Showing posts with label Tanaman Padi. Show all posts
Showing posts with label Tanaman Padi. Show all posts

Sunday, July 3, 2011

Padi Hibrid Siraj dikomersial bulan depan


TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri) melihat pokok Padi Hibrid Siraj di Tambun Tulang, dekat Kangar, semalam.


KANGAR - Padi hibrid pertama dengan tujuan pengkomersialan, iaitu padi Siraj akan mula dikomersialkan di negara ini pada bulan depan dengan kapasiti permulaan sebanyak 200 tan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran dan kualiti padi serta pendapatan petani.

Padi berkenaan dihasilkan melalui kerjasama antara MOSTI, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin (YTSS) dan RB Biotech Sdn. Bhd..

Menurut beliau, bagi tujuan pengkomersialan itu, sebanyak empat tan padi berkenaan dihasilkan Stesen Penyelidikan Padi Hibrid MARDI di Tambun Tulang di sini, manakala selebihnya merupakan hasil penanaman di Kelantan dan Kedah.

"Kita jangka pada tahun depan pengeluaran benih padi hibrid ini akan mencecah sehingga 2,000 tan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Stesen Penyelidikan Padi Hibrid MARDI Perlis dan pelancaran Pengkomersialan Padi Hibrid Siraj yang disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd. Johari Baharum dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Menurut Maximus, padi hibrid itu mampu mengeluarkan hasil lebih tinggi 20 peratus berbanding padi biasa malah prestasi hasil padi berkenaan di Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Selangor mencapai lebih 25 peratus sehingga 60 peratus lebih tinggi berbanding varieti padi biasa.

"Walaupun harga benih lebih mahal namun petani hanya perlu menggunakan antara 25 sehingga 30 kilogram benih bagi keluasan satu hektar berbanding 250 kilogram sehingga 300 kilogram benih padi biasa untuk keluasan yang sama," ujarnya.

Sementara itu, Johari berkata, stesen berkenaan akan memainkan peranan sebagai pusat informasi dan pemindahan teknologi yang dijana serta akan memberi manfaat kepada agensi pengembangan penyelidik dan institusi penyelidikan.

Menurut beliau, melalui stesen tersebut padi hibrid akan diterima secara meluas di negara ini dan akan meningkatkan pengeluaran beras negara selain mengurangkan import beras.

Program padi hibrid mendapat peruntukan sebanyak RM23 juta dari MOSTI di bawah Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9).

Melalui kerjasama tersebut, padi hibrid Siraj telah berjaya dihasilkan pada 2005 daripada kacukan padi luar negara jenis Indica dan Japonica dan dijangka padi hibrid baru iaitu Siraj 2 akan dihasilkan tidak lama lagi.

Penghasilan Siraj 2 adalah merupakan padi hibrid pertama hasil kacukan varieti luar negara dan tempatan, MR220.

Sumber:utusan malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails