Friday, March 19, 2010

GBBS bantu penjual buah tingkat hasil

RAWANG 16 Mac - Pendekatan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mewujudkan program Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) dianggap sebagai satu langkah yang bijak.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Selayang, Abdul Shukur Idrus berkata, program berkenaan dilihat telah berjaya membantu meningkatkan taraf hidup pengusaha buah-buahan berkenaan.

"Fokus utama program ini ialah untuk membangunkan usahawan buah-buahan runcit yang lebih teratur dan seragam.

"Bantuan yang diberikan oleh FAMA adalah dalam bentuk gerai, kanopi, rak jualan yang menggunakan warna menarik dan bahan promosi.

"Tinjauan saya mendapati gerai buah-buahan ini nampak lebih kemas, sistematik dan kaedah peragaan yang lebih seragam.

"Ia dilihat mampu menarik perhatian orang ramai untuk datang membeli buah di sini," katanya kepada pemberita di sini.

Utusan Malaysia difahamkan kanopi yang berharga RM15,000 yang disediakan itu turut mampu untuk mengurangkan bahang panas matahari.

Ini sekali gus dapat memelihara kesegaran buah dan tidak cepat rosak.

Sementara itu, Pengarah FAMA Selangor, Rohizad Ridzwan berkata, program GBBS itu telah dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

"Setakat ini, seramai 11 orang peniaga telah mendapat bantuan seperti ini.

"Pemilihan mereka bukanlah dibuat secara rawak, sebaliknya berdasarkan kriteria-kriteria tertentu seperti berpengalaman menjual buah sekurang-kurangnya setahun.

"Paling penting, mereka telah mendapat kebenaran dari pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk berniaga di tapak berkenaan," katanya lagi.

Sementara itu, peniaga yang ditemui, Abdul Wahab Zapar Zakaria menyatakan rasa syukurnya kerana menerima bantuan daripada FAMA.

"Terima kasih kepada FAMA, kerajaan dan MPS kerana memberi peluang untuk kami berniaga di sini.

"Malah kedudukannya yang strategik di tepi jalan dan kawasan yang luas untuk meletak kenderaan menyebabkan perniagaan saya bertambah maju," kata Abdul Wahab lagi.

Hasil jualan 11 usahawan berkenaan dilaporkan mencecah RM4 juta tahun lalu.

Utusan Malaysia

GenKimo baja teknologi hijau


Dr. Ramli Mohd. Noor bangga dengan kejayaannya menghasilkan GenKimo di Serdang, baru-baru ini.


Penggunaan pelbagai jenis racun dalam pertanian menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.

Justeru penggunaannya perlu dihadkan dan digantikan dengan pelbagai mikroorganisma bermanfaat (IMO).

Selain menggantikan racun serangga, IMO boleh digunakan dalam proses penapaian sisa tanaman industri bagi makanan ternakan.

Hasil daripada silaj berkenaan bukan saja boleh digunakan bagi makanan ternakan tetapi juga sebagai baja sekali gus menghalau serangga dan mengurangkan bau busuk.

Justeru penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian menghasilkan silaj makanan ternakan menggunakan IMO.

Mendapat pendidikan di Jepun, Pegawai Penyelidik Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Dr. Ramli Mohd Noor menjalankan pelbagai kajian mengenai makanan ternakan.

Bermula sebagai kajian sampingan, akhirnya Ramli berjaya menghasilkan silaj makanan ternakan menggunakan IMO tempatan.

Produk yang dinamakan GenKimo dalam bahasa Jepun bermaksud mikroorganisma setempat yang sihat.

"GenKimo merupakan sejenis produk probiotik yang mengandungi mikroorganisma hidup yang terdiri daripada bakteria kecil satu sel.

"Ini termasuk lactobacillus, yis dan bakteria fotosintetik," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Produk GenKimo dihasilkan melalui proses penapaian dan pemencilan secara semulajadi yang menggunakan 100 peratus bahan organik tempatan.

Dr. Ramli berkata, teknologi GenKimo berasal daripada Korea menggunakan hanya tumbuhan dan mikrob serta boleh diklasifikasikan sebagai produk halal.

Menggunakan bakteria berfaedah, enzim dan asid organik, GenKimo dapat membantu meningkatkan kesihatan dalam ternakan, kualiti persekitaran, daya tumbesaran tumbuhan dan ketahanan terhadap penyakit.

penapaian nutrien asli

"GenKimo bermula dengan pemprosesan silaj bagi memaksimumkan penapaian nutrien asli yang ada dalam tanaman foraj (daun) atau sisa industri pertanian.

"Silaj merupakan proses bagi menyimpan makanan ternakan dalam tempoh tertentu," katanya.

Secara asasnya, penapaian silaj berlaku secara biasa di bawah keadaan anerobik (tanpa oksigen) dengan kehadiran bakteria yang ada pada tanaman.

Bagaimanapun dalam bidang bioteknologi bilangan inokulan silaj atau bahan tambahan silaj akan ditambah bagi meningkatkan nutrien dan tenaga dalam silaj.

Bagi pelbagai aplikasi, Ramli menghasilkan tiga jenis GenKimo iaitu GenKimo 1 bagi penternakan dan tanaman, GenKimo-bio bagi makanan ternakan dan GenKimo-composeed.

GenKimo-1 bagi ternakan dalam bentuk cecair pribiotik bagi minuman ternakan.

Hanya setitik diperlukan dalam minuman ternakan bagi mengurangkan bau, merawat bahagian dalaman, meningkatkan pencernaan, mengurangkan penyakit dan meningkatkan suhu semasa musim hujan.

"Kajian di ladang-ladang ternakan ruminan yang menggunakan GenKimo mendapati kadar kematian adalah rendah berbanding yang tidak menggunakannya," katanya.

GenKimo-1 untuk tanaman pula menggunakan konsep persekitaran hutan yang subur dengan mengumpulkan mikrob berguna dari sana.

Ramli berkata, aktiviti mikrob di hutan yang subur menghasilkan enzim dan asid amino yang baik untuk pereputan dan penghadaman serta meningkatkan bilangan mikrob berguna.

"Mikrob berguna ini amat baik untuk menghalang dan merencatkan bakteria jahat," katanya.

GenKimo-1 untuk tanaman amat sesuai bagi menggalakkan percambahan, tumbesaran, penghasilan dan keranuman produk tanaman.

Selain itu produk ini juga dapat meningkatkan keupayaan proses fotosintesis tanaman serta menukar bahan organik kepada baja dengan cepat.

Produk berkenaan juga berupaya menambah daya ketahanan tumbuhan terhadap serangan serangga dan penyakit serta mampu memulih dan menambah baik keadaan fizikal, kimia dan biologi tanah.

Ramli berkata, GenKimo-bio pula merupakan makanan aditif (tambahan) ternakan yang mengandungi bahan pribiotik dan enzim.

"Produk yang kos efektif ini, boleh digunakan dengan selamat kerana tidak mengandungi bahan toksik.

"Ia juga berupaya meningkatkan metabolik asas, tahap kesihatan, menjamin peningkatan berat badan harian serta kecekapan kadar pertukaran makanan," katanya.

GenKimo-bio juga dapat mengurangkan bau busuk, kos rawatan dan stres pada ternakan.

Produk GenKimo-composeed atau baja dalam bentuk serbuk mengandungi koloni bakteria terpilih pengurai bahan organik dan pengaktif mikrobial tanah.

Dr. Ramli berkata, produk berkenaan mampu menghasilkan baja organik bermutu tinggi serta mengekalkan mikrob efektif yang mampu memperbaiki kerosakan dan mengembalikan kesuburan fizikal, kimia dan biologi tanah.

"GenKimo-composeed juga mampu merangsang pertumbuhan yang baik serta meningkatkan daya ketahanan penyakit.

"Menyegarkan tanah dan memperbaiki agregat tanah," katanya.

Produk berkenaan mampu dikomersialkan memandangkan ia memenangi pelbagai anugerah dalam dan luar negara seperti di Pingat Emas semasa BioMalaysia 2008 dan Pingat Perak semasa SITF 2009 di Seoul, Korea Selatan.

Sumber:Utusan Malaysia

Pasar tani platform pemasaran


pASAR TANI mEGA YANG SEMAKIN POPULAR TERDAPAT DI BANYAK LOKASI DI SELURUH NEGARA.


SELEPAS kira-kira 25 tahun diperkenalkan, konsep pasar tani ternyata menjadi satu saluran penting kepada petani, nelayan dan pengusaha kecil menambah pendapatan masing-masing .

Malah keberkesanan kaedah pemasaran produk secara langsung tanpa orang tengah ini turut peluang kepada petani dalam mempertingkatkan lagi pendapatan mereka.

Selain itu, bukan sekadar menguntungkan para peniaga semata-mata tetapi juga turut memberi kesan positif kepada pembeli kerana dapat menikmati barangan yang segar pada harga yang sederhana.

Di bandar yang serba moden ini, mana hendak dicari petai, jering, pucuk ubi dan pelbagai jenis ulam? jika bukan di pasar tani. Begitu juga kerepek, keropok, produk berasaskan herba, rempah ratus, akuakultur dan ternakan, malahan anak pokok dan aksesori taman.

Semua itu, hanya boleh didapati di pasar tani yang sememangnya menawarkan barangan tersebut dalam keadaan segar dan juga harga yang sederhana.

Pengalaman pertama ke Pasar Tani Mega Setiawangsa menyaksikan kemeriahan membeli belah pelbagai keperluan daripada makanan mentah, makanan yang telah dimasak, buah-buahan segar, pokok bunga dan sebagainya.

Pendek kata, semua keperluan kini semuanya boleh didapati di pasar tani.

Pengerusi Pasar Tani Mega, Setiawangsa Abdul Wahid Ibrahim berkata, pasar tani yang dibuka pada sejak Mac 1995, ini asalnya hanya mempunyai seramai 20 orang peniaga dan tapak gerai peniaga sahaja.

Bagaimanapun, setelah enam bulan dibuka, jumlah peniaga telah bertambah, malah kini peningkatan bilangan peniaga telah bertambah sehingga 100 tapak gerai peniaga.

"Para peniaga di sini adalah peniaga tempatan, jadi mereka pasarkan barangan produk sendiri yang sememangnya dijamin segar.

"Dengan ada pasar tani, kami mengharapkan ia boleh menjadikan sebagai satu pusat sehenti kepada orang ramai yang boleh menyediakan segala keperluan kepada orang di kawasan ini,'' ujarnya ketika ditemui sempena pelancaran sambutan 25 tahun pasar tani di peringkat tapak di Pasar Tani Setiawangsa baru-baru ini.

Katanya, objektif sebenar penubuhan pasar tani adalah untuk memberi pendedahan kepada para pengusaha memasarkan produk masing-masing.

Selain itu, ia sebagai pendedahan kepada pengusaha akan proses pemasaran dan meluaskan pasaran pada pelbagai peringkat.

Dalam masa sama juga, pasar tani turut berperanan untuk menyediakan barangan segar kepada pembeli tanpa menggunakan orang tengah dengan harga yang murah.

Menyingkap sejarah perkembangannya, penubuhan pasar tani tercetus setelah menerima aduan pengguna bahawa harga produk pertanian, termasuk makanan, yang dipasarkan di bandar terlalu mahal berbanding tempat-tempat lain.

Berikutan itu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengadakan perbincangan dengan persatuan pengguna bagi mencari jalan penyelesaian.

Masalah itu kemudian mendapat perhatian kerajaan sehingga mendorong menyediakan peruntukan sejumlah wang dan satu kawasan lapang untuk dijadikan tapak sementara membolehkan petani memasarkan sendiri hasil mereka.

Maka lahirlah pasar tani pertama negara ini di Kuantan pada tahun 1984 walaupun pelancaran rasmi konsep pasar tani itu berlangsung di sekitar Rumah Sejuk Beku FAMA di Johor Bahru pada 31 Januari 1985.

Struktur awal pasar tani yang diperkenalkan itu cukup mudah.

Dengan hanya payung besar berwarna hijau putih dan meja yang boleh dilipat, ia beroperasi setiap Sabtu di kawasan lapang yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa tempatan.

Sebenarnya berpandu kepada konsep pekan sehari yang beroperasi dari pagi hingga ke petang di kebanyakan pekan kecil di seluruh negara.

Sumber:Utusan Malaysia

Wednesday, March 17, 2010

Bio Green 2020 revolusi baja

Pertanian adalah perniagaan. Slogan ini sememangnya ada kebenarannya kerana bidang pertanian pasti menjanjikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Malaysia mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi justeru permintaan terhadap produk makanan juga adalah amat tinggi.

Hal demikian memaksa negara mengimport sumber makanan seperti beras, buah-buahan, ikan dan daging dari negara luar.

Namun, jika setiap warga negara ini mempunyai kesedaran untuk menghasilkan produk makanan sendiri mungkin kebergantungan terhadap negara luar dapat dikurangkan.

Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk menarik minat rakyat untuk menceburi bidang pertanian.

Jika usaha demikian berjaya maka ia pasti dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan meningkatkan kadar ekonomi serta taraf hidup rakyat.

Seruan kerajaan tersebut segera disambut oleh rakyat, maka pelbagai projek pertanian dilaksanakan namun malangnya hasil yang diperolehi tidak begitu memuaskan.

Maka banyak projek yang terpaksa ditutup berikutan petani terpaksa menanggung kerugian dan modal pusingan yang tidak mencukupi kerana hasil yang diperolehi tidak menguntungkan.

Menyedari hakikat tersebut, syarikat Agro Marin Sdn. Bhd. hadir dengan idea dan produk yang mampu membuatkan mana-mana petani tersenyum lebar melihat hasil mereka.

Dikenali sebagai Bio Green 2020, produk ini merupakan sebatian baja cecair yang diperkaya dengan bahan organik seperti aloe vera, asid humik, asid amino dan ektrak rumpai laut.

Menurut Pengurus Besar Agro Marin, Sharifuddin Abu Samah, Bio Green berfungsi seperti baja yang sedia ada di pasaran tetapi ia memiliki kelebihan berlipat kali ganda berbanding baja biasa.

"Bio Green 2020 dirumus khas sebagai baja seimbang yang lengkap dengan unsur-unsur makro dan mikro (makanan- makanan lengkap bagi tumbuhan).

"Ia juga terbukti sesuai untuk pelbagai jenis tanaman seperti padi, tanaman landskap, buah-buahan, sayur-sayuran, rumput Turf, kelapa sawit, getah, koko, tembakau dan tanaman suhu sederhana seperti epal, strawberi serta ceri," katanya.

Melalui formula gabungan bahan- bahan 'chelated', Bio Green memastikan kesediaan nutrien kepada tanaman secara maksimum tanpa pembaziran.

Ia juga boleh digunakan untuk sistem titis dan fertigasi yang sesuai untuk tanah berpasir dan tanah bermasalah.

Dirumus dari sumber bahan bergred tinggi (AR Grade) menjadikannya baja cecair yang unik, bermutu tinggi di pasaran.

Cara untuk mengendalikannya juga amat mudah, hanya perlu dicampurkan air dengan kadar sukatan yang betul kemudian disemburkan kepada bahagian tertentu tumbuhan.

"Contohnya jika kita menanam sayur- sayuran, hanya perlu disembur pada daun manakala untuk pokok buah-buahan disembur terus kepada buah.

"Jika pada pokok yang mengeluarkan hasil daripada batang seperti getah hanya sembur pada pangkalnya," ujar Sharifudin.

Apa yang lebih menarik produk ini boleh disembur bersama-sama racun serangga tanpa ada tindak balas akibat percampuran kedua-dua bahan tersebut.

Kini para petani boleh tersenyum lebar dan tidur lena kerana kos pembajaan dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.

Bio Green juga mampu meningkatkan hasil tanaman antara 30 dan 50 peratus dan konsisten pada setiap musim.

Jika petani menggunakan baja biasa (baja biji) ia akan memakan masa untuk diserap dan kadang kala nutrien yang dibekalkan tidak dapat diserap sepenuhnya oleh tanaman.

Berbanding baja ini, ia boleh diserap dalam masa tiga hingga empat jam sahaja berbanding baja bijian yang memakan masa berhari-hari.

Jelas Sharifudin, baja bijian biasanya memiliki 25 peratus sahaja nutrien atau baja dan selebihnya adalah bahan pengikat yang terdiri daripada tanah liat atau bahan lain.

Bio Green juga menggalakkan pengeluaran bunga dan pembesaran buah di samping menjadikan daun berkilat, bunga lambat gugur dan warna kelopak bunga lebih terang.

Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi pejabat Agro Marin Sdn. Bhd. di talian 03-60920716 atau boleh layari blog syarikat tersebut di http://biogreen2020.blogspot.com.

Sumber:Utusan Malaysia

Sisa arang batu hasilkan baja berkualiti

Tanah yang kurang subur memerlukan bahan perapi untuk membantu meningkatkan kesuburan.

Penghasilan baja organik daripada pelbagai bahan sisa pertanian memerlukan bahan mentah yang banyak untuk menghasilkannya.

Manakala penggunaan baja kimia pula akan menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

Bagaimanapun kini terdapat kaedah menghasilkan asid nitro humik (NHA) menggunakan kaedah kitar semula HNO3 yang dijalankan oleh penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Kajian yang dijalankan oleh Pegawai Penyelidik, Program Pengurusan Air dan Tanah, Pusat Penyelidikan Strategik, Muhammad Syahren Adzahar berjaya menghasilkan menghasilkan NHA untuk digunakan dalam formula baja.

"Teknologi pengekstrakan NHA yang berjaya dihasilkan amat berkesan, konsisten, mesra alam dan boleh dihasilkan dalam skala besar menggunakan kaedah nitrifikasi arang batu jenis sub bitumin yang berkualiti rendah.

"Arang batu jenis ini tidak sesuai digunakan untuk penjanaan tenaga kerana kandungan karbon yang rendah kurang daripada 50 peratus selain membebaskan gas sulfur yang mencemarkan alam sekitar," katanya semasa ditemui di pejabatnya di ibu pejabat MARDI, Serdang, Selangor.

Praktikal

Apa yang menarik proses pengekstrakannya tidak membebaskan sebarang sisa toksik kerana bahan HNO3 yang digunakan dapat dikitar semula tanpa memberikan kesan ketara dari segi peratus hasil ekstrak dan sifat NHA yang dihasilkan.

Oleh itu jelas Muhammad Syahren, kos melupuskan NHO3 yang tinggi serta pencemaran hasil proses pelupusan dapat diselesaikan dengan teknologi kitar semula bagi menghasilkan NHA.

Menyentuh mengenai kelebihan teknologi yang dihasilkan, Muhammad Syahren berkata, ia sangat efektif dan praktikal.

"Teknologi berkenaan amat praktikal kerana menggunakan bahan buangan arang batu bagi menghasilkan NHA yang berkualiti dan amat diperlukan dalam sektor pertanian," katanya.

Hasil pengekstrakan NHA mencecah 80 peratus membuka ruang untuk menggantikan sumber asid humik sebagai bahan penting dalam menghasilkan baja.

Dari segi komersial, teknologi pengekstrakan berkenaan dapat memenuhi keperluan asid humik di negara ini sekali gus mengurangkan import baja negara terutama dari China, Australia dan Amerika Syarikat (AS) sebanyak 20,000 liter setahun dalam bentuk cecair dan 30,000 tan dalam bentuk pepejal.

Muhammad Syahren berkata, produk booster tanaman berasaskan NHA berbeza dari baja cecair biasa kerana ia mensasarkan tahap kritikal pertumbuhan tanaman.

"Kajian yang dijalankan menunjukkan baja yang diformulasi daripada NHA dapat memberikan kesan terbaik dalam meningkatkan prestasinya," katanya.

Secara amnya NHA boleh digunakan dalam menghasilkan formulasi baja foliar bagi memenuhi keperluan spesifik sesuatu tanaman seperti padi, cili dan tomato.

Bagi menguji formulasi baja NHA, satu percubaan tanaman padi secara kawalan dan komersial telah dijalankan secara meluas.

Hasilnya menunjukkan peningkatan hasil yang konsisten sebanyak satu tan sehektar bagi aplikasi enam liter di kawasan yang sama bagi dua kali semusim.

Semburan pertama dilakukan apabila muncul tanda pembungaan dan sekali lagi selepas 10 hari semburan pertama bagi mendapatkan aplikasi pembungaan pokok padi.

Dengan nisbah keuntungan 1:2.9 merupakan peningkatan hasil padi bagi peningkatan peratusan pengisian bijirin sebanyak 15 peratus kepada 75 peratus di tapak ujian petani.

Formulasi bagi tanaman cili pula, kata Muhammad Syahren meningkat 15 peratus bagi hasil kawalan 3.5 kg sepokok.

Kekerapan semburan bagi pokok cili adalah sebulan sekali setelah dipindahkan dari tapak semaian.

"Menggunakan baja formulasi NHA, petani dijangka mendapat nisbah keuntungan sebanyak 1:3 bagi jualan ladang RM3.00 bagi sekilogram cili," katanya.

Muhammad Syahren berharap teknologi yang dihasilkan dan digunakan secara komersial mampu membantu negara mengurangkan nilai import.

"NHA diramal akan menjadi pengganti HA (asid humik) sebagai input dalam pengeluaran produk baja kerana ciri biokimianya yang sama seperti HA.

"HA telah digunakan dengan meluas sebagai ejen pengikat dalam formulasi baja cecair serta bahan penambah dalam sebatian baja," katanya.

HA memang terkenal dengan fungsinya dalam meningkatkan kesuburan tanah, menggalakkan pengambilan nutrien tanaman, meningkatkan aktiviti biologi tanah dan keupayaan kapasiti memegang air oleh tanah.

Dianggarkan saiz potensi pasaran produk NHA booster (baja foliar) mencecah 17 juta liter setahun.

Manakala nilai potensi pasaran baja NHA dalam bentuk butiran (granular) pula mampu mencecah RM bilion melalui pasaran baja butiran di seluruh negara.

Baja yang telah dikomersilkan dengan kerjasama syarikat input pertanian terkenal CCM Fertilizers Sdn Bhd dalam membangunkan kilang perintis di Shah Alam, Selangor.

Buat masa ini syarikat berkenaan mengeluarkan formulasi bagi tanaman padi Gromax padi bagi mengatasi masalah padi hampa dan meningkatkan pengisian bijirin padi.

Muhammad Syahren berkata, sehingga kini sambutan bagi formulasi padi amat menggalakkan di kalangan petani.

Teknologi berkenaan bukan saja mendapat perhatian syarikat input pertanian di negara ini malah mendapat Pingat Emas semasa Pameran Brussels Eureka dan Brussels Innova Energy pada 2007 di Belgium bagi Kategori Pertanian Baja NHA.

Pada bulan November lalu, teknologi berkenaan sekali lagi mendapat perhatian apabila berjaya mendapat Pingat Emas dalam kategori Teknologi Pengekstrakan Kimia Industri semasa Pameran Idea Invention New Products di Nuremberg, Jerman.
Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails