Walaupun tidak mempunyai latarbelakang yang formal dalam bidang pertanian tetapi tindakan Ammar Abdul Aziz, 35, untuk menjadi usahawan tani sedikit sebanyak dapat menepis anggapan masyarakat terhadap bidang pertanian.
Mendapat ijazah pertama di Hawaii dan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi di London, United Kingdom (UK), Ammar mula mengusahakan ladang sayurnya secara sepenuh masa sejak 2005 di atas tanah milik keluarga seluas empat ekar di Kampung Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan.
Menceritakan pahit getir bergelumang dalam bidang pertanian khususnya penanaman sayur secara konvensional selama tiga tahun, Ammar berkata, mereka yang mahu bergiat dalam bidang ini perlu mempunyai semangat yang kuat.
"Dalam tempoh dua tahun ini dua kali saya terasa amat putus asa dan berfikir untuk mengalah dan meninggalkan segalanya.
"Tetapi pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian banyak memberikan khidmat nasihat dan galakan kepada saya sehingga saya ke peringkat sekarang," katanya semasa ditemui di ladangnya di Mambau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Ammar melahirkan rasa terharu dengan agensi kerajaan yang banyak memberikan galakan walaupun beliau mengalami pelbagai masalah ketika itu.
Biarpun pernah menjawat jawatan glamor dan selesa iaitu pengurus dana, Ammar tidak menyesal meninggalkan semuanya untuk berbakti pada tanah.
Galakkan dan sokongan daripada ahli keluarga terutama ibu dan ayah sentiasa menjadi pendorong untuk terus berjaya.
Setelah berjaya mengharungi pahit maung dalam bidang pertanian, kini beliau yang telah menyewa empat ekar lagi tanah di sebelah tanahnya menanam tanaman berpara seperti kacang panjang, bendi, timun, cili dan cili padi.
Bermula dengan menanam sayur-sayuran secara konvensional, kini Ammar mula menanam cili merah secara fertigasi tertutup sementara cili padi secara terbuka.
Mengaplikasikan kepakarannya dalam strategi kewangan dalam pertanian, Ammar banyak mengumpul data-data hasil ladangnya.
"Data yang saya dapati saya bandingkan dengan data daripada MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan Jabatan Pertanian.Jika terdapat perbezaan ketara, saya akan cuba mencari puncanya.
"Setiap pagi saya akan meninjau kebun dan melihat apa yang tidak kena sama ada serangga, virus atau bakteria," katanya.
Ammar akan mengumpul semua data sama ada serangga hidup atau bahagian pokok yang diserang untuk dikaji sama ada di MARDI, Jabatan Pertanian atau institut pengajian tinggi tempatan.
Dengan cara ini, Ammar dapat mengetahui lebih lanjut mengenai makhluk perosak serta racun perosak yang sesuai digunakan.
Memegang pepatah Inggeris, 'tidak mengumpulkan telur dalam satu bakul,' Ammar mengusahakan pelbagai jenis tanaman sebagai persediaan jika sesuatu berlaku pada satu-satu tanamannya.
Ini juga merupakan satu langkah supaya pendapatannya berterusan sementara menunggu tanaman lain mengeluarkan hasil.
"Saya 'melayan' kebun sayur saya sama seperti bisnes-bisnes lain dengan strategi yang sama.
"Bagi saya pertanian adalah satu perniagaan," katanya yang memulakan pertanian menggunakan modal daripada simpanannya sendiri.
Baginya setiap tanaman mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri misalnya bendi dikatakan tanaman paling mudah ditanam tetapi harganya pula agak murah.
Cili merah dan cili padi yang mempunyai harga yang tinggi tetapi penjagaannya agak sukar dan memerlukan tenaga buruh yang ramai bagi tujuan memetik.
Ammar juga menjalankan strategi merekodkan dan mengumpul semua harga sayuran di pasaran bagi membolehkannya memantau harga di masa akan datang.
"Mainan harga sudah menjadi asam garam hidup sehingga saya mengambil inisiatif memantau dan merekodkan harga sayuran setiap hari.
"Ini bagi memastikan saya boleh mendapatkan tanda aras harga setiap sayuran dan boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan," katanya yang bercita-cita membesarkan lagi ladang sayurnya.
Selepas menjalani pelbagai 'kisah pahit' dalam pertanian, kini Ammar melibatkan diri dalam fertigasi pokok cili.
Menjalankan trial and error dalam pertanian selama dua tahun menjadikan Ammar lebih matang dalam mengharungi industri tanaman.
Beliau yang amat peka dengan apa yang berlaku di ladangnya tidak pernah memohon mana-mana pinjaman selama membuka ladang sayur-sayuran.
"Sejak awal saya mengeluarkan wang poket sendiri untuk menguruskan ladang ini dan saya masih belum menganggap diri saya berjaya.
"Saya berharap suatu hari nanti, pekebun sayur akan dapat hidup mewah dengan hasil jualan sayur mereka," katanya.