Showing posts with label Tiram. Show all posts
Showing posts with label Tiram. Show all posts

Wednesday, June 10, 2009

Selatan: Rezeki ternak tiram terjejas

MUAR: Kira-kira 50 nelayan yang menternak tiram di Pengkalan Parit Tiram, Jalan Salleh, di sini, mendakwa pendapatan mereka terjejas teruk berikutan tebing Sungai Muar di pengkalan itu runtuh sejak dua tahun lalu sekali gus menyebabkan dasar sungai semakin cetek.

Ketua Kumpulan Nelayan pengkalan berkenaan, Kapten (B) Jailani Laham, berkata keadaan dasar sungai yang cetek menyebabkan baka tiram lambat membiak sehingga menjejaskan pendapatan nelayan.

Beliau berkata, Pengkalan Nelayan Parit Tiram adalah lokasi penting bagi pembiakan tiram yang menghasilkan sumber rezeki nelayan pantai yang juga dikenali sebagai nelayan tiram di bandar ini sejak lebih 100 tahun lalu. Bagaimanapun, katanya, tempat nelayan menyelam tiram di pengkalan itu yang semakin cetek menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk kerana baka tiram lambat membiak disebabkan hakisan terutama ketika air pasang.

"Jika sebelum ini nelayan memperoleh pendapatan sehingga RM100 sehari, sekarang untuk mendapatkan RM30 pun sukar.

"Justeru, kami berharap masalah ini mendapat perhatian agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT), " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Timbalan Ketua Umno bahagian Bakri, Mazlan Sabari, yang melakukan program turun padang untuk meninjau dan menyelesaikan masalah penduduk kampung itu di sini, kelmarin.

Jailani yang juga Ahli Jawatankuasa Umno bahagian dan Ketua Umno cawangan Parit Tiram, berkata masalah tebing sungai di pengkalan itu yang cetek akibat hakisan sudah dilaporkan kepada pihak atasan.

Sementara itu, Mazlan berkata, Kampung Parit Tiram yang sememangnya terkenal sebagai pengeluar tiram sejak sekian lama, sewajarnya diberi perhatian kerajaan melalui agensi yang bertanggungjawab terhadap kepentingan nelayan.

Beliau berkata, usaha membangunkan pengkalan itu perlu dilakukan segera bagi memastikan usaha menternak tiram di pengkalan itu tidak terhakis.

Katanya, langkah mendalamkan dasar sungai di pengkalan itu boleh meningkatkan lagi pendapatan nelayan sekali gus menjana ekonomi mereka.
Sumber:Berita HArian Online

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails