Thursday, May 7, 2009

Nanas bakal jadi sumber utama Kubang Pasu

Tanaman di Bukit Kayu Hitam hasilkan keluaran menggalakkan

JITRA: Daerah Kubang Pasu di sini, dijangka menjadi antara pengeluar nanas terbesar di negeri ini apabila tanaman itu diusahakan secara komersial membabitkan keluasan kira-kira 1,200 hektar dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Pertanian yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata nanas dipilih menjadi tanaman komersial di kawasan itu kerana kajian mendapati tanahnya amat bersesuaian, selain nanas tahan lasak pada perubahan cuaca.

"Ia boleh bertahan sama ada ketika cuaca panas atau hujan, tidak seperti tanaman lain yang mudah terjejas.

"Setakat ini tanaman itu sudah diusahakan di kawasan seluas 200 hektar di Bukit Kayu Hitam dan hasilnya amat menggalakkan.

"Kita akan mengadakan perjumpaan dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di daerah ini bagi membincangkan perkara itu," katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) anjuran Rukun Tetangga Taman Mahsuri, di sini.

Mohd Johari turut menyertai rondaan bersama anggota SRS itu yang ditubuhkan pada 17 Mac lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan khidmat nasihat daripada Lembaga Nanas Negara bagi memastikan penduduk yang mengusahakan tanaman itu mendapat bimbingan sewajarnya, termasuk dari segi pemasaran.

Petikan dari Berita Harian online

Generasi Felda sebati dengan Skill-Tech


Najib Tun Razak melawat pameran landskap pelatih SKILL-TECH sempena Karnival Kemahiran Generasi Felda suatu ketika dahulu.


Pengalaman selama 12 tahun dalam industri latihan kemahiran menjadikan Institut Skill-Tech bukanlah asing bagi warga Felda.

Sebelum wujudnya pelbagai tabung dan dana latihan kemahiran, Skill-Tech telah menjelajah ke seluruh pelosok tanah rancangan Felda dalam usaha menggalakkan generasi Felda menimba kemahiran sebagai penyambung warisan Felda.

Menurut Pengerusi Eksekutif, Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, pelbagai pengalaman pahit manis pernah dirasai sepanjang tempoh tersebut dan generasi Felda amat sinonim dengan beliau.

Pernah suatu ketika dulu hampir 80 peratus pelatih generasi Felda menjadi pelatih Skill-Tech dengan kapasiti 2,000 orang serentak.

''Ketika itu kami pula berdepan dengan pelbagai masalah yang melibatkan dana Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) yang memaksa saya meneruskan latihan pelatih tanpa bayaran kenaikan tahap.

" Saya menyedari bahawa kemahiran satu-satunya penyelesaian generasi Felda untuk menuju masa depan yang baik,'' katanya.

Demi keprihatinan itu, Nordin juga pernah membuat tindakan nekad berkumpul beramai-ramai dan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 2004.

Atas simpati Perdana Menteri yang kebetulan memang mahu memberikan latihan kemahiran kepada generasi Felda, beliau mengumumkan peruntukan pertama berjumlah RM25 juta bermula tahun 2005.

Skill-Tech adalah antara penerima awal. Namun peruntukan itu tidak disediakan lagi mulai tahun lepas.

Pun begitu, tuah generasi Felda tetap ada apabila Skim Latihan Kemahiran Sumber Manusia Untuk ILKS Bumiputera diwujudkan tahun lalu yang membolehkan generasi Felda mengikuti latihan pertanian dan industri asas tani di Skill-Tech.

''Walaupun Felda tidak menyediakan lagi peruntukan kepada kami, skim tersebut memberi peluang yang lebih baik kerana setiap pelatih dapat mengikuti latihan tahap 1 dan 2 serentak dengan pembiayaan percuma kerajaan,'' katanya.

Pada masa ini sambutan generasi Felda amat menggalakkan. Beberapa pelatih yang ditemui menyatakan kegembiraan kerana dapat mengikuti bidang pertanian yang telah menjadi darah daging mereka.

Bagi Mohd. Azim Mohd. Taib dari Felda Jelai, Gemas, beliau mengakui Skill-Tech telah berjaya memberikan pendedahan dan menyerapkan minat yang mendalam terhadap bidang pertanian terutama penternakan ikan air tawar.

"Walaupun persekitaran tanah rancangan adalah bercirikan pertanian, kaedah dan teknik sebenar hanya diperolehi ketika di Skill-Tech.

''Sebenarnya banyak potensi tanah rancangan yang boleh dikembangkan sebagai sumber pertanian tetapi kesedaran usaha tersebut tidak begitu mendalam sehinggalah kami berada di Skill-Tech,'' katanya.

Malah beliau sanggup berhijrah ke kawasan lain jika Skill-Tech menyediakan kawasan ternakan ikan di bawah skim inkubator selepas tamat latihan.

Bagi pelatih akuakultur SKM 1 dan 2, Norsuhada Husaini dari Felda Triang 3, Pahang pula menanam keazaman untuk meneruskan tapak kolam ternakan ikan yang pernah diusahakan keluarganya di Felda Triang 3.

Namun bekas kolam berkenaan terbiar kerana bapanya sudah tidak berupaya mengusahakannya lagi disebabkan faktor usia.

''Walaupun menyedari saya terpaksa mengusahakan semula dengan pelbagai cabaran baru, saya tetap mencuba supaya minat dan kemahiran saya akan dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan saya dan keluarga", katanya dengan yakin.

Kedua-dua pelatih tersebut menyeru supaya lebih ramai generasi Felda merebut peluang latihan yang disediakan Skill-Tech kerana kemahiran mereka bukan sahaja dapat membangunkan tanah rancangan tetapi juga menjadi sumber pendapatan baru kepada generasi baru.

Mereka juga yakin, walaupun Felda tidak membiayai latihan mereka tetapi pengurusan Felda dijangka akan bekerjasama menyediakan peluang niaga terutama dalam bentuk pinjaman pembiayaan mudah.

Difahamkan hampir 30 peratus pelatih Skill-Tech kini adalah generasi Felda. Sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus di Skill-Tech boleh menghubungi 06-5531416/18.

Sunday, May 3, 2009

Penanaman Sayuran guna Teknologi Fertigasi

image Sistem Tanaman Fertigasi

Fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation. Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan diberikan serentak kepada tanaman. Fertigasi tergolong dalam kumpulan hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah

Perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation. Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan diberikan serentak kepada tanaman. Fertigasi tergolong dalam kumpulan hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah. Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya tomato, cili, timun, terung, melon dan strawberi.


Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya dibawa oleh tanah. Selain daripada itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak polibeg.

Kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi mampu membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran. Air dan larutan baja diberikan secara berkala setiap hari. Larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar tanaman.

Teknologi sistem fertigasi ini paling praktikal dibuat di bawah Struktur Pelindung Hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam tidak mudah dijangkiti oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang disebabkan oleh percikan hujan. Selain daripada melindungi tanaman daripada jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan mengakibatkan pertumbuhan pokok terjejas dan hasil merosot.

SISTEM FERTIGASI

Sumber : http://abiagro.com.my

Insken bimbing usahawan tani Skill-Tech

Kejayaan kerajaan mengubah persepsi masyarakat terhadap kerjaya bidang pertanian, telah mengubah paradigma petani, bukan hanya sebagai kerjaya biasa tetapi melonjakkannya sebagai usahawan.

Malah, kita berbangga kerana ramai usahawan tani yang telah mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam Skim Latihan Kemahiran Sumber Manusia Untuk ILKS Bumiputera, Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan kerajaan antara lainnya adalah memastikan sebahagian pelatih menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan.

Bagi mencapai KPI ini, Institut Keusahawanan Negara (Insken) memainkan peranan utama membimbing pelatih Institut Skill-Tech menjadi usahawan tani sebaik sahaja tamat latihan.

Menurut Pengarah Insken, Kamariah Yeop Abdullah, pihaknya telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan memantau skim berkenaan sejak diwujudkan pada tahun lalu.

Antara lain, Insken telah mensasarkan supaya sekurang-kurangnya 30 peratus pelatih Tahap 1 dan 2 akan memulakan perniagaan sebaik sahaja tamat latihan.

Bakinya akan menceburi perniagaan selepas tamat kursus lanjutan peringkat Diploma Kemahiran Malaysia.

''Bagi mencapai KPI tersebut, kami membantu Skill-Tech membimbing pelatih menggunakan modul yang disediakan Insken termasuk melatih tenaga pengajar mereka dalam pengurusan subjek Keusahawanan,'' katanya.

Berdasarkan pemantauan dan penyeliaan Insken , kami dapati Skill-Tech telah berjaya menanam minat yang mendalam pelatih terhadap pertanian secara komersial.

Maka tugas Insken adalah untuk memastikan pelatih ini dibimbing dengan asas pengurusan perniagaan. Latihan Industri (LI) pula mengukuhkan lagi minat dan kefahaman mereka terhadap perniagaan pertanian dan industri asas tani.''Pendekatan skill-Tech yang menekankan kemahiran LI dan jalinan kerjasama dengan banyak syarikat-syarikat berkaitan, memudahkan lagi proses pembentukan usahawan di kalangan pelatih,'' ujar beliau.

Selain menjadikan keusahawanan dan jatidiri sebagai latihan wajib pelatih Skill-Tech, Sijil Keusahawanan Insken telah dijadikan syarat wajib untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan seperti Mara dan Tekun.

''Oleh itu, mereka tidak perlu lagi untuk mengikuti kursus Latihan Pembangunan Usahawan (LPU) yang menjadi syarat Mara dan Tekun kepada bakal peminjam. Sebaliknya mereka layak memohon secara automatik selepas tamat latihan,'' tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek berkata, pihaknya bukan sahaja menggalakkan semua pelatih menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan, malah menasihatkan mereka yang berhasrat untuk bekerja supaya menjadikannya sebagai pilihan terakhir.

Bagi mencapai visi dan KPI yang ditetapkan Insken, Institut Skill-Tech memastikan semua pelatih sentiasa diterapkan dengan konsep TEA yang menjadi teras Skill-Tech.

Konsep TEA bermaksud setiap pelatih perlu mempunyai tiga kemahiran iaitu kemahiran teknikal (Technical Skill), Keusahawanan (Entreprenuership) dan Kemahiran menghadapi cabaran (Adversity Quotient).

''Kajian dan pengalaman kami menunjukkan bahawa tanpa keupayaan TEA, pelatih kami tidak akan menjadi usahawan seperti diharapkan,'' kata Nordin.

Jelas Nordin lagi, LI kedua akan menumpukan sepenuhnya persediaan perniagaan. Pelatih-pelatih yang sudah bersedia untuk membuka perniagaan akan memulakannya ketika LI kedua.

Pada masa ini juga, Skill-Tech sedang bekerjasama dengan Mara dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk mewujudkan inkubator usahawan tani ala Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), milik MOA Inc.

Wednesday, April 29, 2009

PELINDUNG HUJAN MENINGKAT HASIL SAYUR

Penggunaan pelindung hujan dalam pengeluaran sayur-sayuran mempunyai kebaikannya tersendiri seperti:-

  • Mengalakkan kerosakan fizikal pada bahagian daun akibat hempapan air hujan.

  • Penyakit-penyakit yang mudah merebak di musim hujan seperti Hawar Phytopthora, reput air dapat dielakkan.

  • Meningkatkan keberkesanan penggunaan baja.

  • Mengurangkan 20-30% keterikan matahari ke tahap yang sesuai untuk fotosintesis tanaman
    (30-80 Klux).

  • Dapat mengawal perosak Plutella sp. dan Helulla tanpa atau menggunakan racun perosak
    yang minimum.

  • Pekerja boleh bekerja di waktu hujan.

Selain dari kebaikan di atas, penggunaan pelindung hujan dapat meningkatkan hasil pengeluaran sayur-sayuran. Hasil boleh meningkat sebanyak 2-4 kali ganda lebih tinggi dari penanaman di tempat terbuka. Penggunaan pelindung hujan dapat mengawal perosak Plutella dan Hellula pada tanaman kobis, kobis bunga, kobis cina dan kailan dengan berkesan tanpa mengguna atau menggunakan racun perosak yang rendah. Ini boleh menghasilkan sayur-sayuran yang bebas dari sisabaki racun perosak. Penggunaan sistem ini turut merendahkan peratus kerosakan ke atas sayur-sayuran akibat serangan serangga dan penyakit sebanyak 30-49 peratus.

Pada asanya, pelindung hujan terdiri daripada bumbung plastik dan bertiang kayu atau besi. Plastik lutsinar digunakan sebagai atap kerana harganya yang murah dan sesuai untuk berbagai bentuk binaan. Bentuk-bentuk binaan pelindung hujan dinamakan berasaskan struktur bumbungnya. Dua bentuk yang mudah dibina ialah bentuk mata gergaji dan bentuk gable berbanding bentuk terowong yang agak mahal kosnya.

Bagi sebuah pelindung hujan, kos pembinaannya dianggarkan RM30-40 ribu (tahun 1993) bagi 0.4 hektar kawasan. Kos kayu dan plastik merangkumi 80% daripada kos keseluruhan. Selain dari itu, penggunaan pelindung hujan memerlukan sistem pengairan dengan anggaran kos sebanyak RM6,000 (1993) bagi 0.4 hektar kawasan.


(Dipetik dari majalah Teknotani April 1993)

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails