Sunday, July 31, 2011

Memperluas industri stevia


KELEBIHAN pemanis semulajadi stevia mempunyai pelbagai khasiat menjadikan perusahaannya semakin diperluas ke peringkat komersial.


KEHEBATAN pemanis semulajadi pengganti gula, stevia atau nama saintifiknya Stevia rebauidiana memang tidak dapat disangkal lagi.
Selain mempunyai ekstrak rasa manis pada kadar 200 hingga 300 kali ganda berbanding gula biasa, tumbuhan herba daripada keluarga Chrysanthemum itu turut menawarkan pelbagai khasiat lain seperti protein, fiber, karbohidrat, kalsium, natrium, magnesium dan juga zink.

Daripada sudut perubatan, stevia berupaya membantu mencegah penyakit kanser, kencing manis, diabetes selain mengandungi vitamin A, B dan C serta mineral penting untuk pertumbuhan kanak-kanak.

Rasanya yang terlalu manis pula menjadikan produk gula alternatif itu hanya diperlukan dalam kuantiti sedikit sekali gus memberi penjimatan daripada segi perbelanjaan.

Walaupun menawarkan pelbagai kelebihan, penggunaan stevia di negara ini masih berada di peringkat rendah iaitu sekitar tiga peratus sahaja berbanding 80 peratus di Jepun.

Stevia sebenarnya berasal daripada Paraguay, Amerika Syarikat sesuai di tanam di kawasan beriklim tropika.
Di Malaysia, penanaman pokok stevia masih belum dilaksanakan secara meluas dan jika ada pun, ia hanya dijalankan dalam skala yang kecil.

Bagi tujuan pembangunan pula, beberapa organisasi penyelidikan tempatan kini sedang giat menjalankan kajian mengenai penanaman, pengekstrakan dan pengeluaran produknya.
Melihat peluang tersebut, sebuah syarikat bumiputera, Megaherbs Bioextreme (Megaherbs) telah memulakan aktiviti pertanian dan perniagaan berasaskan stevia.

Mula ditubuhkan sejak tahun 2010, syarikat itu menawarkan program kursus keusahawanan berkaitan penanaman stevia.

Menurut Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya, operasi syarikatnya bermatlamat menggalakkan ahli masyarakat menceburi perusahaan penanaman stevia.

‘‘Aktiviti penanaman stevia ini bakal menjana pendapatan ekonomi baru di samping memberi faedah kepada masyarakat kerana ia mempunyai pelbagai khasiat.

‘‘Menerusi program keusahawanan ini, kita bantu para peserta daripada segi penyediaan kemudahan, khidmat nasihat, infrastruktur asas, sokongan teknikal, panduan dan pemasaran.
‘‘Setakat ini, kita telah mempunyai seramai lebih 200 orang peserta. Selain pengeluaran daun, aktiviti penanaman mereka lebih tertumpu kepada pengeluaran anak-anak pokok untuk dijual kepada para peserta baru,’’ katanya ketika di temui pada sesi Kursus Keusahawanan Stevia Megaherbs Siri ke-6 di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Zubir memberitahu lagi, ketika mula-mula membuka kursus keusahawanan dahulu, pihaknya menerima permintaan penyertaan yang cukup menggalakkan.

Jadi, beliau terpaksa menjalankan proses temuduga untuk mencari usahawan yang benar-benar berminat dan mempunyai tanah bersesuaian untuk tanaman stevia.

‘‘Menjelang akhir tahun ini, kita menyasarkan sekurang-kurangnya Megaherbs mempunyai seramai 1,000 orang pengusaha stevia terlatih,’’ jelasnya.Ketika ini, Megaherbs sedang dalam usaha sama dengan Unit Bioteknologi, Universiti Teknikal Damansara untuk menjalankan penyelidikan mengenai penanaman stevia secara tisu kultur.
sumber:utusan malaysia 

Ajar teknik penanaman stevia

SECARA asasnya, pokok stevia boleh dibiak menggunakan pelbagai cara iaitu melalui biji benih, pembiakan hortikultur dan sistem fertigasi.

Untuk biji benih, ia hanya perlu ditanam di dalam medium penanaman yang baik sebelum dipindahkan ke kawasan lebih luas.

Bagi hortikultur, ia merupakan kaedah pengklonan pokok yang diketahui mempunyai kandungan steviol (pemanis) tinggi sebagai induk.

Cara tersebut dijalankan menerusi pemotongan dahan yang yang ingin dibiakkan sebelum direndam dengan hormon pengakar dan seterusnya ditanam.

Dengan cara itu, penghasilan steviol daripada induk akan dapat dikekalkan pada benih pokok baru.

Sementara untuk fertigasi, ia merupakan sistem penanaman moden yang mampu menjana lebih keuntungan kepada para usahawan.

Melalui kaedah itu, ia akan membekalkan nutrien lengkap kepada pokok selain dapat dikawal mengikut pertumbuhan dan meningkatkan hasil.

Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya memberitahu, untuk setiap kursus yang dijalankan, para peserta akan diajar tentang teknik asas penanaman stevia.

‘‘Mereka akan didedahkan dengan kaedah penyediaan tanah dan batas, penanaman anak benih, penjagaan, pembajaan, kawalan perosak, penuaian dan pengeringan.

‘‘Biasanya, selepas dua minggu biji benih ditanam, anak pokok akan dipindahkan ke batas sebelum mereka diajar cara membuat tunas untuk pembiakan biji benih.

‘‘Pada peringkat ini, pengusaha perlu memberi perhatian terhadap perkembangan akar untuk memastikan pokok tumbuh dengan sihat,’’ jelasnya.

Pokok stevia akan mengambil masa selama lebih kurang tiga bulan untuk dituai.

Daun-daun yang telah kumpulkan akan dijemur di bawah cahaya matahari secara berterusan selama satu hari setengah sebelum di hantar ke kilang pemproses.
Sumber:utusan malaysia 

Usahawan kontrak ladang stevia


MEGAHERBS Bioextreme (Megaherbs) menawarkan penanaman stevia secara ladang kontrak kepada usahawan yang berminat.


TIDAK perlu berbelanja besar, mudah ditanam dan tidak memerlukan kawasan luas. Itu yang ditawarkan oleh Program Keusahawan Stevia oleh syarikat pertanian Megaherbs Bioextreme (Megaherbs) kepada usahawan yang berminat.

Menerusi program itu, syarikat tersebut memperkenalkan konsep penanaman secara perladangan kontrak.

Menurut Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya, pengenalan konsep itu bermatlamat mewujudkan kerjasama antara syarikat dengan para pengusaha.

‘‘Ia akan memudahkan kedua-dua pihak dalam urusan pembekalan baja dan anak pokok serta pembelian semula hasil tanaman.

‘‘Biasanya, syarikat akan membeli daun stevia kering dengan harga RM40 hingga RM50 sekilogram mengikut gred dan harga pasaran.

‘‘Kontrak ini akan dijalankan selama dua tahun dan pengusaha boleh memperbaharuinya mengikut kesesuaian,’’ jelasnya.

Bagi usahawan yang berminat, pihak Megaherbs telah menyediakan beberapa pakej kursus bermula daripada kos serendah RM3,000 hingga RM90,000.

Selain berurusan dengan para usahawan, Megaherbs turut menjalankan kerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan bagi menjalankan aktiviti penanaman stevia dalam skala besar.Antaranya seperti usaha sama dengan Jabatan Pertanian Terengganu bagi mewujudkan Pusat Latihan Penanaman stevia untuk para petani di seluruh negeri Terengganu.

Tidak cukup dengan itu, Megaherbs juga sedang dalam proses perbincangan dengan sebuah organisasi dari Sabah untuk membuka ladang stevia di sana.

‘‘Kita juga ada menjalankan latihan penanaman di rumah ibu-ibu tunggal untuk menggalakkan mereka menceburi industri ini di samping mengisi masa lapang.

‘‘Selain itu, kita turut melatih para belia di seluruh Malaysia yang berminat menjalankan perniagaan ini di bawah program Belia 4B,’’ jelasnya.

Untuk perancangan tahun 2011, Megaherbs bercadang membuka lebih kurang 1,000 ladang Stevia baru di seluruh negara.

Para usahawan yang berminat dipelawa menyertai program ini dengan mendaftar di laman web www.plantstevia.blogspot.com.
Sumber:utusan malaysia 

Cara mudah tanam terung telunjuk


SELAIN dibuat sayur dalam masakan, terung telunjuk juga banyak digunakan sebagai sumber ubat-ubatan kerana kaya dengan pelbagai khasiat.


Terung telunjuk (Solanum sp.) dari famili Solanaceae merupakan kumpulan terung yang asli (primitif).

Ia berbentuk lonjong, hijau dengan jalur putih di bahagian bawah, bersaiz dua hingga tiga sentimeter (sm) lebar dan lapan hingga 10 sm panjang sahaja.

Terung ini mula ditemui di India dan seterusnya ke seluruh kawasan tropika.Tidak ramai yang menggemari terung ini kerana rasanya agak sedikit pahit. Namun jika dilihat dari sudut khasiatnya, pasti ramai yang terpegun.Terung telunjuk kaya dengan karbohidrat, protein, vitamin C, serat, kalsium dan beta karoten yang baik untuk mata.Selain dimakan sebagai sayur atau ulam, ia juga boleh dijadikan ubat.Keseluruhan pokok dari buah, daun hingga ke akar pokok ini boleh digunakan untuk mengubati beberapa jenis penyakit, antaranya ialah asma, sakit gigi, bengkak gusi dan melegakan batuk.

Penanaman
n Semai biji benih terung di dalam talam semaian dengan kadar satu sel atau satu biji benih.
n Kaedah tanam terus tidak digalakkan kerana biji benih terung kecil menyebabkan peratus percambahannya jadi rendah.
n Semaian disimpan di dalam rumah semaian atau di bawah teduhan selama empat minggu. Siram setiap pagi dan petang.
n Sementara biji benih bercambah dan membesar di rumah semaian, batas disediakan dengan ukuran lebar satu meter dan panjang bergantung pada luas kawasan.
n Tambah kompos dan baja organik (tahi ayam berproses) semasa mengembur tanah.
n Tutup batas dengan plastik silver shine sebagai sungkupan.
n Selepas empat minggu disemai, anak benih boleh diubah ke batas. Jarak antara pokok yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm.
n Bagi yang tidak menggunakan plastik 'silver shine sebagai sungkupan, gantikan dengan jerami padi atau daun-daun kering untuk menutup permukaan batas yang terdedah. Sungkupan boleh mengekalkan kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

Pengairan
n Tanaman perlu disiram dua kali setiap hari (pagi dan petang) kecuali hari hujan.
n Kaedah pengairan bergantung kepada kemampuan petani sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis, titis dan sebagainya.
n Jika kawasan penanaman mempunyai saliran air bawah tanah yang kurang baik, parit perlu dibuat. Ini kerana terung tidak sesuai dengan keadaan tanah yang terlalu lembap.

Pembajaan
n Selepas dua minggu dipindahkan ke batas, baja pertama diberi. Gunakan baja organik yang dibeli atau baja organik buatan sendiri. Jika baja organik jenis granul (pepejal), hanya 50 g diperlukan. Jika baja organik jenis cecair, ikut pada sukatan yang telah disyorkan pada label.
n Baja kedua diberi selepas dua minggu baja pertama. Kadar baja ditambah hingga 100 g setiap pokok.
n Baja ketiga diberi selepas antara tiga dan empat minggu baja kedua. Kadar baja juga ditambah 120 hingga 150 g setiap pokok.
n Kadar baja yang diberi sebenarnya bergantung pada pertumbuhan pokok itu sendiri. Jika pertumbuhan pokok terbantut atau cepat membesar, kadar baja boleh dikurangkan/dilebihkan daripada yang disyorkan.
n Baja ditabur di sekeliling pokok, tetapi elak terkena pada batang pokok. Sebaik-baiknya baja ditutup dengan sedikit tanah atau sungkupan supaya baja boleh tahan lebih lama.

Sokongan
n Pokok terung boleh membesar setinggi 0.5 hingga 1.0 m. Jika ditiup angin, pokok biasanya mudah bengkok dan tumbang.
n Bagi mengelakkan kejadian ini berlaku, sokongan perlu dibuat.
n Gunakan kayu pancang yang berukuran 1.2 sm x 1.2 sm dan panjang 1.5m (bergantung pada ketinggian pokok).
n Cucuk kayu pancang hampir dengan pokok dan ikat batang pokok pada kayu pancang dengan tali rafia. Jika pokok tinggi, ikat pada dua bahagian batang pokok (atas dan bawah) supaya lebih kuat.

Pemangkasan
n Pemangkasan dibuat pada cabang yang tumbuh di bahagian bawah (0.5m dari tanah) selepas sebulan ditanam. Selain daripada cabang, buang juga daun tua di bahagian bawah pokok.
n Pemangkasan bertujuan untuk memberi pengudaraan dan pencahayaan yang baik kepada pokok. bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti buah terung.
n Sebaik-baiknya ada tiga cabang utama sahaja bagi setiap pokok.

Kawalan rumpai
n Rumpai yang tumbuh di atas batas perlu dibuang setiap seminggu sekali untuk mengurangkan persaingan dengan tanaman.
n Bagi rumpai yang tumbuh di luar batas, mesin rumput boleh digunakan untuk memotong rumput. Sekurang-kurangnya dilakukan dua minggu sekali.
n Rumpai perlu dikawal kerana ada sesetengah serangga perosak menjadikan rumpai sebagai perumahnya.

Kawalan perosak dan penyakit
n Antara serangga yang sering menyerang ialah kutu daun (afid), kumbang daun, lalat buah dan ulat pengorek buah.
n Kawalan perosak yang boleh digunakan perangkap feromon atau yellow sticker untuk lalat buah, racun organik untuk serangga perosak yang lain.
n Racun organik boleh didapati di pasaran atau dibuat sendiri menggunakan campuran cili padi, lada hitam, sabun, air dan beberapa jenis repellent (tanaman penghalau serangga) yang dikisar halus.
n Selain itu, penyakit layu bakteria dan layu Fusarium juga selalu ditemui pada terung. Gabungan daun tembakau atau daun sirih, cili padi, bawang merah, air dan kapur yang dikisar halus boleh membantu mengawal penyakit tersebut.
n Sebanyak 30 ml racun organik yang ditambah dengan 10 liter air disembur pada seluruh bahagian pokok.

Penuaian
n Pokok terung mula mengeluarkan hasil selepas enam dan tujuh minggu dipindahkan ke batas. Potong tangkai buah lebih kurang 1sm daripada cabang pokok.
n Tuai buah selang dua tiga kali sekali.
Sumber:utusan malaysia 

Membangun estet rumpai laut


Perladangan secara konvensional dilihat mampu mengurangkan kualiti rumpai laut berbanding kaedah estet yang diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan.


Sejarah rumpai laut di Malaysia bermula sejak tahun 1978 lagi di Pulau Karindingan, Semporna Sabah.

Ketika itu rumpai laut ditemui tumbuh secara semula jadi dan taburan rumpai laut tersebut telah ditemui oleh seorang penyelidik dari Universiti Hawaii iaitu Profesor Maxwell S. Doty.
Beliau telah membawa balik sampel rumpai laut ke makmal di Amerika Syarikat untuk tujuan identifikasi dan menamakannya sebagai Kappaphycus alvarezii.

Nama tersebut adalah sempena nama seorang ahli biologi dari Filipina iaitu Vicente Alvarez.

Selepas identifikasi tersebut, rumpai laut dari jenis Kappaphycus alvarezii diperkenalkan secara meluas di Sabah dan ia mula dikomersialkan pada tahun 1989.

Rumpai laut merah
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, industri rumpai laut telah dikenalpasti dapat memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.
"Industri ini mempunyai nilai komersial berdasarkan kegunaannya sebagai bahan mentah bagi penghasilan produk farmaseutikal, kosmeseutikal dan nutraseutikal.

"Malaysia juga merupakan antara negara penyumbang kepada pengeluaran rumpai laut merah dari spesies Eucheuma dan Kappaphycus," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran Pameran Rumpai Laut yang disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di Tawau, Sabah baru-baru ini.

Khasiat rumpai laut sememangnya telah diketahui umum, ia kaya dengan vitamin A,C dan E serta memiliki peranan penting dalam pelbagai industri seperti makanan, tekstil, cat, perubatan dan sebagainya.

Pada tahun lalu pengeluaran rumpai ,laut ialah kira-kira 20,000 tan metrik bernilai RM60 juta.
Perusahaan tersebut kini telah menjadi sumber pendapatan kepada lebih 1,000 nelayan yang mengusahakan hampir 7,000 hektar kawasan pengkulturan rumpai laut di sekitar perairan Pantai Timur Sabah.

Daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu di Sabah merupakan kawasan yang amat sesuai untuk pengkulturan rumpai laut kerana kedudukannya di dalam kawasan Segitiga Batu Karang yang dikongsi antara Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Malah, Sabah juga merupakan antara negeri yang memiliki pesisir pantai yang luas berbanding negeri-negeri lain di negara ini iaitu seluas 47,000 kilometer.

Menurut Noh, Jabatan Perikanan telah mengenal pasti lebih daripada 80,000 hektar kawasan perairan pantai Sabah yang berpotensi untuk dimajukan dalam projek pengkulturan rumpai laut secara komersial.

"Hari ini projek pengkulturan rumpai laut telah sedia menjadi salah satu landskap pembangunan sosio-ekonomi di perairan pantai Semporna.

"Kementerian Pertanian sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri sama ada begitu yakin menyambut tanggungjawab untuk menjayakan rumpai laut sebagai salah satu komoditi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)," katanya.

Namun, perusahaan rumpai laut oleh nelayan tempatan masih dilakukan secara kaedah pengkulturan tradisional dan begitu juga dengan pengendalian hasilnya.Ia sekali gus mewujudkan keadaan pergantungan kepada tenaga buruh yang terlalu ramai dan kualiti hasil yang tidak terjamin.

Pengeluaran rumpai laut dijangka meningkat daripada 20 ribu tan metrik pada tahun 2010 kepada 39 ribu tan metrik pada tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 10 peratus setahun.

Mini Estet
Peningkatan tersebut akan tercapai melalui pertambahan kawasan termasuk pembukaan kawasan baru di Semenanjung Malaysia.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails