Wednesday, October 29, 2008

LITS tingkat hasil getah


JELEBU 26 Okt. - Lembaga Getah Malaysia (LGM) Wilayah Tengah telah memperkenalkan teknologi Sistem Torehan Berintensiti Rendah (LITS) bagi meningkatkan hasil pengeluaran pekebun-pekebun kecil getah di negeri ini.

Menurut Pengarahnya, Mohd. Sobran Ibrahim, teknologi tersebut berupaya meningkatkan hasil pengeluaran getah sehingga dua kali ganda.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah mengadakan beberapa sesi latihan sebagai satu bentuk pendedahan terhadap teknik-teknik pengeluaran hasil terkini dan amalan perladangan yang baik kepada pekebun-pekebun kecil getah.

"Secara keseluruhan, seramai 1,300 pekebun kecil getah dari 15 lokasi melibatkan kawasan seluas 3,178 hektar di seluruh negeri telah terpilih untuk mengikuti latihan di bawah Skim LITS," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi taklimat teknologi LITS kepada pekebun kecil getah di Kampung Kerangai dekat sini baru-baru ini.

Ujar Mohd. Sobran, terdapat dua kategori teknologi LITS dan penggunaannya bergantung kepada umur pokok getah.

"Bagi pokok getah yang berumur 15 tahun ke bawah, formulasi perangsang cecair 'G-Flex' disyorkan disapu pada panel torehan.

"Manakala, perkakasan 'G-Flex', 'Reactorrim' dan 'Rrimflow' digunakan pada pokok getah yang berumur 15 tahun ke atas," jelasnya.

Kata Mohd. Sobran, penggunaan teknologi LITS menjimatkan masa kerana pekebun-pekebun kecil hanya memerlukan 10 hari dalam sebulan untuk menjalankan kerja-kerja penorehan.

Sehubungan itu, ujar beliau, pekebun-pekebun kecil getah di seluruh negeri disaran menggunakan teknologi LITS untuk meningkatkan pendapatan.

Bertani menjanjikan pendapatan lumayan

KOTA SAMARAHAN 26 Okt. - Golongan belia di Sarawak disaran supaya membabitkan diri dalam bidang pertanian yang bakal menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera), Mohd. Naroden Majais (gambar) berkata, kecenderungan belia untuk berhijrah ke bandar bagi mencari peluang pekerjaan membuatkan bidang pertanian ini masih dipelopori golongan yang sudah berumur.

Beliau berkata, golongan belia seharusnya sedar bahawa bidang pertanian juga menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara serius berikutan krisis ekonomi dunia yang menyebabkan kenaikan harga makanan.

Katanya, perkembangan ekonomi semasa pada masa ini membuka banyak peluang kepada golongan belia untuk menceburi bidang pertanian berikutan pengeluaran makanan utama seperti beras semakin berkurangan.

''Pada masa yang sama, permintaan terhadap produk pertanian seperti beras ini tidak pernah berkurangan dan ia bakal menjamin masa depan kepada petani," katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada penutupan seminar peluang niaga tani peringkat Bahagian Samarahan di Dewan Suarah di sini.

Seramai 178 peserta menghadiri seminar sehari itu yang dianjurkan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan.

Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak berkata, selain pertanian, golongan belia juga boleh membabitkan diri dalam bidang penternakan ikan keli secara komersial.

Menurutnya, ikan keli matang dalam masa tiga bulan dan ia boleh dijadikan pelbagai produk seperti ikan sardin dan minyak Omega 3 yang terdapat dalam badan ikan keli boleh dijadikan ubat untuk melawan penyakit.

''Kejayaan menternak ikan keli secara komersial juga telah dibuktikan secara komersial oleh usahawan bumiputera tempatan," katanya.

Naroden berkata, golongan belia yang berminat untuk bertani boleh mendapatkan pelbagai bantuan daripada kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang menyediakan pinjaman sehingga RM50,000 tanpa cagaran bagi membolehkan usahawan bumiputera memulakan perniagaan.

Beliau berkata, selain itu, bagi belia yang berminat menjadi usahawan boleh menghubungi Majlis Pembangunan Usahawan Bumiputera bagi membincangkan peluang perniagaan yang boleh diceburi.

Rentak Timur sasar hasilkan 300 metrik tan vanila

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Rentak Timur Sdn. Bhd. mensasarkan penghasilan sebanyak 300 metrik tan vanila menjelang 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Isa Syed Alwi berkata, pengeluaran tersebut adalah bagi menampung kira-kira 15 peratus permintaan pasaran global.

''Bagi meningkatkan pengeluaran vanila, Rentak Timur akan bekerjasama dengan Vanilla Biomatrix Sdn. Bhd. untuk mengendalikan kontrak ladang di seluruh negara.

Kontrak ini membabitkan keluasan ladang seluas 1 hektar yang akan ditanam kira-kira lima juta pokok vanila dalam tempoh dua tahun,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kerjasama tersebut, ujar Syed Isa, akan melibatkan kira-kira 3,000 peladang di seluruh negara akan menjana pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan bagi setiap 0.2 hektar yang mengandungi 1,000 pokok vanila.

Pada masa ini, Rentak Timur menghasilkan kira-kira 1,500 kilogram ekstrak vanila setiap hari, tambahnya.

Penghasilan ekstrak tersebut menggunakan teknologi Supercritical Fluid Extraction (SFE) iaitu satu proses mengambil ekstrak yang mengawal tekanan dan suhu agar kepekatan cecair adalah terkawal, ujarnya.

Proses itu juga menjamin kualiti keaslian vanila yang dihasilkan bebas dari sebarang pencemaran bahan kimia, katanya.

Kata Syed Isa, Rentak Timur juga sedang menjalankan aktiviti penyelidikan dan penanaman vanila di sebuah ladang seluas 1.5 hektar di Singaraja, Bali, Indonesia sejak 2002.

Projek tersebut dijalankan bersama seorang peladang vanila yang sudah berkecimpung dalam industri tersebut di Indonesia sejak 30 tahun lalu, ujarnya.

''Kini, selepas beberapa tahun menjalankan penyelidikan dan percubaan, kami berjaya menghasilkan sistem integrasi penanaman, penuaian dan memproses vanila asli,'' kata beliau.

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.

Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.

Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.

''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.

''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.

Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.

''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.

''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.

Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.

Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.

Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.

Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.

''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Kempen tanam sendiri ajar rakyat berjimat

HULU SELANGOR 26 Okt. - Seramai 50 penduduk perumahan Bukit Sentosa 3 dekat sini menyahut 'Kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja' dengan menerima anak pokok cili, biji benih dan baja untuk memulakan penanaman sayur-sayuran di halaman rumah masing-masing.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason (gambar) berkata, kempen tersebut bertujuan mendidik generasi muda hari ini untuk menjadi rakyat yang berjimat-cermat.

''Kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja sebenarnya satu kempen sempena Kempen Konsumer 2008-2010 dan ia telah bermula sejak Julai lalu untuk tempoh 84 bulan,'' katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan anak pokok cili, biji benih dan baja kepada penduduk di Padang Kemboja 4A di sini hari ini.

Beliau berkata, FOMCA bersama tiga rakan gabungannya iaitu Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengajak rakyat mengubah kehidupan sejak harga barangan naik secara mendadak.

Katanya, rakyat yang bijak seharusnya boleh merancang perbelanjaan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.

Justeru, ujarnya, langkah awal yang harus dipraktikkan oleh generasi muda hari ini ialah mengelakkan pembaziran supaya lahir masyarakat yang tidak membazir pada masa akan datang.

Beliau menambah, adalah menjadi tugas FOMCA hari ini untuk mendidik generasi muda sekarang dengan kefahaman yang lebih mendalam supaya mereka menjadi rakyat yang berjimat-cermat.

Katanya, kerajaan turut memainkan peranan lebih berkesan dengan mengusahakan kembali tanah-tanah pertanian yang didapati terbiar di seluruh negara.

''Jika tanah pertanian seluas 800,000 hektar yang terbiar itu dapat diusahakan oleh pesawah kecil-kecilan seperti dijadikan bendang maka kadar 35 peratus beras yang diimport dari luar negara untuk kegunaan rakyat dapat dikurangkan,'' katanya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails