Showing posts with label Agropolitan. Show all posts
Showing posts with label Agropolitan. Show all posts

Tuesday, September 8, 2009

Projek Agropolitan Diteruskan Di Perak

IPOH, (Bernama) -- Kerajaan Perak meluluskan tanah seluas 1,000 hektar kepada Risda untuk membangunkan Projek Agropolitan di Air Ganda dekat Gerik bagi membantu 400 keluarga miskin tegar di daerah itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.


Beliau berkata projek berkenaan yang dirancang sejak beberapa tahun lepas tergendala kerana kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat sebelum ini menghentikannya.

"Program ini sebenarnya bertujuan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, prasarana fizikal dan pembangunan manusia untuk membantu masyarakat luar bandar yang miskin tegar supaya keluar daripada garis kemiskinan.

"Seramai 400 keluarga akan mendapat manfaat dalam program ini dan kami yakin melalui program seperti ini mampu mengurangkan masalah kemiskinan di Perak," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Dividen Peserta Tanam Baru Bekelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) Risda negeri Perak.

Zambry berkata semua peserta program akan diberikan sebuah rumah dan kawasan pertanian bagi memulihkan ekonomi dan mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengenalpasti dua kawasan lain di Tanjung Piandang dan Pangkor untuk projek yang sama.

Kerajaan Negeri akan menyediakan tanah di setiap daerah di negeri ini bagi projek sama sekiranya Risda mempunyai peruntukan yang mencukupi dan boleh membantu penduduk miskin tegar di Perak, katanya.

Pada majlis itu, seramai 937 peserta RTBB menerima dividen sebanyak RM4.9 juta iaitu bagi musim penanaman tahun lepas manakala 7,308 peserta TSK menerima dividen sebanyak RM16.7 juta bagi musim yang sama sepanjang tahun 2008.

-- BERNAMA

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails