Showing posts with label kenderaan ladang. Show all posts
Showing posts with label kenderaan ladang. Show all posts

Wednesday, September 22, 2010

Kenderaan ladang ringkas dan praktikal


KAMARUDIN Abdul MENUNJUKKAN KEDUDUKAN ENJIN SERTA RUANG MUATAN YANG BOLEH DI BUKA UNTUK MEMUDAHKAN PROSES MENGALIHKAN BARANGAN YANG DIBAWA OLEH JENTERA INI.


SAYA hampir-hampir terduduk dan pitam akibat terkejut ketika mendapat tahu syarikat kerugian hampir RM2 juta ketika harga besi melambung beberapa tahun dahulu.

“Namun semua itu tidak pernah menghalang saya untuk terus mengembangkan perniagaan ini," luah Datuk Kamarudin Abdul ketika membuka bicara pada pertemuan di kilang miliknya di Subang, Selangor baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan pemilik kepada syarikat AAZBINA Kejuruteraan dan Pembekal Sdn. Bhd. merupakan antara anak tempatan yang telah puas bergelumang dengan pelbagai risiko dalam bidang perniagaan.

AAZBINA yang dibangunkan oleh beliau sejak setengah 1988 tidak mungkin mampu terus berdiri megah andai beliau tidak memiliki semangat yang teguh dan kental dalam mengusahakan apa yang dimilikinya kini.

AAZBINA merupakan antara syarikat yang memiliki berpengalaman luas dan pakar dalam bidang kejuruteraan logam, kejuruteraan elektrik dan elektronik serta kimpalan.

Syarikat itu juga merupakan salah satu pengeluar yang bertanggung jawab membekalkan kenderaan, mesin, enjin serta perkhidmatan penyelenggaraan kepada syarikat penerbangan dalam negara.

“Apa yang pihak saya hasilkan adalah seperti jentera motor treler pelbagai guna bagi memenuhi keperluan pengangkutan di lapangan terbang dan sebagainya,” ujar Kamaruddin.

Namun, menyedari hakikat syarikat tersebut tidak seharusnya tertumpu kepada satu bidang sahaja, AAZBINA melakukan transformasi yang agak berlainan dengan kebiasaannya.

Kini mereka beralih arah kepada bidang pertanian. Namun AAZBINA tidak terus terjun kepada bidang penternakan mahu pun pertanian yang hakiki.

Sebaliknya, syarikat tersebut memperkenalkan dua kenderaan dikenali sebagai Jentera Pengangkut Pelbagai Guna yang digerakkan melalui kuasa tujahan daripada sistem hidraulik dan enjin diesel.

“Demi memastikan syarikat terus berkembang, saya perlu memikirkan jalan keluar daripada kepompong biasa dan ciptaan terbaru ini merupakan antara hasilnya,” katanya.

Jentera ciptaan beliau tersebut merupakan sebuah kenderaan yang boleh digunakan pada hampir apa jua bentuk muka bumi di negara ini.

Memiliki enjin yang kecil dan hanya berfungsi sebagai pengepam cecair hidraulik, kuasa bagi pengangkut tersebut sebenarnya dijana melalui sistem hidraulik yang mudah.

Ia mampu mengangkut pelbagai jenis bebanan seperti buah kelapa sawit, seberat empat hingga lima tan sehari, baja dan racun.

Selain itu, ia juga mampu mendaki bukit yang memiliki kecerunan bersama muatan penuh tanpa sebarang masalah.

Tahan lasak serta mudah untuk dikendalikan, badan jentera tersebut direka khas dengan menggunakan besi lembut.

Manakala sistem kuasa yang digunakan adalah bermula dari sebuah enjin sederhana kecil yang berfungsi untuk mengepam cecair dalam sistem hidraulik.

Seterusnya sistem hidraulik tersebut akan menujah serta memutarkan rantai yang disambung terus kepada roda hadapan jentera tersebut.

Ini bermakna kuasa tujahan jentera tersebut diletakkan sepenuhnya ke atas kekuatan tekanan sistem hidraulik yang digunakan.

Berbeza dengan jentera yang menggunakan kuasa tujahan secara terus daripada enjin, gabungan enjin bersama sistem hidraulik adalah lebih baik.

“Proses pembinaan jentera ini tidak terlalu sukar kerana AAZBINA memiliki pengalaman yang luas dalam menghasilkan kenderaan ringan untuk tujuan tersebut.

“Penggunaan sistem hidraulik juga terbukti mampu memberi kuasa pacuan yang lebih baik berbanding enjin jentera biasa,” ujarnya.

Memiliki tiga roda, hendal kawalan yang mudah serta enjin yang kecil menjadikan jentera tersebut amat praktikal digunakan dikawasan ladang.

Ia juga mudah diselenggara kerana menggunakan komponen jentera buatan tempatan selain memudahkan pemiliknya untuk mendapatkan alat ganti.

Pada asalnya ia direka untuk membantu serta memudahkan pekerja ladang memunggah dan mengumpulkan buah kelapa sawit dalam kawasan ladang yang luas.

Namun penggunaan jentera itu kini boleh dipelbagaikan dan diperluaskan dalam lain-lain sektor seperti penternakan dan perikanan.

Manakala sebuah lagi ciptaan iaitu Treler Motosikal (TMS) berfungsi sebagai pembawa atau loader khas bagi aktiviti pertanian terutamanya untuk perladangan kelapa sawit.

Reka bentuk TMS menyerupai kereta sorong namun ia memiliki roda yang lebih besar iaitu menyamai saiz roda motosikal pada sebelah sisinya.

Apa yang menarik adalah rekaan pada bahagian penyambung TMS yang mudah dipasang serta fleksibel terhadap sebarang selekoh bersudut tajam memudahkan pengguna membawanya.

TMS dipasang pada bahagian belakang motosikal dengan soket yang ‘mesra pergerakan’ ciptaan AAZBINA.

Sebagai mana yang kita ketahui penggunaan motosikal di kawasan yang tidak rata pasti menyebabkan pergerakan kenderaan tersebut akan terhoyong-hayang.

Namun melalui penggunaan soket khas yang dibina, pengguna tidak perlu lagi risau TMS akan mengganggu pergerakan motosikal mereka.

Malah ia boleh dibawa dengan mudah melalui jalan yang tidak rata serta berliku-liku.

Rekaan bagi kedua-dua ciptaan AAZBINA tersebut diilhamkan oleh Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) namun syarikat beliau telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikannya.

Bagi yang berminat boleh menghubungi Kamarudin di talian pejabat beliau 03-7846 3498 atau 03-7846 3499.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails