Showing posts with label SIRIM. Show all posts
Showing posts with label SIRIM. Show all posts

Friday, June 12, 2009

Sirim Mulakan Kerjasama Perniagaan Bagi Sektor Pertanian


SHAH ALAM, (Bernama) -- SIRIM Bhd memulakan kerjasama perniagaan dengan Institut Penyelidikan Jentera Pertanian Guangdong (GAMRI) dan MCAM (Malaysia) Sdn Bhd, untuk membangunkan jentera bagi sektor pertanian Malaysia.

Ketiga-tiga pihak itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini bagi merasmikan kerjasama itu.

"Di bawah kerjasama ini, SIRIM akan mengenal pasti projek-projek bagi penyelidikan bersama selaras dengan keperluan dan permintaan di Malaysia. GAMRI pula akan memberikan sokongan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada SIRIM dan MCAM," kata presiden merangkap ketua pegawai eksekutif SIRIM, Ir. Yahaya Ahmad, pada upacara menandatangani MOU itu di sini.

Yahaya berkata MCAM akan bertanggungjawab bagi pengkomersialan penyelidikan itu.

Katanya projek pertama akan melibatkan mesin penuaian kenaf dan buah kopi.

"Bagaimanapun, penyelidikan tidak akan terbatas kepada mesin-mesin ini sahaja. Kami juga mungkin bekerjasama dalam bidang-bidang lain yang diperlukan bagi industri pertanian dalam waktu terdekat ini," katanya.

Yahaya berkata sebahagian daripada pembiayaan bagi usaha ini dijana daripada geran yang diwujudkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi(Mosti).

MCAM adalah usaha sama antara Malaysia dengan China yang bertujuan menyediakan kelengkapan dan jentera yang menjimatkan kos dan cekap bagi industri pertanian.

Syarikat itu menjalin kerjasama dengan GAMRI sejak 2005 untuk membangunkan jentera muka bumi bagi pengutipan tandan buah segar sawit.

GAMRI yang berpangkalan di Guangdong, China itu mempunyai pengalaman luas dalam reka bentuk, kejuruteraan serta pembuatan jentera dan kelengkapan khas seperti mesin gabungan penuaian, penguraian, penggredan dan pembungkusan; mesin penghancur; kemudahan pengairan dan mesin penapisan.


-- BERNAMA

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails