Sunday, November 28, 2010

Kos makanan ikan melambung

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.com.my



ROSLAN Omar memberi makan ikan ternakannya yang dibuatnya sendiri di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh.

PASIR PUTEH 26 Nov. - Kira-kira 10 pengusaha ternakan ikan air tawar di jajahan ini terpaksa menceburi perusahaan lain disebabkan kos makanan ikan yang melambung secara mendadak sejak awal musim tengkujuh.

Kebanyakan mereka yang menternak ikan keli, tilapia, puyu dan patin terpaksa membelanjakan lebih RM500 sebulan untuk membeli makanan bagi setiap 10,000 ekor ikan tersebut.

Di samping itu, mereka juga memerlukan perbelanjaan tambahan untuk makanan campuran perut ayam dan beras yang disediakan sendiri.

Bagi mereka yang kebanyakannya menternak ikan dalam kolam terpaksa pula menghadapi risiko ternakan ditenggelami air akibat hujan.

Seorang penternak, Rashid Isa, 45, berkata, dia tidak lagi meneruskan ternakan ikan sejak tiga bulan lalu kerana tidak dapat menampung kos makanan serta pengurusan yang meningkat secara mendadak.

"Jika saya meneruskan juga ternakan ini, saya akan mengalami kerugian yang besar kerana kos yang terlalu tinggi di samping ancaman banjir. Saya terpaksa berhenti walaupun sudah dua tahun menjalankan aktiviti ini.

"Kalau keadaan mengizinkan, saya mungkin kembali menternak ikan pada tahun depan, itu pun kalau harga makanan dan benih turun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang penternak di Kampung Banir Belikong di sini, Roslan Omar 31, berkata, dia terpaksa mengambil langkah awal dengan menternak secara berperingkat bagi mengelakkan kekurangan bekalan pada musim tengkujuh.

Dia yang menternak ikan dalam sangkar di tali air di kampung itu berkata, catuan juga terpaksa dibuat untuk menyerap kos makanan ikan yang meningkat.

"Sebelum masalah ini timbul, saya mampu memasarkan kira-kira 400 kilogram ikan seminggu tetapi sekarang terpaksa mengurangkan sehingga 200 kilogram sahaja seminggu.

"Saya terpaksa memilih ikan tersebut mengikut ukurannya sebelum menjualnya pada setiap minggu," katanya.

Katanya, dia terpaksa menggunakan pengalaman sebelum ini bagi mengatasi masalah tersebut termasuk menyediakan sendiri makanan ikan dengan menggunakan kreativiti disebabkan harga makanan ikan meningkat sehingga RM60 seguni.

"Disebabkan masalah ini, saya juga terpaksa mengurangkan jumlah ternakan benih ikan untuk dibekalkan kepada penternak yang lain," katanya.

Syarikat milik bumiputera hasilkan santan daripada kelapa sawit

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Masalah kekurangan santan kelapa di pasaran kini boleh diatasi dengan penggunaan santan kelapa sawit sebagai alternatif baru dalam masakan.

Ia berikutan kejayaan sebuah syarikat milik bumiputera, Premium Food Corporation Sdn. Bhd. menghasilkan santan daripada kelapa sawit selepas menjalankan penyelidikan sendiri bagi menilai dan mengenal pasti keupayaan komoditi itu untuk diproses menjadi santan.

Menurut Pengarah Urusannya, Jasri Mohd. Rashid, idea untuk mengusahakan santan kelapa sawit tercetus selepas beliau mendapat maklumat mengenai perkara itu daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

"Pengalaman 10 tahun bersama syarikat pengeluar makanan bertaraf antarabangsa, Nestle dan beberapa tahun dalam bidang perhotelan sedikit sebanyak membantu saya dalam menghasilkan produk ini.

"Syarikat saya yang mula beroperasi sejak hujung Ogos lalu kini dalam proses untuk memasar dan mengembangkan produk ini ke seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Jasri, buat masa ini, produk keluaran syarikatnya sudah berjaya menembusi beberapa pasar raya di negara ini.

"Produk ini yang berjenama 'Khalis' boleh didapati di 15 buah cawangan pasar raya besar Giant, lima cawangan pasar raya Bintang serta tiga cawangan pasar raya Mydin sekitar Lembah Kelang.

"Kami juga kini mempunyai rangkaian pengedar di beberapa negeri termasuk Johor, Melaka, Perak dan Pahang," ujar beliau.

Jelas Jasri, minyak daripada kelapa sawit dicampurkan dengan bahan tertentu untuk diproses menjadi santan yang warnanya sama seperti santan kelapa.

Menurutnya, santan kelapa sawit sebenarnya lebih sedap dan menyihatkan, mengandungi nutrien yang tinggi, rendah lemak serta tiada kolestrol.

"Santan ini juga tidak mudah rosak dan sesuai digunakan untuk semua jenis masakan termasuk bubur dan minuman cendol serta air bandung. Sekiranya ia disimpan di bawah suhu lima darjah celsius, jangka hayat santan ini boleh mencapai tiga bulan," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai santan kelapa sawit boleh mengunjungi gerai bernombor B187-B204 pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) yang bermula esok sehingga 5 Disember depan di Serdang dekat sini.

Selain itu, mereka juga boleh melayari laman web www.khalissantan.com atau menghubungi talian 03-89428360 untuk tujuan sama.

Thursday, November 11, 2010

Usaha komersial nira nipah terbatas



PETUGAS, Fatimah Mohd mengisi air nira nipah ke dalam botol sebelum dibungkus di pusat pengumpulan dan pemerosesan nira nipah di Marang, baru-baru ini.














MARANG 5 Nov. - Pusat pengumpulan dan pemprosesan nira nipah dibuka di sini lima tahun lalu dengan harapan yang cukup tinggi bagi mengkomersialkan sumber alam itu dan memberi ganjaran kepada penduduk sekitarnya.

Ia kemudiannya dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesin yang difahamkan bernilai RM500,000 beroperasi bagi merintis perusahaan itu di negara ini.

Ia dikendalikan Koperasi Pekebun Nipah Marang Berhad atas inisiatif kerajaan negeri berdasarkan potensi dari segi sambutan dan bahan mentah yang masih mudah didapati.

Digerakkan melalui pendekatan 1 produk 1 Daerah, ia turut membantu memberi nilai terhadap tumbuhan yang selama ini daunnya digunakan untuk membuat atap tradisional dan barangan kraf desa.

Malah, berpuluh keluarga yang bergantung kepada hasil jualan nira daripada pokok meliar di kawasan berpaya dan becak bakal memperoleh pendapatan lebih terjamin hasil kegiatan sampingan mereka.

Pihak yang diberi kepercayaan untuk memasarkannya mensasarkan pasaran bukan sahaja di seluruh negara, tetapi juga untuk dieksport ke Asia Barat dengan permulaan sebanyak 60,000 botol.

Kilang di Kampung Kelulut itu awalnya dikatakan berkeupayaan mengeluarkan kira-kira 10,000 botol air nira sebulan dan kira-kira 60 orang penduduk akan menjadi pengusaha dengan membekalkan bahan itu.

Nira nipah dibotolkan sebagai minuman segar sebagai minuman tenaga tambahan bagi kecergasan yang dikatakan turut mempunyai khasiat bagi merawat gout, darah tinggi dan kencing manis.

Namun, ia difahamkan tidak mencapai sasarannya dan operasi kilang itu hanya mampu bertahan selama selama setahun sebelum pengurusan diambil alih oleh syarikat Cakna Sdn. Bhd di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi memberi nafas baru.

Pengurusan ternyata berdepan dengan masalah mendapatkan bekalan 2,000 liter sebulan yang diperlukan kerana jumlah yang terkumpul begitu kecil dan menyukarkannya bergerak secara komersial.

Ia bukan sahaja kerana semakin mengecilnya kawasan berpaya ekoran dijadikan tapak projek pembangunan tetapi juga kerana hanya terdapat beberapa orang yang bersedia menjadi pembekal.

Malah, keadaan itu memaksa pihak pengurusan mendapatkan bekalan dari negeri- negeri lain dan sedang menimbang untuk mendapatkan dari Thailand.

Bagaimanapun, bagi mengatasi masalah itu dari jangka panjang, YPU telah memohon tanah daripada kerajaan negeri untuk menanam nipah namun, setakat ini, tiada kawasan yang bersesuaian.

"Justeru itu, buat masa ini kita hanya mencadangkan agar kawasan di sepanjang Sungai Marang sehingga ke Mercang diwartakan kerana kita bergantung sepenuhnya kepada bekalan di kawasan berkenaan," ujarnya.

Dibotol dan dibungkus dengan cantik serta kemas, produk minuman dengan jenama T- Nypa dipasarkan dengan harga RM2.50 manakala cuka pada harga RM9.90 sebotol.

Untuk membantu mempelbagaikan pengeluaran dan memenuhi pelbagai cita rasa, YPU telah melantik Chemical Engineering Pilot Plant (CEPP) dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor bagi menjalankan kajian dan pembangunan ke atas produk berasaskan nira nipah.

Ini termasuk dengan menambah perasa seperti nenas, limau nipis, mangga, kacip fatimah serta tongkat ali ke dalam nira.

Menurut Pengurus Cakna Sdn. Bhd, Wan Mokhtar Wan Ibrahim, syarikat masih berdepan masalah kekurangan bekalan yang semakin kritikal.

"Kita menerima banyak permintaan memandangkan produk ini dijual di seluruh negara dan ia semakin digemari masyarakat bandar tetapi pengeluaran begitu terbatas kini,'' katanya.

Selain faktor cuaca, ujarnya, masalah lain seperti nira diminum binatang liar serta kekurangan penyadat, nira nipah juga amat sukar diperoleh ekoran pokoknya yang terlalu sensitif.

"Nipah amat sensitif. Kalau sering diusik, dicantas dan diganggu pohon ini tidak akan mengeluarkan airnya. Dahannya perlu diurut, dibelai serta dimanja bagi membolehkan air nira yang dihasilkan banyak dan manis.

"Hasil airnya bergantung kepada pohonnya. Jika bernasib baik ia boleh mencecah dua liter untuk satu pohon jika tidak memang tidak ada langsung," jelasnya.
Sumber:Utusan Malaysia

Projek tanaman cendawan mampu lahir usahawan

Kerajaan berusaha promosi produk ke pasaran luar negara

KUALA LUMPUR: Peluang perniagaan dalam projek penanaman cendawan yang digariskan di bawah projek permulaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) diharap membantu lebih ramai pengusaha mengembangkan perusahaan mereka, selain melahirkan usahawan baru dalam sektor itu. Pengurus Fatisha Agro Farm, Rusila Yusof, 29, berkata selain bantuan geran permulaan, kerajaan juga perlu membantu mempromosikan hasil pertanian dan produk mereka supaya dapat dihantar ke pasaran luar negara. “Masalah besar yang dihadapi pengusaha seperti saya adalah kurangnya promosi dan diharap melalui ETP akan membantu pengusaha sama ada yang sedia ada atau baru mula berjinak-jinak dalam bidang ini.

“Saya mempunyai perancangan besar dalam bidang ini dan berharap dapat berkembang kerana permintaan bagi tanaman ini dari seluruh negara sangat menggalakkan,” katanya yang sudah mengusahakan ladang cendawan tiram menggunakan kaedah penghasilan benih melalui tisu kultur di kawasan seluas 0.8 ekar di Kemaman, Terengganu lebih tiga tahun.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 60 peluang perniagaan di bawah ETP dengan salah satunya adalah projek cendawan yang dijangka menyumbang Pendapatan Negara Kasar (PNK) berjumlah RM57 bilion menjelang 2020, selain mewujudkan 1,293 peluang pekerjaan.

Rusila yang memiliki ijazah dan sarjana dalam bidang kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, keputusannya menceburi perusahaan cendawan memuaskan kerana pendapatan yang lumayan sehingga mencecah RM20,000 sebulan.
Beliau kini sedang berusaha membuka sebuah lagi ladang di kawasan berdekatan berkeluasan 0.4 hektar yang dijangka menghasilkan pendapatan berganda dalam tempoh dua bulan.

Malah untuk memastikan kelangsungan perusahaannya, beliau juga membuka sebuah restoran berasaskan menu cendawan yang memberi pulangan sehingga RM3,000 setiap hari, selain turut menganjurkan kursus dan memberi khidmat nasihat kepada mereka yang berminat dalam bidang itu.

“Saya menasihatkan kepada mereka yang mahu menceburi bidang ini supaya tidak ragu-ragu untuk memulakannya kerana ia mampu meningkatkan taraf ekonomi dan mereka juga harus bijak mempelbagaikan hasil tanaman untuk dijadikan produk hiliran,” katanya.

“Malah, saya juga sudah memulakan usaha untuk membuka sebuah kedai perusahaan dengan sebahagian modal bantuan adalah daripada Tabung IKS (industri kecil dan sederhana) berjumlah RM25,000 untuk memasarkan produk seperti sos, popia dan serunding berasaskan cendawan,” katanya.
Sumber:Berita Harian

Wednesday, November 10, 2010

Kursus Praktikal Kambing dan Lembu 2010

Kursus Praktikal Kambing dan Lembu 2010
Tarikh : 4hb. Disember 2010 (Sabtu)
Masa : 8.30 pg - 6.00ptg
Tempat : Ladang Interxpose, Kg. Setulang Daing, Bukit Rambai Melaka

Bayaran :RM260 termasuk nota,Cd ternakan,bahan latihan dan sijil

Topik:
1. Pengenalan asas ternakan
2. Pembinaan Kandang
3. Penjagaan dan Rawatan ternakan
4. Tanaman utk ternakan (rumput dll)
5. Kaedah pemberian makanan/campuran makanan
6. Teknik Pemasaran

Praktikal 90% teori 10%
Maksimum peserta 8 orang sahaja.Minimum 4 orang

Berminat call 0192272127 /sms nama penuh dan buat bayaran deposit ke maybank 157166897506 sebagai booking tempat.Walk in tidak digalakkan.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails