Saturday, July 18, 2009

Belai arnab sambil beli-belah


PENJAGA menunjukkan betapa jinaknya arnab di Taman Arnab Rafa Bunny World.

Pengunjung minat bermain dengan haiwan dikenakan bayaran

SHAH ALAM: Sebut saja arnab, kita pasti terbayangkan badannya yang berbulu putih bersih, manja, mesra serta menarik minat kanak-kanak untuk menjadikannya haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing.

Bagaimanapun, tidak ramai yang bersedia memeliharanya kerana menganggapnya ia memerlukan penjagaan yang rapi dan sempurna bagi memastikan haiwan itu terus sihat dan aktif bermain dengan pemiliknya menyebabkan ada ibu bapa lebih selesa membawa anak mereka melihat haiwan ini di zoo mini atau kedai menjual haiwan peliharaan.

Bagi penduduk sekitar bandar raya ini, kini mereka boleh melihat dan bermain dengan haiwan ini di Taman Arnab Rafa Bunny World (Taman Arnab) yang terletak di perkarangan Pasar Raya Besar Giant (Giant), Seksyen 13, di sini.

Taman Arnab dibuka sejak 1 Jun itu menempatkan kira-kira 150 ekor arnab dewasa dan kecil yang terdiri daripada pelbagai spesies antaranya Angora, Holland Lop, Mix Lop dan Lion Head.

Pengusaha dan pemiliknya, Rahimi Idris, 47, berkata taman itu dibuka sebagai kemudahan untuk orang ramai bersantai sambil menyaksikan gelagat haiwan comel itu ketika mengunjungi Giant untuk membeli-belah.

b


"Ia berikutan kedudukan Taman Arnab ini yang terletak di perkarangan Giant, selain segala kemudahan seperti surau, tandas dan medan selera yang lengkap tersedia di sini.

"Orang ramai juga tidak perlu keluar jauh untuk melihat arnab. Di sini, pengunjung dibenarkan memberi arnab makan dan bermain di tempat permainan khas yang disediakan," katanya ketika ditemui di Taman Arnab itu.

Rahimi berkata, pasaran arnab masih baru di Malaysia dan kebanyakan kedai haiwan yang beroperasi hanya membenarkan pengunjung melihatnya yang dikurung dalam sangkar tanpa membenarkan mereka menyentuhnya.

Berikutan itu, katanya, pihaknya mengenakan sedikit bayaran iaitu RM3 kepada setiap pengunjung sama ada dewasa mahupun kanak-kanak untuk memasuki taman untuk bermain dan memberi makan arnab terbabit tanpa had masa.

Bagaimanapun, bayaran RM4 dikenakan pada Sabtu, Ahad, cuti umum dan cuti sekolah.

Rahimi berkata, pihaknya juga menyediakan pakej lawatan untuk pelajar dan keluarga dengan harga berpatutan misalnya, RM10 bagi lawatan lima orang sekeluarga.

Katanya, sambutan daripada pengunjung taman sangat menggalakkan dan pada tiga minggu pembukaannya, lebih 200 ekor arnab sudah dijual.

Ditanya cara penjagaan arnab, beliau berkata, ia mudah kerana pelbagai jenis makanan berbentuk pellet yang diperbuat daripada rumput rumpai dan kalsium ada dijual.

Katanya, makanan itu dan air yang mengandungi mineral hanya perlu diletakkan di dalam sangkar bagi membolehkan haiwan berkenaan makan dan minum pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, katanya, arnab di taman itu juga dijual kepada mereka yang berminat dengan harga berpatutan iaitu di antara RM100 dan RM300 bergantung kepada saiz dan spesies.

"Kami juga ada menjual sangkar arnab yang berharga antara RM47 hingga RM65 yang disertakan bersama bekas air dan makanannya sekali, selain pellet dengan harga RM1 sebungkus.

"Kami mendapat bekalan arnab ini daripada pembekal di sekitar Lembah Klang dan Perak," katanya.

Rahimi berkata, orang ramai yang berminat mengunjungi Taman Arnab, boleh membawa bersama keratan akhbar cerita ini untuk mendapatkan potongan harga RM1.

Katanya, taman itu dibuka setiap hari termasuk cuti umum mulai jam 10 pagi hingga jam 9.30 malam.

Pengunjung, Muhammad Izlan Rezali, 12, berkata beliau yang menyukai arnab sanggup datang dari Taman Ampang Indah, Ampang, Kuala Lumpur ke Shah Alam semata-mata mahu menyaksikan sendiri gelagat haiwan itu.

"Saya kerap datang ke sini bersama keluarga pada waktu cuti sekolah untuk melihat sendiri arnab yang comel ini dan bermain dengannya," katanya.

Pusat kumpul ayam kampung di Senggarang

BATU PAHAT 17 Julai - Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang akan mewujudkan pusat pengumpulan untuk membantu memasarkan ayam kampung yang diternak penduduk di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ja'affar Hashim berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan ayam berkenaan dipasarkan lebih teratur.

Menurutnya, sebuah rumah kedai di Taman Senggarang 2 telah dibeli pihaknya baru-baru ini untuk dijadikan pusat pengumpulan ayam berkenaan.

"Selain untuk jualan segar, ayam itu juga akan diproses untuk dijadikan beberapa produk sejuk beku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 1,000 ekor anak ayam kampung kepada 40 peserta ternakan berkelompok di kawasan Senggarang di sini semalam.

Pada majlis tersebut, para peserta turut menerima bantuan makanan ayam, palong air dan palong makanan, ubat anti stres, EM dan antibiotik daripada kerajaan.

Ja'affar berkata, bagi menggalakkan orang ramai memakan ayam kampung, pihaknya akan meminta kerjasama peniaga ayam agar turut menjual bahan tersebut di tempat mereka setiap hari.

Menurutnya, satu perbincangan telah diadakan dengan para peniaga ayam untuk membina reban khas di tempat mereka untuk menempatkan ayam-ayam kampung itu.

"Ini untuk membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan tersebut sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan pengusaha restoran dan gerai makan atau mereka yang mengadakan majlis kenduri agar menyajikan lauk ayam kampung.

"Sebanyak 14 restoran termasuk gerai di Senggarang telah dikenal pasti akan menyediakan menu ayam kampung sebagai hidangan mereka," katanya.

Pekerja asing hanya boleh kerja 5 tahun

PUTRAJAYA 17 Julai - Pekerja asing dalam semua sektor kini dihadkan bekerja selama lima tahun sahaja di negara ini kecuali pembantu rumah.

Mereka juga tidak lagi dibenarkan bekerja di barisan hadapan.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing/Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Jawatankuasa itu juga memutuskan untuk mengekalkan pembekuan pekerja dari Bangladesh.

"Bagaimanapun, larangan mengambil pekerja asing untuk sektor perkilangan elektrik, elektronik serta tekstil ditarik balik,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu di sini.

Untuk mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing, menurut beliau, kerajaan akan melaksanakan strategi secara berperingkat mengikut keadaan bagi mengelak kesan negatif. kepada industri dan ekonomi negara.

"Kerajaan akan mengkaji dan memperkemaskan insentif perkhidmatan yang ditawarkan kepada pekerja tempatan seperti struktur gaji, kemudahan elaun, latihan dan lain-lain," katanya.

Berikut persetujuan lain yang dicapai hari ini:

l Mengekalkan pembekuan pengambilan pekerja asing sektor perkhidmatan kecuali subsektor tukang masak restoran, pekerja pembersihan dan pencucian serta pekerja resort pulau peranginan.

l Menghentikan pengeluaran kebenaran baru bagi perniagaan Membekal dan Mengurus Pekerja Asing sehingga kajian lanjut dijalankan bagi memastikan pelaksanaan sistem itu benar-benar mencapai matlamat digariskan.

l Memperkemaskan semua prosedur dan proses pengambilan pekerja asing sedia ada.

l Syarikat membekal dan mengurus pekerja asing hanya dibenarkan membekalkan pekerja kepada sektor perkilangan, perladangan dan pertanian sahaja.

l Menggalakkan industri beralih kepada berorientasikan modal melalui dana-dana bantuan modal kerajaan, insentif cukai dan lain-lain.

l Menggalakkan lebih banyak perkhidmatan layan diri di sektor perkhidmatan diperkenalkan seperti restoran, stesen minyak dan pasar mini.

l Menggunakan sistem binaan industri (IBS) sehingga 70 peratus dalam semua kontrak pembinaan untuk kerajaan. Pihak swasta juga digalakkan mengambil langkah yang sama.

Pasar tani sumber produk segar


Gerai-gerai tersusun rapi diterangi lampu terang-benderang memudahkan pembeli mencari barangan yang diperlukan.


WALAUPUN ramai yang selesa membeli barangan makanan basah seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan sebagainya di pasar raya besar, namun masih terdapat mereka yang mahu mendapatkan barangan keperluan harian di pasar basah atau pasar tani.

Biasanya mereka yang ke pasar raya besar kerana mahu membeli dalam jumlah yang banyak dan untuk simpanan selama satu atau dua minggu.

Selain membeli makanan basah, mereka akan turut membeli barangan keperluan lain untuk seisi keluarga.

Mereka yang ingin mendapatkan keperluan harian yang segar seperti ikan dan sayur-sayuran dan tidak suka dengan bahan makanan yang disimpan lama di dalam peti sejuk lebih suka membeli di pasar basah atau pasar tani.

Jika tidak sempat ke pasar basah pada waktu pagi kerana perlu bergegas ke pejabat, ramai yang akan singgah di pasar tani yang mula berniaga pada waktu petang hingga ke malam.

Pengalaman pertama ke Pasar Tani Mega Taman Batu Muda, Batu Caves menyaksikan kemeriahan membeli-belah pelbagai barangan keperluan daripada makanan mentah, makanan yang telah dimasak, biji kopi yang diproses segar, pakaian, buah-buahan, pokok bunga, anak pokok buah-buahan dan bermacam lagi.

Deretan gerai yang tersusun rapi diterangi lampu terang-benderang memudahkan pembeli mencari barangan keperluan yang dikehendaki.

Pengerusi Pasar Tani Mega Taman Batu Muda, Batu Caves, Bujang Mohd. Nasir berkata, pasar tani yang dibuka pada bulan November tahun lalu ini asalnya hanya mempunyai seramai 60 orang peniaga dan 80 tapak gerai peniaga sahaja.

Bagaimanapun, setelah enam bulan dibuka, jumlah peniaga telah bertambah ke 80 orang dengan pertambahan kepada 120 tapak gerai peniaga.

''Para peniaga di sini adalah peniaga tempatan yang terdiri daripada penternak, peladang dan nelayan tempatan. Mereka memasarkan produk sendiri dan dijamin segar.

''Pembeli mempunyai banyak pilihan di sini seperti ikan sungai yang segar, ayam kampung, daging tempatan, keledek dan ubi kayu, pelbagai jenis kerepek dan banyak lagi,'' katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Katanya, objektif pasar tani dibuka adalah untuk memberi pendedahan kepada para pengusaha memasarkan produk masing-masing terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

Selain itu, ia sebagai pendedahan kepada pengusaha akan proses pemasaran dan meluaskan pasaran pada pelbagai peringkat.

Menurut Bujang, mereka yang pernah ke pasar tani ini pasti seronok kerana dapat membeli-belah hasil kampung yang biasanya hanya boleh diperoleh di pasar Chow Kit.

''Jika di Chow Kit, anda perlu membeli berebut-rebut dalam cuaca panas dan mengharungi kesesakan orang ramai. Namun di pasar tani ini anda boleh memilih dan membeli-belah dalam suasana tenang.

''Jika dibandingkan harga pula, harga barangan di sini murah sedikit daripada di pasar basah biasa,'' jelasnya yang juga berniaga daging lembu tempatan.

Tambahnya, selain barangan makanan mentah, pembeli boleh 'membasuh' selera dengan bermacam-macam juadah yang telah siap dimasak.

Antaranya ialah gulai kawah, kambing panggang, nasi ambeng, nasi ayam berempah, laksa, kuih akok, kuih bakar dan sebagainya.

Bujang berkata, Pasar Tani Mega Taman Batu Muda, Batu Caves yang dibuka pada setiap hari Rabu bermula pukul tiga petang hingga 10 malam ini menjadi tumpuan penduduk yang tinggal di sekitar Batu Caves.

''Masih ramai yang tidak mengetahui adanya pasar tani ini. Kami berharap lebih ramai yang akan berkunjung menjelang bulan Ramadan ini bagi mendapatkan keperluan harian kerana semua keperluan boleh diperoleh di sini.

''Kami juga akan mengadakan pasar tani khas menjelang Ramadan di lokasi ini. Setiap hari Rabu bermula sekarang sehingga Ramadan, cabutan bertuah akan diadakan untuk pengunjung di mana pengunjung yang bertuah akan mendapat hadiah berbentuk produk pertanian.

"Syaratnya, beli barang dan pembeli layak mendapat cabutan bertuah. Ini sebagai tanda terima kasih pengusaha kepada pengunjung pasar tani.

''Selain itu, sepanjang bulan Julai hingga Ogos, pengunjung boleh menyaksikan demo membuat kek dan biskut yang akan ditunjukkan oleh pakar kek dan biskut, Fieza Abdul Rahman yang turut menjual produk tepung kek dan biskut yang mudah disediakan,'' kata Bujang yang turut diiringi Pengerusi Pasar Tani Peringkat Wilayah, Abdul Rahman Dollah.

Pakar pertanian UPM turun padang dekati masyarakat


Peluang kepada pengusaha pertanian mendapatkan khidmat nasihat menerusi program pengembangan.


Ini peluang terbaik bagi pengusaha pertanian di Temerloh, Pahang dan sewajarnya mereka tidak melepaskan peluang bertemu 25 pakar pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada satu program khas selama dua hari bermula esok dan lusa.

Kunjungan kumpulan pelbagai pakar pertanian itu menerusi program Hari Terbuka Bersama Pakar Pertanian UPM di Temerloh yang akan di adakan di Kompleks Dewan Tun Abdul Razak bertemakan Dari Gedung Ilmu Ke Lapangan.

Program anjuran UPM di bawah urus setia Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) bersama Jabatan Pertanian dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh itu merupakan satu usaha pengembangan untuk mendekati masyarakat secara langsung.

Menurut Pengarah APEEC, Prof. Dr. Azimi Hamzah, program tersebut memberi khidmat nasihat dan rundingan dalam perkhidmatan pengembangan kepada kumpulan sasar di kawasan terpilih merangkumi bidang tanaman, penternakan, perikanan, industri asas tani serta teknologi dalam bidang berkaitan.

Beliau berkata, usaha seperti itu merupakan cabaran utama kepada penyelidik kerana sebelum ini konsep pemindahan teknologi (TOT) dilakukan tetapi ia belum mencukupi.

"Ini kerana konsep TOT tidak melibatkan kumpulan sasar secara langsung sebaliknya hasil penyelidikan diserahkan kepada mereka tanpa sebarang usaha penglibatan menyeluruh,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, baru-baru ini.

Justeru, konsep pengembangan lebih sesuai dan tepat yang mana penglibatan kumpulan sasar seperti petani secara menyeluruh dengan langkah awal memahami permasalahan mereka.

Perbincangan dilakukan dengan kumpulan tersebut sebelum mereka membuat keputusan untuk menentukan cara sesuai menyelesaikan masalah.

"Konsep (pakar) datang untuk menyelesaikan masalah semata-mata tidak mencukupi sebaliknya petani diberi peluang menyertai sendiri proses perbincangan dan penyelesaian masalah mereka dengan diberi bimbingan,'' ujar beliau.

Katanya, lebih menarik turut diperkenalkan ialah Makmal Sosial atau Makmal Terbuka yang mana masalah diselesaikan ibarat membuat kajian dalam makmal.

Katanya, konsep pengembangan perlu diberi pendekatan baru supaya peranannya diiktiraf dan penting dalam memajukan sektor pertanian.

Beliau berkata, UPM antara universiti yang memainkan peranan meningkatkan usaha memperkasa program pengembangan dan sering dijadikan rujukan oleh agensi kerajaan yang mahu mendapatkan khidmat dalam program terbabit.

Malah, satu ketika sebelum penubuhan APEEC, UPM mempunyai Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL) yang memainkan peranan tersebut bagi menyalurkan hasil penyelidikan pertanian ke serata negara.

Namun dengan penubuhan APEEC, konsep tersebut diperhebatkan dengan merangkumkan sekali usaha-usaha TOT, keusahawanan dan pemajuan profesional dalam mana-mana program pengembangan.

Beliau berkata, usaha seumpamanya akan terus dilaksanakan dengan sasaran antara dua atau tiga tempat dalam setahun mengikut permintaan dan aktiviti pertanian di kawasan terbabit.

Menurut Azimi, pihaknya menjangka 2,000 peserta akan hadiri pada program tersebut yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Antara acara penting termasuk dua forum iaitu Potensi Pembangunan dan Pengkomersialan Sektor Pertanian Terkini dan Peluang Pengajian dan Kerjaya Lepasan UPM.

Program lain termasuk klinik pengembangan dan demonstrasi ternakan, akuakultur, tanaman, industri kecil dan sederhana, penanaman cendawan tiram kelabu, fertigasi, industri kecil dan sederhana (IKS) dan pensijilan halal.

Turut diadakan ialah bengkel pemprosesan bebola ikan patin, memproses jem buah serta pameran.

Program di Temerloh itu merupakan program yang keempat dilaksanakan selepas Batu Pahat pada 4 September 2007, Jeli (8 Jun 2008) dan Pekan, Pahang (25 hingga 25 November 2008.

Objektif Program

lMembuka peluang kepada kumpulan sasar untuk mengemukakan masalah dan pendapat kepada kumpulan pakar UPM secara langsung, terbuka dan telus.

lMembolehkan UPM menyumbang kepakaran terus ke lapangan, bekerjasama dengan agensi pertanian membangunkan sektor pertanian setempat melalui diagnosis masalah pertanian secara bersama.

lMewujudkan hubungan kerjasama dua hala antara pihak ketiga iaitu UPM, agensi pembanguan setempat serta kumpulan sasar.

lMembuka peluang kepada pakar UPM meneliti masalah pertanian, seterusnya menjadikannya sebagai tumpuan penyelidikan.

lMembolehkan UPM memperkenalkan penyelidikan dan menambah nilai penyelidikan dan teknologi sedia ada kepada petani dan usahawan tani.

lMenjadi salah satu wadah untuk memperkenalkan program pengajian dan peluang kerjaya lepasan UPM.

Sumber:utusan online

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails