Showing posts with label industri herba. Show all posts
Showing posts with label industri herba. Show all posts

Monday, March 28, 2011

FRIM perhebatkan industri herba


Antara pencapaian FRIM ialah memanfaatkan tumbuhan ubat-ubatan yang diperoleh daripada hutan.


HUTAN menyimpan segala macam jenis herba - tumbuh-tumbuhan yang kini diterokai khasiatnya untuk manfaat manusia sebagai makanan dan juga ubat-ubatan.

Sebab itu, kesungguhan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) membangunkan industri herba sangat tepat pada masanya.

Agensi itu menubuhkan Bahagian Tumbuhan Ubatan yang kemudian dikenali sebagai Bahagian Hasilan Semulajadi pada Februari 2011 untuk memberi fokus kepada kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam bidang tumbuhan ubatan dan herba.

Bahagian tersebut menggunakan pendekatan pelbagai disiplin dalam melaksanakan penyelidikan untuk membangunkan ekstrak piawai dan produk prototaip daripada tumbuhan ubatan dan beraroma seperti kosmetik, nutraseutikal, makanan berfungi dan fitoperubatan (phytomedicine).

Pengarah Kanan, Bahagian Hasilan Semulajadi FRIM, Dr. Rasadah Mat Ali berkata, FRIM di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mula terlibat dengan penyelidikan tumbuhan herba pada tahun 1995 selepas Kabinet mengarahkan penubuhan Bahagian Tumbuhan Ubatan di FRIM pada April 1994.

"Malah kita merupakan pelopor kepada penyelidikan antioksidan selepas bahagian tersebut ditubuhkan di FRIM pada 1995.

"Sekarang, terdapat sembilan ujian antioksidan yang telah dijalankan.

"Malah, satu ujian baru iaitu Oxygen Radical Antioxidant Capacity (ORAC) telah ditambah ke dalam ujian antioksidan yang sedia ada dalam tahun 2011.

"ORAC adalah ujian antioksidan yang telah diterima pakai seluruh dunia sebagai ujian piawai untuk mengukur aktiviti antioksidan dalam produk nutraseutikal , farmaseutikal dan industri pemakanan," ujarnya.

Sejak itu kata beliau, FRIM telah mengorak langkah memberi suntikan baru kepada industi herba khususnya yang diperoleh dari hutan.

Ini kerana FRIM mempunyai kepakaran dalam pengenalpastian tumbuhan-tumbuhan herba , mencirikannya dan menghasilkan penanda bagi setiap sebatian aktif atau sebatian kimia berguna dalam tumbuh-tumbuhan berkenaan.

Malah berdasarkan pencapaian terkini, FRIM telah berjaya mengumpul 1,078 fitoekstrak dan 35 ekstrak piawai, 100 minyak pati, 85 sebatian fitokimia dan 10,000 kultur actinobacteria dalam perpustakaan hasilan semula jadinya.

Bagi Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod, kejayaan tersebut sangat penting bagi program pembangunan dalam penemuan sebatian bioaktif dengan nilai teraputik.

FRIM kata beliau, telah berjaya mengenal pasti tumbuhan ubatan yang tulen menerusi usaha pencirian kimia dan morfologi.

Usaha lain ialah menjalankan kajian pemprofailan kimia dan mengenal pasti penanda kimia untuk piawaian ekstrak herba, dan menawarkan 30 ekstrak seumpamanya untuk kegunaan industri.

Pada masa sama, FRIM juga menjalankan penilaian bioefikasi dan potensi bio dan mewujudkan 25 bioasei berkaitan dengan bioteraputik, kegagalan metabolik dan sistem pengenalpastian mikrobial.

FRIM juga mempunyai pangkalan data 564 spesies negatif bakteria aerobik, 480 spesies bakteria anerobik, 619 spesies filamen kulat dan 267 spesies yis serta 19 Methiclin superbug Staphylococcus aureus untuk penyelidikan.

Setakat ini institut berkenaan juga berjaya mengumpul spesimen rujukan untuk 1,147 spesies tumbuhan ubatan dan beraroma.

Kejayaan terbaru ialah mewujudkan konservasi ex-situ tumbuhan dan beraroma dengan lebih daripada 200 spesies di Taman Etnobotani di Kepong dan Stesen Penyelidikan di Maran, Pahang.

Tanaman tersebut termasuk tongkat ali, misai kucing, mengkudu, kacip fatimah, pudina, tutup bumi , kunyit , limau nipis, serai wangi, legundi, kalampayan, asam gelugor, karas, petai dan patawali.

Kejayaan FRIM dalam tempoh yang singkat iaitu sejak 1995 dengan kepakaran 50 penyelidik mengenai herba dan tumbuhan ubatan banyak dibantu oleh kemudahan makmal berteknologi canggih yang dimilikinya.

Sebagai contoh, makmal Pusat Teknologi Herba (HTC) yang dimiliki FRIM dilengkapi peralatan yang sejajar dengan matlamat dan peranannya dalam industri herba.

Peralatan seperti Gas Chromatography Mass Spectrometer (GCMS) untuk pengasingan sebatian, Nuclear Magnetic Resonans (NMR), Thin Layer Chromatography (TLC), High Performance Liquid Chromatography, Fourier transform infrared spectrometer (FTIR) dan Liquid Chromatography Mass Spectrometer (LCMS) antara kelengkapan makmal yang perlu dalam bidang penyelidikan hasilan semulajadi.

HTC pula telah menerima pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) untuk pemerosesan ubatan berbentuk kapsul dan tablet daripada Kementerian Kesihatan pada tahun 2007.

Setiap tahun, pusat berkenaan telah membantu 226 pengusaha herba dan pemakanan dari segi khidmat nasihat dan pemindahan teknologi serta menawarkan antara 100 dan 150 perkhidmatan pemprosesan herba.

Ia juga menjadi penghubung penting antara agensi-agensi kerajaan termasuk agensi penyelidikan dan penguatkuasaan dengan pengusaha herba dalam penghasilan produk yang berkualiti tinggi.

suber:utusan malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails