Monday, May 25, 2009

Timur: Kilang Felda Bukit Sagu pembekal makanan lembu


Pelepah kelapa sawit diproses hasil 1,200 tan pellet sebulan KUANTAN: Kilang pelepah kelapa sawit (OPF) bernilai RM14.1 juta di Felda Bukit Sagu, dekat sini mampu membekalkan makanan untuk ternakan lembu dan kambing bagi pasaran tempatan apabila beroperasi sepenuhnya. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan, berkata kilang itu yang mula beroperasi sejak Julai tahun lalu kini menjadi pembekal utama makanan ternakan kepada penternak di Kuantan dan sekitarnya.
"Kilang yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu kini mampu menghasilkan sehingga 1,200 tan makanan ternakan dalam bentuk pellet sebulan. "Jika kilang ini beroperasi pada tahap maksimum, ia mampu mengeluarkan sehingga 3,600 tan makanan ternakan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang OPF Felda Bukit Sagu dekat sini, kelmarin. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Mohd Sohaimi Md Shah dan Pengurus Kilang, Jamil Md Yasin.
Terdahulu, Ahmad dibawa melawat dan meninjau sendiri operasi kilang terbabit yang juga satu-satunya kilang pemerosesan pelepah kelapa sawit untuk dijadikan makanan ternakan di dunia. Kunjungan itu adalah antara agenda beliau dalam Program Siri Bermalam Bersama Peneroka Felda di Felda Bukit Sagu 2. Ahmad berkata kilang berkenaan yang diusahakan Felda dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menggunakan teknologi Jerman dan Jepun untuk proses pengeringan dan campuran. Menurutnya, kilang berkenaan menghasilkan dua jenis makanan, iaitu pellet 100 peratus daripada pelepah dan pellet mengandungi makanan campuran bagi ternakan kambing dan lembu.
"Setakat ini, kilang berkenaan tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan bahan mentah pelepah kelapa sawit kerana Felda Wilayah Kuantan mempunyai ladang kelapa sawit seluas lebih 61,000 hektar meliputi 42 tanah rancangan, iaitu di Felda Bukit Sagu, Felda Bukit Kuantan dan Bukit Goh. "Tiga tan pelepah kelapa sawit mampu menghasilkan sehingga satu tan pellet makanan. "Pihak kilang membeli pelepah kelapa sawit peneroka melalui Koperasi Felda dengan harga RM65 setan," katanya. Beliau berkata, hasil keluaran kilang juga mendapat permintaan tinggi di kalangan penternak di sekitar daerah Kuantan kerana makanan dikeluarkan bermutu tinggi serta mengandungi nutrien yang diperlukan haiwan ternakan selain setanding dengan makanan ternakan dijual di pasaran. Ahmad berkata pihak pengurusan kilang juga sedang mengadakan perbincangan peringkat terakhir dengan Kerajaan Terengganu yang berminat membeli hasil keluaran kilang terbabit. Selain itu, katanya, Felda juga sudah menghantar sampel pellet 100 peratus pelepah kepada bakal pembeli di Korea Selatan dan Kanada.

Pokok Jarak Mampu jana ekonomi penduduk

LAYANG-LAYANG KANAN -: Tanaman pokok jarak yang diperkenalkan oleh Syarikat Bionas Sdn Bhd dapat menambahkan pendapatan penduduk terutama mereka yang mempunyai tanah sendiri.
Seorang penduduk yang ditemui semasa taklimat tanaman pokok jarak, Ismail Ibrahim berkata, dia mendapat maklumat berkenaan pokok jarak itu daripada pihak peladang dan berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan pokok jarak itu melalui taklimat yang diadakan. “Saya lihat tanaman ini amat bagus terutama kepada mereka yang mempunyai tanah kosong sebagai menambahkan pendapatan sampingan. “Seperti yang diterangkan oleh pihak syarikat Bionas, pokok jarak ini mudah ditanam dan senang dijaga,” katanya.
Ismail berkata, pokok jarak itu tidak sama seperti pokok lain yang memerlukan penjagaan rapi serta penjagaan teliti. “Saya mempunyai sedikit tanah dan akan mencuba tanaman ini. Lagipun penerangan yang diberikan tentang pokok ini tidak seperti kelapa sawit yang memerlukan penjagaan rapi serta mudah diserang serangga perosak,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang ditemui, Zahadi Yeop Ahmad, 73, berkata, tanaman ini boleh membantu dalam memajukan taraf ekonomi penduduk di mana hasilnya juga lumayan. “Pulangan untuk tanaman ini juga agak cepat kerana dalam masa enam bulan sahaja kita sudah boleh mendapat hasilnya,” katanya. Zahadi berkata, pokok jarak juga tidak mempunyai musuh yang boleh merosakkannya. “Melalui penerangan daripada pihak Bionas, pokok ini jarang diserang serangga perosak kerana ia mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. “Ia berbeza dengan tanaman lain yang mudah diserang serangga perosak dan agak susah untuk dijaga berbanding pokok ini yang kos penanamannya juga murah,” katanya.

Thursday, May 21, 2009

UPP rampas kayu gaharu RM400,000



BUKIT KAYU HITAM- Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam berjaya menumpaskan kes penyeludupan kayu karas (gaharu) bernilai lebih RM400,000 dalam satu serbuan hasil maklumat orang awam di sebuah rumah di Changlun, kelmarin.

Komander UPP Kedah, Mohd Noor Idris berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh sembilan anggota UPP diketuai S M Tajudin pada 19 Mei kira-kira jam 6.10 petang.

Menurutnya, dalam serbuan itu anggota UPP turut menahan dua lelaki, seorang warga tempatan dan seorang lagi warga Thailand masing-masing berumur 38 dan 40 tahun.

“Kes ini dipercayai didalangi sindiket kerana melibatkan barangan yang bernilai tinggi. Kayu yang dirampas iaitu kayu karas atau lebih dikenali oleh warga tempatan sebagai gaharu adalah jenis kayu yang dilindungi dan mempunyai nilai di pasaran.

“Sebanyak 73.73 kilogram kayu karas dirampas dalam operasi tersebut yang dianggarkan bernilai RM5,000 hingga RM6,000 bagi gred A setiap sekilogram yang digunakan untuk membuat minyak wangi manakala gred B sekitar RM1,500 sekilogram digunakan untuk membuat gaharu,” katanya pada sidang media, semalam.

Katanya, kayu-kayu tersebut dipercayai berasal dari Malaysia dan dibawa masuk ke Thailand untuk tujuan pemprosesan sebelum dibawa masuk semula ke Malaysia untuk dieksport ke luar negara.

Mohd Noor berkata, ketika serbuan dilakukan, dua lelaki tersebut sedang memunggah kayu-kayu itu dari kereta bernombor pendaftaran Thailand ke sebuah lagi kereta bernombor pendaftaran Malaysia.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, anggota UPP menjumpai kayu tersebut di dalam kenderaan terbabit.

Sementara itu, seorang warga Thailand yang ditahan dalam operasi tersebut didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Katanya, semua kayu yang dirampas mempunyai gred-gred tertentu dan dipercayai kayu berwarna gelap mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding warna yang lebih muda malah mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada anggaran apabila dieksport ke luar negara seperti Timur Tengah.

Menurutnya, rampasan tersebut adalah kes kedua yang berjaya ditumpaskan pihak UPP Bukit Kayu Hitam membabitkan kayu.

“Berdasarkan pemeriksaan terhadap dua lelaki terbabit, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit import eksport yang dikeluarkan pihak Kastam.

“Pada masa sama ia adalah bahan terlarang dan kes boleh disiasat bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan 313 1984 pindaan 1993 kerana memindahkan barang tersebut tanpa permit.

“Jika disabitkan kesalahan mahkamah akan menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan seterusnya.

Penternak lembu rugi RM15,000



JENGKA – Seorang penternak lembu di Felda Jengka 19 di sini mengalami kerugian kira-kira RM15,000 dalam satu kejadian ribut dan angin kuat yang menyebabkan kandang ternakannya rosak teruk, Ahad lalu.

Mangsa, Ahmad Omar, 69, berkata, pada kejadian jam 9 malam itu, dia di pekarangan masjid tanah rancangan tersebut bagi menghadiri majlis agama.

Menurutnya, tiupan angin kuat merentasi masjid dan beberapa rumah penduduk namun difahamkan tiada sebarang kecelakaan berlaku.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa namun keesokannya paginya, saya terkejut melihat salah satu kandang lembu rosak dengan 100 keping atap dan tiang kayu diterbangkan sejauh 800 meter.

“Saya beranggapan bahawa angin itu hanya melalui kandang tersebut sahaja kerana satu kandang lagi dan bilik pejabat tidak terjejas,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ahmad berkata, kandang yang rosak itu baru siap empat bulan lalu dan turut dijadikan tempat memproses baja dari najis lembu dan penternakan cacing.

Menurutnya, bencana itu mengakibatkan diri terpaksa menanggung kerugian besar kerana hanya yang tinggal adalah tapak dan tangan konkrit.

“Buat sementara waktu, 250 lembu terpaksa berhimpit dalam satu kandang sementara saya berusaha mendapatkan bantuan kewangan.

“Saya menceburi bidang ternakan lembu ini sejak dua tahun lalu dengan bermodalkan pinjaman Skim Usahawan Felda (SUF),” katanya.

Ahmad berkata, dia menerima ujian Yang Maha Esa dengan hati terbuka, namun berbesar hati mendapatkan perhatian pemimpin setempat bagi meringankan bebannya.

Langkawi bakal pengeluar mempelam chokanan



MOHD RAWI (kiri) bersama Omar (tengah) dan Ahmad tertarik melihat mempelam chokanan di Kampung Simpang Datai, Langkawi, semalam.

LANGKAWI: Pulau ini berpotensi besar menjadi pengeluar mempelam jenis chokanan di Kedah jika ia diusahakan dalam skala besar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid.

Beliau berkata, ketika ini 9,000 pokok mempelam jenis itu sudah ditanam kawasan seluas 34.33 hektar di Kampung Simpang Datai di sini, sejak tiga tahun lalu.

"Faktor cuaca yang sesuai iaitu suhu panas tidak keterlaluan, membolehkan pulau ini melonjak nama sebagai pengeluar mempelam chokanan utama di Kedah dalam tempoh terdekat.

"Untuk itu, kita akan membuat promosi bersama Jabatan Pertanian bagi menggalak lebih ramai petani tempatan mengusahakan tanaman itu," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis menandatangani ladang kontrak projek berkelompok mangga chokanan antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan peserta projek itu di kampung berkenaan.

Pada majlis itu, Fama diwakili Pengarah Wilayah Utaranya, Mohd Ariffin Awang, manakala peserta projek oleh Pengerusinya, Omar Putih. Hadir sama, Pengarah Kanan Urusniaga Segar Fama, Ahmad Ishak.

Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya bersetuju membeli dan memasarkan 60 tan mempelam chokanan dari Langkawi sepanjang tahun ini.

"Sejak sebulan lalu, kami membeli 17.05 tan. Berdasarkan rekod pula, sebanyak 106.674 kilogram mempelam chokanan dari projek ini dibeli Fama sejak dua tahun lalu dengan nilai hampir RM190,000," katanya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails