Showing posts with label ayam serama. Show all posts
Showing posts with label ayam serama. Show all posts

Sunday, December 12, 2010

Iktiraf ayam serama ikon negara

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Kerajaan disaran supaya mengangkat dan mengiktiraf ayam serama Malaysia sebagai ikon unggas negara kerana secara eksklusif ia hanya boleh didapati di negara ini sahaja.

Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, ayam serama Malaysia merupakan unggas yang istimewa kerana ciri fizikalnya yang cantik berbeza dengan unggas dalam kategori yang sama dan tidak wujud di negara lain.

"Ayam serama Malaysia bukan sahaja diminati oleh orang Melayu malah turut mendapat perhatian kaum lain kerana bentuknya yang berlainan dan istimewa berbanding ayam biasa.

"Selain itu, ayam serama Malaysia juga harus dipromosikan dengan lebih giat lagi kerana ia menampilkan konsep 1Malaysia apabila semua bangsa mula meminati unggas tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Sejuta Tandatangan Rakyat Malaysia dan pelancaran Buku Serama Malaysia Ayam Terkecil Dunia pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persekutuan Ayam Serama Sedunia Malaysia, Ahmad Fauzi Mohamed.

Kempen itu bermatlamat untuk mendapatkan sebanyak satu juta tandatangan rakyat sebagai tanda sokongan supaya ayam serama Malaysia diiktiraf sebagai ikon unggas warisan negara dan sesiapa yang menurunkan tanda tangan akan menjadi ahli persatuan itu secara rasmi.

Mereka yang berminat untuk menurunkan tanda tangan boleh mengunjungi lokasi yang dikhaskan iaitu di Galeri Serama Malaysia dan Kedai Serama Malaysia di Ampang, Pusat Kraf Serama Malaysia di Jalan Conlay dan Galeri Seni Kraf Serama Malaysia di Damansara selain di Dewan B, Maeps sempena MAHA 2010.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, ayam serama turut mempunyai khasiat dalam bidang perubatan tradisional selain mampu menghasilkan 25 biji telur setiap bulan.

"Petua orang tua-tua di Kelantan dan Terengganu akan memakan ayam serama terutamanya pada setiap malam Jumaat kerana percaya pada khasiatnya yang tersendiri," jelasnya.

Sunday, December 14, 2008

Pesona Ayam Serama




Ayam terkecil dunia pandai menonjolkan diri dan memikat hati kini mempunyai nilai komersial, tersohor di seluruh dunia

AYAM serama disifatkan sebagai suka menunjuk-nunjuk. Jika ada kamera dan limpahan cahaya lensa, ayam ini segera mengangkat dada dan meluruskan ekor tegak ke atas hingga 90 darjah serta mengibas kedua-dua kepak.

Perwatakan dan gaya istimewa ayam serama menyebabkan Ahmad Fauzi Mohamed, jatuh cinta kepada ayam terkecil di dunia itu.


Walaupun Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn Bhd, sudah lama mengetahui ayam ini, cintanya terhadap ayam serama baru berputik ketika berada di Kota Bharu, Kelantan, kira-kira lima bulan lalu.

Mengapa ayam serama? Inilah haiwan yang benar-benar berasal dari Malaysia. Haiwan lain seperti harimau dan badak juga ada di negara lain. Orang Utan juga tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan negara ini.

Ayam serama sebenarnya diiktiraf dunia luar sebagai milik Malaysia. Pelbagai pihak di Amerika Syarikat mengiktiraf ayam serama berasal dari negara ini.

Ahmad Fauzi asyik melayan dua ayam serama kesayangannya yang pantang melihat air. (Gambar bawah) Reban ayam serama dua tingkat yang cantik dan bersih.

Ini yang menyebabkan Ahmad Fauzi yakin ayam serama mampu menjadi ikon kepada Malaysia kerana haiwan ini tidak terdapat di negara lain.

Usaha menjadikan ayam serama sebagai ikon Malaysia, katanya perlu dipertingkatkan kerana sesetengah negara Eropah bangga dengan baka ayam yang hanya ada di negara masing-masing. Malah, Perancis menjadikan ayam sebagai menjadi lambang negara itu.

Minat terhadap ayam serama mendorong Ahmad Fauzi, melakukan penyelidikan dan terkejut apabila mendapati bilangan ayam ini hanya tinggal kira-kira 3,000 ekor dan boleh dianggap menghampiri kepupusan.

Beliau melayari internet untuk mendapatkan maklumat berkaitan ayam serama, tetapi tiada laman web tempatan berkaitan ayam ini dan tidak ada panduan mengenai cara menternaknya.

“Melalui internet, saya mendapati pemeliharaan ayam serama berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat. Malah, ada pertubuhan ayam serama dengan laman web masing-masing, iaitu Serama Council of North America dan World Serama Federation,” katanya.

Perkembangan menggalakkan di dunia luar mendorongnya bertekad mengubah kaedah penternakan ayam serama yang sebelum ini dilakukan secara tradisional.

Bermula dengan empat ekor yang dibawa dari Kelantan lima bulan lalu, ayam serama yang diternaknya di belakang rumahnya di Ampang Jaya, untuk tujuan pameran dan penyelidikan, kini mencecah kira-kira 300 ekor.

Beliau membuat penyelidikan sendiri untuk menternak ayam serama secara moden berbanding amalan tradisional yang tidak produktif.

Memanfaatkan pengalaman sebagai jurutera maritim, Ahmad Fauzi, membuat sendiri reban dua tingkat dan menggunakan kaedah penternakan moden bagi meningkatkan pengeluaran ayam serama berkualiti tinggi.

“Penternakan dilakukan secara sistematik. Ayam diberi campuran dedak mengandungi vitamin. Reka bentuk reban sesuai dengan pembesaran haiwan ini dan melindungi dari angin dan hujan melampau yang menyebabkan penyakit.

“Menternak ayam serama tidak cerewet jika aspek kebersihan dan pemakanan diberi perhatian rapi,” katanya.

Katanya, ayam betina hanya bertelur kira-kira lima biji telur setiap tiga bulan atau kira-kira 20 biji setahun.

“Telur yang dikutip setiap hari dikumpul setempat selama tujuh hari dan kemudian dimasukkan dalam mesin inkubator selama 21 hari. Selepas menetas, anak ayam dimasukkan dalam satu kotak yang dinamakan set induk palsu.

“Kotak itu berfungsi seperti ibu ayam yang memanaskan badan anaknya. Selepas 30 hari, anak ayam dimasukkan ke reban biasa,” katanya.

Dalam operasi harian, pegawai veterinar dibantu pekerja biasa menukar makanan dan air, membersihkan najis, memeriksa inkubator dan ayam. Setiap minggu, ayam dimandikan dan dilatih untuk menyertai pertandingan dan setiap bulan, kuku dipotong dan diberi ubat cacing.

Semua proses ini direkodkan dan jauh berbeza berbanding kaedah tradisional, ayam dilepaskan begitu saja serta mengabaikan aspek kebersihan dan pemakanan.

Selain itu, Serama Corporation menjalankan penyelidikan untuk melakukan permanian beradas bagi menghasilkan ayam serama berkualiti tinggi dan dijangka hasil kajian diketahui pertengahan tahun depan.

Harga ayam serama boleh mencecah RM80,000 seekor

AYAM serama lebih dikenali kerana kecantikan menyebabkan dibela hanya untuk tujuan menyertai pertandingan dan sekadar hobi.

Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn Bhd, Ahmad Fauzi Mohamed, berkata penternakan ayam serama mempunyai potensi besar untuk diterokai kerana permintaan amat besar sedangkan pengeluaran ketika ini masih rendah.

Dari segi harga, katanya ayam serama yang menjuarai pertandingan boleh mencecah hingga RM80,000 seekor dan secara purata harga ayam ini adalah antara RM40,000 hingga RM50,000 seekor.

“Hanya orang kaya mampu memiliki ayam begitu. Ini tidak menghalang peminatnya sejauh Thailand, Indonesia dan Filipina datang untuk membelinya.

“Pengeluaran terhad menyebabkan orang biasa hanya mampu melihat. Tetapi keadaan ini mampu diubah jika pengeluaran kecil-kecilan sekarang digantikan dengan kaedah penternakan komersil,” katanya.

Kekurangan yang ada, katanya diisi Serama Corporation yang kini mempunyai ladang ayam serama di Pengkalan Chepa, Kelantan dan bakal membuka ladang seluas 1.6 hektar di Ulu Yam, Selangor, tahun depan.

Selain pertandingan, Ahmad Fauzi berkata, ayam serama berpotensi dieksport ke luar negara, terutama China yang melihat ayam serama sebagai bahan ubatan tradisional dan daging eksotik.

Katanya, saiz ayam serama selepas dibersihkan sesuai diletakkan dalam pinggan dan tidak perlu dipotong berbanding ayam biasa.

Dari segi harga, katanya penternak tidak perlu bimbang kerana pengeluaran telur yang sedikit menyebabkan ayam serama bersifat eksklusif.

Ahmad Fauzi mengakui bahawa minat orang ramai di negara ini terhadap ayam serama pernah melonjak tinggi pada suatu ketika, tetapi merudum akibat amalan tidak beretika sesetengah peniaga.

“Ada peniaga menjual ayam serama yang sebenarnya ayam katik dan ayam kampung. Ini mengecewakan orang ramai kerana ayam serama mempunyai ciri istimewa yang tidak ada pada ayam lain,” katanya.

Bagi menyemarak minat orang ramai terhadap ayam serama, katanya Serama Corporation membuka ruang pameran di Pasar Seni Kuala Lumpur pada setiap Sabtu dan Ahad, bermula 15 November.

Katanya, anak ayam serama berumur antara 45 hingga 60 hari akan dijual dengan harga antara RM250 hingga RM350 sepasang (dua ekor) berbanding harga sebenar yang mencecah antara RM800 hingga RM1,000.

Bagaimanapun, katanya usaha memajukan penternakan ayam serama sebagai industri memerlukan sokongan kerajaan melalui pelbagai agensi berkaitan penyelidikan, pembiayaan dan promosi dalam negara dan antarabangsa.

Pada masa sama, katanya mereka yang hendak menceburi penternakan ayam serama perlu berminat dan tekun.

FAKTA: AYAM SERAMA

  • Dipercayai berasal dari Kelantan.
  • Dipercayai hasil kacukan pelbagai burung eksotik, termasuk burung hutan.
  • Dikatakan nama serama berasal dari nama Seri Rama dan pada mulanya adalah haiwan peliharaan di istana.
  • Jangka hayat antara tujuh hingga 15 tahun
  • Berat ideal adalah 500 gram ke bawah dengan saiz adalah satu pertiga dari ayam biasa.
  • Ciri istimewa adalah ekor lentik, berdada tegak dan kepak lurus ke bawah
  • Mempunyai kira-kira 2,000 warna
  • Menjadi haiwan peliharaan kerana jinak, manja dan mengenali tuannya.
  • Haiwan ini mempunyai gelagat menarik seperti berjalan mengundur ke belakang.
  • Masyarakat Melayu percaya haiwan ini mempunyai khasiat perubatan.


PENILAIAN AYAM SERAMA

  • Jenis - Ciri utama ialah kepala melunjur ke belakang, bahagian belakang pendek, kepak menegak dan ekor panjang, penuh dan apabila berkembang, tidak menyentuh balung. Kedudukan tengah mata sama dengan kedudukan tengah kaki ketika berdiri.

  • Perwatakan - Kelihatan gagah, berani dan yakin. Lagak suka menonjol seperti berkokok dan suka berdiri.

  • Ekor - Saiz besar, menegak dan tinggi. Bulu pelepah ekor utama panjang, melentik di penghujung dan berkembang seperti bentuk V. Lawi (ayam jantan) menegak 90 darjah dan sedikit melentik ke belakang di penghujung.

  • Kepak - Ketika berdiri, kepak ayam dalam posisi menegak tetapi sedikit menghala ke belakang. Hujung kepak bersentuhan sedikit dengan lantai.

  • Badan - Tegap dan bulat. Dada ayam lebih luas dari bahagian belakang apabila dilihat dari atas. Dari tepi, badan berbentuk V. Belakang ayam pendek dan lebar di bahagian bahu.

  • Kaki - Tidak begitu rapat dan selari. Panjang sederhana dan seimbang dengan saiz kepak. Paha berotot dan sederhana panjang. Taji di bahagian tengah betis, keras, kecil dan menghala ke belakang kaki.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails