Monday, May 17, 2010

Agrobiodiversiti seimbang alam sekitar

SEMUA menyedari negara merupakan salah satu daripada 12 buah negara yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.

Kepelbagaian biologi pertanian atau agrobiodiversiti telah lama membekalkan manusia dengan makanan, bahan binaan dan tenaga.

Bagi memulihara agrobiodiversiti, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengumpulkan sumber genetik secara in situ dan ex situ.

Manakala pencirian, penilaian, eksploitasi dan penggunaan sumber genetik secara mapan giat dijalankan.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, MARDI, Dr. Salma Idris berkata, pengumpulan dan pemuliharaan agrobiodiversiti amat penting kerana ia memainkan peranan dalam ekonomi, teknologi dan sosial.

Misalnya agrobiodiversiti buah-buahan liar seperti kuini dan tampoi belum dimanfaatkan sepenuhnya.

"Biasanya kuini dikaitkan dengan rasa masam dan sabut tetapi pencirian sumber genetik dijalankan bagi mendapatkan varieti terbaik," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Pemuliharaan agrobiodiversiti amat penting dimanfaatkan secara lestari kerana sumber genetik negara sedang menghadapi masalah serius kerana

1. pembangunan pesat seperti pembalakan, pembukaan tanah pertanian dan pembinaan empangan

2. hakisan genetik tidak terkawal menyebabkan kehilangan spesies

3. penanaman varieti baru

"Eksploitasi sumber genetik mensasarkan spesies yang mempunyai nilai pemakanan tinggi.

"Manakala ekstrak terus sumber genetik boleh menghasilkan bahan kimia bagi pelbagai industri," katanya.

Pemilihan spesies sesuai boleh digunakan untuk seni taman, agropelancongan dan ekopelancongan.

Justeru MARDI telah membangunkan Gen Bank Biji Benih dan Bank Gen Ladang.

Bank Gen Biji Benih menyimpan biji benih padi dan sayuran di Stesen Seberang Perai yang beroperasi sejak 1980an.

Bank Gen Ladang pula mengumpulkan janaplasma buah-buahan komprehensif seperti durian, mangga, rambutan, cempedak serta buah-buahan eksotik.

Selain tanaman komprehensif dan eksotik terdapat 150 spesies buah-buahan nadir dan liar dipelihara bagi tujuan pembiakbakaan.

Dr. Salma berkata, usaha pengumpulan komprehensif dijalankan oleh MARDI dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sabah dan Jabatan Pertanian Sarawak bagi mengumpul sayuran tradisional dan varieti tempatan.

"Spesimen hidup dipelihara di Bank Gen Ladang di Serdang, Jerangau dan Seberang Perai manakala biji benih disimpan di Bank Gen Biji Benih di Seberang Perai dan simpanan jangka panjang di Serdang, Selangor.

Selain tanaman, agrobiodiversiti juga melibatkan fauna seperti makhluk perosak, musuh semulajadi serta cara menanganinya.

Dalam alam semulajadi, keseimbangan ekologi membolehkan mangsa serta pemangsa tinggal dalam keadaan harmoni.

Berbalik kepada keseimbangan ekologi, saintis menggunakan pendekatan kawalan biologi bagi mengawal populasi perosak.

Pegawai Penyelidik pusat yang sama, Dr. Mohamed Rani Mat Yusoh berkata, kawalan biologi merupakan kaedah mengawal makhluk perosak menggunakan musuh semulajadi.

"Agen biologi biasanya terdiri daripada parasitoid, pemangsa dan patogen, merupakan salah satu kaedah kawalan tertua dan paling berjaya mengurangkan populasi serangga perosak," katanya.

Pemuliharaan agen kawalan biologi merupakan tunggak utama dalam pengurusan perosak bersepadu (IPM) sejak 1950an.

Dr. Rani menambah tumbuhan ubatan seperti Tongkat Ali atau Eurycoma longifolia Jack merupakan tumbuhan ubatan yang digunakan secara meluas sebagai ubat tradisional.

"Permintaan tinggi menyebabkannya ditanam dalam skala besar bagi memastikan hasil berterusan," katanya.

Bagaimanapun penanaman monokultur menyebabkan masalah perosak seperti rama-rama harimau menyerang hampir 90 peratus ladang.

Kawalan kimia memberikan penyelesaian bersifat sementara manakala biopestisid mikrob lebih berkesan tetapi penggunaannya terhad.

Kini terdapat empat spesies serangga dan satu spesies agas dikenalpasti sebagai musuh semulajadi rama-rama harimau.

Sementara itu Pegawai Penyelidik di pusat yang sama, Siti Noor Aishikin Abdul Hamid berkata, selain musuh semulajadi pihaknya membangunkan biopestisid bagi mengawal serangga perosak.

Biopestisid merupakan pestisid yang menggunakan bahan semulajadi sebagai bahan utama.

"Terdapat enam jenis biopestisid iaitu berasaskan mikrobial, agriantibiotik, botanikal, biokimia musuh semulajadi dan tumbuhan yang dimasukkan gen pelindung atau organisma yang diubahsuai secara genetik," katanya.

Biopestisid lebih baik berbanding racun kimia kerana kurang toksik dan lebih selamat kerana bertindak ke atas perosak spesifik dan tidak membunuh organisma bermanfaat.

Bahan berkenaan juga bertindak dengan efektif walaupun dengan amaun sedikit, mudah terurai dan mengurangkan risiko pencemaran.

Dalam penyelidikan biopestisid, perkongsian dan pertukaran maklumat serta teknologi terkini amat penting.

Semua ini bakal dikumpulkan dan dibentangkan oleh penyelidik secara efektif semasa Persidangan Kebangsaan Kedua Pemuliharaan Agro-Biodiversiti dan Penggunaan Mampan yang diadakan di Tawau Sabah bermula 11 hingga 13 Mei ini.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang www.mardi.gov.my atau mendail 03-89437827/7572.
Sumber:utusan Malaysia

UMS hasilkan kerapu hibrid

Bidang akuakultur semakin penting sejajar dengan matlamat meningkatkan sumber makanan negara menerusi pertanian dan perikanan. Lebih menarik ia telah dikenal pasti menjadi sektor pengeluaran makanan yang paling pesat berkembang dengan kadar pertumbuhan 10 peratus setahun.

Peningkatan dalam permintaan makanan laut serta hasil tangkapan perikanan yang semakin berkurangan telah mendorong penerokaan bidang ini. Justeru, banyak pihak tampil menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan pengeluaran ikan sama ada secara langsung atau tidak langsung.Antara agensi yang terlibat dalam penyelidikan berkaitan akuakultur ialah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan akuakultur di institut tersebut bermula sejak tahun 1995, yang ketika itu hanya dikenali sebagai Unit Penyelidikan Marin Borneo sejurus selepas penubuhan UMS. Pada bulan Jun 2000, unit tersebut dinaik taraf menjadi sebuah pusat kecemerlangan dan dikenali sebagai IPMB.

Akuakultur merupakan bidang keutamaan IPMB. Ia didorong oleh permintaan makanan laut yang meningkat dan kepentingannya kepada ekonomi negara seperti yang terkandung dalam Dasar Pertanian Negara.

Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) institut terbabit, Dr. Sitti Raehanah Muhamad Shaleh, antara sumbangan terpenting IPMB kepada industri akuakultur negara ialah penyelidikan dan penghasilan ikan kerapu hibrid.

''Ikan kerapu menjadi keutamaan kerana kepentingan ekonomi dan terdapat jurang antara bekalan dan permintaan,''katanya..

Kata beliau, pengurusan induk adalah aspek yang paling penting dalam kajian penghibridan ikan kerapu.

Induk daripada dua spesies iaitu kerapu harimau dan kerapu gergasi dipelihara sehingga matang.

Bagaimanapun, pembiakan aruhan melalui penggunaan hormon HCG atau human chorionic gonadotropin juga dijalankan untuk mematangkan telur.

Hormon pada dos 500 IU/kg diberikan kepada induk betina melalui suntikan interperitoneal pada dasar sirip pektoral ikan.

Telur ikan kerapu harimau yang telah matang kemudian dikutip melalui kaedah pelurutan perut ikan.

Telur yang terkumpul di dalam mangkuk plastik kemudian disenyawakan dengan sperma daripada kerapu gergasi yang telah dikumpul lebih awal menggunakan alat pengumpul sperma yang khas.

Perkembangan telur yang tersenyawa akan dipantau sehinggalah menetas.

Larva ikan yang baru menetas akan dipelihara dengan teliti dengan memberikan makanan hidup seperti rotifer bermula dari hari ke-2 selepas menetas sehingga hari ke-20.

Artemia kemudian diberikan sehingga usia 45 hari selepas menetas dan diikuti dengan pemberian makanan rumusan (aqua feed) apabila telah mencapai peringkat juvenil.

Pemberian makanan rumusan seawal mungkin adalah penting untuk melatih anak-anak ikan untuk menerima makanan rumusan berbanding ikan baja khususnya apabila kelak dilepaskan ke dalam kolam-kolam atau sangkar-sangkar ternakan.

Hasil kacukan merupakan sasaran penyelidikan intensif untuk sebarang tanda-tanda heterosis (atau vigor hasil kacukan) iaitu keupayaan hasil kacukan untuk mengatasi sifat-sifat tertentu induk ikan.

Parameter yang menjadi tumpuan istimewa adalah tumbesaran, fleksibiliti pengadaptasian, kemandirian dan kematangan awal yang boleh membawa kelebihan dalam bidang akuakultur.

Bagaimanapun, disebabkan oleh mekanisme-mekanisme genetik yang kompleks dan interaksi rumit antara alam persekitaran dan gen-gen, satu kajian lanjutan diperlukan untuk menjawab persoalan mengenai kelebihan praktikal pengacukan ikan kerapu.

Kajian mengenai ciri-ciri morfologi menunjukkan bahawa hasil kacukan ini mempunyai sifat keturunan yang paling rapat dalam generasi pertama.

Namun, hasil kacukan tidak menunjukkan keseragaman antara satu sama lain.

Penanda molekular dihasilkan untuk penggunaan dalam kajian kepelbagaian populasi mengenai genotip induk ikan dan hasil kacukannya.

Hasil kacukan akan ditapis berdasarkan ujian-ujian kecergasan dan pembentukkan hubungan di antara ciri-ciri yang dikehendaki yang diwakili oleh fenotip dan penanda molekular yang mewakili genotip.

Pendekatan kajian yang dijalankan termasuklah pemencilan turutan DNA yang unik tanpa mengorbankan spesimen.

DNA diekstrak dari cebisan sirip, diperbanyakkan dengan menggunakan primer PCR multipleks diikuti dengan pengklonan dan PCR turutan amplikon. Penanda turutan telah disimpan ke dalam GenBank.
Sumber:Utusan Malaysia

Thursday, April 29, 2010

Potensi rebung madu


Adnan OSMAN: Rebung madu mempunyai keistimewaan tidak miang dan rasanya juga tidak pahit seperti rebung biasa.


Melentur buluh biarlah daripada rebung' adalah antara peribahasa yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu.

Ini menunjukkan betapa dekat dan prihatinnya masyarakat Melayu dengan alam sekitar seperti buluh dan rebung.

Buluh sememangnya mempunyai banyak kegunaan daripada landskap, bahan binaan rumah sehinggalah kepada perabot, sementara rebung pula enak dijadikan masakan gulai lemak cili padi.

Melihat kepada banyaknya kegunaan buluh dan rebung, Adnan Osman mula membawa pokok-pokok buluh dari China bagi perniagaan landskapnya.

Antara buluh yang dibawa masuk adalah buluh rebung madu yang mudah ditanam, sesuai untuk tanaman landskap serta rebungnya pula tidak miang seperti rebung biasa.

Mula membawa masuk buluh rebung madu pada tahun 2004, Adnan mengusahakannya di tanah seluas 100 hektar di Kedah.

"Saya memilih rebung madu kerana ia mudah diselenggarakan walaupun di tanah yang kering, berpasir mahupun lembap," katanya semasa ditemui di ladang rebung madunya di Projek Pertanian Moden Lanchang, Pahang.

Lawatan ke ladang rebung madu merupakan sebahagian daripada lawatan program Agrochallange Putrajaya-Pekan yang berlangsung baru-baru ini.

Pengurus Tunas Budi Sdn Bhd ini menyifatkan rebung madu yang ditanam amat istimewa kerana cepat membesar, tidak miang serta tidak pahit seperti rebung biasa.

"Buluhnya yang kecil, rumpunnya yang rapat serta tidak mempunyai miang menyebabkan ia sesuai ditanam di sekeliling rumah," katanya.

Ditanya mengenai pengendalian rebung madu, Adnan memberitahu, tidak sesukar mana kerana tanaman berkenaan tidak memerlukan air yang banyak.

"Malah pokok ini boleh hidup walaupun di kawasan yang ditambak dan kering mahu pun di tempat berpaya.

"Cuma apabila ditanam di kawasan yang agak basah, buluhnya akan tumbuh lebih besar," katanya yang memelihara itik sebagai produk sampingan ladangnya.

Jelas Adnan, tanaman buluh rebung madu hanya memerlukan kawasan yang tidak begitu besar kerana satu ekar boleh ditanam dengan 300 rumpun buluh.

Ini bermakna satu rumpun hanya memerlukan kawasan seluas 12 kaki x 12 kaki.

"Apa yang lebih menarik, jangka hayat buluh bukan hanya boleh mencapai sehingga beratus-ratus tahun tetapi mudah hidup dan boleh dituai dalam masa yang singkat," katanya.

Biasanya rebung akan membesar sebanyak enam inci sehari dan boleh dituai setiap dua hingga lima hari.

"Serumpun buluh biasanya boleh menghasilkan dua kilogram rebung sebulan dengan harga pasaran RM5 hingga RM7 sekilogram," katanya.

Adnan berkata, sehingga kini lebih 90 peratus rebung diimport terutamanya rebung kaleng.

"Buat masa ini tidak sampai 10 peratus rebung tempatan yang berada di pasaran tempatan dan bekalan tidak dapat menampung permintaan pelanggan," katanya.

Adnan yang sentiasa peka dengan aktiviti pemasaran telah mula mempelbagaikan industri hiliran bagi rebung madu.

Selain menjualnya secara segar untuk gulai, beliau juga memprosesnya dalam bentuk jeruk untuk dimakan sebagai kudapan.

"Jeruk rebung madu memang mendapat sambutan yang amat menggalakkan kerana rasanya yang lemak manis.

"Jeruk ini diproses tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet," katanya yang bercadang untuk mengkomersialkannya dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun bagi merealisasikan impiannya, Adnan perlukan bekalan rebung madu yang mencukupi.

Justeru bagi mengatasi masalah berkenaan, Tunas Budi Sdn Bhd telah mengadakan pusat jualan serta latihan bagi menanam rebung madu.

"Kami menyediakan pakej menanam rebung madu bermula dengan kaedah menanam, penjagaan, cara menuai sehingga memproses kepada sesiapa yang berminat.

"Kami juga memberikan pilihan sama ada mereka menjual rebung kepada kami atau memasarkannya sendiri," katanya.

Dengan ini, penanam tidak perlu terikat dengan syarikatnya bagi tujuan pemasaran dan mereka boleh membuat pilihan sendiri.

Berkonsepkan agro pelancongan, Adnan juga menyediakan kemudahan penginapan calet bagi peserta yang berminat mengikuti kursus tanaman rebung madu di ladangnya.

"Ini bagi membolehkan peserta merasai pengalaman bagaimana mengendalikan tanaman rebung madu secara hands-on," katanya.

Kursus dibahagikan kepada dua pakej iaitu pakej satu hanya meliputi tanaman dan tuaian dan kedua tanaman, tuaian dan pemprosesan jeruk.

Adnan berkata, selesai kursus peserta boleh membeli rumpun buluh untuk ditanam sendiri dengan harga yang berpatutan di ladangnya.

Pembaca yang ingin maklumat lanjut mengenai tanaman rebung madu boleh menghubungi Adnan di 016-4935395, 013-9180248 atau e-mel: nanbamboo@yahoo.com

Sumber:utusan malaysia

Monday, April 19, 2010

Pelik tapi benar: Pisang mendongak langit


MOHD. Shahrin Amri Mohd. Noh menunjukkan pokok pisang emas di Taman Ara Batu Berendam Melaka, semalam.


MELAKA - Biasanya pokok pisang mengeluarkan jantung dan berbuah pada tandan di bahagian pucuk atau di celah pelepah selain buahnya pula menunduk ke bumi. Namun seorang jurutera, Mohd. Shahrin Amri Mohd. Noh, 35, terkejut apabila mendapati pokok pisang di belakang rumahnya tidak memiliki sifat tersebut.

Sebaliknya, pokok pisang emas yang ditanamnya sejak dua tahun lalu mengeluarkan buah yang mendongak ke langit seolah-olah tangan yang sedang berdoa.

Katanya, keunikan itu disedari isterinya, Halimah Sulaiman, 32, sewaktu membersihkan kawasan belakang rumah mereka di Taman Ara Indah, Batu Berendam Sabtu lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, setandan buah pisang yang unik itu muncul pada bahagian tengah batang pokok tersebut yang mempunyai ketinggian kira-kira tiga meter.

Tandan pisang yang mengeluarkan buah kira-kira 50 biji itu pula mendongak ke langit.

Mohd. Shahrin berkata, dia tidak berhasrat untuk menikmati buah pisang itu kerana takut dengan kejadian pelik tersebut yang mungkin memudaratkan jika dimakan.

"Saya akan biarkan sampai ia masak sehingga mati sendiri," katanya.

Sumber:utusan malaysia

Cabaran usahawan mi


Norlaile Jalaludin mengira bekalan mi dan kuetiau sebelum di hantar kepada pemborong.


JIKA diberi peluang menjengah ke kilang memproses mi dan kuetiau, anda pastinya akan teruja menyaksikan keunikan produk makanan itu disediakan.

Selama ini kita hanya melihat ia dijual di pasar secara mentah selain disediakan dalam bentuk yang telah di masak sama ada goreng atau berkuah.

Baru-baru ini, sekumpulan wartawan dan jurugambar dari beberapa organisasi media tempatan telah dibawa oleh Agrobank melawat kilang memproses makanan itu di Kampung Bendang Panjang, Perak.

Bercerita dengan pemilik kilang, Norlaile Jalaludin, 40, dia amat bersyukur kerana akhirnya berjaya membangunkan syarikat perniagaan yang diberi nama Bendang Panjang Enterprise setelah melalui pelbagai cabaran.

Bermula sebagai peniaga mi dan kuetiau goreng di pasar malam sekitar Kuala Kangsar, Perak, idea untuk menghasilkan bahan mentah sendiri timbul pada tahun 2003.

''Ketika saya berniaga di pasar malam, ramai pelanggan yang bertanya tentang dari mana saya memperoleh sumber mi dan kuetiau.

''Ini kerana, mereka ingin mendapatkan kepastian supaya makanan yang dibeli datang dari sumber yang baik dan halal.

''Bermula dari situ, saya mencadangkan kepada suami untuk cuba memproses sendiri mi dan kuetiau mentah,'' jelas ibu kepada enam anak itu.

Nasib menyebelahi Norlaile apabila abang iparnya telah memperkenalkan dia dengan seorang pengusaha kuetiau dari Kelantan.

Bagi memenuhi hasratnya, dia tidak melepaskan peluang keemasan itu dengan berkunjung sendiri ke Kelantan dan berjumpa dengan pengusaha tersebut.

Selama seminggu, dia menuntut ilmu serta mempelajari teknik yang betul dalam proses membuat mi dan kuetiau.

Lanjutan daripada itu, dengan modal RM45,000 hasil duit simpanannya, Norlaile telah membeli lima mesin memproses mi untuk memulakan perusahaan.

Pada peringkat awal, dia hanya menyewa di tapak industri kecil dan sederhana (IKS) di Lubuk Merbau, Perak selama tiga tahun.

Menjelang tahun 2004, Norlaile telah membuat pinjaman daripada Mara sebanyak RM150,000 untuk membeli beberapa peralatan tambahan termasuk mesin memproses kuetiau.

Walaupun sibuk dengan perusahaan berkenaan, namun dia dan suami Sanit Kimi, 49 masih meneruskan perniagaan di pasar malam.

Ketika itu, dia memperoleh sumber mi sebanyak 300 kilogram (kg) dan kuetiau (300 kg) dari pengusaha di Pulau Pinang yang dihantar kepadanya setiap dua hari sekali.

Tidak semudah yang disangka, selama hampir dua tahun beroperasi , dia berhadapan kesukaran dalam proses pembuatan yang tidak menjadi di samping menanggung kos yang tinggi.

''Pada peringkat awal, saya gunakan tujuh guni tepung sehari bagi menyediakan mi dan kuetiau. Bayangkan, lebih sebahagian daripadanya tidak boleh digunakan kerana adunan tidak menjadi.

''Keadaan itu memang memeritkan kerana tiada langsung untung ketika itu.

''Selain kos bahan mentah seperti tepung dan minyak, saya juga perlu menanggung kos bahan api diesel sebanyak RM250 sebulan untuk tujuan menghidupkan mesin pembakar,'' jelasnya yang ketika ini mempunyai 10 kakitangan untuk membantu proses di kilang.

Tahun demi tahun, dia semakin mahir dalam aktiviti tersebut dan hari ini, dianggarkan sebanyak 30 guni tepung bersamaan 1,500 kg diperlukan untuk membuat mee dan 1500 kg lagi untuk kuetiau.

Pada tahun 2005 pula, dia telah menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian untuk membina bangunan kilang dan stor simpanan di Kampung Bendang Panjang, Perak.

Tahun 2009 pula menyaksikan penerimaan pinjaman oleh pihak Agrobank bernilai RM50,000.

''Dana itu saya gunakan untuk membeli beberapa mesin tambahan seperti mesin pembungkus bagi melicinkan lagi operasi di kilang,'' katanya.

Melihat daripada sudut pasaran, produk mi dan kuetiau di bawah penjenamaan An-Nur itu kini diedarkan ke beberapa lokasi sekitar Perak.

Antaranya seperti Gopeng, Teluk Intan, Gerik, Bagan Serai, Ipoh, Taiping dan Kuala Kangsar.

''Selain dijual kepada pemborong, kami juga mengedarkan produk-produk ini ke pasar-pasar utama di sini.

''Kami turut menerima permintaan daripad a pemborong di Selangor. Di samping itu, kami juga berharap produk ini dapat dijual ke pasar raya besar suatu hari nanti,'' kata Norlaile.

Bagi tujuan penghantaran, syarikatnya mempunyai tiga orang pemandu supaya bekalan tiba tepat pada waktu yang dijanjikan.

Kesemua produk mi dan kuetiau di pek dalam bungkusan plastik dengan pilihan berat setengah kg, satu kg dan dua kg mengikut permintaan.

Berdasarkan harga pula, produk makanan itu dijual pada harga berbeza mengikut lokasi iaitu sekitar RM1 untuk setengah kg dan RM2 untuk satu kg.

Ketika ditanya mengenai cabaran lain yang dihadapinya, Norlaile memberitahu, dia perlu bersaing dengan beberapa pengusaha bukan bumiputera dari segi ruang pasaran dan juga harga.

Masalah lain yang dihadapi adalah seperti aktiviti penyelenggaraan mesin dan kelengkapan secara berkala.

''Jika mesin-mesin ini menghadapi masalah, kita terpaksa mencari jalan alternatif dengan mengambil bekalan daripada pengusaha lain bagi memenuhi permintaan sedia ada,'' jelasnya lagi.

Beliau yang menjadikan suami dan adik-beradik sebagai pendorong turut bercadang melengkapkan kilangnya dengan mesin moden dan berteknologi tinggi seperti mesin pembungkus automatik pada masa depan.

Ia bertujuan meningkatkan pengeluaran produknya di samping memenuhi kualiti seperti yang diinginkan pengguna.

Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails