Wednesday, September 22, 2010

Hidangan popular dari Baling


Shamsiah Abdullah (dua dari kanan) bersama penduduk menunjukkan ubi gadung yang diambil dari pokok sebelum diproses bagi membolehkan ubi tersebut dimakan.


Beracun tetapi boleh dimakan. Bunyinya agak pelik namun itulah hakikatnya. Malah hanya memakan sebesar sebiji epal, ubi ini boleh membunuh.

Ubi gadung atau nama saintifiknya, Dioscorea daemona sejenis tumbuhan yang menjalar bukanlah makanan yang boleh dimakan begitu sahaja.

Ubi gadung dikatakan berasal dari India tetapi tersebar luas ke Asia Tenggara di kawasan hutan sekunder, belukar dan turut ditanam di kawasan taman.

Namun menariknya ubi yang beracun ini menjadi hidangan popular penduduk kampung di Baling, Kedah yang menjadikan ubi gadung sajian istimewa mereka.

Istimewanya ubi gadung yang melalui proses nyah racun yang dijalankan penduduk di Kampung Bukit Palong Bongor, Baling mempunyai kelainan tersendiri apabila sekurang-kurangnya antara tiga hingga empat hari sebelum boleh dijamah.

Seorang penduduk, Abdullah Abdul Ghani, 64, antara penduduk kampung yang mahir 'menghasilkan' ubi gadung yang enak dimakan bersama kelapa parut yang disalut sedikit garam dan gula.

Menurut Abdullah, ubi tersebut berbuah pada musim tertentu dan untuk 'memulihkan' racun yang terdapat sebelum dapat dimakan.

"Ubi beracun ini amat bahaya jika proses membuang racun dan getahnya tidak dilakukan dengan cermat," katanya kepada Mega baru-baru ini.

Menurutnya, pada musim kemarau ubi ini masih mampu bertahan kerana pokok menjalar ini mempunyai ketahanan sebelum mampu mengeluarkan ubi yang besar.

Biasanya, menurut Abdullah, walaupun mengambil masa untuk menghasilkan ubi ini tetapi penduduk kampung bergotong-royong bersama membersihkan ubi ini untuk dimakan beramai-ramai.

Bagi Abdullah biarpun mengambil masa dan terpaksa melalui proses tertentu termasuk merendam ubi berkenaan di dalam sungai tetapi keenakan ubi ini membuatkan penduduk kampung sepertinya tidak keberatan untuk mengusahakan 'produk' baru ini.

Seorang penduduk, Shamsiah Ismail, 60, pula berkata, keenakan ubi gadung terutama apabila direbus dan kukus mendorong penduduk di situ sanggup melakukannya biarpun agak rumit.

Shamsiah menambah sekalipun terpaksa mengambil masa dan perlu mematuhi petua daripada mula mengupas ubi gadung sehingga membasuh, merendam bagi menghilangkan sejenis getah berbisa yang terdapat di dalam kandungan ubi ini membuatkan ia terpaksa diproses secara lebih berhati-hati.

Katanya, membasuh dan merendam juga memerlukan perhatian yang rapi supaya isi ubi gadung yang kekuningan akan bertukar warna sebelum dapat dimasak.

Tambahnya, alat khas termasuk raga merendam kepingan ubi gadung yang dihiris nipis juga perlu disediakan bagi mengeluarkan bisa racun ubi ini.

Katanya, ubi ini mempunyai sejenis getah berbahaya dikenali getah ipoh perlu dibuang dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum direndam di dalam air yang mengalir sekurang-kurangnya tiga hari.

"Ubi berwarna kekuningan ini perlu dibersihkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum bertukar menjadi warna putih," ujarnya.

Menurutnya, selepas ubi bertukar warna putih barulah ia disaluti dengan garam untuk menghilangkan terus racun di dalamnya.

Rakannya, Aishah Omar, 53, berkata bukan sahaja keenakan isinya yang manis malah jika disagat airnya yang putih boleh dibuat bedak untuk melicinkan wajah menjadi amalan penduduk.

Katanya, bukan sahaja untuk dimakan, ubi gadung juga boleh dijadikan bahan seperti bedak melicinkan kulit muka oleh kebanyakan penduduk kampung pada zaman dahulu.

Menariknya, ubi gadung yang dikategorikan sebagai tumbuhan liar dan mampu menjalar panjang sehingga 20 meter dengan batangnya berduri dan boleh hidup bertahun lamanya.

"Bermacam-macam lagi khasiat ubi gadung selain dari menu istimewa penduduk kampung yang biasanya akan dibuat pada musim menuai padi,'' ujarnya.

Sungguhpun pelik namun penduduk sentiasa berhati-hati dalam menghasilkan ubi gadung supaya tidak tersilap.

Bagi penduduk di Baling ini ubi gadung turut sinonim dengan zaman Jepun kerana pada zaman itu penduduk turut bergantung kepada sumber tersebut kerana sekali diproses ubi tersebut boleh disimpan sebagai stok.

Ubi ini boleh dikomersialkan menjadi salah satu produk baru. Itulah hebatnya ubi gadung.

Sumber:Utusan Malaysia

Kenderaan ladang ringkas dan praktikal


KAMARUDIN Abdul MENUNJUKKAN KEDUDUKAN ENJIN SERTA RUANG MUATAN YANG BOLEH DI BUKA UNTUK MEMUDAHKAN PROSES MENGALIHKAN BARANGAN YANG DIBAWA OLEH JENTERA INI.


SAYA hampir-hampir terduduk dan pitam akibat terkejut ketika mendapat tahu syarikat kerugian hampir RM2 juta ketika harga besi melambung beberapa tahun dahulu.

“Namun semua itu tidak pernah menghalang saya untuk terus mengembangkan perniagaan ini," luah Datuk Kamarudin Abdul ketika membuka bicara pada pertemuan di kilang miliknya di Subang, Selangor baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan pemilik kepada syarikat AAZBINA Kejuruteraan dan Pembekal Sdn. Bhd. merupakan antara anak tempatan yang telah puas bergelumang dengan pelbagai risiko dalam bidang perniagaan.

AAZBINA yang dibangunkan oleh beliau sejak setengah 1988 tidak mungkin mampu terus berdiri megah andai beliau tidak memiliki semangat yang teguh dan kental dalam mengusahakan apa yang dimilikinya kini.

AAZBINA merupakan antara syarikat yang memiliki berpengalaman luas dan pakar dalam bidang kejuruteraan logam, kejuruteraan elektrik dan elektronik serta kimpalan.

Syarikat itu juga merupakan salah satu pengeluar yang bertanggung jawab membekalkan kenderaan, mesin, enjin serta perkhidmatan penyelenggaraan kepada syarikat penerbangan dalam negara.

“Apa yang pihak saya hasilkan adalah seperti jentera motor treler pelbagai guna bagi memenuhi keperluan pengangkutan di lapangan terbang dan sebagainya,” ujar Kamaruddin.

Namun, menyedari hakikat syarikat tersebut tidak seharusnya tertumpu kepada satu bidang sahaja, AAZBINA melakukan transformasi yang agak berlainan dengan kebiasaannya.

Kini mereka beralih arah kepada bidang pertanian. Namun AAZBINA tidak terus terjun kepada bidang penternakan mahu pun pertanian yang hakiki.

Sebaliknya, syarikat tersebut memperkenalkan dua kenderaan dikenali sebagai Jentera Pengangkut Pelbagai Guna yang digerakkan melalui kuasa tujahan daripada sistem hidraulik dan enjin diesel.

“Demi memastikan syarikat terus berkembang, saya perlu memikirkan jalan keluar daripada kepompong biasa dan ciptaan terbaru ini merupakan antara hasilnya,” katanya.

Jentera ciptaan beliau tersebut merupakan sebuah kenderaan yang boleh digunakan pada hampir apa jua bentuk muka bumi di negara ini.

Memiliki enjin yang kecil dan hanya berfungsi sebagai pengepam cecair hidraulik, kuasa bagi pengangkut tersebut sebenarnya dijana melalui sistem hidraulik yang mudah.

Ia mampu mengangkut pelbagai jenis bebanan seperti buah kelapa sawit, seberat empat hingga lima tan sehari, baja dan racun.

Selain itu, ia juga mampu mendaki bukit yang memiliki kecerunan bersama muatan penuh tanpa sebarang masalah.

Tahan lasak serta mudah untuk dikendalikan, badan jentera tersebut direka khas dengan menggunakan besi lembut.

Manakala sistem kuasa yang digunakan adalah bermula dari sebuah enjin sederhana kecil yang berfungsi untuk mengepam cecair dalam sistem hidraulik.

Seterusnya sistem hidraulik tersebut akan menujah serta memutarkan rantai yang disambung terus kepada roda hadapan jentera tersebut.

Ini bermakna kuasa tujahan jentera tersebut diletakkan sepenuhnya ke atas kekuatan tekanan sistem hidraulik yang digunakan.

Berbeza dengan jentera yang menggunakan kuasa tujahan secara terus daripada enjin, gabungan enjin bersama sistem hidraulik adalah lebih baik.

“Proses pembinaan jentera ini tidak terlalu sukar kerana AAZBINA memiliki pengalaman yang luas dalam menghasilkan kenderaan ringan untuk tujuan tersebut.

“Penggunaan sistem hidraulik juga terbukti mampu memberi kuasa pacuan yang lebih baik berbanding enjin jentera biasa,” ujarnya.

Memiliki tiga roda, hendal kawalan yang mudah serta enjin yang kecil menjadikan jentera tersebut amat praktikal digunakan dikawasan ladang.

Ia juga mudah diselenggara kerana menggunakan komponen jentera buatan tempatan selain memudahkan pemiliknya untuk mendapatkan alat ganti.

Pada asalnya ia direka untuk membantu serta memudahkan pekerja ladang memunggah dan mengumpulkan buah kelapa sawit dalam kawasan ladang yang luas.

Namun penggunaan jentera itu kini boleh dipelbagaikan dan diperluaskan dalam lain-lain sektor seperti penternakan dan perikanan.

Manakala sebuah lagi ciptaan iaitu Treler Motosikal (TMS) berfungsi sebagai pembawa atau loader khas bagi aktiviti pertanian terutamanya untuk perladangan kelapa sawit.

Reka bentuk TMS menyerupai kereta sorong namun ia memiliki roda yang lebih besar iaitu menyamai saiz roda motosikal pada sebelah sisinya.

Apa yang menarik adalah rekaan pada bahagian penyambung TMS yang mudah dipasang serta fleksibel terhadap sebarang selekoh bersudut tajam memudahkan pengguna membawanya.

TMS dipasang pada bahagian belakang motosikal dengan soket yang ‘mesra pergerakan’ ciptaan AAZBINA.

Sebagai mana yang kita ketahui penggunaan motosikal di kawasan yang tidak rata pasti menyebabkan pergerakan kenderaan tersebut akan terhoyong-hayang.

Namun melalui penggunaan soket khas yang dibina, pengguna tidak perlu lagi risau TMS akan mengganggu pergerakan motosikal mereka.

Malah ia boleh dibawa dengan mudah melalui jalan yang tidak rata serta berliku-liku.

Rekaan bagi kedua-dua ciptaan AAZBINA tersebut diilhamkan oleh Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) namun syarikat beliau telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikannya.

Bagi yang berminat boleh menghubungi Kamarudin di talian pejabat beliau 03-7846 3498 atau 03-7846 3499.

Pembangunan akuakultur di Pulau Ketam




Pulau Ketam merupakan sebuah kampung nelayan yang terletak di negeri Selangor. Dengan menaiki feri kira-kira 30 minit dari Pelabuhan Klang, kita boleh sampai ke pulau ini.

Hanya 20 peratus daripada keluasan Pulau Ketam didiami oleh penghuni yang kebanyakan terdiri daripada nelayan.

Kira-kira 80 peratus daripada kawasan tersebut adalah kawasan perhutanan paya bakau.

Basikal merupakan kenderaan utama yang digunakan oleh penghuninya.

Bekalan air untuk pulau ini disalurkan dari bandar Klang di tanah besar melalui paip bawah tanah.

Pelbagai aktiviti dijalankan oleh penghuni untuk menampung kehidupan mereka.

Antaranya ialah membuat bot nelayan, menangkap ikan, menjalankan perniagaan kecil (yang diwarisi secara turun-temurun) dan akuakultur.

Aktiviti membuat bot nelayan di Pulau Ketam adalah satu perniagaan yang penting di mana bot yang dihasilkan akan dijualkan kepada nelayan-nelayan tempatan dan luar.

Lain-lain aktiviti seperti perniagaan restoran dan kedai runcit biasanya diusahakan untuk kemudahan pelancongan.

Bagaimanapun, aktiviti menangkap ikan dan akuakultur merupakan sumber pendapatan utama bagi kebanyakan penghuni di Pulau Ketam. Aktiviti ini menyediakan sumber protein utama kepada penduduk tempatan di samping menjadi daya tarikan kepada pelancong-pelancong.

Akuakultur di Pulau Ketam biasanya dijalankan di pinggir laut.

Pengusaha terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan perlesenan.

Rumah rakit juga perlu dibina, dimana rumah rakit perlu diapungkan di atas permukaan laut dengan menggunakan bekas-bekas plastik kosong.

Sauh digunakan untuk menetapkan rumah rakit supaya ia tidak digerakkan oleh ombak atau angin kencang.

Kawasan untuk membina rumah rakit adalah bergantung kepada kedalaman laut dan jenis ikan yang akan dipelihara.

Jenis ikan yang biasa dipelihara seperti kerapu dan sebagainya.

Rumah rakit yang dibina di kawasan laut mempunyai sangkar-sangkar untuk menempatkan ikan ternakan.

Baka ikan biasanya diimport dari Taiwan, negara yang maju dengan aktiviti nelayan.

Kedalaman laut akan mempengaruhi kederasan aliran air laut.

Kedalaman laut sedalam 10 hingga 12 meter merupakan kawasan berarus sederhana, manakala 15 hingga 20 meter merupakan kawasan berarus deras.

Kederasan aliran air adalah penting kerana ia akan mempengaruhi jenis ikan yang akan diternak. Ikan yang lebih aktif umpamanya memerlukan kederasan aliran yang deras berbanding ikan yang kurang aktif.

Terdapat banyak jenis infrastruktur di dalam rumah rakit dan mereka masing-masing mempunyai fungsinya yang tertentu.

Antaranya adalah lampu yang dipasang sekeliling rumah rakit dan jala-jala yang menutup kawasan penternakan anak-anak ikan.

Fungsi lampu-lampu tersebut adalah untuk menerangi kawasan rumah rakit untuk mengelakkan pencurian ikan.

Pada masa sama, jala yang menutup kawasan anak ikan pula berfungsi untuk melindungi anak-anak ikan daripada sinaran matahari terik serta melindungi ikan-ikan daripada serangan helang.

Sumber:Utusan MAlaysia

Membangunkan pertanian bandar


Pertanian di kawasan perumahan sewajarnya digalakkan bagi menampung keperluan sumber makanan.


BERBEZA daripada kawasan kejiranan lain, kawasan kejiranan di Jalan Pokok Mangga, Bandar Melaka mempunyai sawah padi dan ladang sayur-sayuran sebagai taman.

Malah, kawasan di bawah tiang kabel elektrik turut digunakan untuk menanam kangkung.

Mereka yang menanam dan menjaga tanaman padi dan sayur-sayuran tersebut adalah para penghuni di Jalan Pokok Mangga itu sendiri.

Seratus tiga puluh kilometer dari Jalan Pokok Mangga adalah kawasan kejiranan Fasa 4, Presint 8, Putrajaya, yang mana penghuni-penghuninya secara kolektif menanam sawi di hadapan pangsapuri mereka.

Mereka bersama-sama mengerjakan kawasan sayur tersebut, dan selepas penuaian sayur, hasilnya turut dikongsi antara mereka.

Begitu juga dengan para penghuni di Lorong 23, Taman Seri Inderapura, Kuantan.

Mereka menanam sawi dan kacang panjang di tanah yang dulunya terbiar di depan rumah mereka.

Walaupun seperti petani sambilan, penghuni Taman Seri Inderapura adalah bersemangat dan berhemat serta mereka prihatin kepada kesihatan mereka.

Sayur-sayuran yang ditanam oleh mereka adalah segar, sihat dan murah kerana ia ditanam secara organik, tanpa penggunaan sebarang racun dan baja kimia.

Kawasan-kawasan kejiranan seperti di atas menunjukkan aktiviti-aktiviti pertanian tidak semestinya tertumpu di kawasan luar bandar sahaja.

Penanaman pokok dan penternakan haiwan di dalam atau di pinggiran bandar dikenali sebagai pertanian bandar, dan ia merupakan cara yang semakin penting untuk mengeluarkan makanan untuk manusia.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) menganggarkan terdapat seramai 800 juta penghuni bandar (65 peratus daripada mereka adalah wanita) di dunia yang terlibat dalam pertanian bandar.

Malah, 15 peratus daripada pengeluaran makanan dunia berasal daripada persekitaran bandar.

Pada Mac 2006, kerajaan Malaysia telah menghidupkan semula kempen Buku Hijau untuk menggalakkan penduduk bandar mewujudkan taman-taman sendiri untuk penanaman sayur-sayuran serta penternakan ayam dan ikan untuk kegunaan sendiri.

Lebihan makanan boleh dijual dalam pasar tempatan dan pasar tani tanpa keperluan orang tengah.

Malaysia memandang penting pertanian bandar sebagai salah satu cara efektif untuk mengurus kawasan terbuka dalam bandar, menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan menyediakan makanan yang sihat dan segar pada kos rendah.

Makanan yang dihasilkan dalam bandar mendekatkan sumber makanan dengan penduduk bandar.

Ini membolehkan makanan yang dihasilkan bukan sahaja lebih segar tetapi juga lebih murah kerana kurang pengangkutan diperlukan berbanding dengan makanan import atau makanan yang dibawa masuk dari tempat jauh.

Pertanian bandar juga menambah kepada keluasan kawasan hijau dalam bandar.

Justeru, ini akan meningkatkan nilai estetik atau kecantikan pemandangan dalam bandar, dan lebih penting lagi, kawasan hijau boleh menyejukkan bandar melalui penyejatan air dari pokok ke udara.

Kawasan bandar boleh sampai dua darjah Celsius lebih panas daripada kawasan di luar bandar.

UniSZA kaji potensi ubi gadung


Tengku Farizan Che Ku Jusoh menunjukkan mufin yang diperbuat daripada ubi gadung hasil penyelidikan Universiti Sultan Zainal Abidin.


Ubi gadung bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat di negeri Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman memandangkan habitatnya sering ditemui di hutan.

Berdasarkan kajian saintifik, terdapat kandungan steroid yang tinggi dalam ubi ini berbentuk gula iaitu saponin.

Steroid merupakan sumber asli yang penting dalam penghasilan ubatan dan hormon manakala saponin juga bersifat antiagresif platlet iaitu boleh menghalang pengetulan (agresif) platlet di dalam darah.

Justeru, secara tidak langsung saponin dapat menghalang penyakit darah membeku dalam saluran trombosis.

Selain itu, negara-negara lain turut menanam ubi gadung untuk tujuan komersial kerana ekstrak ubi ini dipercayai boleh diproses menjadi pil pencegah kehamilan, hormon seks dan bahan kortison di samping dikatakan boleh membunuh siput perosak.

Di Mexico, ubi ini ditanam secara komersial untuk tujuan penghasilan steroid manakala di Kashmir pula ubi gadung digunakan untuk membasuh bulu biri-biri sebelum dijadikan pakaian atau barangan perhiasan bagi membunuh kutu dan serangga.

Pun begitu, disebabkan kesukaran membuang racun yang terdapat pada ubi berkenaan menyebabkan ubi gadung kurang dikomersialkan berbanding ubi kayu dan ubi keledek.

Bagaimanapun, cabaran tersebut disahut oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu bagi mengkomersialkan ubi tersebut sebagai makanan ruji masyarakat di negara ini.

Langkah UniSZA menjalankan penyelidikan menyeluruh tentang potensi tumbuhan ini ternyata menarik perhatian kerajaan negeri apabila satu memorandum persefahaman (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadung UnisZA dan kerajaan negeri ditandatangani baru-baru ini.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 2.2 juta kepada UniSZA yang akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh universiti itu untuk menjalankan kajian terhadap potensi ubi ini.

Penyelidikan bakal melibatkan 10 projek utama yang diterajui oleh 20 penyelidik terdiri daripada pensyarah, pelajar pasca siswazah dan pegawai sains dari universiti terbabit.

Kajian meliputi penyelidikan agronomi, etnobotani, morfologi, anatomi, taksonomi, germplasm, pembiakbakaan, penyaringan fitokimia, pencarian kimia seni, biopesticde, teknologi in-vitro, sifat antibakteria dan antiinflamasi, pengendalian lepas tuai, kejenteraan dan pengkomersialan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Abd. Manaf Ali, bagi tujuan peringkat awal ini, pihaknya memulakan kajian terhadap bidang agronomi iaitu kaedah penghasilan tanaman ubi gadung secara produktif.

Katanya, selain itu, kajian turut ditumpukan dalam penyelidikan racun serangga kerana ubi berkenaan mempunyai ciri-ciri biopesticide yang baik iaitu berpotensi besar dalam menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.

"Mengikut kebiasaannya, ubi ini perlu direndam selama tiga hari dalam air yang mengalir iaitu seperti air sungai yang mana ia mengambil masa terlalu lama.

"Oleh itu, kita akan mengkaji secara mendalam tentang kaedah yang lebih baik menggunakan teknologi moden seperti membuat kajian untuk sekilogram ubi itu perlu melibatkan berapa banyak air dan berapa banyak toksin daripada ubi itu dapat dinyahkan.

"Selain itu, kita juga dalam usaha untuk menghasilkan tanaman ini dalam tempoh tiga hingga enam bulan sahaja melalui program penambahbaik benih dan kaedah penanaman sistematik," katanya.

Beliau berharap penyelidikan komprehensif yang dilakukan oleh UniSZA mampu merungkai khasiat sebenar yang terdapat di dalam ubi tersebut.

"Saya berharap dengan kajian ini dapat dimanfaat untuk diusahakan oleh rakyat luar bandar sebagai sumber pendapat yang baru," jelasnya.

Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails