Tuesday, November 3, 2009

Sabah&Sarawak: Kayu gaharu jadi buruan


KAYU gaharu bernilai tinggi jadi buruan pemburu.

Sikap tamak raih untung jual 'pokok emas' punca hutan simpan diceroboh

TUARAN: Didorong sifat tamak ingin mengejar kekayaan secara mudah, pemburu pokok gaharu di daerah ini semakin rakus mencerobohi hutan simpan, perkuburan dan tanah penduduk untuk menebang pokok diistilahkan sebagai 'pokok emas' itu.

Tanpa mempedulikan siapa pemilik tanah dan implikasi tindakan itu terhadap alam sekitar, pemburu gaharu menumbangkan sebanyak mungkin `pokok emas' di hutan simpan ratusan tahun yang tidak pernah diusik di Lama'as, Penimbawan, Rigi, Suaman, Saradan, Betutai, Topokon dan Tenghilan.


Bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa atau pemilik tanah, mereka dipercayai memasang `kaki' yang sesetengahnya di kalangan penduduk kampung sendiri yang dipercayai memperoleh upah agak lumayan.

Kayu yang dipotong pula tidak diangkut melalui jalan darat, sebaliknya dibawa menggunakan bot di celah hutan bakau bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Tidak sukar untuk mereka memasarkan `pokok emas' itu kerana dipercayai sudah ada tauke membelinya pada harga yang dipersetujui sebelum pokok ditebang.

PEMBELI kayu gaharu meneliti kayu dibekalkan pemburu.

Harga tinggi ditawarkan pembeli, dipercayai mendorong ramai pemburu pokok gaharu sanggup merosakkan hutan semata-mata untuk mendapatkannya bagi membina kekayaan.

Mengulas mengenai kegiatan tidak bertanggungjawab itu, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Tuaran, Mohd Faiz Azman, mendakwa apabila pokok yang ditebang itu didapati bukan pokok gaharu, mereka meninggalkannya begitu saja.

"Itu perbuatan tidak bertanggungjawab. Mereka sanggup menceroboh hutan simpan dan memusnahkan sumber alam semula jadi.

"Jika kegiatan itu tidak dibanteras segera, saya bimbang lambat laun hutan simpan, perkuburan dan tanah di daerah ini akan musnah semata-mata akibat kerakusan pemburu gaharu," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Beliau yang mendakwa menerima banyak rungutan penduduk, hutan di kampung mereka dicerobohi pemburu gaharu yang bertindak licik, mencadangkan operasi besar-besaran dijalankan Jabatan Perhutanan Sabah bagi menanganinya.

Mohd Faiz mendakwa, orang tengah yang membeli pokok gaharu dipercayai berselindung di sebalik perniagaan menjual benih gaharu untuk mengelirukan pihak berkuasa.

"Mereka dipercayai bertindak demikian apabila pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan. Keadaan itu bertambah buruk kerana tiada usaha menanam semula pokok gaharu yang ditebang sewenang-wenangnya.

"Ia menyebabkan negara kita tidak mampu mengeksport gaharu yang mendapat permintaan tinggi di Timur Tengah, Taiwan dan Jepun," katanya.

Sementara itu, pengusaha ladang benih gaharu di Kampung Betutai, di sini, Rajimit Gunong, 49, mendakwa beliau membeli pokok gaharu daripada pihak tertentu hingga kadang kala mampu mengumpulkan lebih 30 tan kayu gaharu sehari.

"Saya membeli pokok gaharu sudah dipotong kepada saiz kecil daripada penduduk Penimbawan, di daerah ini, selain Kelawat, di Kota Belud, Kota Marudu dan Paitan.

"Bagaimanapun, saya tidak pernah tanya dari mana mereka mendapat kayu gaharu itu," katanya.

Beliau mendakwa, kayu berkenaan dihantar ke sebuah kilang di Pantai Timur Sabah.

Rajimit yang mengusahakan ladang gaharu sejak dua tahun lalu, mendakwa mempunyai 100,000 benih gaharu berkualiti tinggi yang diimport dari Thailand.

Antaranya, gaharu buaya, gaharu bakau, gaharu putih, gaharu berdaun bulat dan gaharu berdaun panjang yang berkualiti tinggi untuk diproses menjadi minyak wangi, ubat gosok, colok dan kemenyan manakala pokok gaharu spesis Aquilaria Malaccencis adalah yang paling bernilai.

Sehubungan itu, usaha berterusan Jabatan Perhutanan Sabah menangani masalah itu harus segera dilaksanakan bagi memastikan sumber alam semula jadi di daerah ini atau daerah lain tidak terus musnah akibat kerakusan pemburu gaharu.

Nilai eksport tebu segar dijangka meningkat

PUTRAJAYA: Nilai eksport tebu segar dijangka meningkat berikutan penemuan kaedah baru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) terhadap pengendaliannya yang membolehkan bahan itu bertahan selama sebulan berbanding seminggu ketika ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata kaedah itu turut membabitkan peningkatan kualiti kebersihan sehingga membolehkan ia bertahan selama empat minggu selepas dibungkus sekali gus bakal meningkatkan jumlah eksport ke Singapura, Asia Barat dan Eropah.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung kejayaan Mardi yang diiktiraf di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi British (BIS) kesembilan di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalannya, Datuk Johari Baharum.

Perlis kecewa PPB jual ladang tebu



LADANG tebu milik PPB di Chuping, Perlis menyediakan peluang kerja kepada penduduk tempatan.

Penjualan kepada Felda kejutkan kerajaan negeri

KANGAR: Perlis kecewa dengan tindakan PPB Group Bhd (PPB) yang dianggap sengaja membelakangkan kerajaan negeri dengan menjual aset ladang tebu di Chuping kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Rasa kecewa dan terkilan itu disuarakan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, yang juga penasihat kepada Menteri Besar Perlis, berikutan tindakan PPB yang langsung tidak mengambil kira kepentingan kerajaan negeri.


Bagi Radzi, penjualan aset seluas 5,797 hektar di Chuping itu adalah suatu yang perlu dipersoalkan, terutama dengan kedudukan PPB yang sememangnya menyedari kepentingan kerajaan negeri terhadap ladang berkenaan.

Beliau berkata, PPB sewajarnya menyuarakan tawaran penjualan aset berkenaan kepada kerajaan negeri terlebih dulu, sebelum membuka rundingan dengan mana-mana pihak termasuk Felda.

"Ini tidak, tiba-tiba saja berita penjualan aset ladang tebu di Chuping kepada Felda tersiar di akhbar dan ia jelas sekali mengejutkan banyak pihak terutama kami (kerajaan negeri).

"Malah, dengan harga RM45 juta ditawarkan, kami (kerajaan negeri) sendiri mampu mengambil alih ladang berkenaan melalui pinjaman bank, untuk memastikan kesinambungan projek masa depan Perlis," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Difahamkan, PPB yang dikuasai Tan Sri Robert Kuok, dijangka menjual aset ladang tebu seluas 5,797 hektar di Chuping kepada Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dengan nilai RM45 juta.

Selain itu, dua lagi aset milik PPB iaitu Malayan Sugar Manufacturing Co Bhd (MSM) dan Kilang Gula Felda Perlis (KGFP) akan turut dijual kepada syarikat sama dengan nilai urus niaga keseluruhan RM1.29 bilion.

Mengenai harga RM45 juta yang ditawarkan, Radzi berkata, kerajaan negeri dijangka tidak berdepan masalah mendapatkan pinjaman, demi memastikan aset berkenaan terus kekal.

"Ladang tebu Chuping amat penting dan sinonim dengan Perlis. Selain bertindak sebagai tarikan pelancongan, ia turut menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 300 penduduk tempatan, sejak sekian lama," katanya.

Difahamkan, ladang tebu Chuping sebelum ini memiliki keluasan mencecah 10,000 hektar, di mana setiap separuh daripadanya dimiliki masing-masing oleh PPB dan juga Felda.

Sumber:Berita Harian

Monday, October 19, 2009

Lembu Korban 2009

1.Lembu korban jenis Brahman /Brahman Cross
Umur • 2 Tahun
Anggaran Berat • 260kg -300kg
Kawalan Kesihatan • Suntikan Vaksin
Harga Jualan • RM1700 dan RM1800
Transport : RM900/lori/15-17 ekor hingga Lembah Klang
Stok sudah ada 280 ekor, di Pusat kuarantin Padang Besar.

2. Lembu Kampung/Kedah-Kelantan(KK)
Berat: 200kg-250kg
Harga :RM1600-1700
Agen Jualan diperlukan dan berminat , hubungi talian 019-2272127 untuk maklumat lanjut.Selagi masih ada.

Friday, October 16, 2009

Pokok kercut dijadikan kertas


Norhayati Abdullah dengan dibantu anak tirinya Adam, gigih mengusahakan produk kraf tangan menggunakan pokok rumput air kercut yang tumbuh liar di Tasek Chini. Gambar kecil, kertas yang dihasilkan daripada pokok kercut. - BERNAMA


PEKAN - Anak Orang Asli sering dikaitkan dengan kemunduran. Wanita Orang Asli yang berkahwin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam pula sering dikaitkan dengan dua masalah iaitu kemiskinan dan keruntuhan rumah tangga.

Bagi membuktikan tanggapan itu tidak sesuai pada masa kini, anak jati Kampung Gumum, sebuah perkampungan Orang Asli suku kaum Jakun, kira-kira 75km dari bandar Diraja Pekan, dekat Tasik Chini, Pahang ini gigih berusaha mempertingkatkan ekonominya.

Norhayati Abdullah, 44, yang mesra dengan panggilan Kak Nor ini, tidak pernah mengenal erti putus asa.

Kak Nor kini gigih menghasilkan kertas daripada pokok kercut (Lepironia articulata), sejenis pokok rumput air yang banyak terdapat di Tasik Chini.

Kertas itu kemudian dijadikan kraf tangan seperti penutup lampu tidur dan bingkai gambar.

"Kak Nor tahu tentang kegunaan kercut selepas mengikuti kursus membuat kertas di Alor Setar, Kedah dengan dorongan Dr. Khatijah Husin, Ketua Projek Penyelidikan Tasik Chini di bawah Bio Sains.

"Masa itu, Kak Nor cuba buat, tetapi selesai kursus, kertas masih belum kering betul. Balik ke kampung, Kak Nor cuba lagi. Bukan sekali, dua kali Kak Nor mencuba," cerita Kak Nor.

Tidak cukup dengan ilmu yang diperoleh sewaktu berkursus, Kak Nor mendapatkan sebuah buku berbahasa Inggeris mengenai cara membuat kertas.

"Kak Nor baca buku dengan merujuk kepada kamus. Pada peringkat awal, Kak Nor rendam daun kercut yang sudah dipotong kecil selama tiga bulan. Kertas yang dihasilkan hancur dan produk yang dihasilkan tak berkualiti," jelasnya.

Daripada proses merendam, Kak Nor bertukar teknik kepada merebus. Dengan cara ini, katanya, proses menghasilkan kertas dapat disingkatkan. Jika merendam mengambil masa tiga bulan, teknik merebus hanya 12 jam.

Selepas potongan kercut direbus, ia dikisar menggunakan alat pengisar. Hasil yang dikisar akan dicuci di mana hanya serat yang liat akan diambil dan ditumbuk pula. Hasil yang ditumbuk sekali lagi dicuci sebelum disimpan.

Daripada 800 gram bahan yang melalui pelbagai proses tadi, Kak Nor dapat menghasilkan antara 20 hingga 30 helai kertas.

Menurut Kak Nor, produk yang dihasilkan pertama kali dipamer dan dijual kepada orang ramai ketika Pekan Fest pada 2008.

Tapi katanya, sambutan untuk produk kraf tangan daripada kercut tidak menggalakkan.

Pernah juga Kak Nor mempromosi produk kraf tangannya itu di Kuala Lumpur, juga tidak mendapat sambutan.

Meskipun setakat ini usahanya masih belum memberikan hasil lumayan, wanita berjiwa kental ini tidak mudah patah semangat.

"Bagi Kak Nor produk ini produk baru, bukan sahaja di Pekan tetapi juga di seluruh Malaysia. Kak Nor akan teruskan juga usaha kraf tangan ini. Walaupun orang tak beli, sekurang-kurangnya ada yang Kak Nor hasilkan," jelasnya yang mengakui Perkumpulan Wanita (WI) daerah Pekan di bawah naungan Tengku Puan Pahang, banyak membantunya.

"Kalau ada program, mereka akan menempah barangan cenderamata termasuk bekas telur yang dibuat daripada kertas kercut," kata Kak Nor yang berharap produk daripada tumbuhan kercut akan dapat menambat hati mereka yang gemar kepada produk mesra alam.

"Kercut ini tumbuhan liar di Tasik Chini dan proses pembuatan kertas ini tidak menggunakan sebarang kimia. Kak Nor menggunakan lendir tumbuhan sebagai gam, semuanya bahan asli.

"Pada Kak Nor, ini amat elok untuk penjagaan alam sekitar. Tambahan, untuk pembuatan kertas ini, hanya batang pokok yang dipotong dan batang baru akan tumbuh selepas itu. Ini tidak merosakkan alam semula jadi," kata Kak Nor.

Mereka yang ingin membuat tempahan produk kraf tangan daripada tumbuhan kercut ini boleh menghubungi Kak Nor menerusi telefon 014-8349076. - BERNAMA

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails