Friday, May 25, 2012

Pemborong ikan usahawan keropok


Pekerja memasukkan bancuhan sata ke dalam ketuhar.
MENYEDARI produk berasaskan ikan mampu memberi pulangan berlipat kali ganda terutama jika dikomersialkan sekitar ibu kota, seorang pemborong ikan tekad meninggalkan kampung halaman untuk mencuba peluang tersebut.
Keputusan berhijrah dari Terengganu ke ibu negara pada tahun 1977 merupakan percaturan yang terpaksa diambil walaupun pada mulanya dia sendiri tidak yakin dengan tindakannya itu .
Namun bagi Wan Mohd. Yusof Ali, 59, keputusan itu merupakan antara risiko yang harus ditanggung usahawan jika berhasrat untuk memajukan perniagaan mereka.
"Jika tidak berani dan bersedia untuk menanggung risiko, sampai bila-bila pun kita tidak akan maju.
''Golongan usahawan kecil dan sederhana terutamanya akan terus ketinggalan dalam arus pemodenan negara," katanya ketika ditemui di kilang pemprosesan keropok lekor miliknya di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman mengusahakan Twin Softa Food Enterprise (Softa), dia yang merupakan pemborong ikan di Pasar Borong Selayang mendapat idea untuk mengusahakan keropok lekor setelah menyedari lebihan ikan terpaksa dijual pada harga yang jauh lebih murah setiap hari.
Menyedari perkara tersebut akan memberi kesan negatif terhadap perniagaannya, dia mendapat idea untuk memproses lebihan ikan tersebut menjadi keropok lekor dan bercita-cita mengkomersialkan hasil keluarannya.
Pada awal pembabitan, dia mengusahakan keropok perusahaan secara kecil-kecilan di belakang rumahnya yang terletak di Kampung Semarak, Sentul bersama isteri, Che Latifah Ahmat.
Dengan modal permulaan sebanyak RM1,000 untuk membina bangsal, dia bersama isteri menghasilkan keropok lekor secara manual dan tradisional tanpa sebarang peralatan sokongan.
"Memandangkan saya berasal daripada keluarga nelayan dan kebanyakan penduduk sekitar kampung juga merupakan pengusaha keropok lekor, saya dapat ilmu pemprosesan melalui pemerhatian serta tunjuk ajar dari mereka.
"Dari situ, saya menggunakan segala ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk memproses sendiri keropok lekor.
"Sebagai permulaan, kami hanya dapat menghasilkan lima hingga 10 kilogram keropok lekor sahaja sehari satu hari," katanya ketika menceritakan pengalamannya memulakan perusahaan keropok lekor.
Oleh kerana kekangan tugas sebagai pemborong ikan, dia hanya dapat memasarkan keropok lekor keluaran syarikatnya kepada beberapa orang penjual di pasar malam sekitar Selayang.
Menyedari sambutan yang semakin menggalakkan daripada pelanggan, Wan Mohd. Yusof mengambil keputusan untuk berpindah ke sebuah lot tanah di Kampung Padang Balang, Sentul bagi memudahkan pengeluaran keropok berkenaan.
Selain penghasilan produk utama seperti keropok lekor, kini Softa sedang giat mempromosikan produk sejuk beku lain seperti sata dan otak-otak.
Menurut Wan Mohd. Yusof, kedua-dua produk tersebut dihasilkan dalam pelbagai variasi seperti inti sata dibalut kulit popia dan otak-otak tradisional yang dibungkus dalam daun pisang.
Sehingga kini, produk sejuk beku Softa telah berada di beberapa pasar raya sejuk beku sekitar Lembah Klang serta turut menjadi pemborong kepada peniaga pasar malam sekitarnya.
Mengenai perancangan memajukan rangkaian jenama Softa, Wan Mohd Yusof menjelaskan, promosi kini sedang giat dijalankan termasuk menggunakan lori bergerak ketika Festival Halal, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan sebagainya.
"Bagi memperkenalkan rangkaian produk, Softa menyertai pameran makanan halal seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), MIHAS dan sebagainya supaya orang ramai dapat mengenali produk kami dengan lebih dekat.
"Kami percaya, dengan menyertai pameran seperti itu, orang ramai dapat rasa sendiri keenakan rangkaian produk kami sekali gus akan memilih jenama ini sebagai pilihan di masa akan datang," ujarnya penuh yakin.
Ketika ditanya mengenai sumber bekalan isi ikan, dia menjelaskan, pelbagai spesies ikan terpilih digunakan bagi menyediakan keropok lekor dan produk lain.
Jelasnya bahan mentah tersebut didatangkan khas dari Besut, Terengganu dan Kedah dua kali seminggu dengan setiap bekalan sebanyak tiga tan.
Berdasarkan bekalan bahan mentah, Softa berupaya menghasilkan sehingga dua tan keropok lekor dan 30 kilogram sata setiap hari selain produk sampingan lain seperti bebola ikan.
Dengan bantuan seramai 30 orang pekerja di kilangnya yang terletak di Bukit Beruntung, kini Softa mampu memenuhi permintaan pelanggan sekitar Seremban, Melaka, Perak , Pahang dan Terengganu.

Saturday, May 12, 2012

Rezeki jus mengkudu




KOTA BHARU 17 April - Kecewa dengan tindakan sebuah syarikat yang mungkir janji untuk membeli daun dan buah mengkudu yang diusahakannya, Wan Salamah Zakaria, 59, dari Kampung Lancang, Ketereh dekat sini, nekad memproses sendiri bahan tersebut untuk dijadikan minuman kesihatan.
Berkat kesabaran dan kesungguhannya, Wan Salamah, ibu tunggal kepada sembilan orang anak, akhirnya mampu mengeluarkan jus mengkudu menggunakan jenama De Salama sejak lima tahun lalu.
Pemilik syarikat SM Positif Enterprise yang berpangkalan di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa itu memberitahu, pada awalnya syarikat hanya mampu menghasilkan 200 botol jus mengkudu untuk kegunaan pesakit kencing manis dan darah tinggi sekitar kawasan kampungnya.

Monday, April 9, 2012

Petua pisang berbuah serentak

pokok berusia 21 hari ..sedia dipindahkan.
pokok berusia 2 bln...

tau tak camne nak bagi pisang berbuah serentak supaya tuai pun beli serentak.. ok..sarjan aku ni org pontian, die pun de tanam pisang tanduk emm setau aku de 4 ekar tanaman pisang die usahakan.. pendek cerita, dia de bg satu teknik untuk pisang berbuah serentak yang bolei diguna pakai.. caranya, bila pokok pisang tumbuh setinggi kebih kurang 1 1/2 meter, kite tebang bahagian atas tuk semua pokok supaya pokok boleh keluar daun baru dan meneruskan proses tumbesarannya dan akan mengeluarkan buah dengan serentak..emmm.. nanti aku de masa aku nak melawat kebun dia..tengok dan pelajari teknik ni..

petue lain..semasa menanam benih pisang, tanam secara baringkan benih, tujuannya ialah benih akan mengeluarkan daun baru dan berbuah serentak..
 
Sumber:  http://infotani-agro.blogspot.com 

Cara-cara pembiakan pisang tanduk



Anak Pisang  tanduk ni jenis yang  lambat nak besar..tunas banyak di sekeliling induk pokok.. so aku guna cara cam yang aku nak tunjukkan kat korang ni..rasanya lagi senang aku kot..  cara-caranya:






  K  korek umbisi dari induk, pastikan umbisi yang dikorek tu cukup besar la gak..lebih kurang la..
Pastu..bersihkan umbisi dari kotoran tanah dan sebagainya.Buang semua akar dengan pisau dan berus skit biar bersih.




1.       Sediakan air panas 50 darjah, dan rendamkan benih selama 10- 20 minit supaya cacing namatod dan organism lain mati..ni cara budget laa..atau boleh direndam dengan air bancuhan racun kulat dan racun serangga..


Kemudian, sapu skit hormone pengalak akar dan tanam dalam polybeg  atau taman terus pun bleh..
Lepas 21 hari, benih mula keluar daun..pastikan pokok disiram 2 kali sehari..tapi aku siram malam sekali jek..maklumlah aku kerja gi pagi blik malam..tapi jadi gak..
 
Sumber : http://infotani-agro.blogspot.com/2011/03/cara-cara-pembiakan-pisang-tanduk.html  

Monday, March 26, 2012

Membangun industri arowana

MINAT orang ramai terhadap ikan hiasan antara punca mengapa ikan arowana turut mendapat perhatian luar basa.

Di negara ini, terdapat pelbagai jenis ikan hiasan seperti discus dan angelfish, live bearer seperti gapi, swordtail dan molly, Cyprinid seperti tiger barb, cherry barb dan rosy barb dan Characid seperti pelbagai jenis tetra. Ikan yang paling terkenal di negara kita ialah arowana.

Ikan berkenaan tergolong digolongkan dalam famili Osteoglossidae iaitu keluarga ikan yang dikenal sebagai ikan lidah bertulang (bonytongue).

Ikan ini digelar sedemikian kerana struktur lidahnya berbentuk tulang yang keras dan kesat berfungsi sebagai gigi pencengkam sesuai dengan kelakuan pemakanannya sebagai ikan pemangsa.

Jabatan Perikanan merupakan agensi kerajaan yang menjadi peneraju dalam pembangunan industri ikan hiasan di negara ini.

Industri tersebut mula berkembang sejak 2005 dengan kadar pertumbuhan 15 peratus sehingga tahun 2009.

Kira-kira 80 peratus daripada pengeluaran ikan hiasan negara adalah untuk pasaran eksport ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa negara Kesatuan Eropah seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom.

Sehingga hari ini, Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar arowana di Asia selepas negara jiran Indonesia.

Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan, Nik Ab. Wahab Mat Diah berkata, ikan arowana merupakan sebahagian daripada komponen pembangunan haiwan akuatik yang turut merangkumi tumbuhan akuatik.

Haiwan akuatik tersebut antaranya termasuklah ikan hiasan seperti , ikan emas, discus, ikan koi, dan ikam beta (ikan laga), sepat dan gapi.

Nik Ab. Wahab berkata, beberapa program penyelidikan dan pembangunan melibatkan ikan arowana telah dirancang dan dilaksanakan.

Antara kejayaan tersebut ialah pembiakan pada 1996 yang dilaksanakan di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) di Batu Berendam Melaka dan membangunkan standard kualiti untuk arowana dengan kerjasama SIRIM Berhad.

“Penyelidikan lain termasuk penentuan strain atau jenis dan jantina arowana mengikut teknik biosensor dengan hanya menggunakan sampel sisik sahaja,” kata beliau.

Pihaknya juga melaksanakan program pemuliharaan arowana di Tasik Bukit Merah yang mana matlamatnya ialah populasi arowana di kawasan itu akan dapat dipulihkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada masa ini program penyelidikan dijalankan di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi), Titi, Jelebu, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan bagi menggantikan PPPAT beroperasi di Batu Berendam, Melaka.

Nik Ab. Wahab berkata, FRI Glami Lemi memberi tumpuan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan terutama daripada segi pengeluaran hibrid baru, pengenalan identifikasi menerusi teknik molekular serta aktiviti krioawetan semen.

“Kita dalam proses pemilihan induk untuk aktiviti biakbaka daripada spesies liar bagi meningkatkan populasi,” katanya.

Selain aktiviti penyelidikan dan pembangunan Jabatan Perikanan juga kata beliau, mengawal selia urusan import dan mengurus pengeluaran permit eksport memandangkan pengusaha arowana perlu memperoleh permit Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES).

Begitu juga mengenai sijil kesihatan ikan arowana yang perlu diperoleh daripada jabatan tersebut.

Dengan jumlah pengusaha mencecah 140 orang yang mana 87 daripadanya beroperasi di Kerian Perak, beliau yakin industri tersebut akan terus meningkat pada masa akan datang.

“Industri arowana perlu berkembang sebagai satu peluang perniagaan yang telah pun dimasukkan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA),” ujarnya.

Dalam pada itu, Pusat Ikan Hiasan di Enggor, Kuala Kangsar, Perak memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburi industri tersebut melalui latihan, kemahiran dan pengetahuan dalam aspek ternakan dan pengurusan ternakan.

Sementara itu, menurut Penyelidik Kanan Bahagian Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glemi Lemi , Mohamad Zaini Suleiman, industri penternakan arowana telah berkembang pesat di negara ini sejak 2005.

Sebagai tempat asal arowana, jenis terbaik di dunia iaitu arowana emas Malaysia merupakan sebuah 'kilang' pengeluar pelbagai jenis arowana untuk pasaran global.

Pelbagai jenis arowana kita di pasaran di peringkat global seperti jenis Blue based gold, cross backed gold, high backed gold, golden head, chili red, blood red dan sebagainya dihasilkan di negeri Johor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan juga Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, matlamat utama Pelan Pembangunan Arowana ialah memperluas pasaran arowana yang sedia ada sama ada di dalam negara atau untuk tujuan eksport.

“Kami berharap ikan ini dapat menembusi pasaran baru di Amerika Syarikat (AS) dan Asia Barat melalui pelbagai strategi yang telah dan sedang dijalankan seperti program pemuliharaan arowana di Tasik Bukit Merah dan promosi dalam pameran seperti Aquarama di Singapura, Aquafair di Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, misi perdagangan dan promosi ikan hiasan ke luar negara di samping mengenalpasti peluang pasaran baru juga diadakan.

Jabatan Perikanan kini katanya mensasarkan pengeluaran sebanyak 0.5 juta ekor arowana dihasilkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Pada masa sama, bilangan syarikat berdaftarkan CITES pada tahun lepas yang berjumlah 31 juga akan ditingkatkan melalui taklimat dan bimbingan berterusan bertujuan memberi peluang lebih ramai lagi pengusaha arowana melibatkan diri dalam pengeksportan arowana keluar negara.
Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails