Sunday, June 28, 2009

Hasilkan mesin bantu petani


MELAKA 23 Jun - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) disaran memberi tumpuan dalam menghasilkan mesin berteknologi tinggi bagi membantu golongan petani di negara ini meningkatkan pendapatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, agensi itu juga perlu memastikan mesin yang dikeluarkan mampu dijual pada harga berpatutan serta mengurangkan kos pengeluaran.

"Kita mahu lebih ramai penyelidik MARDI menjalankan penyelidikan dalam menghasilkan jentera atau mesin yang boleh membantu petani meningkatkan hasil pertanian masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Mekanisme Pertanian dan Makanan Kebangsaan 2009 di sini hari ini.

Menurutnya, pada masa ini, MARDI berjaya mereka cipta sebanyak 110 mesin dan peralatan berteknologi moden untuk kemudahan petani.

Ujarnya, usaha itu penting untuk membolehkan golongan terbabit meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan makanan sekali gus membantu kerajaan mengurangkan pergantungan ke atas import makanan dari luar negara.

"Atas usaha itu juga, kita berjaya menghasilkan satu teknologi baru yang mana kesemuanya dikumpulkan dalam pangkalan data berbentuk cakera padat (CD) dan direktori.

"Teknologi tersebut dinamakan Ag-Food Machinery Dir bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai mesin pertanian, pemprosesan makanan dan bukan makanan," kata beliau.

Sunday, June 14, 2009

Pilihan tanah sempurna


TANAH untuk semaian perlu bebas patogen dan bahan toksik.

Miliki tekstur gembur, peroi, berongga dan cukup nutrien

SEBELUM memulakan kerja perkebunan atau aktiviti bercucuk tanam, perkara paling penting yang diberikan perhatian ialah campuran tanah.

Disebabkan bekas atau ruang yang terhad, kandungan tanah juga terhad. Oleh itu penting bagi tanah sempurna dicari untuk membolehkan pokok terus hidup dan membesar.

Bagi mendapatkan tanah yang sempurna, ia haruslah mempunyai ciri-ciri seperti tekstur tanah perlu gembur, peroi dan berongga kerana ia membolehkan pengaliran udara atau pengudaraan yang elok, saliran air yang baik dan memudahkan akar menjalar untuk mencari nutrien dan makanan.

Tanah juga perlu mempunyai nutrien yang mencukupi dan seimbang bagi semua peringkat perkembangan pokok. Selain itu, tanah perlu bebas daripada patogen atau serangan perosak dan bahan toksik.

Justeru, elakkan menggunakan najis haiwan seperti tahi ayam, kambing dan lembu dalam campuran tanah, sebaliknya cari bahan yang senang dan mudah didapati menggantikannya.

Tanah gambut elemen penting bahan organik.

Sebelum tanah dicampurkan, komponen utama yang perlu ada ialah tanah loam (tanah atas 0.5 meter di atas permukaan tanah dengan pH5.5 hingga 6.5), bahan organik, pasir dan baja asas.

Seelok-eloknya bahan organik menggunakan tanah gambut sama ada yang diimport atau tanah gambut proses produk tempatan dikenali Peatgro. Penggunaan bahan organik penting bagi membantu menyerap air, selain menggemburkan tanah dan menggalakkan lagi perkembangan mikro organisme.

Pasir pula diperlukan kerana ia membantu pengudaraan dan saliran air. Seeloknya gunakan pasir yang kasar seperti pasir sungai.

Baja asas pula baja yang dicampurkan sebelum penanaman yang terdiri daripada baja organik atau N:P:K 5:5:5, ‘Triple Super Phosphate’( TSP) untuk perkembangan sel terutama akarnya, kapur pertanian (GML) untuk kawal pH, selain memberikan unsur nutrien tumbuhan.

Langkah Mencampurkan Tanah

Sediakan bekas seperti baldi, dulang (pertanian) dan kereta sorong.

Tiga bahagian tanah, dua bahagian bahan organik dan satu bahagian pasir.

Sediakan baja asas

Baja organik 1.2 kilogram (kg)

TSP 1.2 kg

GML 600 gram (g)


Ukuran bagi isi padu setiap sukatan 1 meter padu (1m3)

Bagi bekas yang kecil penggunaan ialah 150g - 200 gram setiap satu (untuk baja asas)

Gunakan sudip pertanian. Buat secara manual (Lokasi A)

a. Lapisan pertama dengan tanah

b. Bahan organik pada lapisan kedua

c. Pasir


Jangan digaul dulu. Taburkan secara rata pada keseluruhan lapisan atas dengan bahan baja asas.
Kemudian gunakan sudip pertanian dan pindahkan kesemua lapisan di lokasi A ke lokasi B. Gaul hingga sebati.

Selepas selesai kerja mencampur, cara untuk menguji tanah yang dicampurkan sama ada sebati atau tidak;

a. Kepal tanah, genggam kemudian lepaskan

b. Andai tanah yang dilepaskan itu berderai, bermakna tanah itu campuran yang sangat bagus

Anda boleh gunakan pH meter (jika mempunyai peralatan berkenaan)

Tip


Pada masa kini sukar mendapatkan tanah loam (tanah bahagian atas) yang bagus sekiranya keadaan tanah liat atau berpasir. Justeru, gunakan Peatgro yang boleh disesuaikan dengan sebarang jenis tanah.


Jika tanah liat sangat padat, tinggikan nisbah Peatgro (bahan organik) dan pasir. Jika tanah berpasir atau terlalu peroi, tinggikan nisbah bahan organan (Peatgro) serta sedikit tanah loam.

Oleh Pakar Hortikultur, Abdul Rahim Rashid
bminggu@bharian.com.my

Friday, June 12, 2009

Johor: Tapak semaian jarak 4 beradik jadi tumpuan

Projek di Simpang Renggam antara usaha atasi tanah terbiar

SIMPANG RENGGAM: Tanah terbiar jika diusahakan dengan tanaman jangka pendek dan panjang mampu menjana pendapatan sampingan dan berupaya meningkatkan taraf sosio ekonomi keluarga.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda Umno bahagian Simpang Renggam menganjurkan majlis penerangan dan perasmian Tapak Semaian Pokok Jarak di Kompleks Penghulu Mukim Renggam di sini, baru-baru ini. Tapak semaian yang menempatkan 80,000 anak pokok jarak yang sedia diedarkan itu adalah usaha titik peluh empat beradik pemuda tempatan yang diketuai Abdul Halim Surif, 37; Abdul Khalil, 34; Abdul Rauf, 35 dan Abdul Rashid, 38.

Halim adalah antara 275 pengusaha nurseri benih pokok jarak seluruh negara yang berdaftar dengan Bionas Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat di Malaysia yang terbabit secara langsung dengan penanaman pokok jarak pagar atau nama saintifiknya Jatropha Curcas untuk menghasilkan biodiesel.

Halim berkata, nurserinya adalah antara 15 nurseri di Johor yang dilantik untuk mengendalikan Pusat Pungutan Hasil Bionas bagi memudahkan peserta yang berdaftar menjual hasil tanaman mereka.

Beliau berkata, biodiesel atau minyak yang dihasilkan dari biji pokok jarak adalah bahan bakar alternatif dari tumbuh-tumbuhan sesuai dan bersifat mesra alam untuk kegunaan enjin dan jentera dengan tentera Jepun pernah menggunakan minyak biji jarak sebagai campuran bahan api pesawat semasa Perang Dunia Kedua.

Katanya, negara maju sudah lama mengenal pasti pokok jarak sebagai satu daripada sumber biodiesel tetapi mereka tidak mempunyai sumber tanaman sendiri.

"Di negara luar, penggunaan biodiesel dan biofuel sudah biasa digunakan dan kebanyakan negara maju mengaplikasikan polisi B5 iaitu mewajibkan lima peratus biofuel dicampur dengan diesel," katanya.

Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bionas, Zurina Amnan turut hadir memberi penerangan skim penanaman pokok jarak bagi penduduk luar bandar.

Zurina berkata, pokok jarak boleh hidup melebihi 45 tahun, tumbuh dengan cepat, amat sesuai ditanam di iklim tropika seperti Malaysia kerana dalam tempoh enam bulan sudah mulai berbuah dan mengeluarkan hasil serta akan berganda selepas dua tahun.

Beliau berkata, seluas 0.4 hektar tanah boleh ditanam dengan 800 pokok jarak dan hasil pengeluaran dalam masa dua tahun pertama kira-kira 3.6 tan buah bagi setiap 0.4 hektar setahun.

Katanya, sebiji buah jarak mengandungi dua hingga empat biji benih yang akan diproses menjadi biodiesel dan bijinya menghasilkan perolehan minyak lebih kurang 33%.

"Penjagaannya mudah, tidak dirosak oleh kebanyakan serangga, ulat atau binatang ternakan, saiz pokok yang rendah dan rendang akan memudahkan proses memetik.

"Bionas secara berperingkat sudah membina kilang perahan bagi mengeluarkan minyak mentah Jarak dan kilang penapis bagi memproses minyak mentah Jarak menjadi biodiesel di beberapa lokasi strategik seluruh negara," katanya.

Zurina berkata, dengan kemudahan itu, Bionas berkemampuan mengeluarkan minyak mentah Jarak sebanyak 730,000 tan dan minyak biodiesel Jarak sebanyak 340,000 tan pada pertengahan tahun ini.

“Untuk rekod, Bionas akan membeli balik biji buah Jarak (kering) ialah RM0.85 sekilogram bersamaan RM850 setan selama 30 tahun," katanya dalam majlis penerangan itu.

Mereka yang berminat boleh melayari laman web www.bionas.com.my, www.biofuelbionas.com dan www.bionasmalaysia.com

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno bahagian Simpang Renggam, Ismail Md Nor, berkata skim penanaman pokok jarak di Simpang Renggam adalah salah satu usaha yang dikenal pasti bagi mengatasi tanah terbiar atau kosong dan sumber ekonomi penduduk setempat.

Beliau berkata, penduduk diberi penerangan potensi tanaman dan jaminan pembelian balik hasil dan terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan sendiri.

Kata Ismail, ia juga bukan bermakna bahawa Pemuda Umno berpeluk tubuh setakat di situ saja tetapi akan meneruskan program lain menjana pendapatan khususnya ekonomi penduduk melalui pelbagai kegiatan pusat pengumpulan hasil pertanian.

Sumber:Berita Harian


Timur: Berbekal semangat ternak ikan keli

Mohd Fadlie dapat bantuan modal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga

KUALA TERENGGANU: Pengalaman tersungkur dalam bidang perniagaan ketika kegawatan ekonomi pada 1997 dijadikan batas sempadan oleh Mohd Fadlie Hamzah, 42, dari Kampung Batu Hampar, Manir, di sini supaya lebih berhati-hati dalam gerak kerja pengurusan perniagaan, tambahan pula apabila menceburi bidang baru iaitu penternakan ikan keli dan hiasan.

Tanpa sebarang pengalaman khusus kaedah pengendalian dan penternakan ikan keli, namun berbekalkan semangat yang cekal dan tidak mudah mengalah, Mohd Fadlie meneruskan usahanya.



"Pada awalnya memang perit kerana saya langsung tiada pengalaman dalam bidang ini, namun selepas beberapa kali mengikuti kursus dan belajar daripada pengalaman, perusahaan ini kini menjadi sumber pendapatan utama saya untuk menyara keluarga," katanya yang ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menceritakan pembabitan awalnya, Mohd Fadlie berkata, dia mula bergiat secara serius pada 2006 selepas mendapat bantuan modal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sebanyak RM3,000 selepas bancian rakyat termiskin yang dibuat badan itu mendapati dia tergolong daripada kalangan miskin.

Katanya, sebelum itu selepas perniagaan produk tenusu yang diusahakannya selama kira-kira empat tahun terpaksa `gulung tikar' pada 1997, berikutan kegawatan ekonomi negara, dia hampir putus asa dan melakukan pelbagai kerja bagi memastikan semua anak dan isterinya tidak kelaparan di rumah.

Mohd Fadlie berkata, selepas tidak berniaga dia melakukan pelbagai kerja dan usaha mencari benih ikan dan anak ikan untuk dijadikan umpan memancing serta ternakan keli secara kecil-kecilan akhirnya berjaya dibesarkan hasil bantuan dan bimbingan daripada beberapa agensi kerajaan.

Kini dia mampu memperoleh pendapatan antara RM1,500 hingga RM5,000 sebulan melalui jualan hasil ternakan keli dalam 18 unit kanvas yang diusahakan, selain menjadi pembekal benih haruan dan keli serta menjadi pembekal ikan umpan kepada pemancing di sekitar Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Mohd Fadlie juga mengusahakan ternakan ikan hiasan di halaman rumah yang turut memberikannya pendapatan tambahan dan antara yang diternak adalah ikan dari spesies guppy, molly, ikan laga siam dan ikan pedang.

Katanya, ketika ini dia sedang dalam peringkat percubaan menghasilkan keropok keli dalam mempelbagaikan lagi produk hasil ternakan keli sangkar yang diusahakannya selain merancang untuk membuka kedai ikan hiasan sendiri di kawasan rumah.

Sumber:Berita Harian

Hasil melon glamor capai kualiti

ALOR LINTANG – Peserta tanaman tembikai melon glamor Projek Fertigasi Mega Alor Lintang kini mampu tersenyum apabila sebahagian besar hasil yang dituai musim ini mencapai tahap kualiti buah yang ditetapkan.

Ketua Kelompok, Mohd Rosli Rawi berkata, semua lapan peserta mampu tersenyum puas dengan hasil yang dituai sejak kelmarin apabila lebih 90 peratus buah mencapai gred A sebagai-mana yang ditetapkan syarikat pemborong, Terenganu Agro-tech Development Sdn Bhd (TADC).

TADC adalah anak syarikat kerajaan negeri yang berperanan membeli hasil kebanyakan peserta fertigasi melon glamor di negeri ini untuk dipasarkan.

“Berkat usaha bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa dengan pencapaian musim lepas, nampaknya telah membuahkan hasil membanggakan, malah ia memberi semangat untuk kami bekerja lebih keras lagi.

“Ini adalah tanaman musim keempat yang kami usahakan sejak projek ini dijalankan dan buah pada musim ini juga paling baik dan bermutu kami peroleh,” katanya pada majlis perasmian penuaian yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof.

Kata Mohd Rosli, lebih membanggakan apabila tahap kemanisan buah yang dihasilkan kali ini melebihi tahap minimum yang dikehendaki TADC, iaitu bacaan kemanisan mencapai 14 brix, sedangkan had bacaan kemanisan buah yang diperlukan adalah 12 brix untuk mencapai buah gred A.

Menurutnya, beberapa spesifikasi lain yang ditetapkan untuk dikelaskan gred A antaranya berat buah perlu melebihi 1.2 kilogram, netting penuh (kualiti kulit) dan tidak rosak serta tangkai buah tidak kering.

“Tanaman melon glamor atau lebih dikenali sebagai rock melon boleh dituai setelah 75 hari ditanam dalam polibag yang dikhaskan.

“Kami juga telah belajar daripada kesilapan dan kelemahan lalu termasuk melakukan kajian sendiri bagi mendapatkan hasil yang lebih baik selain mendapat nasihat penggunaan baja dan cara penanaman yang baik daripada pembekal baja dan juga kakitangan Jabatan Pertanian Daerah,” katanya.

Mohd Rosli berkata, setiap peserta menanam sebanyak 2,000 pokok dengan purata hasil tuaian pada musim ini sebanyak tiga metrik tan seorang.

Sementara itu, Muhamad Pehimi menggesa peserta meneruskan usaha agar pertanian mampu menjadi satu sumber pendapatan lumayan kepada mereka.
Sumber:Sinar Harian

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails