Friday, April 5, 2013

Tanaman limau madu beri pulangan berbaloi

JERANTUT 1 April - Penanaman limau madu atau nama saintifiknya Citrus Sinensis banyak diusahakan petani di Hulu Tembeling, Jerantut berasaskan permintaan yang meningkat di pasaran tempatan.
Bertolak hakikat itulah, seorang petani Kampung Tempan, dekat sini, Adenan Nipah, 55, memajukan tanah seluas lapan hektar untuk tanaman limau madu dan sayur-sayuran.
Katanya, projek tanaman itu bermula pada 1994 sebagai percubaan awal walaupun harus bersaing dengan pasaran buah-buahan tempatan lain.
"Benih limau ini saya peroleh daripada Jabatan Pertanian yang turut memberi bimbingan dari aspek pengurusan tanaman dan ladang pada peringkat awal," katanya di Kampung Tempan, dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya, sebanyak 700 anak benih limau itu disulam di kawasan tanah pinggir kampung tersebut yang sudah diteroka untuk dimajukan dengan projek berkenaan.
"Setelah tiga tahun bersusah payah menjaga tanaman ini, akhirnya membuahkan hasil pertama pada 1997 sehingga kini dan mendapat pasaran yang baik di pasar tani dan pusat pelancongan Taman Negara," ujarnya.
Tanaman itu, katanya, dijaga dengan rapi untuk mengelak pokok limau tersebut mati akibat serangan ulat, penyakit tanaman dan musuh lain iaitu babi hutan.
"Kini cuma sebanyak 600 batang pokok mengeluarkan buah antara 400 hingga 700 biji," katanya.
Katanya, sekilogram buah limau itu dijual dengan harga RM4 kepada pelawat di Taman Negara Kuala Tahan, Kampung Pagi dan kawasan berdekatan.
Beliau berkata, pendapatan harian jualan buah limau mencecah antara RM80 hingga RM100 digunakan untuk belanja dapur, persekolahan, membeli baja dan racun serangga.
"Limau yang baru dipetik boleh dimakan begitu sahaja atau dapat bertahan beberapa hari untuk diperah menjadi jus yang manis," katanya.
Tambahnya, usaha itu akan diteruskan dengan memajukan tanah terbiar berdekatan rumah dengan tanaman limau dan buah naga yang boleh mengecapi pulangan lumayan sesuai dengan kudrat dalam usia emasnya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails