Saturday, October 8, 2011

Kenal dan tanam cekur manis

CEKUR manis (Sauropus androgynus) adalah sayuran dari keluarga Euphorbiaceae, merupakan sayuran tradisional. Ia adalah pokok yang tumbuh renek dan mencapai ketinggian hingga 3.5 meter. Batang tidak mudah bercabang kecuali bila dicantas.

Pada batang terdapat ranting ranting lateral pendek dan daunnya tumbuh secara berselang seli hingga ke hujung.

Daun cekur manis beraroma sedikit bila diramas, buahnya globos berukuran1.5sm diameter, berpangsa tiga dan berwarna putih kemerahan.

Cekur manis juga dipanggil sayur pucuk manis atau asin asin dan mempunyai warna hijau gelap serta ditanam di Asia Tenggara, India,Sri Lanka dan selatan China.

Cekur manis kaya dengan kabohaiderat, lemak, serabut, asid amino, besi, fosforus, kalsium, vitamin A, B1, B2 dan C.

Dari segi khasiat makanan, daun, pucuk boleh dimasak air, digoreng atau dimakan mentah. Buah cekur manis boleh dijadikan jeruk manis.

Khasiat ubatan cekur manis boleh merangsang pengeluaran susu ibu dan ubat bagi memulihkan wanita lepas bersalin, ia mengubat demam panas, masalah buang air kecil, merawat pening, melawaskan kencing dan hidung berdarah.

Pembiakan dan penanaman

Cekur manis mudah dibiakkan melalui sistem batang yang berkayu keras, ystem sepanjang 20-25 sm boleh ditanam terus kebatas atau dibiakkan di dalam polibag yang diisi media tanah campuran dan diletak di tapak semaian. Batas disiapkan dengan ukuran lebar satu meter dan panjang batas bersesuaian dengan kawasan penanaman. Cekur manis memerlukan tanah yang subur, gembur dan mempunyai bahan organaik yang tinggi. Jarak tanaman yang sesuai ialah 50-100 sm antara pokok dan 100-120 sm antara barisan tanaman. Tanaman dibuat satu barisan sahaja kerana ia akan bercabang banyak bila selalu melakukan cantasan. Pokok boleh bertahan sehingga 8-10 tahun jika penjagaan sempurna.

Pengairan

Pengairan amat perlu pada peringkat awal penanaman sehingga penuaian hasil dilakukan, tanaman perlu disiram sekurangnya sehari sekali, kaedah pengairan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis.

Pengawalan rumpai

Bagi memastikan tanaman hidup subur, kawalan rumpai perlu dilakukan.

Rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai yang disyorkan. Pastikan semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah di sesuatu kawasan.

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 boleh digunakan dengan kadar 80-100 gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.

Pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan dengan bahan sistem tahi ayam atau kompos dengan kadar satu hingga kg /meter persegi

Baja foliar bagi semburan daun boleh digunakan bagi mempercepatkan pertumbuhan daun bekalan bergantung pada pasaran.

Pemangkasan

Cekur manis memerlukan pemangkasan bagi memastikan pokok tidak terlalu tinggi dan menyukarkan penuaian hasil, ketinggian yang disyorkan ialah antara 1.0-1.2 meter.

Pokok perlu dicantas bagi mengawai ketinggian dan menggalakkan pertumbuhan tunas atau pucuk baru.

Kawalan perosak

Cekur manis jarang diserang perosak di peringkat awal penanaman, serangan koya, hamama bermula setelah sekian lama penuaian dilakukan.

Jika terdapat banyak serangan serangga, pokok boleh dicantas secara keseluruhan bagi mengurangkan perosak mengikut ketinggian yang dikehendaki.

Penuaian

Pucuk muda boleh dituai setiap hari dengan memotong kira 20-25 sm dari pucuk. Pucuk di susun dan ditimbang antara 300-400 g, diikat atau dimasukkan di dalam sistem yang di lubangkan bagi tujuan perpeluhan dan dijual di pasaran.

Sumber: utusan malaysia

Tips taman bunga kertas

KELIHATAN seperti kertas dengan pelbagai warna dan bentuk yang cukup mengasyikkan, melambai seakan sehelai kertas tiap kali dihembus bayu.Namun sifat dan daya ketahanannya tidaklah seperti kertas.
Itulah bunga kertas atau nama botaninya bougainvilla, yang dinamakan sempena Antoine de Bougainvilla.
Komander Laut Peranchis yang dikatakan orang pertama yang menemui bunga kertas.

Dipercayai berasal dari bahagian selatan Amerika, bunga kertas sering menjadi pilihan tanaman landskap, sebagai hiasan, bonsai, topiary, hiasan memanjat pergola dan seringkali digunakan sebagai pokok pagaran

Bukan sahaja kerana warna dan rupa bentuknya yang sungguh asyik mata memandang tetapi sifatnya cukup senang dijaga membuatkan bunga kertas menjadi penyeri laman yang popular di segenap kawasan dari kota metropolis sehinggalah ke pedalaman desa.

Pembiakan
Cara yang biasa digunakan ialah secara keratan
nbatang dan cantuman baji.

Keratan batang
Langkah 1

* Potong bahagian berkayu lembut iaitu sepanjang 10-15 sentimeter (sm) dari bahagian pucuk atau sejengkal setengah.
* Pastikan pisau yang digunakan adalah tajam, sebaik-baiknya gunakan scateurs. Potong secara 45 darjah atau secara serong. Setelah potong buang semua pucuk dan tinggalkan daun sebanyak dua atau tiga helai.

Langkah 2
* Sapukan bahagian yang telah dipotong tadi dengan hormon penggalak akar. Contohnya seradix.

Langkah 3
* Semai dan siram. Pada peringkat permulaan elakkan dari terkena cahaya matahari secara terus. Siram secara konsisten.

Cantuman baji
Cantuman baji atau istilah yang lebih popular digunakan ialah "kahwinkan" pokok bunga kertas yang biasanya dijalankan untuk menghasilkan pokok bunga kertas pelbagai warna pada satu pokok sahaja.

Peringatan, proses in harus dilakukan di awal pagi atau pada waktu petang. Elakkan membuat cantuman pada tengahari atau pada hari panas terik bagi menjamin kejayaan cantuman.

Langkah 1
* Pilih ranting yang hendak dicantumkan (scion). Buang semua daun pada bahagian yang hendak dicantumkan itu. Belah lebih kurang satu inci.
* Bahagian cantuman ini akan tumbuh sebagai ranting baharu.

Langkah 2
* Belah pokok penanti. Saiz belahan hendaklah sama dan sesuai dengan ranting yang hendak dicantumkan tadi. Belahan dilakukan di bawah bahagian mata tunas.

Langkah 3
* Terus cantumkan bahagian ranting yang dibelah tadi kepada pokok penanti. Dilakukan semasa getah masih belum kering. Faktor ini akan menentukan kejayaan cantuman.

Langkah 4
* Dengan berhati-hati balut cantuman tadi dengan parafilm atau sealing film bertujuan untuk memperkukuhkan lagi cantuman tersebut.

Langkah 5
* Gunakan plastik lutsinar atau plastik aiskrim untuk membalut bahagian cantuman tadi.
* Masukkan bermula daripada bahagian atas hujung cantuman dan seterusnya ikat. Biarkan selama seminggu atau dua minggu.
* Tujuan ini adalah untuk mengelakkan kehilangan air yang berlebihan.
* Juga buang semua daun pada bahagian batang pokok penanti. Daun baharu akan tumbuh pada bahagian ranting yang dicantumkan tadi.


Tips penjagaan
n Memerlukan saliran yang baik. Campuran terbaik ialah tanah bakar: baja organik: pasir sungai. Atau sebarang tanah campuran bersaliran baik atau poros sesuai untuk bunga kertas.

* Sebelum mengisi tanah campuran ke dalam pasu, letakkan batu-batu pecah atau pecahan pasu bagi menutup separuh daripada lubang pasu, kemudian letakkan bahan organik dan boleh juga dimasukkan baja tahi ayam yang telah diproses. Letakkan setebal dua inci.

* Sentiasa gemburkan kerana pokok bunga kertas memerlukan pengudaraan yang baik.

* Siram dengan jumlah air yang sederhana. Cukup sekadar membasahkan media pasuan. Elakkan siraman sehingga air keluar secara berlebihan melalui lubang pasu.

* Aktiviti pemangkasan hendaklah dilakukan secara berterusan bagi memastikan pengeluaran pucuk baharu dan juga pengeluaran bunga. Pemangkasan juga penting untuk membuang ranting-ranting yang berpenyakit dan mewujudkan aliran udara yang baik.

* Baja dengan menggunakan baja organik dan baja kimia.Bagi baja organik kekerapan adalah dua minggu sekali manakala bagi baja kimia sebulan sekali. Boleh guna baja butiran biru dan merah yang mempunyai unsur K yang tingi. Biasanya sebanyak 25gm setiap pasu atau satu sudu makan.

* Memerlukan cahaya matahari penuh. Elakkan persekitaran yang lembap. Pengudaraan persekitaran yang tidak baik akan menyebabkan penyakit yang disebabkan oleh kulat dan bakteria.

Sumber:utusan malaysia

Sunday, September 11, 2011

Operasi ternak kepah dan kultur mutiara


Contoh pengkulturan mutiara di China yang dijalankan di sebuah tasik.


SELAIN menjadi perintis kepada projek mutiara air tawar di Tasik Kenyir, AkUATROP juga mengharapkan kejayaan projek tersebut dicapai bersama para peserta.

Selain itu, pusat kecemerlangan tersebut dapat berkongsi teknik dan pengetahuan dalam bidang itu bagi memastikan industri berkenaan terus berkembang pesat di Malaysia seterusnya di seluruh dunia pada masa depan.

Secara khususnya projek berkenaan adalah untuk:
* Memberikan kemahiran kepada penduduk Terengganu untuk terlibat dalam bidang ternakan kepah mutiara air tawar.
* Membimbing tentang teknik penghasilan mutiara secara komersial.
* Menggalakkan penduduk Terengganu untuk bekerja sendiri daripada menganggur atau menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
* Tasik Kenyir yang berkeluasan 260 km persegi mempunyai 340 buah pulau kecil terletak di Negeri Terengganu merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara.
* Ia juga adalah habitat hidupan spesies liar dan eksotik.
* Tasik Kenyir berpotensi dimajukan sebagai kawasan ternakan kepah, contohnya di Kuala Sungai Kiang, Sungai Mandak dan Pangkalan Gawi.
* UMT sebagai sebuah universiti yang terunggul dalam bidang akuakultur berupaya menerajui penyelidikan teknologi penghasilan mutiara di Malaysia.

Penyelidikan kepah mutiara air tawar masih belum diterokai di Malaysia. Kajian yang bakal dijalankan ini adalah yang pertama.
1. Membangunkan sosio-ekonomi penduduk setempat,
2. Melipatgandakan pendapatan penduduk setempat,
3. Menghasilkan teknik pengkulturan tiram mutiara air tawar bagi tujuan komersial,
4. Membantu KETENGAH dan kerajaan negeri meningkatkan tahap ekopelancongan setempat.

Kesan ke atas penduduk
Projek yang akan dijalankan ini akan memberi impak yang besar kepada penduduk setempat seperti berikut:
1. Membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
2. Meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
3. Meningkatkan sosio-ekonomi negeri.
4. Memajukan industri pelancongan yang menjadi salah satu sumber utama ekonomi negeri

Operasi Pengimpalan
* Pengimpalan mantel
* Pengimpalan nuclei
Operasi pengkulturan
* Kolam bersepadu (kepah diternak bersama ikan tilapia)
Kaedah kolam bersepadu ini adalah satu ternakan polikultur, di mana kepah mutiara akan diternak bersama dengan ikan.
Sistem berkenaan telah dipraktikan di Taiwan kerana mendatangkan pulangan menguntungkan. Bahan kumuhan ikan akan dikitar semula oleh kepah yang bersifat penapis dan dalam masa yang sama untuk menyuburkan plankton di dalam air sebagai makanan kepada kepah.
Kelebihan dari aspek ekonomi pada kaedah ini, memberi pulangan sampingan dalam ternakan ikan sementara menunggu pungutan hasil mutiara.

* Kolam terkawal (kepah import untuk penyelidikan dan penelitian)
Kaedah kolam terkawal ini bertujuan untuk menternak kepah mutiara dari negara luar yang diimport dari Thailand atau Indonesia dalam kadar yang sedikit sebagai kajian untuk pemantauan pembentukan mutiara yang berkualiti dan tempoh masa penghasilan mutiara.
Kaedah tersebut telah pun berjaya dipraktik di Indonesia yang mana spesies yang berasal dari Taiwan kemudiannya diternak di dalam kolam secara terkawal. Pengawalan dan pemantauan kolam terkawal akan diperketatkan.

Fasa ternakan kepah mutiara air tawar
Fasa - Fasa pengurusan ternakan
* Fasa 1: Pengumpulan kepah
Pada peringkat awal projek, sepanjang bulan September - Disember, kepah yang terdapat di Tasik Kenyir dikumpulkan di dalam kolam.
* Fasa 2: Pemilihan kepah matang
Peringkat seterusnya adalah memilih kepah yang matang dan sesuai untuk operasi pengimpalan nuclei. Ini penting dalam penghasilan mutiara yang berkualiti.
* Fasa 3: Operasi Pengimpalan nuclei
Kepah yang telah dipilih akan diasingkan dari kolam stok dan akan dipindahkan ke dalam tangki simen.
Dibiarkan dua hingga tiga hari sebelum operasi pengimpalan dijalankan. Peralatan khas untuk pengimpalan akan digunakan untuk memindahkan nuclei ke dalam kepah.
* Fasa 4: Ternakan di dalam kolam
Kepah yang telah siap di masukkan nuclei akan dibiarkan dua hingga tiga hari sebelum dipindahkan ke dalam kolam untuk diternak. kepah yang memuntahkan semula nuclei akan diasingkan dan diletakkan semula ke dalam kolam stok. Kepah yang telah sedia diletakkan ke dalam kolam ternakan hingga tempoh penuaian mutiara. Pemantauan kualiti air dan kecukupan plankton di pantau setiap bulan terutamanya kolam bersepadu.
*Fasa 5: Pemungutan hasil
Fasa terakhir adalah pemungutan hasil mutiara setelah tempoh matang dua hingga tiga tahun
 
Sumber:utusan malaysia 

Mengesan antibiotik ternakan ayam


Penggunaan antibotik yang minimum dapat mewujudkan industri ayam yang lebih sihat. -Gambar hiasan.


SELAMA ini adakah kita sebagai pengguna mengambil berat mengenai apa yang kita makan? Misalnya antibiotik yang terkumpul dalam daging ayam yang kita makan setiap hari?
Antibiotik terutama tetracycline digunakan secara meluas dalam pengeluaran ternakan bagi terapi dan peningkatan berat badan.
Bahan berkenaan dimasukkan ke dalam makanan bagi merangsang peningkatan berat selain menghalang jangkitan penyakit.
Biasanya antibiotik berkenaan diberikan bermula dalam makanan permulaan atau starter sehingga ke 'finisher' atau hingga ayam disembelih.
Biasanya antibiotik akan berkumpul dalam tisu haiwan ternakan dan memasuki rantaian makanan apabila ternakan berkenaan disembelih, dijual dan dimakan oleh manusia.
Antibiotik stabil sehingga sembilan bulan dan tidak terurai malah akan terkumpul di dalam otot, hati dan kulit.
Daging ayam merupakan makanan utama dalam diet manusia, Antibiotik yang terdapat dalam daging ayam mungkin boleh mendatangkan kesan kepada manusia seperti rentan kepada antibiotik serta memberikan kesan karsinogenik (penyebab kanser).
Disebabkan penggunaan antibiotik menjadi semakin penting dalam pengeluaran makanan, pihak berkuasa perlu mengambil langkah tertentu bagi mengukur kesan sisanya dalam makanan.
Bagi memastikan produk makanan yang selamat untuk penggunaan tempatan dan antarabangsa, keupayaan mengesan sisa antibiotik dalam ternakan ayam sangat penting.
Sistem pengesanan antibiotik yang ideal biasanya dirujuk sebagai imbasan mikrobiologi diikuti dengan ujian ELISA dan pengesahan akhir serta kuantiti menggunakan analisis HPLC atau GCMS.
Walaupun analisis berkenaan menggunakan peralatan yang sensitif tetapi ia amat mahal dan memakan masa yang lama.
Justeru gabungan jalur biosensor yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan peralatan digital mudah alih yang dibangunkan oleh Rapid Lab Sdn. Bhd. bagi pemantauan antibiotik mampu dimiliki dan sesuai bagi mendapatkan keputusan yang cepat.
Pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, MARDI, Dr. Faridah Salam berkata, teknologi yang dibangun berdasarkan kepada produk antibiotik tempatan sangat berkaitan dengan pemantauan antibiotik.
Ini kerana jalur berkenaan boleh digunakan di lapangan pada masa sebenar.
"Jalur berkenaan mempunyai potensi pasaran yang besar bagi penggunaan eksport dan tempatan bernilai sehingga RM250 juta.
"Sejak Kementerian Kesihatan meningkatkan keupayaan mengimbas kandungan antibiotik dalam produk berasaskan ayam, jalur biosensor merupakan teknik terbaik bagi imbasan antibiotik," katanya.
Biasanya paras antibiotik yang selamat adalah 100 bahagian per bilion atau 100 mikrogram bagi satu kilogram.
Dr. Faridah berkata, selalunya hanya penternak industri ayam yang besar mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Dianggarkan kos imbasan saja menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah kos pasaran.
Pada tahun pertama, jalur berkenaan dijangka dapat memasuki 10 peratus pasaran segmen ujian dengan pertumbuhan lima hingga 10 peratus setahun.
Berdasarkan segmen pasaran, produk berkenaan dijangka menjana pendapatan sebanyak RM2.5 juta setahun.
Sumber:utusan malaysia 

Rasa manis sebenar nangka madu


Francis Choy (kiri) bersama Adnan Lee melihat buah nangka madu yang baru dipetik dari ladangnya di Bidor, Perak.


CELUP gula? Mana ada saya celup gula, nangka ini saya petik terus dari ladang. Kalau encik tidak percaya, ambil buah ini bawa ke makmal, uji jika saya ada letak gula.

"Saya memang belajar tidak tinggi encik, namun bagi saya berniaga biar jujur," ujar Uncle Jack sambil menahan marah.

Bersungguh-sungguh beliau bertegang urat menerangkan buah nangka yang dijualnya tidak pernah dicelup dalam air gula.

Itu antara pengalaman Uncle Jack apabila berhadapan dengan beberapa pelanggan yang meragui kemanisan buah nangka yang dijualnya suatu ketika dahulu.

Pengalaman selama 15 tahun menanam dan memasarkan nangka menjadikan Uncle Jack atau nama sebenarnya Francis Choy begitu 'masak' dengan reaksi sesetengah pelanggan yang terkejut dengan kemanisan isi buah nangka yang dijualnya.

Pertemuan bersama Francis dibawa oleh Pengarah Urusan MBG (Money Back Guarantee) Fruits Sdn. Bhd. (MBG), Adnan Lee yang juga merupakan antara salah sebuah syarikat pemborong serta penghantaran buah-buahan di sekitar Lembah Klang.

Jelas Francis yang memiliki syarikat MF Fresh Fruits & Agriculture Trading itu, jika sampai musim buah yang agak lebat beliau terpaksa memasang tongkat dan sokongan bagi membantu dahan pokok nangkanya menampung berat buah yang bergayutan.

Bercerita mengenai sejarah penanaman nangka madu tersebut, Francis mengimbau kenangan 15 tahun dahulu apabila beliau dan seorang lagi rakan perniagaannya terpaksa ke Kedah untuk mencari baka nangka madu terbaik di sana.

"Kita jumpa baka nangka ini di Alor Setar dan kita bawa balik ke sini (Bidor). Kemudian kita cuba buat pengklonan dengan baka sedia ada.

"Agak lama juga saya buat ujian sendiri akhirnya kami menemui baka baru nangka madu yang dikenali sebagai J 33 dan digunakan sehingga hari ini," katanya.

Malah, Francis berkata, bapa beliau merupakan seorang pengusaha tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan. Dia sendiri hampir 30 tahun terbabit dalam bidang pertanian.
"Saya tidak memiliki pembelajaran secara formal dalam bidang pertanian. Semua yang saya pelajari adalah daripada pengalaman bapa dan pengalaman saya sendiri ketika mengusahakan pelbagai tanaman," jelasnya.

Tambah Francis, sebelum menumpukan perhatian kepada penanaman nangka beliau pernah mengusahakan tanaman betik, tembikai dan pelbagai lagi.

Setiap jenis tanaman mempunyai perbezaan dalam cara menjaga dan penanaman. Sesetengahnya ditanam berdasarkan permintaan dan musim.
Bagi beliau, nangka merupakan antara tanaman yang kurang dikomersialkan secara besar-besaran. Malah hasil tuaiannya juga sentiasa tidak mencukupi bagi pasaran tempatan.
Ia menunjukkan penanaman nangka tidak diketengahkan oleh kebanyakan petani menyebabkan bekalan buah tersebut agak berkurangan di pasaran.

Francis mengakui, terdapat juga petani menanam nangka namun untuk mencari penanam baka nangka madu sepertinya adalah sukar.

Ujarnya, menjaga pokok nangka sama seperti menjaga diri sendiri. Petani perlu mengetahui keperluan serta cara menjaga pokok dengan betul.

Mengeluarkan
Memiliki hampir 600 pokok dalam kawasan seluas 10 ekar membolehkan ladang beliau di Bidor, Perak mengeluarkan 10 hingga 15 tan buah nangka bagi setiap ekar dalam setahun.
Selain di Bidor, Francis turut memiliki ladang nangka di sekitar Rawang, Selangor.
Terdapat 70 hingga 80 biji bagi satu tan. Sebiji buah nangka seberat 10 hingga 15 kilogram (kg). Setiap pokok nangka mampu mengeluarkan buah 10 hingga 12 biji pada satu-satu masa.
Menurut Francis, buah yang terlalu banyak pada sepohon pokok akan mengurangkan kualiti rasa, berat, saiz dan ketebalan isi nangka.
"Semuanya memainkan peranan, justeru berat yang ideal bagi sebiji buah nangka adalah 10 hingga 15 kg. Kadang-kala berat buah juga mampu mencecah 42 kg sebiji," tambahnya.
Untuk mendapatkan hasil sedemikian, pemangkasan dahan serta daun perlu kerap dilakukan. Malah putik yang berlebihan juga akan dibuang.
Pokok nangka akan mengeluarkan putik yang banyak. Justeru, hanya 10 hingga 12 biji putik yang berpotensi menjadi buah yang baik akan ditinggalkan. Selebihnya akan dibuang dari pokok.

Jelas Francis, pokok yang kekurangan daun dan memiliki buah yang sedikit akan menghasilkan buah yang lebih cantik, manis, berisi tebal serta berkualiti tinggi.
Ia berikutan tumpuan pembekalan nutrisi pokok lebih kepada proses pembesaran buah tidak kepada daun semata-mata.
Francis menggunakan najis ayam sebagai baja dan sedikit racun serangga untuk melindungi kulit buah nangka daripada serangan haiwan perosak tersebut.
Namun, jelasnya, serangga bukanlah musuh utama bagi nangka. Justeru penggunaan bahan tersebut di ladangnya amat kurang di samping kos bagi penggunaan racun serangga juga amat tinggi.

Musuh utama ladang nangka milik Francis adalah terdiri daripada monyet dan babi hutan kerana keadaan pokoknya yang rendah, rendang dan kadang-kala boleh mencecah sehingga ke tanah.

Penyakit karat buah juga merupakan antara penyakit yang sering menyerang isi nangka. Namun, ia dapat diatasi dengan proses penjagaan pokok secara betul.Kini sebahagian besar buah nangka beliau diedarkan MBG yang siap dibungkus.MBG yang memiliki 16 buah cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk satu di Melaka turut memiliki cawangan di The Gardens, Mid Valley, Sunway Pyramid, Subang Parade dan The Curve.

Di samping membekalkan buah nangka kepada MBG, Francis turut menjual buah tersebut di restoran dan pasar buah-buahan. Namun, bekalan tidak pernah mencukupi berikutan permintaan yang tinggi.

Bagi yang berminat untuk terjun dalam bidang pertanian terutamanya penanaman nangka madu, nasihat Francis, jangan cepat berputus asa dan cari ilmu berkenaan tanaman nangka secukupnya.

''Perniagaan bukanlah suatu perkara yang boleh di bina dalam masa yang singkat. Ia memerlukan ketabahan, minat yang mendalam serta kecekalan di samping usaha yang berterusan," ujarnya.

Selain membekalkan buah nangka, Francis turut menyediakan khidmat nasihat dan rundingan dalam bidang penanaman nangka.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan tunjuk ajar atau perkhidmatan nasihat daripada beliau anda boleh menghubungi Francis di talian 016-222 3246 atau 012-223 3246.
Sumber:utusan malaysia 

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails