Monday, April 19, 2010

Hasil benih kelah terbaik


KETUA Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub melepaskan benih ikan kelah yang berjaya di hasilkan di PPA di Perlok sungai Kuala Serau, Lipis, Pahang.


IKAN kelah bukan sahaja terkenal kerana keenakan rasa dagingnya yang mempunyai tekstur yang halus malah ia sangat kuat melawan sekiranya terkena mata pancing.

Justeru, kombinasi semangat juangnya yang tinggi apabila terkena mata kail serta isinya yang sedap menjadikannya buruan kaki pancing dan peminat ikan air tawar.

Akibat tekanan penangkapan yang melampau dan permintaan yang tinggi di pasaran ia kini diancam kepupusan.

Dikenali sebagai 'King of the River', kelah merupakan ikan yang hanya dijumpai di Asia seperti di India, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Terdapat lebih daripada 19 spesies kelah yang terdapat di dunia dan di Malaysia hanya terdapat tiga spesies.

Kebanyakan ikan kelah yang dijumpai di Malaysia ialah kelah merah.

Menurut Ketua Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Jabatan Perikanan Pahang, Muhamad Hatta Mahmud, habitat semula jadi ikan kelah adalah di hulu sungai yang lebih 500 meter dari paras laut.

''Secara logiknya, ikan kelah adalah ikan yang lasak dan lincah berenang kerana ia hidup di celah-celah batu yang mempunyai air yang laju.

''Ikan kelah ini boleh membesar sehingga lebih daripada 50 kilogram (kg) dan dikenali kerana memiliki bibir dan mulut yang besar," katanya ketika ditemui pemberita di pusat tersebut.

Selain itu, ikan kelah mempunyai garisan lateral (tengah) yang jelas dilihat di tengah-tengah bahagian badan dan juga mempunyai sisik yang besar dan cantik.

Jumlah sisik di bahagian garisan lateral (tengah) ikan dewasa kebiasaannya adalah antara 20 hingga 30 keping.

Ikan kelah juga mempunyai beberapa sirip seperti pektoral, pelvik, dorsal, anal dan sirip kaudal (ekor).

Perbezaan ikan kelah dengan ikan lain ialah ia mempunyai lebihan daging di bawah dagunya.

Ikan kelah betina bertelur sepanjang tahun dan mengeluarkan telur pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di sekitar kawasan sungai.

Kebiasaannya ia akan mengeluarkan telur secara sedikit-sedikit mengikut kematangan telur berbanding dengan ikan lain yang mengeluarkan telur secara sekali gus.

Ujar Mohamad Hatta, induk kelah yang diperoleh kini merupakan generasi kedua (F2) selepas kejayaan pertama pembenihan ikan tersebut.

Selain menghasilkan benih kelah PPA Perlok ini juga turut menghasilkan benih ikan lampam sungai, baung, keli dan patin.

PPA Perlok turut menerima tempahan daripada orang perseorangan mahu pun mana-mana syarikat untuk melakukan proses pembenihan ikan menurut permintaan.

Diwujudkan sejak tahun 1998, PPA Perlok secara rasminya dibuka pada tahun 2000 dan berkeluasan 110 ekar.

Kelebihan

Apa yang menjadi kelebihan kawasan PPA Perlok ini adalah kerana mudah untuk mendapatkan punca air semulajadi yang bersih.

Sehingga kini, PPA Perlok telah menghasilkan ribuan anak benih ikan air tawar untuk menampung keperluan ke seluruh negara.

Selain itu, anak benih ikan air tawar tersebut juga telah dilepaskan di sungai-sungai sekitar Pahang bagi tujuan meningkatkan sumber perikanan di negeri itu.

Dengan itu, ia mampu mengelakkan sumber ikan di sungai yang amat bernilai, pupus kerana pelbagai faktor antaranya masalah pencemaran, penggunaan tanpa kawalan atau pembiakan semula jadi yang tidak memberangsangkan.

Sumber:utusan malaysia

Betik Piola ke pasaran dunia


Pengendalian betik Piola menggunakan kaedah yang sistematik bagi memastikan kesegarannya.


ISI yang manis, berjus dan boleh dimakan dengan mudah merupakan ciri unik dan istimewa Betik Piola keluaran Malaysian Agrifood Corporation (MAFC).

Keistimewaan itu juga menjadikan ia ikon negara kerana pasarannya bukan setakat di Malaysia tetapi telah sampai ke London, United Kingdom.

Malah ia turut mengangkat daerah Lanchang di Pahang sebagai Lembah Betik Negara.

Malah orang ramai yang membeli betik di tepi-tepi jalan atau di pasaraya mungkin tidak sedar bahawa buah yang sama di eksport ke luar negara.

Ia membuktikan sektor pertanian di negara ini berkembang pesat dan mampu menjana pendapatan bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada negara.

Satu ketika dahulu betik jenis Subang dan Batu Arang mendapat sambutan. Tetapi saiz kedua-dua jenis itu agak besar.

Sebaliknya kini orang ramai lebih suka betik daripada jenis Solo dan Eksotika yang lebih kecil dan mudah dihidangkan.

Naib Presiden Kanan, Unit Perniagaan Lanchang, MAFC, Dr. Baharuddin Abdul Ghani berkata, ekoran minat orang ramai terhadap betik bersaiz kecil, pihak mereka telah menjalankan penyelididikan dan pembangunannya (R&D). Hasil mereka berjaya menghasilkan betik sendiri.

Betik baru yang dihasilkan daripada jenis Carica frangi itu ditanam di Lanchang dan dipasarkan dengan nama - Piola.

Baharuddin memberitahu, MAFC mempunyai ladang betik seluas 200 hektar di Lanchang, Pahang dengan 60 hektar ladang kontrak di sekitarnya.

"Pihak kami merancang untuk menambahkan keluasan ladang sehingga 1,000 hektar dengan 30 peratus ladang MAFC manakala selebihnya ladang kontrak," katanya semasa ditemui selepas sesi taklimat kepada peserta Agrochallange Putrajaya Pekan 2010 di Lanchang, Pahang.

Betik yang dihasilkan MAFC kebanyakannya bagi memenuhi permintaan antarabangsa seperti Hong Kong, Asia Barat, Eropah dan China.

Malah katanya, semasa dipamerkan di Berlin, Jerman, betik Piola mendapat sambutan menggalakkan dan memperoleh antara 10 tempat teratas.

Sebab itu kata Baharuddin, lebih 40 peratus betik yang ditanam di ladang MAFC dieksport. Yang selebihnya untuk pasaran tempatan.

"Kami menjangka pengeluaran betik yang lebih banyak bagi memenuhi permintaan eksport apabila beberapa syarikat berminat bekerjasama dengan bertindak sebagai ladang kontrak.

"Buat masa ini kami bekerjasama dengan beberapa pihak seperti Felda, PSK Vega, usahawan serta pekebun kecil di Taman Pengeluaran Kekal Makanan (TKPM), Lanchang," katanya.

MAFC yang mula beroperasi pada tahun 2007 memilih tanaman betik memandangkan ia berpotensi dibangunkan sebagai tanaman tropika. Lagi pun negara ini tidak mempunyai ikon tanaman yang boleh diketengahkan.

Justeru MAFC, jelas Baharuddin melihat betik yang mendapat sambutan negara luar berpotensi untuk dikembangkan.

"Betik Piola berupaya dimajukan memandangkan MAFC mempunyai rangkaian bekalan dan pengurusan yang sempurna daripada penghasilan benih, penanaman, tuaian sehingga kepada meja makan.

"Malah syarikat atau pekebun kecil yang terlibat dalam ladang kontrak akan diberikan biji benih, diajar teknik menanam, diberikan khidmat nasihat teknikal bagi mencapai piawai yang ditetapkan," katanya.

Pusat Pengumpulan MAFC di Lanchang pula katanya, berupaya menguruskan sehingga 80 tan betik dalam masa lapan jam.

Baharuddin berkata, betik mengambil masa 30 bulan untuk satu kitaran dan akan mula berbuah selepas sembilan bulan dan akan terus dituai selama 21 bulan.

Mengenai proses pengendalian betik selepas tuai, katanya, betik yang dituai dan dihantar ke pusat pemprosesan dipilih secara manual sebelum dibersihkan menggunakan air paip yang mengalir.

"Ini bagi memastikan tiada bahan kotoran atau bendasing melekat pada permukaan buah," katanya.

Selepas itu buah berkenaan dibasuh sekali lagi dengan air yang ditambah dengan larutan klorin pada kepekatan 200 bahagian per sejuta.

Kemudian buah disejukkan pada suhu 15 darjah Celsius (C) bagi memastikan ia segar.

Buah itu kemudiannya dimasukkan dalam air yang mengandungi racun kulat selama 10 minit bagi membunuh kulat.

Kemudian dimasukkan semula ke dalam air biasa sebelum dibungkus dan dihantar kepada pengguna.

"Buat masa ini pusat pengumpulan kami berupaya mengendalikan sehingga 80 tan betik sehari bagi tempoh lapan jam.

"Kapasiti berkenaan mungkin akan ditingkatkan apabila ladang-ladang kontrak mula mengeluarkan hasil," katanya.

Apa menarik, betik Piola boleh telah mendapat pengiktirafan Skim Amalan Ladang Malaysia (SALM) dan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Sumber:utusan Malaysia

Sunday, March 28, 2010

Keghairahan Jamal Abdillah kepada ikan arowana


MInat Jamal Abdillah kepada arowana mendorong beliau memeliharanya dalam akuarium.


"SAMPAI bila saya nak menyanyi?," soal Jamal Ubaidillah Ali atau Jamal Abdillah apabila ditanya mengapa dia menceburi ternakan ikan kelisa atau arowana, satu industri akuakultur bernilai tinggi.

Jamal membayangkan dia tidak mungkin menyanyi seumur hidup untuk menampung hidup meskipun kerjaya seni itu menjadikannya popular.

Dalam usia mencecah awal 50-an, sesuatu perlu dilakukan dan ternakan ikan menjadi pilihan memandangkan minatnya sudah lama di situ.

Jamal berterus terang bahawa minatnya dalam ternakan ikan telah berputik secara sekian lama.

Pada awal 1993 , dia membuka kedai haiwan peliharaan termasuk ikan akuarium di Kelana Jaya berniaga selama dua tahun sebelum menjualnya kerana kesibukan.

Namun, meskipun tidak lagi mengusahakan perniagaa kedai peliharaan, dia masih memelihara ikan sebagai satu daripada hobi.

Malah, kerana minatnya yang mendalam kepada ikan aroawana, dia mempunyai akuarium sendiri yang menempatkan ikan kesayangannya itu.

Jamal berkata, jiwanya begitu tenang melihat ikan berenang damai dalam akuarium.

Katanya, setiap kali kembali daripada konsert atau aktiviti luar, dia akan terus 'menyapa' ikan arowana yang dipelihara dalam akuarium.

Ikan tersebut seakan menjadi penawar kepada jiwa resahnya. Barangkali dengan kesibukan, Jamal kelihatan lebih tenang dan damai memberi makanan cengkerik di dalam akuarium tersebut.

Apatah lagi melihat ikan arowana yang mempunyai pelbagai warna menarik dan berkilauan menjadikannya teruja dan sangat menyeronokkan.

Tidak cukup dengan itu, Jamal mengorak langkah lebih jauh dengan menceburi ternakan ikan bernilai tinggi itu dengan melabur kira-kira RM360,000.

Pelaburan tersebut membolehkannya memiliki 20 ekor ikan kelisa super red di samping 20 ekor spesies Malaysia Gold.

Bayangkan seekor ikan bernilai kira-kira RM5, 000 bagi induk matang dan setipa ikan diletakkan cip sebagai pengenalan.

''Harapan saya mahu menjadikannya sumber yang menguntungkan boleh mencapai keuntungan RM1 juta jika semuanya berjalan dengan baik,'' katanya.

Pelaburan itu dibuat selepas menerima pakej yang ditawarkan oleh Bukit Merah Aquaculture Sdn. Bhd. pada tahun lepas.

Ladang ternakan ikan arowana tersebut terletak di Simpang Empat, Semanggol, Perak.

Syarikat tersebut ditubuhkan sangat tepat pada masanya Malaysia memberi keutamaan kepada ternakan ikan arowana dan Bukit Merah merupakan kawasan yang sesuai untuk ternakan dan menjadi tempat asal habitat ikan arowana di negara ini.

Ternakan ikan arowana ini telah mula dijalankan di atas tanah seluas 34 ekar semenjak 2003 dan sejumlah 400 buah kolam telah dibangunkan untuk tujuan ternakan ikan arowana jenis merah dan emas.

Menurut pemilik ladang, Ahmad Don yang juga Pengarah Urusannya, ladang beliau berupaya untuk mengeluarkan 10,000 ekor anak ikan berukuran antara tujuh dan lapan sm setiap tahun.

Pasaran utama anak-anak ikan ini adalah untuk eksport ke negara seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.

Ladang ini telah memperolehi sijil CITES yang membolehkannya menjalankan perdagangan ikan arowana ke pasaran antarabangsa.

''Saya membuka kepada pelabur menyerrai program ini dengan harapan mereka mendapat keuntungan dengan menawarkan spesies Malaysia Gold,'' katanya.

Spesies ini mendatangkan margin keuntungan lebih berbanding spesies lain.

Pakej yang ditawarkan melibatkan 20 ekor spesies Malaysian Gold bernilai RM50,000 dengan ikatan kontrak selama tujuh tahun.

Pelabur mempunyai pilihan sama ada membayar makanan ternakan sendiri selama tempoh dua tahun setengah atau 30 bulan bernilai RM2,000 sebulan atau RM60,000 selama tempoh tersebut.

Oleh itu katanya, selama tempoh ternakan 30 bulan itu, jumlah kos yang diperlukan ialah RM100,000 tetapi pelabur boleh memperoleh RM300,000 selepas itu

Pada masa sama, anak ikan yang dihasilkan di bahagi dua antara pelabur dengan syarikat BMA.

Menurut Ahmad, beliau kini mempunyai lebih 400 pelabur dengan 80 peratus merupakan bumiputera.

Bukit Merah Aquaculture Sdn. Bhd. boleh dihubungi di talian 05-8905997, emel: info@bmaquaculture.com atau layari www.bmaquaculture.com.

Keuntungan lumayan ternak arowana


Ismail Ali bangga menunjukkan ikan arowana gold.


EMAS berenang dengan warna yang pelbagai dan dianggap membawa tuah. Mungkin itu kata-kata paling tepat menggambarkan bagaimana ikan arowana terlalu berharga.

Sebab itu, industri ini semakin menarik minat mereka yang berkemampuan untuk melabur, kerana melihat potensinya yang boleh menjana keuntungan lumayan.

Sebab itu, banyak syarikat telah menceburkan untuk membuat pelaburan sama ada sebagai perniagaan teras atau cabang perniagaan, dan jumlahnya semakin meningkat terutama di kawasan Bukit Merah.

Bagi Happy Arowana Farm, keluasan kawasan yang mencecah 200 hektar (500 ekar) itu sewajarnya dimanfaatkan sebagai kawasan pertumbuhan industri ternakan ikan arowana.

Apatah lagi menurut pemiliknya Ismail Ali, 33, kira-kira 90 peratus kawasan tersebut telah diwartakan sebagai ladang ternakan ikan tersebut.

"Kawasan ini terkenal sebagai pusat ternakan ikan kelisa kerana kesesuaian airnya dengan pH antara 6.8 dan 7.4 dari tasik berhampiran,'' katanya sambil menjelaskan kesemua kawasan ternakan pada asalnya merupakan bendang sawah.

Ismail, anak jati Alor Pungsu, berhampiran kawasan Bukit Merah menceritakan, penglibatannya sebenarnya bertitik tolak daripada pengalamannya sejak kecil iaitu pada 1987 yang sering mencari ikan di Sungai Kerian.

Sehinggalah pada tahun lepas, dia menyambung minatnya meskipun terlibat dengan beberapa pekerjaan lain.

Ismail memberitahu, dia bermula secara serius setelah mengambil kira potensi industri tersebut yang berpotensi dikembangkan dan menjana usahawan tempatan.

Selepas berusaha dengan modal permulaan RM80,000 dengan berniaga menjual induk ikan kelisa, Ismail mengorak langkah lebih jauh untuk mengembangkan lagi projek ternakannya.

Katanya, ikan arowana bagaikan emas berenang dan membiak untuk menjana pendapatan. Dalam tempoh lima bulan sahaja terlibat dalam perdagangan induk, dia mampu menjana pendapatan lumayan

"Satu ketika saya mengalami kerugian kerana masalah yang tidak dijangka tetapi tidak mematahkan semangat,'' katanya.

Dia membuka kolam ternakan dan menawarkan kepada mereka yang berminat untuk melabur, dan pada masa sama masih menjual induk ikan.

Pakej yang ditawarkannya tidak begitu membebankan iaitu seorang pelabur ditawarkan induk ikan arowana emas (Malaysia Gold atau spsies lain seperti high back dengan 20 induk setiap satu pakej.

Ketika ini, syarikat berkenaan menawarkan 30 buah kolam atau 30 pakej manakala fasa kedua akan menyusul yang menawarkan 70 buah kolam.

Setiap pakej menawarkan kontrak lima tahun dengan penyelenggaraan dan makanan dibiayai oleh syarikat.

Kata Ismail, hasil anak akan dipawah 50 peratus untuk syarikat dan 50 peratus lagi untuk pelabur

"Ketika ini saya menguruskan kolam yang bernilai RM4 juta," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan dapat membantu terutama dalam memberi insentif memajukan industri tersebut, khususnya dalam bidang penyelidikan atau pembiakbakaan.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, mana-mana pengusaha yang berminat menjalankan penyelidikan boleh memohon di bawah geran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan berkaitan,

"Mereka perlu mengadakan kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan termasuk universiti untuk tujuan ini,''katanya.

Ikan arowana katanya merupakan komoditi yang unik terutama Malaysian Gold kerana ia satu-satunya spesies di dunia.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak mengenai tiga komoditi di beri tumpuan menjadikannya industri yang semakin popular.

"Potensinya memang besar sebab itu ramai yang menyatakan minat melabur tetapi kita (Jabatan Perikanan) menasihati mereka supaya berhati-hati dengan tawaran pakej pelaburan yang tidak meyakinkan,'' katanya.

Junaidi berkata, akan ada pihak mengambil kesempatan menipu orang awam dengan menawarkan pakej menerusi seminar sedangkan mereka mungkin tidak memiliki kolam sekali pun.

"Tawaran pakej BMA (Bukit Merah Aquaculture) memang baik sebab mereka ada ladang dan kolam,'' katanya.

Beliau mengingatkan demikian kerana ada kes pengusaha rumpai laut yang menipu pelanggan dengan menawarkan pakej tetapi sebaliknya tidak wujud sedangkan ada peserta telah melabur.

Info

Taksonomi Arowana

Kelas: Pisces

Order Clupeiformes

Suborder Osteoglossoidei

Famili Osteoglossidae

Genus : Scleropages sp.

Spesies: Scleropages formosus

Berdasarkan pengkelasan ini ikan dalam famili Osteoglossidae dikatakan merupakan kumpulan ikan air tawar mempunyai ciri ikan primitif. Ini berdasarkan kepada fosil yang telah ditemui dimana asal usul arowana telah wujud pada zaman kewujudan dinosour di zaman karbon kira-kira 360 juta tahun dahulu.

Antara spesies ikan air tawar lain yang terkandung dalam famili ini termasuklah

l Arapaima gigas iaitu sejenis ikan air tawar yang terbesar dan arowana perak (silver), Osteoglossum bicirrhosum dan O. ferreirai yang berasal dari Amerika Selatan.

l Arowana mutiara (Scleropages leichardtii) dan arowana hitam (Scleropages jardinii) yang berasal dari Australia juga tergolong dalam famili Osteoglossidae.

l Heterotis niloticus boleh ditemui dai bahagian barat Afrika dan Sungai Nil

Jenis arowana

Pada asalnya Arowana Asia (Scleropages formosus) terbahagi kepada tiga varieti utama iaitu Arowana Emas, Arowana Merah dan Arowana Hijau.

Arowana Emas

Terdapat dua varieti iaitu varieti emas Malaysia dan emas Indonesia.

Arowana Emas Malaysia merupakan jenis yang terbaik dan cantik berbanding varieti Indonesia.

Melalui pembiakan dalam kurungan pelbagai varieti seperti blue base gold dan high back gold telah dihasilkan. Jenis albino merupakan jenis arowana emas yang paling jarang ditemui di pasaran.

Arowana Merah

Arowana Merah berasal dari Kalimantan, Indonesia tetapi ia telah dihasilkan secara intensif di ladang arowana tempatan.

Arowana Hijau

Arowana Hijau merupakan jenis yang paling meluas taburannya di negara kita..

Sumber:Utusan Malaysia

PPPAT Glami Lemi fokus kajian arowana


Ternakan ikan arowana di Bukit Merah sangat popular di kalangan pengeksport.- Gambar hiasan


BERDASARKAN laporan Jabatan Perikanan, industri ikan hiasan Malaysia telah berkembang dengan pesat.

Ini berdasarkan statistik anggaran tahun 2008 bahawa pengeluaran dari industri ikan hiasan adalah 733 juta ekor ikan.

Ini bersamaan dengan nilai RM759 juta dan ini merupakan peningkatan sebanyak 31.4 peratus (pengeluaran) dan 17.3 peratus (nilai pengeluaran) jika berbanding dengan tahun 2007.

Dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) sehingga tahun ini , ikan hiasan telah di kenal pasti sebagai salah satu komoditi dan bidang usaha yang diberi keutamaan.

Salah satu spesies ikan hiasan utama negara adalah ikan arowana (Scleropages formosus) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti industri ikan arowana sebagai salah satu industri bernilai tinggi.

Bagi memastikan pembangunan industri ikan arowana yang berterusan, Jabatan Perikanan telah mengadakan satu Pelan Pengurusan Pemuliharaan Ikan Arowana di Tasik Bukit Merah supaya habitat asal ikan arowana ini dapat dipulihara.

Di negara ini, Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) merupakan sebuah pusat penyelidikan di bawah Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan.

PPPAT yang terletak kira- kira 15 kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, PPPAT Glami Lemi yang dahulunya beroperasi di Batu Berendam Melaka mula beroperasi di Titi, Jelebu Negeri Sembilan mulai awal tahun 2007.

Fungsi utama PPPAT ini ialah menjalankan pelbagai kajian dalam bidang akuakultur termasuklah;

lMenjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang akuakultur dan perikanan air tawar

lMengkaji, mengumpul dan menyebarkan maklumat yang berkaitan.

lMemelihara perhubungan dan kerjasama penyelidikan dengan lain-lain sektor perikanan dan organisasi

Objekitif PPPAT

lMewujudkan teknologi yang sesuai untuk pembiakan dan ternakan ikan makan dan ikan hiasan air tawar

lMewujudkan pengurusan perikanan yang rasional dan akuakultur mapan persekitaran

lMenjadi pusat rujukan dan perkhidmatan pakar

lMeningkatkan keupayaan teknikal penternak dan kakitangan jabatan melalui latihan dll.

lMeningkatkan hasil keseluruhan ikan yang berkualiti di dalam negara

lPemuliharaan biodiversiti hidupan akuatik

Untuk mencapai objektif tersebut PPPAT Glami Lemi menjalankan aktiviti penyelidikan dalam bidang bioteknologi molekul dan penentuan foligenetik ikan air tawar.

Dalam bidang bioteknologi enzim, penyelidikan ditumpukan untuk menyaring mikro organisma yang boleh berupaya mereputkan komponen-komponen tumbuhan yang tidak dapat dihadam oleh ikan.

Dalam bidang pembiakan ikan, PPPAT mencari kaedah pembiakan terkini serta menghasilkan induk, benih dan baka berkualiti.

PPPAT juga menjalankan kajian ternakan untuk pelbagai spesies ikan air tawar serta merancang program pemilihan genetik ikan untuk menambah produktiviti ternakan ikan.

Selain itu, ia penting dalam bagi mewujudkan kaedah pengurusan perikanan yang rasional dan amalan akuakultur yang mapan kepada persekitaran bagi perairan tertutup. Juga sebagai tempat rujukan dan perkhidmatan pengembangan di dalam bidang perikanan darat seluruh negara.

Ia juga menyimpan inventori spesies ikan di perairan darat Malaysia dan memulihara biodiversiti hidupan air.

Pasaran ikan arowana tertumpu kepada eksport.

Negara eksport utama ialah Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.

Sumber:Utusan MAlaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails