Wednesday, June 1, 2011

Penternakan ikan siakap

IKAN siakap putih atau nama saintifiknya Lates calcarifer dari keluarga Centropomidae merupakan spesis ikan air payau yang berupaya hidup di habitat air masin dan air tawar.

Berikutan permintaan yang baik dan teknologi yang agak kehadapan berbanding ikan marin lain, aktiviti menternak spesis siakap terus mendahului dalam komoditi akuakultur ikan marin negara ini.

Di Malaysia, spesies ini adalah satu spesies yang paling banyak diternak di sangkar-sangkar terapung dan juga kolam air payau sama ada di perairan Semenanjung atau pun Sabah dan Sarawak.

Ia diternak di sangkar terapung sama ada di laut terbuka, muara sungai, teluk, lagun dan juga hilir sungai.

Selain itu, ikan dari jenis pemangsa ini juga cepat membesar dan boleh mencapai saiz antara 1.5 kilogram hingga dua kilogram dalam tempoh setahun.

Ikan siakap putih adalah bersifat hemaprodite protandri iaitu ia berlaku pertukaran jantina pada peringkat umur dan saiz tertentu.

Ikan siakap putih matang dengan jantina jantan dahulu dan akan bertukar menjadi betina.

Pada berat antara 1.5 hingga 2.5 kilogram kebanyakan ikan siakap putih adalah jantan namun apabila ia mencapai berat antara empat dan enam kilogram kebanyakan akan bertukar menjadi betina.

Dari segi fizikal muncung ikan, siakap putih jantan sedikit berlengkok sementara ikan siakap putih betina berbentuk lurus. Bentuk badan ikan jantan lebih pipih berbanding ikan betina.

Pemilihan tapak

Kriteria utama untuk pemilihan tapak sangkar perlu mengambil kira faktor seperti kedalaman air, arus, ombak, angin, dasar laut, ancaman pencemaran, ancaman haiwan perosak dan kemudahan prasarana.

Parameter berikut boleh dijadikan sebagai panduan dimana julat optimum untuk kedalaman air adalah melebihi 10 meter (m), arus antara 20 dan 50 sentimeter (sm) sesaat, ketinggian ombak kurang dari dua meter, kelajuan angin kurang dari 17 m sesaat dan dasar laut hendaklah rata serta tidak berbatu.

Reka bentuk sangkar

Komponen utama sangkar HDPE 6m X 6m ialah rangka sangkar yang juga bertindak sebagai pelampung, pagar, pukat laluan pejalan kaki, sistem sauh serta ruang yang mencukupi untuk pejabat, bilik tidur, dapur, setor, tandas mesra alam dan stor makanan ikan.

Susun atur sangkar serta peralatannya mestilah mengambil kira kesannya terhadap keselamatan sangkar dan ikan di samping keselesaan untuk menjalankan kerja - kerja pengurusan harian.

Komponen utama dan spesifikasi asas sangkar HDPE 6m X 6 m sangkar : saiz mata pukat 1 - 2 ", sauh dari bongkah konkrit seberat empat tan sebanyak 14 buah.

Kedalaman tali sauh adalah tiga kali kedalaman air manakala batu pemberat pukat antara 20 dan 30 kg setiap satu dan pelantar kerja 15m X 7 m terdiri dari kayu cengal.

Pengurusan ternakan

Pengurusan ternakan terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat pertama menghasilkan ikan bersaiz 0.6 kg untuk dipasarkan secara hidup dan sejuk beku dan peringkat kedua untuk menghasilkan ikan bersaiz 2.5 kg untuk dijadikan produk filet.

Bagi peringkat pertama benih berukuran 8 - 10 sm atau 10 g diternak hingga 10 bulan untuk mendapat saiz 0.6 kg.

Selepas itu baki ikan boleh diternak untuk peringkat kedua selama 14 bulan. Kepadatan ikan untuk peringkat awal adalah 5,000 ekor berbanding 1,500 ekor untuk peringkat kedua.

Keperluan mutu air

Mutu air adalah faktor tekanan terhadap ikan ternakan. Mutu air yang stabil akan meningkatkan kadar hidup dan tumbesaran ikan.

Kawalan kualiti air dilakukan dari masa ke semasa dengan memastikan parameter air pada saliniti 10 hingga 30 bahagian perseribu (ppt), oksigen terlarut empat hingga sembilan bahagian perjuta (ppm), suhu antara 28-30 °C dan pH (kemasaman) antara 7.5 hingga 8.5, kandungan ammonia kurang dari satu ppm, turbiditi (kekeruhan) kurang dari 10 ppm dan hidrogen sulfida kurang dari 0.3 ppm.

Penentuan jantina

Penentuan seks atau jantina ikan siakap agak sukar untuk dikenal pasti, kecuali semasa musim pembiakan.

Namun begitu terdapat beberapa ciri yang boleh dipraktikkan bagi penentuan jantina yang mana muncung bagi ikan jantan agak lengkung sedikit, manakala bagi ikan betina muncungnya agak lurus.

Ikan jantan mempunyai badan yang lebih ramping berbanding ikan betina. Berat ikan betina lebih tinggi berbanding ikan jantan bagi ikan yang sama saiz.

Sisik yang hampir dengan kloaka adalah lebih tebal bagi ikan jantan berbanding ikan betina semasa musim pembiakan. Semasa musim pembiakan, abdomen ikan betina menjadi lebih kembung berbanding ikan jantan.

Pemakanan

Makanan adalah antara faktor terpenting dalam pengurusan kolam ternakan.

Benih-benih ikan perlu diberi makan empat kali sehari dari pagi hingga petang sehingga kenyang atau ad libitum (sehingga ikan kenyang atau berhenti makan).

Teknik pemberian makanan adalah penting bagi memastikan pengambilan makanan yang sempurna oleh ikan.

Pemberian makanan yang lebih kerap dengan kuantiti yang sama adalah digalakkan untuk memberi peluang kepada setiap individu ikan mendapatkan makanan tersebut.

Jenis makanan yang sesuai adalah pelet terapung yang mengandungi antara 40 dan 45 peratus protein sesuai dengan tabiat ikan siakap yang suka mengambil makanan di ruang air dan juga makanan yang terapung di permukaan.

Penyakit

Kematian ikan adalah satu faktor yang menyebabkan kerugian dalam aktiviti perikanan. Ikan merupakan organisme poikiloterma yang mana suhu badannya bergantung kepada suhu sekitar (air).

Apabila perubahan suhu berlaku dengan cepat ia akan menyebabkan renjatan dan seterusnya menyebabkan ikan menjadi lemah. Populasi ikan yang terlalu tinggi juga boleh menyebabkan kemerosotan mutu air. Makanan yang kurang atau tidak sesuai boleh melemahkan dan menyebabkan kematian ikan.

Sumber:utusan malaysia

Mesin mengasing sabut kelapa


Mudah mengasingkan sabut kelapa menggunakkan mesin ciptan Dr. Md. Akhir Hamid.


Pokok kelapa dikatakan sebagai pokok seribu guna kerana setiap bahagiannya ada kegunaan tertentu. Batang misalnya boleh dibuat titi, daun untuk ketupat dan lidi penyapu, isi kelapa dan umbut untuk bahan dalam makanan dan terkini santan kelapa boleh menghasilkan minyak kelapa dara.

Biasanya sabut kelapa yang diproses digunakan dalam sektor pertanian terutama kerana ciri-cirinya yang menyerap air selain fiber digunakan dalam industri perabot.

Terdapat dua produk utama yang didapati daripada sabut kelapa adalah cocopeat (habuk sabut) dan coir (fiber panjang).

Biasanya cocopeat digunakan sebagai media tanaman terutama pada sistem fertigasi manakala coir merupakan bahan yang biasa terdapat di dalam tilam, di bawah lapisan karpet, hamparan dan papan penebat.

Kaedah pengeluaran cocopeat dan coir secara tradisional amat merumitkan dan memakan masa yang lama.

Biasanya sabut kelapa akan direndam di dalam kolam selama sebulan kemudian sabut yang diawet tadi diangkat dan ditoskan sebelum dipukul bagi memecahkan dan melembutkannya.

Cocopeat dan coir kemudian diasingkan menggunakan penapis.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan mesin mengasing sabut kelapa bagi memudahkan usahawan kecil dan sederhana memproses sendiri sabut kelapa mereka.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi MARDI, Dr. Md. Akhir Hamid berkata, mesin mengasing sabut kelapa yang bangunkan amat mudah digunakan dan mesra alam sekitar.

Mesin berkenaan boleh memproses dan mengasingkan cocopeat dan coir amat diperlukan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengusaha ladang kelapa.

"Mesin mengasing sabut kelapa berupaya memecahkan dan melembutkan sabut dan pada masa yang sana memisahkan fiber coir daripada cocopeat dalam satu operasi," katanya semasa ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Semasa proses berkenaan, jelas Dr. Md. Akhir mesin berkenaan berupaya mengasingkan cocopeat dan coir iaitu dua produk daripada sabut kelapa.

Mesin berkenaan telah direka dengan kapasiti memproses 500 kilogram sabut dalam masa sejam.

"Hanya seorang pekerja diperlukan untuk menjalankan operasi berkenaan termasuk membungkus cocopeat dan coir," katanya.

Bagi memudahkan operasi, mesin berkenaan dilengkapi dengan drum berpusing dengan diameter 100 sentimeter (sm), pisau untuk memukul serta roda dan beroperasi menggunakan enjin diesel 10 kuasa kuda.

Mesin berkenaan boleh dibawa ke ladang dengan sebuah traktor mini disambungkan kepada mesin pemisah bagi membolehkannya dibawa ke mana-mana saja di dalam ladang.

Mesin mengasing sabut kelapa boleh beroperasi terus di mana saja kerana tidak menggunakan tenaga elektrik.

Fiber coir dan cocopeat boleh diasingkan secara terus semasa proses pengasingan dan kedua-duanya dikumpulkan dalam kotak yang disediakan supaya dapat mengurangkan masa bekerja.

Mesin berkenaan telah direka sedemikian rupa bagi membezakannya dengan mesin yang biasa digunakan di dalam kilang.

Dr. Md. Akhir berkata, mesin mengasing sabut kelapa amat berguna bagi pengusaha tanaman kelapa dan usahawan media pertanian dan bagi individu yang menghasilkan cocopeat bagi kegunaan nurseri sendiri atau menjualnya kepada pihak lain.

"Mesin berkenaan boleh beroperasi terus dari ladang dan memberikan persekitaran yang lebih sihat," katanya.

Mesin mengasing sabut dijangka dapat membantu petani kelapa meningkatkan pendapatan menerusi

nJualan fiber dan cocopeat terus kepada pelanggan seperti kepada pengeluar kerusi kereta dan nurseri.

nProses pemisahan sabut boleh dilakukan tanpa kilang dan mengelakkan pengumpulan sisa di sesuatu tempat dan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar

nTidak terdapat kos tambahan bagi pengangkutan tambahan

Pengguna yang berpotensi menggunakan teknologi berkenaan seperti petani atau penanam kelapa dalam skala kecil, pengeluar fiber coir dan cocopeat komersial dan usahawan dan kecil dan sederhana.

sumber:utusan malaysia

Teknologi ternak ketam nipah


Teknologi penternakan ketam nipah kini semakin dipertingkatkan.


Scylla serrata atau ketam nipah adalah haiwan dari jenis krustacea iaitu bercangkerang seperti udang. Ia juga dikenali sebagai ketam bakau atau ketam lumpur dari keluarga Portunidae.

Secara semulajadi ketam hidup serta membiak di sekitar paya bakau, kuala sungai, tepi pantai atau laut, dalam air payau atau air masin mengikut masa air pasang dan surut.

Menternak ketam menggunakan kolam atau 'membintur' begitu popular terutama di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Kolam-kolam dibuat sekitar paya bakau atau berdekatan dengan laut kerana memerlukan air payau atau air masin.

Namun teknik ini memerlukan kawasan yang luas.

Proses menggemukkan memerlukan bekas khas untuk mengisi benih ketam secara berasingan kerana ketam adalah dari spesies yang ganas, karnivor dan tahan lasak serta akan memakan sesama sendiri apabila lapar.

Ketam nipah membiak secara bertelur dan boleh membesar sehingga karapasnya mencapai 20 sentimeter atau lebih iaitu dengan berat badan melebihi satu kg (kilogram) hingga empat kg seekor.

Ketam nipah boleh diperolehi dalam tiga warna iaitu hijau, coklat dan merah.

Ketam tersebut mempunyai potensi dalam bidang industri perikanan terutamanya kegiatan separa kultur.

Ketam ini mengandungi sejenis protein yang tinggi serta merupakan penawar denggi yang sangat mujarab.

Ia didapati boleh membantu pembinaan semula platelet darah yang hilang akibat virus denggi. Pengambilan sup ketam sebagai terapi oral iaitu dimasak sebagai sup (500ml hingga 1 liter) akan meningkatkan bacaan platelet dengan kadar yang sangat cepat.

Kenali ketam nipah

Lazimnya sepit ketam jantan adalah lebih besar dari saiz badannya berbeza pula dengan ketam betina yang mana saiz badannya lebih besar dari sepit.

Ketam warna merah selalunya mendapat permintaan yang lebih tinggi disebabkan isinya lebih padat dibandingkan dengan ketam yang berlainan warna.

Kebanyakan haiwan krustasea memerlukan proses bersalin kulit bagi pembesaran dan melengkapkan kitar hidupnya.

Proses bersalin kulit dari kulit lembut kepada keras memerlukan lebih kurang 24 jam.

Teknik merangsang ketam bersalin kulit memerlukan masa ternakan antara tiga dan empat minggu bagi setiap kali bersalin kulit.

Ia dilakukan dengan mengerat semua kaki dan sepit ketam atau dikenali sebagai teknik limb autotomy.

Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila mencapai umur 30 hari dan ketika itu, beratnya mencecah 180gm dan ia menjadi cabaran utama sebelum cengkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam.

Ketam yang bersalin kulit perlu diasing bagi mengelakkan ia dimakan ketam lain memandangkan kulitnya yang lembut. Ketam aktif dan agresif pada waktu malam dan ketam betina lebih sensitif dari ketam jantan.

Cara baru ternak ketam

Cara terkini untuk menternak ketam adalah dengan menggunakan sistem akuarium fiber secara tertutup.

Sistem ini amat ringkas dan sesuai kerana kadar asid, alkali serta ammonia dalam air mudah dikawal.

Ia boleh ditempatkan di mana-mana saja asalkan ada kawasan yang bertutup iaitu beratap, berdinding dan mempunyai punca elektrik.

Ukuran bagi satu set sistem ini adalah tiga kaki (lebar) x 13 kaki (panjang) x 5 kaki (tinggi) mengandungi tiga kotak fiber.

Kotak-kotak fiber disusun bertingkat melalui rak besi serta saluran paip bagi air masuk dan keluar. tiga kotak fiber yang teratas adalah bekas yang mempunyai petak-petak untuk diisi dengan benih ketam. Sekotak kotak fiber boleh memuatkan 40 ekor benih ketam.

Ini bermakna satu set sistem ini boleh memuatkan 120 ekor ketam. Sekotak kotak fiber yang di bawah sekali adalah digunakan sebagai sistem penapis bagi keseluruhan set sistem ini.

Selain air laut, air paip yang telah diproses bagi menggantikan air masin atau air payau juga sesuai untuk ketam nipah.

Sistem ternakan ketam dalam tangki ini tidak memerlukan pengorekan kolam-kolam seperti ternakan lain.

Salah satu kebaikan sistem ini iaitu penggunaan sistem tertutup recirculating water system dimana air paip yang digunakan untuk ternakan ini dikitar semula setelah melalui proses pembersihan/penapisan air mengunakan biofilters.

Sistem ini didapati sangat hygienic dan dapat memenuhi piawaian antarabangsa berbanding dengan sistem ternakan ketam secara konvensional.

Air

Proses penyalinan kulit hanya akan berlaku sekiranya air kolam benar - benar bersih dan air yang kotor boleh menyebabkan ketam mudah dijangkiti bakteria. Kawalan kualiti air dilakukan dari masa ke semasa dengan memastikan parameter air pada saliniti 30 bahagian perseribu (ppt), oksigen terlarut lebih 5 ppm, suhu antara 28-30 °C dan pH (kemasaman) antara 6.5 hingga 7.5.

Penggunaan efektif mikrob (EM) atau probiotik boleh digunakan untuk mengawal mutu air. EM aktif juga berkebolehan meneutralkan air (neutralizesalts) dimana bertindak sebagai klorinator semulajadi dan menghalang pembentukan lapisan kristal di permukaan air.

Kadar dos adalah 1:10000, iaitu satu bahagian EM (probac) bagi setiap 10000 bahagian air. Dos ini disaran untuk diberikan bagi setiap minggu.

Makanan

Manakala dari segi pemakanan untuk ternakan ketam, penggunaan ikan baja antara yang paling sesuai untuk memenuhi diet pemakanan ketam di mana sebanyak antara lima dan enam peratus daripada berat badannya diberikan setiap hari.

Disiplin pemberian makanan perlu dititikberatkan kerana ketam yang lapar boleh menyerang antara satu sama lain.

Selain ikan baja, ikan yang disiang (buang kepala, ekor dan isi perut dan dihiris atau dipotong dan dibasuh) diberikan satu atau dua atau hari hari sekali (mengikut kesesuaian dan bacaan air dalam set sistem akuarium ini).

Ketam nipah memerlukan lebih kurang 52 kg ikan (untuk 120 ekor ketam kulit keras) sebulan dan 96.43 kg ikan (untuk 360 ekor ketam kulit lembut) sebulan.

Penyakit

Ternakan secara sistem tangki tertutup ini mempunyai risiko penyakit yang rendah dan jarang dijangkiti penyakit.

Kebanyakan penyakit berpunca dari kebersihan dan kualiti air yang kurang baik. Oleh itu pengawalan mutu dan kualiti air sangat dititikberatkan.

Kematian juga berlaku semasa dan selepas proses bersalin cengkerang, pemantauan perlu dilakukan pada waktu tengah malam hingga awal pagi antara pukul 11 malam hingga 3 pagi secara lebih teliti.

Sumber:utusan malaysia

Sunday, May 8, 2011

Ternak burung unta lumayan


BURUNG unta atau Struthio camelus berasal dari benua Afrika dan tergolong dalam order Ratitae iaitu burung yang tidak boleh terbang.

Burung berkenaan tergolong dalam keluarga yang sama dengan burung kasuari, emu, rhea dan kiwi.

Dalam sejarah perkembangan manusia, burung unta mula diternak secara komersial pada tahun 1860 di Afrika Selatan dengan matlamat utamanya untuk penghasilan bulu.

Setelah mengalami beberapa kali kemerosotan dan pemulihan, pada tahun 1945 industri moden burung unta mula berkembang.

Selain bulunya, daging dan kulit merupakan teras utama industri.

Di Malaysia, sebilangan besar burung unta mula diimport pada tahun 1994 dan kini terdapat lebih 35 tempat pemeliharaan burung unta di seluruh negara.

Daging burung unta kian popular di kalangan pengguna dan mudah diperoleh terutama di restoran dan hotel ternama.

Baka burung unta

Terdapat tiga jenis baka iaitu baka South African Black juga dikenali sebagai burung unta Oudtshoorn.

Ia merupakan baka domestik dan paling diminati serta dipelihara serata dunia.

Mempunyai kualiti bulu dan kulit yang tinggi iaitu paling banyak minyak dan daging merah yang pejal jika dibandingkan dengan tiga baka yang lain.

Seekor burung unta African Black boleh mengeluarkan 14 kaki persegi kulit. Tinggi dan berat dewasa 120 kilogram (kg) ketika berumur antara 18 dan 20 bulan.

Baka Blue Neck atau burung unta Somali di mana jantan berwarna biru di tengkuk dan di paha.

Sangat sesuai untuk daging, bersaiz besar jika dibandingkan dengan African Blacks.

Berat dewasa 160kg. Merupakan burung unta yang paling tinggi dan bahagian atas kepalanya botak tetapi mempunyai kualiti bulu yang rendah.

Baka Red Neck pula atau burung unta Massai di mana jantan berwarna merah jambu atau merah di tengkuk dan peha serta jambulnya botak sedikit.

Juga merupakan baka yang tinggi, berat dewasa mencecah 170kg, mempunyai kualiti bulu yang rendah tetapi terlalu agresif atau panas baran.

Sifat burung unta

Sungguhpun ia tidak boleh terbang, tetapi fizikalnya besar, mempunyai leher yang panjang, kuat dan mampu memecut sehingga 65 kilometer sejam (40 batu sejam) malah merupakan burung yang berlari terpantas di dunia.

Oleh itu ia memerlukan kawasan lapang untuk berlari dan bergerak bebas, tidak kira apa jua sistem pengeluaran yang diamalkan.

Sifat-sifat lain yang unik ialah, kakinya yang besar, hanya mempunyai dua jari, otaknya amat kecil berbanding dengan badannya yang besar, pendengaran dan penglihatannya amat tajam dan tabiatnya suka mematuk sesuatu sepanjang hari.

Mekanisme kawalan suhu ada secara semulajadi pada tubuh burung, di mana burung unta menggunakan kepaknya untuk menutup tubuhnya yang tidak berbulu ketika sejuk atau melebarkan kepaknya pada waktu panas bagi membebaskan haba.

Pembiakan

Pembiakan burung unta bermula dari proses pemilihan pasangan yang telah mencapai tahap kematangan seks diikuti dengan proses mengawan, penghasilan telor, pengeraman dan penetasan.

Kematangan seks burung unta adalah ketika berusia antara empat dan lima tahun manakala burung unta yang diternak matang lebih awal iaitu pada umur antara dua dan tiga tahun dan boleh dijual pada umur antara 10 dan 12 bulan.

Seekor burung unta betina boleh menghasilkan telur sehingga antara 40 dan 80 biji setahun.

Telur berkenaan boleh dieram secara semulajadi atau melalui alat pengeraman, tempoh penetasannya memakan masa selama 42 hari.

Seekor burung unta jantan boleh mengawan dengan beberapa ekor burung unta betina, namun nisbah jantan betina 1:1 adalah lebih sesuai.

Pengurusan

Pengurusan bermula dari peringkat perindukan (brooding) dari umur 0 - 3 bulan, diikuti peringkat juvenile dari empat kepada 11 bulan dan peringkat dewasa 12 bulan ke atas.

Bagi burung unta pedaging 40 ekor burung unta boleh dipelihara di dalam kawasan seluas 0.4 hektar (satu ekar).

Dalam sistem intensif, ruangan seluas 50 meter (m) persegi atau lebih diperlukan untuk sepasang burung unta.

Bagi sistem separa intensif kadar bertelor dan kadar pensenyawaan lebih tinggi kerana lebih banyak ruang makanan diperolehi dan peluang untuk mengawan.

Burung unta biasanya suka memakan biji-bijian atau makanan rumusan berbentuk pelet seperti pelet ayam, rumput, buah-buahan dan bunga-bungaan, juga serangga seperti locust.

Rumput yang sesuai di makan terdiri dari Paspalum conjugatum, Panicum maximum, Pennisetum purpureum dan Asystasia coromandeliana.

Ia mempunyai gigi yang sedikit dan lemah, juga ada yang langsung tidak mempunyai gigi.

Kebanyakannya menelan makanan mereka bersama batu kerikil yang berfungsi sebagai gastrolith untuk menggiling makanan di dalam perut.

Burung unta dewasa dianggarkan membawa bersama kira-kira sekilogram batu kerikil kecil ke dalam perut mereka.

Apabila makan, ia akan mengisi kerongkongnya dengan makanan, bolus yang mengandungi campuran makanan dan kerikil kecil akan ditolak masuk melalui esofagus dan seterusnya ke dalam perut untuk dicerna.

Burung unta boleh bertahan tanpa meminum air untuk beberapa hari, dengan menggunakan cecair metabolik tubuh dan kelembapan ketika menghadam tumbuhan sebagai sumber pendapatan air badan, namun mereka juga sangat menyukai air dan acap kali berendam jika air ada disekeliling mereka.

Kawalan dan Kesihatan

Penyakit Avian Pox berlaku pada beberapa spesies burung dan kesannya adalah ketuat yang menggerutu, berwarna coklat dan membesar di sekeliling mata, juga di tepi mulut dan paruh.

Penyakit ini boleh mengakibatkan kematian yang tinggi jika tidak dirawat. Serangga mencucuk/mengigit seperti nyamuk adalah vektor penyebaran penyakit ini.

Pemberian vaksin boleh mengawal penyakit ini. Penyakit Green urine influenza atau influenza avian adalah sangat bahaya. Ia menjangkiti semua spesies burung.

Penyakit ini menyebabkan kematian yang tinggi pada anak berumur kurang dari enam bulan. Oleh kerana jangkitan ini disebabkan oleh virus, tiada rawatan khusus untuk penyakit ini melainkan pencegahan sahaja. Simptom penyakit ini adalah urine berwarna hijau atau green urine.
Sumber:utusan malaysia online

Friday, May 6, 2011

Pengurusan sempurna puyuh


BURUNG puyuh memerlukan kawasan pembiakan yang bersih serta dilengkapi sistem pengudaraan sempurna bagi memastikannya bebas daripada jangkitan penyakit.


JAPANESE quail atau Coturnix japonica adalah nama saintifik bagi puyuh pedaging. Ia tergolong dalam famili Phasianidae. Pemeliharaan puyuh pedaging tidak memerlukan kawasan yang besar. Ini adalah kerana saiz puyuh jauh lebih kecil daripada unggas lain seperti ayam.

Pemilihan tapak kawasan penternakan sebaiknya hendaklah jauh dari kawasan perumahan dan ladang-ladang unggas yang lain.

Kawasan hendaklah bebas dari banjir dengan mempunyai kemudahan jalan bagi pengangkutan barangan dari luar ke ladang dan sebaliknya.

Tanah berbukit tiada halangan kecuali perlu diratakan bagi setiap kawasan reban yang perlu didirikan. Peredaran udara yang baik juga perlu diambil kira dalam pemilihan kawasan.

Keperluan reban tertakluk kepada kumpulan ternakan atau kekerapan pengeluaran puyuh pedaging.

Bagi pengusaha yang hendak mengeluarkan puyuh pedaging seminggu sekali keperluan bangsal hendaklah sekurangnya lapan unit.

Ini berdasarkan sistem penternakan sekali gus masuk sekali gus keluar bagi setiap bangsal.

Begitu juga bagi keperluan kawasan. Saiz reban untuk memuatkan 10,000 ekor puyuh adalah 10 meter lebar x 21 meter panjang dan 3.6 meter tinggi dengan luas kawasan pemeliharaan seekor sebanyak 210 sentimeter persegi.

Berikan jarak sekurangnya 15 meter antara dua reban. Kawasan penternakan perlu dipagar untuk mengelakkan gangguan dari ternakan atau binatang lain.

Persiapan penerimaan anak puyuh

Sekeliling bangsal perlu ditutup dengan 'polyethelene bagi mengelakkan kemasukan angin sejuk dari luar.

Hanya tiga perempat ketinggian tepi bangsal yang perlu ditutup. Serbuk kayu atau bahan setaraf yang boleh menyerap air dan selamat digunakan setebal lapan sentimeter hendaklah dialaskan di atas lantai.

Kebanyakan peralatan ternakan puyuh adalah sama dengan peralatan ternakan ayam.

Bulatan untuk perindukan 1,000 ekor anak puyuh dan peralatan perindukan hendaklah disediakan sebelum ketibaan anak puyuh.

Bagi sistem menggunakan kotak khas, sekeliling bangsal juga perlu ditutup. Gunakan kertas daripada jenis corrugated sebagai alas lantai dalam kotak.

Tempatkan lebih kurang 100 ekor anak puyuh untuk perindukan bagi setiap petak. Sediakan air dan makanan sebelum kemasukan anak puyuh.

Sistem Pengurusan

Sistem pemeliharaan atas lantai sampah sarap sekali gus masuk sekali gus keluar adalah disyorkan. Dengan sistem ini satu peringkat umur puyuh berada dalam satu bangsal.

Dengan sistem ini pengurusan adalah lebih sempurna dengan kawalan penyakit yang baik.

Sistem pemeliharaan menggunakan kotak kayu khas biasa digunakan oleh penternak tempatan.

Anak puyuh diinduk di dalam kotak perindukan kemudiannya dipindahkan ke kotak pembesaran yang biasanya bertingkat.

Peringkat perindukan

Pengurusan perindukan amatlah penting kerana kegagalan memenuhi kehendak anak puyuh mengakibatkan peratus kematian yang tinggi dan kadar pembesaran yang terencat.

Perindukan adalah pemeliharaan anak puyuh dengan menjaga keperluan suhu dan peredaran serta pengudaraan yang sempurna selama antara 10 dan 14 hari.

Luas kawasan perindukan bagi 1,000 ekor anak puyuh adalah 30 sentimeter persegi/ekor.

Keperluan suhu yang sesuai adalah antara 35 dan 36darjah Celsius pada tiga hari pertama. Selepas itu suhu dalam bilik boleh dikurangkan mengikut keadaan hari.

Pemberian haba tamat pada hari ke-10. Suhu yang rendah mengakibatkan kematian puyuh ia akan berhimpit dan bertindih. Suhu yang terlalu tinggi akan menyebabkan kematian kerana tekanan kepanasan.

Anak-anak puyuh yang mati mesti dikeluarkan setiap hari dan dibuang. Pemberian antibiotik boleh diberikan mengikut situasi.

Dalam sistem pemeliharaan dalam kotak kayu khas, anak puyuh diindukkan di dalamnya selama antara 10 dan 14 hari. Lantai kotak hendaklah dialas dengan kertas kuat atau jenis corrugated paper.

Ini adalah bagi mengelakkan anak puyuh jatuh ke tanah. Kotak kayu ditutup dengan plastik atau guni untuk menahan haba didalamnya.

Pemberian haba adalah dari lampu pijar 100 watt yang digantung ditengah petak kotak tersebut.

Setiap petak berukuran satu meter persegi boleh memuatkan sehingga 80 ekor anak puyuh.

Reban hendaklah ditutup semasa perindukan dengan polyethelene sheets. Peralatan makanan dan minuman adalah seperti dinyatakan diatas.

Peringkat pembesaran

Dalam sistem pemeliharaan atas lantai sarap, kepungan akan dibuka selepas anak puyuh berumur 10-14 hari dimana anak puyuh akan berada sepenuhnya dalam satu bangsal sehingga dijual.

Selepas perindukan bekas minuman automatik digunakan untuk menampung 200 ekor puyuh setiap satu dan bekas makanan gantung digunakan untuk 100 ekor puyuh setiap satu.

Makanan perlu diberikan sepanjang masa tanpa had untuk pembesaran yang cepat. Tentukan air yang bersih diberikan. Elakkan daripada gangguan luar semasa pembesaran puyuh ini.

Masa tamat pemeliharaan adalah apabila umur puyuh mencapai 42 hari.

Pada ketika itu berat badan hidup puyuh adalah purata 290 gram seekor.

Perlu ditekankan disini bahawa kelewatan untuk menjual puyuh akan menyebabkan puyuh mencapai umur kematangan seksual (mengeluarkan telur) dan ini akan menjejaskan kualiti daging. Lazimnya umur kematangan seksual adalah 45 hari.

Bagi sistem pemeliharaan dalam kotak kayu khas, selesai sahaja tempoh perindukan, plastik penutup atau guni hendaklah dibuka. Begitu juga dengan kepungan di reban.

Kertas alas hendaklah dibuang dan puyuh dibesarkan di atasnya. Bekas minuman masih digunakan dan ditempatkan dalam kotak manakala palung makanan hendaklah digunakan untuk pemberian makanan.

Palung makanan hendaklah digantung di sebelah luar kotak untuk kemudahan pemberian makanan. Satu petak boleh membesarkan sehingga 40 ekor puyuh pedaging.

Puyuh akan dibesarkan dalam kotak ini sehingga di proses. Palung minuman dan makanan digantung di luar kotak. Bilangan puyuh yang boleh ditempatkan didalam satu petak atau tingkat bergantung kepada ukuran kotak.

Pemakanan puyuh

Puyuh diberi makanan dari jenis Quail Starter Mash atau makanan permulaan puyuh untuk mendapatkan hasil pembesaran yang cepat.

Makanan permulaan ayam pedaging boleh digunakan sebagai ganti Quail Starter Mash.

Keadaan ini berlaku kerana syarikat pembuat makanan ternakan kurang menjual makanan puyuh pedaging kerana jumlah yang kecil.

Kesihatan

Puyuh pada kebiasaannya mempunyai daya ketahanan terhadap penyakit tetapi ia juga boleh dijangkiti penyakit-penyakit yang biasa terdapat pada unggas lain.

Penyakit-penyakit puyuh yang spesifik adalah seperti Ulcerative Enterititis dan Quail Bronchitis. Kecederaan kerana sifat pemangsa sejenis, keadaan flighty behaviour dan pergaduhan kerana perebutan kedudukan sosial merupakan salah satu sebab utama kematian.

Puyuh juga mempunyai sifat terkejut dan 'excitability yang boleh menjejaskan prestasi.

Sumber:utusan malaysia online

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails