Tuesday, July 14, 2009

Hanya tilapia dewasa mati


G. SIVAKUMAR mengumpulkan bangkai ikan tilapia dewasa yang ditemui mati di Empangan Mengkuang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 13 Julai - Kematian ratusan ikan tilapia dewasa di Empangan Mengkuang di sini menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada penduduk di sekeliling kawasan itu.

Apa lebih menghairankan, kejadian yang dikatakan berlaku sejak 10 hari lalu itu hanya menyebabkan ikan jenis itu sahaja mati walhal spesies lain seperti toman dan keli juga terdapat di empangan tersebut.

Pengurus Perkhidmatan Korporat, Perkhidmatan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K. Jeyabalan berkata, pihaknya pelik apabila anak ikan yang bersifat lebih sensitif jika berlaku perubahan terhadap air masih dapat hidup.

''Sejak 10 hari lalu, pekerja di sini telah menemui antara 20 hingga 40 ekor ikan tilapia dewasa yang mati di sekitar empangan ini.

''Kita berasa hairan memandangkan sekiranya air di empangan ini tercemar atau diracun, mengapa ikan jenis ini sahaja mati,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehingga kini, PBAPP telah menemui lebih daripada 200 bangkai ikan berkenaan yang timbul di sekitar empangan tersebut.

Jeyabalan berkata, kajian awal terhadap sampel bangkai ikan itu telah dijalankan di Bahagian Mikrobiologi, Jabatan Perikanan dan didapati bakteria di dalam bangkai ikan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, ujian makmal yang dibuat terhadap air empangan tersebut mendapati tiada pencemaran berlaku yang boleh menyebabkan ikan berkenaan mati.

''Jika ada orang ingin membuat khianat dengan membuang racun di dalam empangan, sudah tentu spesies ikan lain yang hidup di dalamnya juga akan mati.

''Fenomena ini sememangnya menghairankan dan kita harap hasil laporan penuh terhadap sampel bangkai ikan akan siap dalam masa empat hari lagi sekali gus memberi jawapan kepada kejadian ini,'' ujarnya.

Beliau turut memberitahu, air di dalam empangan tersebut merupakan air mentah yang disalurkan dari Sungai Kulim dan belum dirawat serta hanya dilepaskan jika berlaku musim kemarau sahaja.

''Saya berharap kepada kaki pancing di luar sana agar tidak menceroboh ke kawasan empangan ini kerana ia merupakan kawasan larangan,'' tambahnya.

Sumber:Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails