Tuesday, November 9, 2010

Ladang Melaka hasil susu berkualiti

Melawat beberapa ladang ternakan lembu tenusu bersama-sama dengan pakar yang dibawa dari Belanda, Jun Hulsen ke beberapa lokasi ternakan lembu memberikan pengalaman yang menarik.

Lawatan tersebut merupakan anjuran peneraju produk tenusu tempatan Dutch Lady Milk Industries Bhd. (DLM) selama dua hari melalui Program Pembangunan Tenusu Dutch Lady itu amat berguna.

Ia membantu menyalurkan kepakaran dan maklumat kepada para penternak tempatan untuk membekalkan hasil susu segar secara terus kepada syarikat tersebut.

DLM menjangka program menyalurkan kepakaran yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan membuahkan kejayaan seperti mana yang dilakukan oleh penternak Belanda, Indonesia dan Vietnam di bawah naungan Friesland Campina.

Projek berkenaan dimulakan pada Mei 2008 apabila syarikat berkenaan mendapati pengeluaran susu segar tempatan hanya mewakili tiga peratus daripada keseluruhan keperluan susu negara.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Kawal selia DLM, Rohana Safinah Abdul Hamid, pihaknya mengamalkan konsep pembelian susu segar terus dari ladang ke DLM.

Selain itu, ia menyediakan skim pembayaran menarik melalui sistem pemberian bonus dan sistem penalti berdasarkan kualiti susu.

Misalnya susu gred A dibeli pada harga RM2 seliter, gred B (RM1.80 seliter) dan gred C (RM1.70 seliter).

Lawatan ke ladang bermula dengan ladang ternakan lembu tenusu Pa’abas Diary, Melaka yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan.

Diuruskan oleh syarikat Induk Cekal Sdn. Bhd. dan dipantau oleh JPV Melaka dengan memberikan saraan kepada 64 buah keluarga miskin.

Pengurus Projek Ladang Lembu Air Pa’abas, Hasan Salleh berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada program basmi kemiskinan.

“Ladang ini memulakan operasinya pada Februari 2008 di tapak seluas 2.5 hektar di Bukit Apit dengan 50 ekor lembu betina dan dua ekor jantan baka Jersey tulen,” katanya semasa menerima lawatan media dan Jan Hulsen di ladang berkenaan baru-baru ini.

Menurut Hasan, lembu berkenaan diberi makan rumput napier, jagung, pelet, hampas isirung sawit (PKE) dan pelepah kelapa sawit (OPF) selain garam galian.

Bagaimanapun, beliau berkata, ladang berkenaan berhadapan dengan masalah kualiti dan bekalan rumput serta dedak bagi mendapatkan susu lembu yang berkualiti.

Kini ladang berkenaan mempunyai lembu daripada baka Jersey dan Frisien yang memberikan faedah saraan kepada 64 keluarga miskin di kawasan berkenaan.

“Pekerja di sini digalakkan menanam jagung dan rumput napier sebagai salah satu punca pendapatan lain memandangkan napier dan jagung merupakan makanan tambahan selain pelet, PKE, hampas isirung kelapa sawit (PKC) dan garam galian,” katanya.

Lembu tenusu di Ladang Pa’abas berupaya mengeluarkan lebih 10 liter susu sehari bagi seekor bibit lembu dengan kualiti terbaik.

Menggunakan kaedah pembiakan secara semulajadi dan permanian beradas antara Jersey tulen dan kacukan Jersey Fresien memberikan kualiti susu yang lebih baik.

Ladang yang menghadapi masalah kematian bibit yang tinggi selepas kelahiran, jelas Hulsen mungkin disebabkan tekanan atau stres.

Menurut beliau, ia dapat diatasi dengan mengurangkan tekanan, ventilasi, tingkatkan kebersihan ladang, memendekkan masa memerah susu serta meluaskan ruang rehat.

Lawatan kemudian diikuti ke ladang Jaswan yang dimiliki Pengerusi Koperasi Serbaguna Tenusu Melaka, Jusuwantha Singh Dulip Singh.


menternak lembu tenusu

Koperasi berkenaan mempunyai 435 ahli dengan 70 orang ahli yang bergiat secara aktif.

Ladang yang terletak di Merlimau, Melaka menternak lembu tenusu secara perniagaan keluarga selama lebih 30 tahun.

Di ladang seluas 2.5 ekar dengan hampir 20 ekor lembu Housten dan Jersey.

Berminat meningkatkan operasi beliau memerlukan lebih banyak tanah untuk meluaskan ladangnya memandangkan ternakannya hanya memakan rumput selain pelet, soya dan PKC sebagai makanan selingan.

Hulsen turut memuji lembu tenusu di ladang Jawsan yang disifatkan sihat dan boleh dilihat melalui keadaan bulunya yang berkilat.

Sementara itu di ladang Macres Sdn. Bhd. yang baru lima bulan beroperasi mendapatkan bekalan lembu baka Fresien dari negara Thailand.

Pengurus Bahagian Tanaman dan Ternakan Lembu, Mamat Tambi berkata, kira-kira 85 peratus lembu berkenaan merupakan baka Frisien selain baka Shahiwal dan Jersey.

“Kini terdapat 56 ekor lembu betina dan dua ekor jantan dengan 38 ekor bunting dan pengeluaran susu pertama dijangka pada bulan September,” katanya.

Dijangka seekor lembu bibit boleh mengeluarkan 45 hingga 55 liter susu sehari seekor bergantung kepada makanan yang diberikan.

Manakala Ketua Seksyen Tenusu Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Siti Salmiyah Tahir berkata, sehingga Jun lalu JPV telah menerima 9.7 juta liter susu yang dikeluarkan oleh ladang-ladang seluruh negara.

“Melalui program bersama DLM ini, JPV akan mengendalikan kajian kualiti ke atas susu yang dikeluarkan serta mengadakanlawatan sambil belajar ke ladang-ladang susu yang telah dikenal pasti,” katanya.

Siti Salmiyah menambah pihaknya juga akan membantu daripada segi penumpuan sokongan dan teknikal kepada penternak, memaksimumkan sumber, meningkatkan hasil serta membantu ke arah pembangunan ladang ternakan baru.

Sumber:Utusan Malaysia


Saturday, November 6, 2010

UGC penyelidikan dan bimbingan pertanian

Menepati hasratnya sebagai peneraju dalam bidang pengajaran dan penyelidikan pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperhebatkan usaha mempromosi kekuatan yang dimiliki dengan menubuhkan Taman Pertanian Universiti (TPU) pada 1 Disember 2001.

Penubuhan TPU dengan pelbagai usaha strategik bukan sahaja dapat membantu memperkukuh UPM sebagai institusi unggul dalam bidang pertanian tetapi bukti kesungguhannya membantu orang ramai yang berminat dalam bidang tersebut.

Ini dapat dibuktikan dengan penubuhan Pusat Jualan di bawah Unit Hasilan Pertanian di TPU yang akan dikenali sebagai Pusat Perkebunan Universiti (UGC).

Pusat Jualan yang berfungsi sebagai hub kepada aktiviti pertanian terutamanya melibatkan jualan hasil pertanian seperti sayuran, buah-buahan, hasil ternakan, anak pokok buahan, anak pokok herba, pengembangan teknologi pertanian, klinik pertanian, kursus-kursus pertanian dan amali pelajar pertanian.

Pusat tersebut yang ditubuhkan tahun lalu kini memainkan peranan sebagai sayap pengembangan TPU dengan matlamat membantu melestarikan industri pertanian dan memberi manfaat kepada golongan sasar.

Unit tersebut ditubuhkan dengan pelbagai komponen yang akan menyokong kepada fungsi, peranan dan matlamat penubuhannya.

Antara komponen tersebut ialah pusat jualan, tapak semaian pokok buah-buahan, tapak semaian pokok bunga, ternakan ikan dan latihan pertanian.

Latihan pertanian akan diberi fokus dengan penganjuran pelbagai kursus, bengkel, pertunjukkan kaedah, khidmat nasihat pertanian atau klinik pertanian yang berkaitan dengan pembiakan pokok buahan, tanaman kontan, tanaman hiasan, cendawan, fertigasi, ternakan haiwan, ikan dan lain-lain.

Menurut Pegawai Pertanian TPU, Abdull Ghaffar Othman, kewujudkan unit tersebut penting sebagai promosi kepada aktiviti pertanian khususnya kepada pembiakan tanaman buah-buahan di UPM.

Pada masa ini, mereka yang berminat boleh membeli anak pokok buah-buahan yang telah sedia untuk dijual.

“Di pusat jualan ini, kami mampu mengeluarkan 11,000 anak pokok pelbagai jenis terutama buah - buahan tempatan yang berkualiti termasuk dari segi ketulenan klon dalam masa setahun.

Sayap program

“Tugas kita ialah menghasikan anak pokok berkualiti kerana permintaan daripada pelbagai pihak memang mengalakan'' katanya.

Beliau yang juga Ketua Seksyen Pengajaran, Penyelidikan dan Khidmat Profesional berkata, pelbagai kemudahan telah dan sedang dibina yang mengisi komponen-komponen dalam UGC.

Ia termasuk mencantikkan kawasan sekitar dengan landskap yang menarik dan membina bangunan pusat jualan hasil tanaman dan juga hasil- hasil pertanian termasuk ternakan.

Kos pembangunan awal kawasan tersebut yang berkeluasan 7.4 hektar termasuk kemudahannnya melibatkan RM500,000.

Bangunan pusat jualan itu yang sedang dibina dan hampir siap juga akan menawarkan ruang untuk produk keluaran usahawan bimbingan Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) UPM, salah sebuah pusat yang berperanan dalam membimbing usahawan pertanian memajukan diri.

APEEC juga menjadi sayap program pengembangan UPM, sebagai fasilitator dalam bidang pertanian untuk membimbing usahawan pertanian.

Bagaimanapun selain produk prosesan pertanian, pusat jualan ini dijangka menarik minat pembeli datang untuk membeli anak-anak pokok buah-buahan yang dihasilkan oleh unit tersebut.

Ia melibatkan anak pokok buah-buahan tempatan yang popular seperti durian , rambutan, mangga, nangka, cempedak dan pelbagai jenis lagi.

Yang menariknya, kerja biak baka dihasilkan sendiri oleh pelajar selain kakitangan unit berkenaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang biak baka sejak berpuluh tahun lamanya. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-89467301.
Sumber: utusan malaysia

Pusat sehenti burung walit

Selain menjadi satu industri yang menguntungkan, perniagaan sarang burung walit di Pulau Mutiara juga merupakan satu produk pelancongan.

Kemusnahan yang berleluasa pada habitat semulajadi burung itu telah memaksa ia mencari habitat baru yang lebih selamat di bangunan-bangunan konkrit yang terletak di kawasan bandar.

Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan burung-burung itu telah mempunyai tempat perlindungan di kawasan bandar yang terdiri dari rumah-rumah burung konkrit yang dibina pengusaha industri sarang burung berkenaan.

Di tengah-tengah Georgetown, bandar yang diisytihar mempunyai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco, AeroBio (M) Sdn. Bhd. telah membina satu pusat sehenti di Jalan Pasar bagi mempamerkan perusahaan sarang burung walit.

Menurut N.S.Yong, Penasihat Perniagaan Strategik dan Perancangan Korporat syarikat tersebut, pusat berkenaan terletak di kawasan zon warisan di Georgetown, Pulau Pinang .

Pusat tersebut mempunyai kemudahan membersih serta memproses sarang burung selain kedai yang menjual barangan dan produk sarang burung dan kafeteria yang menawarkan minuman sarang burung.

"Di pusat ini pengunjung akan diberi maklumat, antara lain tentang penternakan burung walit serta pembersihan sarang burung," Yong memberitahu Bernama yang berkunjung ke pusat tersebut.

Di pusat AeroBio ini, burung-burung walit akan muncul dan membuat sarang burung dengan kerelaan sendiri kerana pusat itu tidak menggunakan sistem bunyi yang biasa digunakan rumah burung yang lain bagi menarik perhatian burung-burung itu.

"Kami hanya menyediakan satu suasana yang punya lebih kelembapan serta kemalapan yang sesuai bagi burung walit menyediakan sarang mereka dalam premis di pusat ini," kata beliau.

Menurut Yong, burung-burung itu telah berada di situ semenjak beberapa tahun sebelum pusat tersebut dibina dan itulah sebabnya beliau merasakan tidak perlu menggunakan sistem bunyi bagi menarik perhatian burung walit.

Menurut Yong, yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam industri ini, burung walit memerlukan 40 hingga 60 hari untuk membina sarang sebelum sarang itu boleh dikumpul.

''Kebiasaannya waktu puncak adalah pada pukul 7.00 petang hingga 7.30 petang di mana burung walit akan pulang ke sarang", kata beliau, sambil menambah proses pembersihan serta pengadunan sarang burung mengambil masa sehingga tiga bulan.

Beliau berkata, pusat tersebut boleh mengeluarkan 8.0 kg sarang burung setiap hari dan kebanyakan pelanggannya adalah dari Taiwan, China dan Hong Kong.

Di pusat tersebut pelawat mempunyai peluang melihat "terbang lalu" burung walit di atas kepala mereka kerana burung-burung tersebut bebas berterbangan dalam premis itu.

"Pengunjung akan mengalami satu situasi unik seolah-olah mereka berada di habitat burung walit dan mengetahui rahsia tentang sarang burung atau dikenali juga sebagai Kaviar dari Timur," kata beliau. Pusat tersebut juga dilengkapi makmal di mana pelawat boleh melihat proses pembersihan sarang burung.

"Produk penjagaan kesihatan kami adalah dari pusat penternakan kami, termasuk pati dari sarang burung," katanya lagi.
sumber:utusan malaysia

Friday, November 5, 2010

Lembu korban 2010

Dapatkan lembu korban , sebanyak 400 ekor ready stok di Pusat kuarnatin Padang Besar.Harga tawaran RM6.90/kg termasuk penghantaran.Beli byk ,harga boleh runding.

hisham
0192272127

Wednesday, September 22, 2010

Hidangan popular dari Baling


Shamsiah Abdullah (dua dari kanan) bersama penduduk menunjukkan ubi gadung yang diambil dari pokok sebelum diproses bagi membolehkan ubi tersebut dimakan.


Beracun tetapi boleh dimakan. Bunyinya agak pelik namun itulah hakikatnya. Malah hanya memakan sebesar sebiji epal, ubi ini boleh membunuh.

Ubi gadung atau nama saintifiknya, Dioscorea daemona sejenis tumbuhan yang menjalar bukanlah makanan yang boleh dimakan begitu sahaja.

Ubi gadung dikatakan berasal dari India tetapi tersebar luas ke Asia Tenggara di kawasan hutan sekunder, belukar dan turut ditanam di kawasan taman.

Namun menariknya ubi yang beracun ini menjadi hidangan popular penduduk kampung di Baling, Kedah yang menjadikan ubi gadung sajian istimewa mereka.

Istimewanya ubi gadung yang melalui proses nyah racun yang dijalankan penduduk di Kampung Bukit Palong Bongor, Baling mempunyai kelainan tersendiri apabila sekurang-kurangnya antara tiga hingga empat hari sebelum boleh dijamah.

Seorang penduduk, Abdullah Abdul Ghani, 64, antara penduduk kampung yang mahir 'menghasilkan' ubi gadung yang enak dimakan bersama kelapa parut yang disalut sedikit garam dan gula.

Menurut Abdullah, ubi tersebut berbuah pada musim tertentu dan untuk 'memulihkan' racun yang terdapat sebelum dapat dimakan.

"Ubi beracun ini amat bahaya jika proses membuang racun dan getahnya tidak dilakukan dengan cermat," katanya kepada Mega baru-baru ini.

Menurutnya, pada musim kemarau ubi ini masih mampu bertahan kerana pokok menjalar ini mempunyai ketahanan sebelum mampu mengeluarkan ubi yang besar.

Biasanya, menurut Abdullah, walaupun mengambil masa untuk menghasilkan ubi ini tetapi penduduk kampung bergotong-royong bersama membersihkan ubi ini untuk dimakan beramai-ramai.

Bagi Abdullah biarpun mengambil masa dan terpaksa melalui proses tertentu termasuk merendam ubi berkenaan di dalam sungai tetapi keenakan ubi ini membuatkan penduduk kampung sepertinya tidak keberatan untuk mengusahakan 'produk' baru ini.

Seorang penduduk, Shamsiah Ismail, 60, pula berkata, keenakan ubi gadung terutama apabila direbus dan kukus mendorong penduduk di situ sanggup melakukannya biarpun agak rumit.

Shamsiah menambah sekalipun terpaksa mengambil masa dan perlu mematuhi petua daripada mula mengupas ubi gadung sehingga membasuh, merendam bagi menghilangkan sejenis getah berbisa yang terdapat di dalam kandungan ubi ini membuatkan ia terpaksa diproses secara lebih berhati-hati.

Katanya, membasuh dan merendam juga memerlukan perhatian yang rapi supaya isi ubi gadung yang kekuningan akan bertukar warna sebelum dapat dimasak.

Tambahnya, alat khas termasuk raga merendam kepingan ubi gadung yang dihiris nipis juga perlu disediakan bagi mengeluarkan bisa racun ubi ini.

Katanya, ubi ini mempunyai sejenis getah berbahaya dikenali getah ipoh perlu dibuang dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum direndam di dalam air yang mengalir sekurang-kurangnya tiga hari.

"Ubi berwarna kekuningan ini perlu dibersihkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum bertukar menjadi warna putih," ujarnya.

Menurutnya, selepas ubi bertukar warna putih barulah ia disaluti dengan garam untuk menghilangkan terus racun di dalamnya.

Rakannya, Aishah Omar, 53, berkata bukan sahaja keenakan isinya yang manis malah jika disagat airnya yang putih boleh dibuat bedak untuk melicinkan wajah menjadi amalan penduduk.

Katanya, bukan sahaja untuk dimakan, ubi gadung juga boleh dijadikan bahan seperti bedak melicinkan kulit muka oleh kebanyakan penduduk kampung pada zaman dahulu.

Menariknya, ubi gadung yang dikategorikan sebagai tumbuhan liar dan mampu menjalar panjang sehingga 20 meter dengan batangnya berduri dan boleh hidup bertahun lamanya.

"Bermacam-macam lagi khasiat ubi gadung selain dari menu istimewa penduduk kampung yang biasanya akan dibuat pada musim menuai padi,'' ujarnya.

Sungguhpun pelik namun penduduk sentiasa berhati-hati dalam menghasilkan ubi gadung supaya tidak tersilap.

Bagi penduduk di Baling ini ubi gadung turut sinonim dengan zaman Jepun kerana pada zaman itu penduduk turut bergantung kepada sumber tersebut kerana sekali diproses ubi tersebut boleh disimpan sebagai stok.

Ubi ini boleh dikomersialkan menjadi salah satu produk baru. Itulah hebatnya ubi gadung.

Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails