Showing posts with label jering. Show all posts
Showing posts with label jering. Show all posts

Wednesday, October 29, 2008

Rezeki semusim jering


Ali Umar menunjukkan jering rebus yang diusahakannya di Kampung Kemunting, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 29 Okt. - Jering bagi penduduk negara ini adalah salah satu ulam popular dalam hidangan nasi.

Bagaimanapun bagi masyarakat di Terengganu, jering bukan sekadar ulam untuk dicicah dengan sambal belacan, malah ia dijadikan makanan ringan ketika waktu santai atau ketika kenduri-kendara.

Mungkin bagi sesetengah orang tidak boleh membayangkan bagaimana jering yang rasanya pedar itu dijadikan makanan ringan.

Menurut warga emas, Ali Umar, 76, jering yang dijadikan makanan ringan direbus terlebih dahulu dan kemudiannya dihidang dengan kelapa parut.

Dia yang merupakan peniaga jering rebus memberitahu, makanan itu amat popular di kalangan masyarakat di sini sehingga mendatangkan 'rezeki semusim' kepada peniaga dan peraih.

Ini kerana jelasnya, penjualan jering rebus hanya dijalankan untuk tempoh tiga bulan dalam setahun iaitu ketika musimnya berbuah.

''Biasanya dari akhir bulan September hingga Disember, saya akan berniaga jering rebus," katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Kemunting di sini hari ini.

Ali berkata, jering rebus bersama kelapa parut dijual RM2 bagi satu gelas plastik.

Menurutnya, dia mampu memperoleh RM700 hingga RM900 sehari hasil jualan jering rebus.

Katanya, sepanjang tiga bulan itu, dia dan tujuh pekerjanya akan bermalam di gerai tersebut untuk menyediakan jering rebus.

Dia memberitahu, mereka akan mengopek buah jering pada sebelah malam secara bersama-sama sebelum direbus untuk jualan keesokan harinya.

Katanya, jering tersebut hendaklah direbus selama 12 jam bagi menjadikannya betul-betul empuk dan sedap dimakan.

Ali yang berniaga jering rebus sejak tujuh tahun yang lalu memperoleh bekalan jering dari sekitar negeri ini.

''Bila musim jering berbuah, pembekal akan menghubungi saya dan saya akan pajak sebatang pokok jering untuk bekalan sepanjang ia berbuah," katanya yang merebus hampir tujuh periuk jering sehari.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails