Tuesday, July 14, 2009

Snek rambutan melalui kaedah gorengan

KUALA LUMPUR - Tentu ramai tidak percaya bahawa selain boleh dimakan begitu saja, rambutan kini dijadikan makanan ringan untuk dinikmati pada bila-bila masa.

Ini terbukti melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sik, Kedah dalam menghasilkan snek rambutan melalui kaedah goreng secara vakum menggunakan isi buah tersebut.

Pengurus Besar PPK berkenaan, Mazlan Ahmad berkata, selain masih mengekalkan kandungan nutrien dan rasanya, kaedah itu membolehkan orang ramai menikmati buah- buahan seperti rambutan di luar musim.

''Pelaksanaan kaedah ini juga bagi mengatasi masalah lambakan buah- buahan di Sik yang boleh dilihat apabila tibanya musim buah.

''Bagi mengelak pembaziran, buah- buahan tertentu seperti rambutan dan nangka dieksploitasi melalui kaedah ini untuk dijadikan makanan ringan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui pada Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

MIFB dianjurkan Kumpulan Utusan dengan kerjasama Expomal International Sdn. Bhd. (Expomal) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurut Mazlan, hanya rambutan Gred A dari jenis Deli dan Anak Sekolah digunakan bagi menghasilkan makanan ringan ini disebabkan kelebihannya yang tidak mudah lekang selain kurang kandungan air.

Selain rambutan, katanya, pihaknya bercadang mengeksploitasi cempedak dan sayur-sayuran seperti timun, kacang panjang dan lobak merah menggunakan kaedah yang sama bermula tahun depan.

''Sasaran pasaran bagi makanan ringan sayur-sayuran ini tentunya adalah kanak-kanak kerana sebagaimana yang kita tahu golongan ini kurang gemar mengambil sayur-sayuran dalam pemakanan harian.

"Justeru, untuk membantu mengatasi masalah ini, kami akan mengeluarkan snek sayur-sayuran supaya kanak-kanak mahupun golongan dewasa dapat menikmati khasiat yang ada pada timun, kacang panjang dan lobak merah itu," katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, pihaknya bercadang memasarkan makanan ringan buah-buahan ini di sekitar kawasan Lembah Kelang kerana yakin dengan potensi pasaran di situ.

Kata Mazlan, dijual pada harga serendah RM5 hingga RM8 sekotak, produk yang diproses di Bandar Baru Barsi Jaya, Sik ini hanya boleh didapati di semua cawangan PPK di seluruh negara.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails