|
|
SELEPAS kira-kira 25 tahun diperkenalkan, konsep pasar tani ternyata menjadi satu saluran penting kepada petani, nelayan dan pengusaha kecil menambah pendapatan masing-masing .
Malah keberkesanan kaedah pemasaran produk secara langsung tanpa orang tengah ini turut peluang kepada petani dalam mempertingkatkan lagi pendapatan mereka.
Selain itu, bukan sekadar menguntungkan para peniaga semata-mata tetapi juga turut memberi kesan positif kepada pembeli kerana dapat menikmati barangan yang segar pada harga yang sederhana.
Di bandar yang serba moden ini, mana hendak dicari petai, jering, pucuk ubi dan pelbagai jenis ulam? jika bukan di pasar tani. Begitu juga kerepek, keropok, produk berasaskan herba, rempah ratus, akuakultur dan ternakan, malahan anak pokok dan aksesori taman.
Semua itu, hanya boleh didapati di pasar tani yang sememangnya menawarkan barangan tersebut dalam keadaan segar dan juga harga yang sederhana.
Pengalaman pertama ke Pasar Tani Mega Setiawangsa menyaksikan kemeriahan membeli belah pelbagai keperluan daripada makanan mentah, makanan yang telah dimasak, buah-buahan segar, pokok bunga dan sebagainya.
Pendek kata, semua keperluan kini semuanya boleh didapati di pasar tani.
Pengerusi Pasar Tani Mega, Setiawangsa Abdul Wahid Ibrahim berkata, pasar tani yang dibuka pada sejak Mac 1995, ini asalnya hanya mempunyai seramai 20 orang peniaga dan tapak gerai peniaga sahaja.
Bagaimanapun, setelah enam bulan dibuka, jumlah peniaga telah bertambah, malah kini peningkatan bilangan peniaga telah bertambah sehingga 100 tapak gerai peniaga.
"Para peniaga di sini adalah peniaga tempatan, jadi mereka pasarkan barangan produk sendiri yang sememangnya dijamin segar.
"Dengan ada pasar tani, kami mengharapkan ia boleh menjadikan sebagai satu pusat sehenti kepada orang ramai yang boleh menyediakan segala keperluan kepada orang di kawasan ini,'' ujarnya ketika ditemui sempena pelancaran sambutan 25 tahun pasar tani di peringkat tapak di Pasar Tani Setiawangsa baru-baru ini.
Katanya, objektif sebenar penubuhan pasar tani adalah untuk memberi pendedahan kepada para pengusaha memasarkan produk masing-masing.
Selain itu, ia sebagai pendedahan kepada pengusaha akan proses pemasaran dan meluaskan pasaran pada pelbagai peringkat.
Dalam masa sama juga, pasar tani turut berperanan untuk menyediakan barangan segar kepada pembeli tanpa menggunakan orang tengah dengan harga yang murah.
Menyingkap sejarah perkembangannya, penubuhan pasar tani tercetus setelah menerima aduan pengguna bahawa harga produk pertanian, termasuk makanan, yang dipasarkan di bandar terlalu mahal berbanding tempat-tempat lain.
Berikutan itu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengadakan perbincangan dengan persatuan pengguna bagi mencari jalan penyelesaian.
Masalah itu kemudian mendapat perhatian kerajaan sehingga mendorong menyediakan peruntukan sejumlah wang dan satu kawasan lapang untuk dijadikan tapak sementara membolehkan petani memasarkan sendiri hasil mereka.
Maka lahirlah pasar tani pertama negara ini di Kuantan pada tahun 1984 walaupun pelancaran rasmi konsep pasar tani itu berlangsung di sekitar Rumah Sejuk Beku FAMA di Johor Bahru pada 31 Januari 1985.
Struktur awal pasar tani yang diperkenalkan itu cukup mudah.
Dengan hanya payung besar berwarna hijau putih dan meja yang boleh dilipat, ia beroperasi setiap Sabtu di kawasan lapang yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa tempatan.
Sebenarnya berpandu kepada konsep pekan sehari yang beroperasi dari pagi hingga ke petang di kebanyakan pekan kecil di seluruh negara.
Sumber:Utusan Malaysia