|
|
Ubi gadung bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat di negeri Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman memandangkan habitatnya sering ditemui di hutan.
Berdasarkan kajian saintifik, terdapat kandungan steroid yang tinggi dalam ubi ini berbentuk gula iaitu saponin.
Steroid merupakan sumber asli yang penting dalam penghasilan ubatan dan hormon manakala saponin juga bersifat antiagresif platlet iaitu boleh menghalang pengetulan (agresif) platlet di dalam darah.
Justeru, secara tidak langsung saponin dapat menghalang penyakit darah membeku dalam saluran trombosis.
Selain itu, negara-negara lain turut menanam ubi gadung untuk tujuan komersial kerana ekstrak ubi ini dipercayai boleh diproses menjadi pil pencegah kehamilan, hormon seks dan bahan kortison di samping dikatakan boleh membunuh siput perosak.
Di Mexico, ubi ini ditanam secara komersial untuk tujuan penghasilan steroid manakala di Kashmir pula ubi gadung digunakan untuk membasuh bulu biri-biri sebelum dijadikan pakaian atau barangan perhiasan bagi membunuh kutu dan serangga.
Pun begitu, disebabkan kesukaran membuang racun yang terdapat pada ubi berkenaan menyebabkan ubi gadung kurang dikomersialkan berbanding ubi kayu dan ubi keledek.
Bagaimanapun, cabaran tersebut disahut oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu bagi mengkomersialkan ubi tersebut sebagai makanan ruji masyarakat di negara ini.
Langkah UniSZA menjalankan penyelidikan menyeluruh tentang potensi tumbuhan ini ternyata menarik perhatian kerajaan negeri apabila satu memorandum persefahaman (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadung UnisZA dan kerajaan negeri ditandatangani baru-baru ini.
Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 2.2 juta kepada UniSZA yang akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh universiti itu untuk menjalankan kajian terhadap potensi ubi ini.
Penyelidikan bakal melibatkan 10 projek utama yang diterajui oleh 20 penyelidik terdiri daripada pensyarah, pelajar pasca siswazah dan pegawai sains dari universiti terbabit.
Kajian meliputi penyelidikan agronomi, etnobotani, morfologi, anatomi, taksonomi, germplasm, pembiakbakaan, penyaringan fitokimia, pencarian kimia seni, biopesticde, teknologi in-vitro, sifat antibakteria dan antiinflamasi, pengendalian lepas tuai, kejenteraan dan pengkomersialan.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Abd. Manaf Ali, bagi tujuan peringkat awal ini, pihaknya memulakan kajian terhadap bidang agronomi iaitu kaedah penghasilan tanaman ubi gadung secara produktif.
Katanya, selain itu, kajian turut ditumpukan dalam penyelidikan racun serangga kerana ubi berkenaan mempunyai ciri-ciri biopesticide yang baik iaitu berpotensi besar dalam menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.
"Mengikut kebiasaannya, ubi ini perlu direndam selama tiga hari dalam air yang mengalir iaitu seperti air sungai yang mana ia mengambil masa terlalu lama.
"Oleh itu, kita akan mengkaji secara mendalam tentang kaedah yang lebih baik menggunakan teknologi moden seperti membuat kajian untuk sekilogram ubi itu perlu melibatkan berapa banyak air dan berapa banyak toksin daripada ubi itu dapat dinyahkan.
"Selain itu, kita juga dalam usaha untuk menghasilkan tanaman ini dalam tempoh tiga hingga enam bulan sahaja melalui program penambahbaik benih dan kaedah penanaman sistematik," katanya.
Beliau berharap penyelidikan komprehensif yang dilakukan oleh UniSZA mampu merungkai khasiat sebenar yang terdapat di dalam ubi tersebut.
"Saya berharap dengan kajian ini dapat dimanfaat untuk diusahakan oleh rakyat luar bandar sebagai sumber pendapat yang baru," jelasnya.
Sumber:Utusan Malaysia