Tahu tak apa beza halia muda dan halia tua? Kalau tak tahu silalah membaca untuk tambah pengetahuan kegunaan halia dalam masakan. Kalu dah tahu, boleh kongsikan juga maklumat lain kalau ada apa-apa yang perlu ditambah untuk dikongsikan bersama.
Jujur cakap, selama ni main hentam je guna halia untuk memasak. Rupanya kegunaan halia dalam masakan ni berbeza ye. Ingat tu! Bukan guna sembarangan je halia tua dan muda. Tapi kalau tak ada, nak kisah apa dah kan. Janji halia.
Isi Kandungan
Beza Halia dan Lengkuas
Jangan pulak tak dapat beza halia dengan lengkuas. Tapi ada je yang masih keliru sebab halia muda dan lengkuas ni rupa dia seakan-akan. Paling mudah nak beza halia muda dengan lengkuas, lengkuas ni lebih keras dan bersabut.
Lagi satu boleh beza kan dengan kaedah bau. Kalau bau pun tak tahu, mungkin boleh google je gambar untuk tahu beza dia. Takut nanti ada yang pesan beli halia muda, terbeli lengkuas pulak.
Halia Bentong
Pernah dengar halia bentong? Tak silap Fiza halia bentong ni popular beberapa tahun lepas. Macam masih baru jugalah. Halia Bentong( Zingiber Officinale) ni merupakan halia yang terbaik di dunia dan di angka sebagai halia premium.
Halia Bentong adalah keluaran dari Bentong, Pahang. Sebab tu dinamakan Halia Bentong. Terkenal dengan rasanya yang lebih pedas, extra aroma dan teksturnya lebih halus berbanding dengan halia yang ada dipasaran.
Selain halia bentong, di Malaysia juga ada halia Indonesia, halia Tanjung Sepat, Halia Tanduk Rusa, Halia Cina, Halia Tambunan dan juga Halia Bara.
Beza Halia Muda dan Halia Tua
Dalam gambar bawah ni boleh nampak beza halia muda dan halia tua. Opss maafkan saya, stok halia tua yang ada dah kecut sikit dan bertunas pulak. Tapi dapatlah nampak beza halia muda dan halia tua tu kan?
1. Rupa fizikal
Halia Muda
Mempunyai warna kuning coklat yang lebih terang dan kulit yang lebih licin.
Halia Tua
Warnanya gelap sedikit berbanding halia muda dan kulitnya kasar sikit.
2. Bau dan Rasa
Halia muda memiliki bau dan rasa yang lebih lembut berbanding dengan halia tua yang mempunyai bau dan rasa yang agak kuat dan keras.
3. Penggunaan Dalam Masakan
Halia muda
Biasa digunakan dalam masakan barat dan masakan stim kerana mempunyai aroma bau yang lembut dan kurang pedas. Enak juga di campurkan dalam bubur dan sesuai digunakan untuk masak nasi ayam. Ada kalanya dijadikan sebagai ulam.
Halia Tua
Lebih sesuai digunakan dalam masakan tradisional seperti rendang, gulai, kari, masakan berkuah dan lain-lain kerana aroma dia lagi kuat dan pedas sikit. Jadi, dah faham lah kenapa masakan tradisional kita boleh jadi sedap gitu.
Dah tahu beza halia muda dan halia tua ni jadi mudahlah nanti nak guna yang mana satu dalam masakan kita. Acah acah hebat lah sikit nak memasak tu kononnya kan.
Cara Memilih Halia
Bila dah tahu beza, kerja memilih dan membeli halia pun jadi senang juga lah. Cara memilih halia juga penting tau bukan main boleh beli je tak tengok keadaan halia tu. Cara Fiza pilih halia, pilih yang elok-elok dan tak basah kalau nak simpan lama. Pernah terbeli halia basah, lama-lama dia jadi berkulat. Lansung tak boleh guna.
Cara Simpan Halia
Kebiasaannya orang simpan halia dalam bekas terbuka samada letak kat luar atau letak dalam peti ais. Tapi kalau terbeli halia basah, tak boleh simpan kat luar. Sebaiknya guna sesegera mungkin untuk elakkan halia tu berkulat dan membusuk.
In case kalau kau orang terbeli halia basah boleh je simpan dalam bekas bertutup yang di isi air dan simpan dalam peti ais untuk tahan lama. Fiza simpan lengkuas buat kaedah macam ni sebab lengkuas jarang guna tapi nak simpan lama. Halia ni macam selalu guna letak luar pun takpa.
Manfaat Halia Dalam Kesihatan dan Kecantikan
Halia ni bukan sekadar digunakan dalam masakan. Digunakan juga untuk kesihatan. Yang biasa orang buat minum air halia untuk buang angin dalam badan. Bagus untuk proses penghadaman dan membantu untuk menurunkan berat badan.
Halia mempunyai antioksidan yang tinggi dan melambatkan proses penuaan kerana halia memiliki antioksidan yang agak tinggi. Jadi ia mempercepatkan proses pembaharuan sel.
Jika dijadikan scrub, mampu menghilangkan dan menghalang pembentukkan selulit. Ini kerana halia membuatkan kulit terasa panas dan lebih menggalakkan peredaran darah.
Tapi tak semua orang suka halia disebabkan rasa halia yang pedas tu. Pernah juga nak cuba minum air teh halia. Memang tak lalu nak minum bila terbau halia. Nak minum memang kena tutup hidung lah. Tapi kalau sup campur halia okay je pulak. Mengada ngada pulak tekak ni kan.
Dan tak semua orang boleh makan atau minum halia. Apa yang Fiza baca, wanita mengandung tak boleh amalkan pengambilan halia. Dikhuatiri akan berlaku kontraksi atau bayi pra matang. Untuk orang yang kurus pun tak boleh juga, nanti akan jadi bertambah kurang berat badan tu.
Panjang lebar kisah halia ni ye. Harini dah sibuk lah masing-masing siapkan juadah raya. Ehemm..Nak masak rendang tu dah tahu dah kan nak guna halia muda ke halia tua.
Credit : Voize.my