Tuesday, July 14, 2009

Hanya tilapia dewasa mati


G. SIVAKUMAR mengumpulkan bangkai ikan tilapia dewasa yang ditemui mati di Empangan Mengkuang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 13 Julai - Kematian ratusan ikan tilapia dewasa di Empangan Mengkuang di sini menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada penduduk di sekeliling kawasan itu.

Apa lebih menghairankan, kejadian yang dikatakan berlaku sejak 10 hari lalu itu hanya menyebabkan ikan jenis itu sahaja mati walhal spesies lain seperti toman dan keli juga terdapat di empangan tersebut.

Pengurus Perkhidmatan Korporat, Perkhidmatan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K. Jeyabalan berkata, pihaknya pelik apabila anak ikan yang bersifat lebih sensitif jika berlaku perubahan terhadap air masih dapat hidup.

''Sejak 10 hari lalu, pekerja di sini telah menemui antara 20 hingga 40 ekor ikan tilapia dewasa yang mati di sekitar empangan ini.

''Kita berasa hairan memandangkan sekiranya air di empangan ini tercemar atau diracun, mengapa ikan jenis ini sahaja mati,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehingga kini, PBAPP telah menemui lebih daripada 200 bangkai ikan berkenaan yang timbul di sekitar empangan tersebut.

Jeyabalan berkata, kajian awal terhadap sampel bangkai ikan itu telah dijalankan di Bahagian Mikrobiologi, Jabatan Perikanan dan didapati bakteria di dalam bangkai ikan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, ujian makmal yang dibuat terhadap air empangan tersebut mendapati tiada pencemaran berlaku yang boleh menyebabkan ikan berkenaan mati.

''Jika ada orang ingin membuat khianat dengan membuang racun di dalam empangan, sudah tentu spesies ikan lain yang hidup di dalamnya juga akan mati.

''Fenomena ini sememangnya menghairankan dan kita harap hasil laporan penuh terhadap sampel bangkai ikan akan siap dalam masa empat hari lagi sekali gus memberi jawapan kepada kejadian ini,'' ujarnya.

Beliau turut memberitahu, air di dalam empangan tersebut merupakan air mentah yang disalurkan dari Sungai Kulim dan belum dirawat serta hanya dilepaskan jika berlaku musim kemarau sahaja.

''Saya berharap kepada kaki pancing di luar sana agar tidak menceroboh ke kawasan empangan ini kerana ia merupakan kawasan larangan,'' tambahnya.

Sumber:Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS

FAMA ambil langkah atasi lambakan buah

BATU PAHAT 13 Julai - Beberapa langkah drastik diambil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mengatasi kemungkinan berlakunya lambakan buahbuahan tempatan khususnya rambutan, manggis dan pulasan pada musim kali ini.

Pegawai FAMA Batu Pahat, Jaini Bukhiran berkata, langkah itu termasuk membuka gerai tepi jalan serta melancarkan kempen makan buah-buahan tempatan kepada penduduk tempatan.

Menurutnya, gerai tersebut dibuka di 18 lokasi di seluruh daerah ini dengan membabitkan pemilik kebun atau dusun setempat.

"Kebanyakan gerai terletak di sepanjang jalan utama seperti Jalan Batu Pahat-Kluang, Yong Peng-Parit Sulong dan Jalan Batu Pahat-Pontian," katanya pada Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan peringkat daerah Batu Pahat di tapak pasar lambak, Jalan Omar, di sini baru-baru ini.

Sempena kempen itu, sebanyak satu tan durian dan satu tan pelbagai buah termasuk manggis dan rambutan dijamu secara percuma kepada para pengunjung.

Jaini berkata, kesemua gerai tepi jalan itu secara tidak langsung dijadikan pusat pengumpulan buah-buahan di kawasan terbabit sepanjang musim buah kali ini.

"Mereka bukan sahaja dapat menjual sendiri buah-buahan yang lebih segar tetapi mengenakan harga lebih rendah kepada pembeli berbanding di kedai," katanya.

Menurutnya, selain jalan utama, pihaknya turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dengan membuka beberapa gerai sementara di kawasan pentadbirannya.

Beliau khuatir akan berlaku lambakan buah jika masyarakat kurang memakan buah-buahan tempatan yang bermusim itu.

"Ini kerana Ramadan hampir menjelang dan orang ramai begitu kurang makan buah-buahan sepanjang bulan tersebut," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan buah-buahan di gerai tajaan FAMA dijual dengan harga lebih rendah iaitu sekitar RM10 bagi setiap tujuh kilogram rambutan, manggis dan pulasan.

Friday, July 10, 2009

Bekas wartawan ternak keli


Normahiran Yusoff boleh berbangga dengan usahanya sebagai usahawan tani yang kini telah membuahkan hasil.

---------------------------------


Biarpun pernah menjawat jawatan wartawan selepas menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa, Normahiran Yusoff meninggalkan kerjaya berkenaan dan berhijrah ke dunia lebih glamor dengan terlibat dalam industri hiburan.

Ketika bertugas di syarikat rakaman, beliau dikelilingi oleh artis-artis tapi hatinya masih tidak dapat melupakan dunia perniagaan.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Pengurus Kanan sebuah syarikat rakaman, beliau menubuhkan syarikat sendiri dan seterusnya Normahiran mula melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Berpegang kepada moto 'Pertanian Adalah Perniagaan,' Normahiran mula berjinak-jinak mengikuti kursus pertanian terutama pembenihan dan ternakan ikan keli.

Beliau memulakan usahanya dengan membeli set ternakan ikan keli dalam kanvas daripada pengusaha di Negeri Sembilan.

"Setelah mengikuti kursus ternakan dan pembenihan ikan keli di Selangor, saya mula meninjau pasaran sebelum memulakan ternakan," katanya semasa ditemui di kawasan ternakan keli di Dengkil, Selangor, baru-baru ini.

Setelah meninjau pasaran, Normahiran membuat pengiraan modal serta untung rugi. Setelah pasti dengan keuntungan, beliau memulakan projek.

Beliau membeli tiga buah tangki yang telah diubahsuai sebagai permulaan untuk menternak ikan keli.

Kemudian beliau membeli anak benih ikan bersaiz tiga inci. Kini Normahiran beralih kepada saiz lima inci kerana saiz yang lebih besar cepat membesar dan kadar kematiannya juga rendah.

Pada mulanya, beliau hanya memberikan ikan keli makan pelet tetapi kosnya yang tinggi menyebabkan Normahiran mencari alternatif lain.

"Bagi menggantikan bekalan protein, saya menggunakan kepala dan perut ikan bilis yang didapati di pasar malam yang saya masak dengan beras hancur selain sisa roti.

"Maklum balas yang saya daripada penternak lain mendapati perut dan kepala ikan bilis mempunyai protein yang tinggi dan sesuai menggantikan pelet," katanya.

Sehingga kini ternakan kelinya telah mengeluarkan hasil dan beliau mendapat kontrak membekalkan ikan keli kepada sebuah syarikat mengeluarkan ikan keli salai.

Ikan keli salai, kata Normahiran memerlukan ikan keli yang memakan pelet dan bahan kaya protein tetapi kurang lemak bagi mendapatkan tekstur yang cantik.

"Biasanya saiz ikan keli yang sesuai untuk dibuat ikan salai adalah 160 gram (g) seekor atau enam hingga tujuh ekor bagi satu kilogram.

"Kini saya perlu membekalkan 200 kilogram (kg) ikan keli seminggu kepada ikan salai," katanya.

Bagi mendapatkan kontrak membekalkan ikan keli bagi ikan keli salai, pengusaha ikan salai melawat ke kawasan ternakannya bagi memastikan makanan yang diberikan serta tahap kebersihan.

Buat masa ini Normahiran sedang berusaha membesarkan lagi projek ternakan ikan keli bagi memenuhi permintaan pengusaha ikan keli salai.

Wednesday, July 8, 2009

PDK Nur Kasih berjaya jalankan projek cendawan

KAMPUNG PANTAI BESAR – :Bengkel Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Nur Kasih adalah salah satunya PDK yang berjaya melaksanakan projek tanaman cendawan untuk dipasarkan.

:Pengerusi PDK Nur Kasih Pantai Besar, Hambali Zolaawar berkata, PDK ini adalah pertama di Perak yang melaksanakan projek bagi sektor pertanian iaitu penanaman cendawan.

:Menurutnya, kebanyakan PDK yang sedia ada secara majoriti terlibat dalam aktiviti kraf tangan dan penternakan.

:“Kita percaya bahawa tujuh pelatih yang ada di bawah seliaan PDK ini mampu untuk melakukan kerja-kerja pertanian kerana turut melibatkan kawasan sekeliling yang lebih banyak fokus kepada bidang terbabit,” katanya.

:Hambali berkata, suasana sekeliling di Bengkel PDK Nur Kasih ini lebih tertumpu di bidang pertanian kerana rata-rata penduduk adalah petani.

:“Projek tanaman ini dilihat mampu untuk dikomersialkan ke peringkat lebih tinggi kerana secara keseluruhan kerja-kerja penyediaannya tidak begitu rumit,” katanya.

:Sementara itu, Penyelia Bengkel PDK Nur Kasih Pantai Besar, Mat Rashidi Mat berkata, pada peringkat permulaan sememangnya agak sukar untuk memberi tunjuk ajar kepada pelatih kerana tergolong dalam golongan yang menghadapi masalah pembelajaran.

:“Kita terpaksa mengambil sedikit masa untuk melatih mereka, namun dengan kesabaran dan kerajinan guru-guru membolehkan pelatih ini memahami peranan mereka apabila menghadirkan diri ke bengkel,” katanya.

:Mat Rashidi berkata, tempoh penanaman cendawan adalah tidak begitu lama menyebabkan pelatih hanya perlu menunggu dalam tempoh sebulan untuk mendapatkan hasilnya.

:“Ini masuk fasa kedua dan pertama berjaya dijual di kawasan berhampiran.

:“Namun dalam masa sama kita tetap berusaha agar hasil daripada projek tanaman berkenaan dapat dipasarkan dengan meluas dan kuantiti yang lebih banyak,” katanya.

:Menurutnya, bangsal yang disediakan untuk menempatkan cendawan itu boleh diisi lebih kurang 10,000 bongkah namun kini hanya mempunyai 3,000 sahaja.

:“Dalam masa terdekat, kita sedang berusaha untuk menambah bongkah tersebut agar hasil yang diperoleh semakin meningkat,” katanya.

:Mat Rashidi berkata, selain cendawan pelatih PDK ini turut melaksanakan tanaman seperti cili, terung dan kangkung untuk menambah pendapatan.

:“Kita di sini sangat menggalakkan aktiviti berkenaan kerana percaya bahawa setiap pelatih yang ada mampu melaksanakannya berikutan tempatnya yang dekat,” katanya.

:Beliau berkata, dalam masa terdekat ini juga pihak PDK turut berusaha untuk melaksanakan satu lagi projek iaitu ternakan ayam kampung.
Sumber:Sinar harian

3P tingkatkan kualiti hasil pertanian

BENTONG – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil langkah dan inisiatif melaksanakan peraturan pengredan, pembungkusan dan pelabelan (3P) melibatkan semua peringkat termasuk pengeksport, pengimport, pemborong dan peruncit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Datuk Dr Ng Keong Chye berkata, peraturan 3P itu bertujuan meningkatkan kualiti pengeluaran hasil pertanian melalui kaedah yang dinyatakan itu.

Beliau berkata, pematuhan terhadap peraturan itu penting supaya setiap hasil pertanian digred, dibungkus dan dilabel sebelum memasuki pasaran sama ada tempatan ataupun dieksport ke luar negara.

“3P adalah transformasi yang perlu diikuti semua pihak terbabit dalam pemasaran pertanian kerana ia mampu berikan kesan positif kepada penghasilan hasil pertanian berkualiti, menguntungkan dan selamat dimakan.

“Sebelum ini pelbagai masalah timbul apabila hasil pertanian tidak digred dan tidak dibungkus dengan baik kerana ia mudah rosak dan mempunyai kadar sisa baki racun melebihi tahap dibenarkan,” katanya pada Majlis Taklimat Penguatkuasaan Peraturan 3P Keluaran Tanaman Daerah Bentong di Selesa Hill Homes, Bukit Tinggi, di sini.

Hadir sama Ketua Unit Regulatori Fama Negeri, Mohamed Hassanuddin Othman dan Pegawai Fama Daerah Bentong, Rosli Basri.

Keong Chye berkata, masalah itu hanya menjejaskan imej dan daya saing keluaran hasil pertanian tempatan.

Katanya, peraturan itu perlu dipatuhi memandangkan sektor pertanian menjadi jentera pertumbuhan ketiga negara selepas sektor perkhidmatan dan pembuatan.

“Pematuhan terhadap peraturan ini juga dapat corakkan bidang pertanian ke arah komersial atau pertanian satu perniagaan berskala besar dan berdaya saing yang menggantikan pertanian secara tradisional.

“Tambahan pula, potensi pasaran buah-buahan dan sayur-sayuran keluaran negara untuk pasaran tempatan dan luar negara amat besar,” katanya.

Menurutnya, usaha Fama dan kerjasama semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sektor pertanian mampu menjana pembangunan mampan pada masa akan datang.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails