlis Latihan Pertanian
Kebangsaan (NATC).
Antara lain, blue print tersebut telah mensasarkan unjuran output
tenaga mahir profesional sektor pertanian sepanjang tempoh tersebut
seramai 107,000 orang.
Daripada jumlah tersebut, hampir 40,000 pelatih disasarkan kepada
lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di institusi latihan awam, swasta
dan kolej vokasional (Kementerian Pelajaran).
Bakinya pula adalah pengajian di peringkat diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Memandangkan jangka masa menuju tahun 2020 adalah amat singkat,
peranan institusi latihan kemahiran pertanian swasta seperti Institut
Agro Usahawan (iGROW) di Kampung Gajah, Perak adalah sangat penting
sebagai pelengkap kepada keperluan latihan pertanian negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif iGROW, Azri Zahir Azmi, kursus yang
ditawarkan oleh iGROW adalah menepati kehendak Pelan Strategik Halatuju
Latihan Agro Makanan Negara (PSHLAMN).
Katanya pengurusan tertinggi iGROW telah membuat kajian mengenainya
menerusi pengalaman hampir 10 tahun dalam latihan pertanian di negara
ini.
Perbandingan juga turut dibuat di peringkat antarabangsa bagi
memastikan iGROW dapat melahirkan graduan generasi baru iaitu golongan
muda sebagai barisan hadapan dan amalan pertanian moden masa depan.
Azri Zahir berkata, sungguhpun baru ditubuhkan tetapi pengalaman dan
hasil dapatan kajian pihaknya selama ini telah membolehkan pendekatan
latihan diperkenalkan, yang menjamin graduan benar-benar mahir
(kompeten) tetapi juga bersedia sebagai pemain utama sektor pertanian
mempunyai masa hadapan
Pengalaman kami membuktikan bahawa faktor usia pusat latihan atau saiz kampus bukan faktor mutlak keberhasilan graduan.
Sebaliknya, sejauh manakah pihak pengurusan mampu menerapkan nilai
kemahiran serta pembentukan sikap graduan dalam suasana pertanian
sebenar.
Kelainan iGROW ialah memberi penekanan kepada suasana sebenar
aktiviti pertanian yang lazimnya dijalankan di luar bandar sama ada di
kampung atau kawasan pedalaman dengan cabaran-cabaran tersendiri.
Ini menjadikan mereka memahami realiti kehidupan sebagai petani dan
berazam untuk menjadi petani moden yang berjaya pada masa hadapan,"
tambah beliau.
Bagi memastikan semua graduan dapat merasai manfaat dan potensi
pertanian semaksimum mungkin, pakej latihan merangkumi bidang
pengkhususan (SKM Tanaman Makanan Tahap 1 dan 2) dan bidang tambahan
wajib iaitu asas ruminan, akuakultur, inap ladang serta keusahawanan.
Kesemua aktiviti tersebut dijalankan dalam satu kawasan integrasi
yang menggabungkan pertanian, penternakan dan pelancongan dalam satu
kawasan yang dipanggil Kompleks Warisan Pertanian iGROW.
Azri Zahir turut menjelaskan bahawa SKM yang ditawarkan adalah
ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber
Manusia. Modul latihan berasaskan Standard Latihan Kemahiran Kebangsaan
(NOSS) yang digubal oleh NATC.
Katanya juga, belia kini tiada lagi alasan untuk mengikuti latihan di
iGROW kerana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK),
Kementerian Sumber Manusia telah menyediakan pinjaman penuh yang
merangkumi yuran latihan, penginapan dan makan-minum selama setahun.
Sejak kebelakangan ini, PTPK mula memberikan perhatian serius untuk
membiayai latihan pertanian kerana bidang ini adalah antara keperluan
utama negara kini dan masa akan datang," tegas Azri Zahir.
Kemudi iGROW diterajui oleh tokoh latihan kemahiran pertanian swasta
tempatan, Nordin Abdul Malek selaku Pengerusi Eksekutif iGROW yang juga
merupakan Ahli Tetap Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC).
Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami berhasrat untuk menaik
taraf iGROW sebagai universiti kemahiran pertanian swasta bertaraf
antarabangsa.
Segala perancangan dan gerak kerja sudah diatur ke arah itu untuk
menjadikan Malaysia destinasi pendidikan kemahiran tinggi pertanian di
peringkat antarabangsa," tambah Azri lagi.
Buat masa ini difahamkan beberapa kerajaan negeri sudah menawarkan
hasrat supaya kampus utama dibina di negeri mereka dan pilihan terbaik
akan dibuat oleh iGROW dalam masa terdekat.
Kemudahan Kompleks Warisan Pertanian iGROW
l Kemudahan latihan seperti asrama, surau, dewan makan serta dewan perhimpunan turut disediakan untuk keperluan pelatih.
l Pusat Inkubator Pemprosesan Makanan Jabatan Pertanian Kg. Gajah
yang telah dibenarkan untuk digunapakai oleh pihak iGROW sebagai pusat
pengeluaran makanan sejuk beku untuk pendedahan keusahawanan di kalangan
pelatih.
Sebarang pertanyaan sila hubungi Azri Zahier Azmi di talian 012-4842144 atau Amira Hamran 019-7635592.