Monday, February 2, 2009

Rahsia Chocolate House Azizi


MOHD. Hairul Azizi menunjukkan sebahagian jenis coklat yang dijual di Chocolate House, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, semalam.


KOTA TINGGI 29 Jan. - Apabila bercerita mengenai coklat, baik lelaki atau wanita, pasti terbayang tentang keenakan dan aroma makanan kegemaran ramai itu.

Malah, terasa enak tatkala coklat cair di dalam mulut ditambah pula dengan campuran kepingan badam, kismis dan pelbagai jenis bahan tambahan.

Kini, coklat bukanlah satu 'makanan mahal' seperti yang pernah 'berlegar' dalam minda penggemarnya suatu ketika dahulu kerana ia merupakan makanan yang cukup digemari segenap lapisan masyarakat tanpa mengenal usia.

Mengimbau kenangan dahulu, coklat hanya dihidangkan ketika majlis-majlis tertentu seperti jamuan makan malam korporat atau majlis perkahwinan, itu pun hanya diberikan sebagai hantaran kepada pasangan masing-masing.

Namun kini, pendekatan tersebut telah mengalami sedikit perubahan apabila coklat mula dihidangkan kepada umum tidak kira majlis malah ada yang menjadikannya sebagai makanan ringan.

Lebih mengujakan, coklat turut dilihat mampu untuk menceriakan hati pasangan masing-masing apabila dijadikan hadiah untuk hari bahagia.

Tetapi, jarang sekali kita mendengar terdapat coklat buatan Malaysia terutama 'buah tangan' anak Melayu berada di pasaran.

Tercabar untuk merealisasikan impian itu, Mohd. Hairul Azizi Amat Tokimin, 29, merasa terpanggil untuk menceburi bidang perniagaan pemerosesan makanan berasaskan coklat.

Bernaung di bawah syarikat Brely's Secret, jejaka yang lebih selesa dipanggil Azizi itu mempertaruhkan resipi rahsia coklatnya untuk dinikmati oleh penggemar coklat.

Mungkin jenama coklat seperti Dark Chocolate, Marble Chocolate, Milk Chocolate dan Mix Chocolate agak asing kepada penggemar coklat di Malaysia, namun bagi Azizi itulah cabaran yang paling besar harus ditempuhinya bagi memastikan coklat jenamanya itu mampu bersaing dengan coklat jenama luar negara yang lain.

Bercerita berkenaan syarikatnya, kata Azizi, Brely's Secret telah ditubuhkan pada 31 Januari 2008 di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Brely's Secret merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan khususnya dalam bidang pemakanan yang berasaskan coklat.

Syarikat tersebut turut menawarkan perkhidmatan pembungkusan produk makanan ringan dan cenderamata untuk majlis eksklusif.

"Antara perkhidmatan lain yang ditawarkan adalah pembungkusan makanan untuk majlis perkahwinan dan makanan ringan daripada usahawan dan peniaga setempat," katanya.

Biarpun hanya berusia 'setahun jagung', Brely's Secret mampu berbangga apabila syarikat tersebut berjaya menghasilkan pelbagai produk coklat sehingga 60 jenis.

Misi bagi menjayakan perniagaannya dimulakan dengan membuka sebuah bilik pameran yang dinamakan sebagai Chocolate House di Bandar Penawar, di sini awal bulan ini.

Biarpun 'rumah coklat' itu hanya berusia tidak sampai sebulan, mereka tidak 'sunyi' apabila saban hari menerima kunjungan daripada pelancong dan masyarakat setempat.

"Boleh dikatakan setiap hari kami akan menerima kunjungan yang kebanyakan adalah pelancong. Mengikut rekod yang kami buat sehingga kini lebih 20 buah bas membawa pelancong datang melawat ke Chocolate House kami," katanya.

Ditanya mengenai resipi coklatnya, beliau hanya tersenyum sambil menjawab: "Itu rahsia. Saya mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan resipi tersendiri. Itu sebabnya nama syarikat saya dan juga jenama produk ada perkataan secret (rahsia).

"Semua coklat dibuat di sebuah kilang di Bandar Tenggara dengan jumlah pekerja seramai empat orang. Bahan mentah utama yang digunakan adalah koko yang diperoleh dari Sabah," katanya sambil memberitahu bahawa produk coklatnya dijual antara 80 sen sehingga RM290.

Kompos cacing alternatif kepada baja kimia


Md. Arif Shah Yahya menunjukkan baja cacing Bio Compost hasil keluaran syarikat Balqis Agrotech di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU Jan. - Sebut sahaja cacing, ramai yang geli melihat atau menyentuhnya.

Jika sebelum ini, ia sering dijadikan umpan untuk memancing dan dibiarkan membiak secara semula jadi, namun kini cacing menjadi sumber pendapatan lumayan, malah sudah ramai yang membelanya.

Ini kerana koloni cacing amat berguna untuk menghasilkan baja organik menerusi kompos yang 'diciptanya' dan ia didapati jauh lebih baik berbanding baja kimia.

Menyedari manfaat makhluk Tuhan ini, syarikat Balqis Agrotech yang beroperasi di Kampung Parit Haji Ali Darat, Parit Raja, Batu Pahat menceburi bidang penternakan cacing.

Pengurus Ladang, Md. Arif Shah Yahya berkata, pihaknya baru memperkenalkan baja organik itu di pasaran di negeri ini pada akhir tahun lalu.

Ia dilaksanakan selepas kejayaan kira-kira 160 penternak cacing kompos kelolaan syarikat terbabit menghasilkan baja semula jadi berkenaan.

"Ia adalah teknologi yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Lagipun ia selamat digunakan ke atas tanaman seperti sayur-sayuran dan bunga kerana tidak mengandungi campuran kimia berbahaya," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Md. Arif Shah berkata, pihaknya mengeluarkan baja organik itu dalam bentuk cecair dan kompos.

Produk keluarga syarikat berkenaan kini menerima sambutan daripada pengguna dan dijual dengan harga RM4.50 bagi paket kompos seberat 400 gram, manakala, bagi satu liter baja dalam bentuk cecair pula dijual pada harga RM10.

Katanya, pelanggan terbesarnya kini adalah salah sebuah rancangan Felda di Segamat yang menempah sebanyak satu tan baja tersebut untuk digunakan dalam projek tanaman dapur.

Roti gebu Rogayah dapat sambutan menggalakan


ROGAYAH Alias sambil dibantu anaknya Nurashikin Tukiran membuat roti ban di rumahnya di Bukit Batu, Kulaijaya, Johor, semalam.


KULAIJAYA 1 Feb. – Bagi usahawan baru, Rogayah Alias, 53, tempoh masa 10 tahun yang diambil untuk belajar membuat pelbagai jenis roti amat berbaloi apabila roti buatannya kini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Menurut ibu kepada enam orang anak itu, tempoh tersebut digunakan untuk dia memahirkan diri dalam bidang pembuatan roti agar kualiti rotinya setanding dengan pengusaha roti lain.

Katanya, seseorang itu perlu sabar dan tekun dalam mendalami ilmu membuat roti kerana ia melibatkan beberapa teknik bagi menghasilkan roti yang gebu dan lembut.

“Kini, alhamdulillah biarpun baru setahun beroperasi, roti yang dihasilkan mendapat sambutan daripada pelanggan yang terdiri daripada masyarakat setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rogayah kini mengusahakan perusahaan roti ban secara kecil-kecilan di rumahnya di Kampung Bukit Batu, di sini dengan dibantu oleh seorang anak perempuannya, Nurasyikin Tukiran, 24.

Jelasnya, kebanyakan roti itu dihantar ke sekolah-sekolah dan ada yang diambil sendiri oleh pelanggan.

“Pada mulanya saya berasa bimbang untuk memulakan perusahaan ini biarpun telah belajar selama 10 tahun.

“Namun, selepas berfikir dan mendapat galakan keluarga, saya memulakan perniagaan ini dengan modal permulaan sebanyak RM300,” ujarnya.

Dalam sehari, kata Rogayah, dia menggunakan sebanyak lima kilogram (kg) tepung untuk membuat roti ban yang mampu menghasilkan 220 biji roti.

Ia dijual pada harga antara 60 sen hingga RM1.20 bergantung kepada saiz.

Mengenai perancangan pada masa depan, Rogayah berkata, dia sedang dalam proses untuk membesarkan lagi perusahaan itu dengan membina sebuah bengkel di sebelah rumahnya.

Menurutnya, dia mendapat bantuan modal sebanyak RM10,000 daripada Jabatan Pertanian untuk mengusahakan bengkel berkenaan.

Jelasnya lagi, bengkel itu akan dapat beroperasi dalam tempoh terdekat.

Lenggong jadi pusat pengeluaran ikan

LENGGONG 1 Feb. - Pembinaan Kompleks Pusat Ikan Pekasam Negara (PIPN) bernilai RM4 juta di Kampung Kelantan dekat sini, bakal mempopularkan kawasan itu sebagai pengeluar utama produk tersebut.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, produk ikan pekasam sememangnya sudah sinonim di kawasan itu terutamanya sekitar Tasik Raban tetapi hanya dihasilkan secara kecil-kecilan selain pemasarannya juga dibuat secara bersendirian.

Bagaimanapun katanya, apabila kompleks yang dijangka siap pada Jun itu mula beroperasi, ia akan menjadi lokasi sehenti kepada lebih 20 pengusaha ikan pekasam di kawasan terbabit.

''Usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani khususnya Jabatan Perikanan ini merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan kerana ia memberi faedah kepada pengusaha terbabit dan pada masa sama memperkenalkan Lenggong kepada orang luar," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Input Pertanian dan Pelancaran Kempen Bumi Hijau peringkat Parlimen Lenggong yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail.

Sementara itu, Mohd. Mokhtar berkata, kewujudan kompleks tersebut tidak akan membawa faedah besar kepada pengusaha di kawasan itu jika pasarannya tidak meluas.

''Sehubungan itu, saya berharap, pihak-pihak berkaitan akan terus menggiatkan usaha memperkenalkan produk ikan pekasam di seluruh negara," katanya.

Beliau juga berkata, selain pembinaan PIPN, pihak kementerian juga akan memajukan industri pertanian dan penternakan di kawasan itu.

''Saya telah mengemukakan satu rancangan pertanian dan penternakan bersepadu kepada kementerian dan kita telah kenal pasti kawasan seluas 16.2 hektar yang berpotensi dimajukan sebagai lokasi penanaman nenas," katanya.

Monday, January 5, 2009

Jambu manis dari Muar


Tan Jui Seng menunjukkan buah jambu yang terdapat di ladangnya di Muar.


MUNGKIN menyedari masa depannya dalam dua pekerjaan bergaji tetap tidak sebaik mana kerana bersekolah setakat umur 13 tahun sahaja, maka keputusan yang diambil menceburi bidang pertanian sebagai jalan terakhir.

Namun, faktor sampingan lain juga tidak boleh diketepikan kerana keputusan memilih tanaman jambu air sebenarnya bermula sebagai hobi.

Chua Yap Keng dan Tan Jui Seng sebenarnya rakan kongsi yang mengusahakan tanaman jambu air dan mengabadikan nama mereka pada ladang yang diberi nama Keng Seng Nursery sebagai tanda keakraban dan perkongsian harapan dalam bidang pertanian.

Yap Keng berkata, dia pada mulanya dipertemukan dengan seorang rakan dari Taiwan ketika berurusan dalam perniagaan perabot yang memperkenalkannya baka jambu air dari Taiwan.

Dia mengambil baka tersebut yang hanya disebut sebagai baka warna hijau, merah dan loceng lalu cuba menanamnya di kawasan rumah di Muar.

Namun akhirnya dia menggunakan baka warna merah memandangkan jambu air hijau itu susah hendak ditanam manakala baka loceng mudah gugur.

Meskipun mereka mengetahui kos untuk membiayai projek satu ekar sahaja mencecah RM10,000, namun bertekad untuk mencuba sesuatu yang baru.

Yap Keng berkata, dia tidak mahu masalah tersebut merencatkan minatnya untuk menceburkan diri dalam penanaman buah-buahan, memandangkan itulah minatnya sejak kecil.

''Sebab itu saya banyak kali mencuba menanam benih jambu, (sebab) mahu tengok yang mana sesuai,'' katanya.

Katanya, rakan tersebut memperkenalkan benih jambu itu dan dia membawa pulang kira-kira 10 pokok untuk ditanam di kawasan rumahnya di Jalan Ismail, Muar.

Benih pokok tersebut kemudiannya ditanam di ladang mereka di Batu 23, Lenga, Pagoh di Muar Johor bermula 2003 membabitkan 70 pokok jambu.

Yap Keng, 43 dan Jui Seng, 38, kemudian memulakan penanaman di kawasan tersebut yang berkeluasan dua hektar di Bukit Pasir Muar,

Menurutnya, jambu tersebut yang dikenali sebagai jambu Johor, mudah untuk dijaga kerana tidak banyak masalah.

Mereka hanya perlu memastikan baja diberi mengikut kadar yang ditetapkan iaitu kira-kira 40 pokok bagi satu beg.

Harga baja tersebut pada mulanya RM200 satu beg kini turun kira-kira 20 peratus.

Pada masa sama, dia juga beruntung kerana Jui Seng pakar dalam menyediakan benih jambu tersebut, menjadikannya mereka gandingan yang baik untuk memajukan projek tersebut,

Ketika ini, tiga ladang mereka yang keseluruhannya berkeluasan lapan hektar (20 ekar) ditanam dengan 1,000 pokok jambu.

Menurutnya, jambu tersebut matang dan boleh dipetik selepas 18 bulan ditanam.

Ladang mereka kini mampu mengeluarkan antara 10 dan 15 tan buah sebulan dan dipasarkan di kawasan sekitar pada harga RM4.50 sekilogram.

Untuk memastikan jambu telah mencapai saiz pasaran, setiap kilogram mengandungi antara lima dan tujuh biji.

Jambu tersebut menurut Yap Keng, amat menarik kerana bukan sahaja rasanya yang manis tetapi warnanya yang merah pekat dan senang untuk dijaga.

Bagaimanapun untuk mengekalkan rasa manis, jambu perlu dipetik pada waktu cuaca panas.

Untuk menjaga kesegaran dan memastikan jambu selamat dimakan, dia tidak menggunakan racun untuk mengawal serangga sebaliknya membungkus buah jambu pada pokok.

Pokok jambu tersebut dikatakan mempunyai jangka hayat sehingga 33 tahun.

Katanya, terdapat rakannya yang dikatakan mengeksport buah tersebut ke negara Arab tetapi setakat ini dia hanya menjual untuk pasaran tempatan.

Selain itu, agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membeli hasil tanaman tersebut.

Ketika ini, selain tanaman jambu, ladang mereka juga ditanam dengan ciku, durian dan dokong secara kecil-kecilan.

Usaha mereka walaupun bermula dengan kepayahan dan terpaksa melalui proses mencuba tanpa asas pertanian yang kuat, kini sudah mula menampakkan hasil.

Jumlah pekerja seramai 10 orang tidak menjadikan mereka malas, sebaliknya selalu 'turun padang' memeriksa tanaman kerana minat yang mendalam tersemat di dalam jiwa.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails