Showing posts with label haruan. Show all posts
Showing posts with label haruan. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

Haruan ubat semburan


Profesor Saringat Bai@Baie menunjukkan semburan ikan haruan bagi luka dan terbakar.


IKAN haruan secara turun temurun telah digunakan bagi mengubati luka-luka dalaman terutama di kalangan ibu-ibu selepas bersalin. Justeru Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan kajian bagi meluaskan penggunaan ikan haruan.

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Sekolah Sains Farmaseutikal, Profesor Saringat Bai@Baie menunjukkan ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus mengandungi asid amino yang berfaedah dan asid lemak yang dibuktikan berupaya menyembuhkan luka.

"Haruan Channa striatus digunakan kerana mudah ditemui di sungai di sini," katanya ketika ditemui semasa Pameran BioMalaysia 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, Saringat telah menformulasikan ekstrak haruan yang sama sebagai krim dan tablet dan produk berkenaan telah pun dikomersialkan.

"Kini kajian yang dijalankan menjurus kepada filem nipis bagi membalut dan merawat luka terutama luka kebakaran dan pesakit diabetes," katanya

Saringat berkata, semburan haruan menggunakan semua ciri-ciri ekstrak haruan dan diformulasikan dalam bentuk tulen untuk mengubati luka serta lecur terbakar.

Semburan berkenaan mengandungi ekstrak haruan yang boleh meningkatkan proses penyembuhan.

Tujuannya adalah untuk menghasilkan semburan aerosol sebagai bahan aktif yang boleh menghasilkan filem sintetik bagi rawatan luka dan melecur.

"Masalahnya filem penjagaan luka biasanya terdapat dalam saiz yang tertentu dan dibungkus secara berasingan," katanya.

Malah ia juga tidak boleh menutupi saiz luka yang pelbagai selain ia juga mudah dijangkiti apabila dikeluarkan daripada bungkusan.

Penyelesaiannya beliau adalah polimer biocompatible dalam produk sedia ada dengan pekatan aerosol dan boleh menghasilkan satu lapisan filem apabila disemburkan pada kawasan yang cedera dan boleh menutupi apa saja saiz luka.

"Apa yang menarik produk aerosol akan terus berada dalam keadaan steril kerana tiada bahan asing boleh memasuki bekas berkenaan," katanya.

Kajian menunjukkan luka dan lecur boleh diubati lebih cepat menggunakan semburan ekstrak haruan.

Malah semburan filem nipis ekstrak haruan telah diuji pada pesakit yang mengalami luka yang sukar sembuh akibat diabetes.

"Produk ini sedang dalam proses untuk dikomersialkan dan bakal berada di pasaran tidak lama lagi," katanya.

Sumber:utusan malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails