BATU PAHAT 13 Julai - Beberapa langkah drastik diambil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mengatasi kemungkinan berlakunya lambakan buahbuahan tempatan khususnya rambutan, manggis dan pulasan pada musim kali ini.
Pegawai FAMA Batu Pahat, Jaini Bukhiran berkata, langkah itu termasuk membuka gerai tepi jalan serta melancarkan kempen makan buah-buahan tempatan kepada penduduk tempatan.
Menurutnya, gerai tersebut dibuka di 18 lokasi di seluruh daerah ini dengan membabitkan pemilik kebun atau dusun setempat.
"Kebanyakan gerai terletak di sepanjang jalan utama seperti Jalan Batu Pahat-Kluang, Yong Peng-Parit Sulong dan Jalan Batu Pahat-Pontian," katanya pada Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan peringkat daerah Batu Pahat di tapak pasar lambak, Jalan Omar, di sini baru-baru ini.
Sempena kempen itu, sebanyak satu tan durian dan satu tan pelbagai buah termasuk manggis dan rambutan dijamu secara percuma kepada para pengunjung.
Jaini berkata, kesemua gerai tepi jalan itu secara tidak langsung dijadikan pusat pengumpulan buah-buahan di kawasan terbabit sepanjang musim buah kali ini.
"Mereka bukan sahaja dapat menjual sendiri buah-buahan yang lebih segar tetapi mengenakan harga lebih rendah kepada pembeli berbanding di kedai," katanya.
Menurutnya, selain jalan utama, pihaknya turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dengan membuka beberapa gerai sementara di kawasan pentadbirannya.
Beliau khuatir akan berlaku lambakan buah jika masyarakat kurang memakan buah-buahan tempatan yang bermusim itu.
"Ini kerana Ramadan hampir menjelang dan orang ramai begitu kurang makan buah-buahan sepanjang bulan tersebut," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan buah-buahan di gerai tajaan FAMA dijual dengan harga lebih rendah iaitu sekitar RM10 bagi setiap tujuh kilogram rambutan, manggis dan pulasan.