Showing posts with label TEMAN. Show all posts
Showing posts with label TEMAN. Show all posts

Tuesday, May 18, 2010

Bekalan buah, sayur sedia ke TEMAN


Sahbani Saimin meninjau ladang tanaman anggur di Lojing, Gua Musang, Kelantan.


MULA dirangka sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), Terminal Makanan Negara (TEMAN) merupakan satu lagi projek mega di bawah penyelenggaraan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Kewujudannya bakal bertindak sebagai pusat sehenti bagi operasi pengumpulan, pembungkusan dan pengedaran terbesar untuk hasil-hasil pertanian serta makanan ke pasar raya dan pusat-pusat jualan di seluruh negara.

Dengan matlamat menyediakan ruang pasaran lebih cekap untuk petani menjual produk mereka, kompleks pemborongan itu dijangka menjadi hab makanan serantau pertama di Asia Tenggara menjelang Disember ini.

Bagi tujuan itu, FAMA merancang membangunkan TEMAN di dua lokasi iaitu di Simpang Pulai, Ipoh dengan jangkaan operasi bermula Julai ini selain di Kota Bharu pada Oktober tahun ini.

Antara produk tumpuan yang bakal diuruskan TEMAN adalah seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging, ayam, ikan, bunga, ikan hiasan serta barangan industri kecil dan sederhana (IKS).

Bagi memberi nilai tambah kepada projek itu, pengendalian TEMAN juga akan dilengkapi dengan prasarana dan infrastruktur moden bagi memudahkan hubungan antara pengeluar, pembekal dan pengguna.

Setiap aktiviti di terminal itu akan diselenggara menggunakan kaedah pengurusan berkomputer bagi memantau perjalanan perniagaan secara menyeluruh.

Kewujudan sistem itu juga menawarkan pelbagai kelebihan lain seperti transaksi yang lebih telus, sumber maklumat yang tepat dan terkini, dapat membantu petani merancang pengeluaran serta penetapan harga yang lebih stabil.

Kaedah itu turut membenarkan pengguna mengetahui serta mengenalpasti sumber setiap produk-produk itu diperolehi.

Apa yang lebih menarik, TEMAN turut disediakan dalam persekitaran yang bersih sekali gus menjamin keselamatan produk-produk dan sesuai untuk dimakan oleh pengguna.

Menerusinya juga, masa penghantaran produk-produk akan menjadi lebih pendek kerana lokasi terminal yang terletak berhampiran dengan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Selain tapak operasi TEMAN, FAMA kini sedang giat menjalankan pelbagai persiapan rapi bagi memastikan aktiviti kompleks itu akan berjalan dengan lancar.

Antaranya seperti mencari sumber bekalan bagi produk pertanian melalui pakatan strategik dengan pengeluar-pengeluar di seluruh negara.

Salah satu lokasi yang telah dikenal pasti adalah Cameron Highlands di mana FAMA telah menjalankan kerjasama secara ladang kontrak dengan pengusaha-pengusaha di sana.

Usahasama itu dilihat dapat membantu petani merancang pengeluaran dan pemasaran produk mereka secara lebih sistematik sebelum dihantar ke TEMAN.

Bagi meninjau persiapan para petani dan pengusaha, baru-baru ini, FAMA telah membawa rombongan media menyertai lawatan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunannya, Sahbani Saimin ke ladang buah-buahan dan sayur-sayuran di Cameron Highlands.

Menurut Sahbani, memandangkan operasi TEMAN bakal bermula, pihaknya kini sedang giat memantau pengusaha-pengusaha produk pertanian agar mengeluarkan hasil berkualiti dan mengikut garis panduan yang ditetapkan FAMA.

''Lawatan ini bertujuan meninjau kawasan ladang untuk melihat operasi tanaman produk-produk pertanian seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang akan dibekalkan ke TEMAN.

''Kita ingin melihat persiapan dan persediaan pengusaha-pengusaha ini,'' katanya yang turut melancarkan program Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P) serta menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) memasarkan produk sayur-sayuran Cameron Highlands pada lawatan empat hari itu.

Antara lokasi yang dilawati adalah ladang sayur, ladang strawberi dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lojing, Gua Musang, Kelantan.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails