Showing posts with label ik. Show all posts
Showing posts with label ik. Show all posts

Monday, July 22, 2013

Hidangan ala Thai, Cina

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Di suatu sudut kolam memancing tertera beberapa spesies ikan air tawar yang menjadi daya tarikan pengunjung Fish Valley Semenyih Sdn Bhd.
Kolam memancing di Sri Haneco Industrial Park, Jalan Kachau, Semenyih itu menempat­kan pelbagai spesies ikan seperti tilapia, kap rumput, tongsan hitam, kap kepala besar, rohu, haruan, likoh, baung dan belida.
Turut terdapat dalam kolam seluas 18 hektar itu adalah ikan jelawat, lampam jawa, pacu dan ikan hantu.

Penulis berpeluang melihat proses pembersihan ikan tilapia daripada pemilik kolam itu, Hanim Raduan, baru-baru ini.
FotoSEORANG pemancing, Teoh Pick Loong, 27, bersama ikan patin diperoleh dari kolam tangkap dan lepas.

Kaedah mematikan ikan tilapia cukup unik kerana bahagian kepala dan insang ikan dicucuk menggunakan pisau kecil.

Ini bagi menyelamatkan struktur ikan segar supaya daging ikan sedap apabila dimasak.

Hanim memberi petua punca ikan hanyir, antaranya masalah air, lumpur berlebihan, faktor makanan dan cuaca.

Tidak sampai 10 minit, ikan tilapia merah yang diternak dalam kolam itu siap dibersihkan dengan setiap seekor mempunyai berat antara 800 gram hing­ga satu kilogram.

Rombongan kami disajikan dengan 10 jenis masakan ala Thai dan Cina.

Antara hidangan pembuka selera ialah ikan goreng tiga rasa, ikan goreng ‘Pat Cha’, ikan goreng masam kacang, ikan goreng sos pekat (labu), ikan baung Keng Song, telur goreng gaya Thai dan sotong goreng telur masin.

Selain itu, kami turut dihidangkan ikan goreng serai, ikan goreng ‘Lap’ dan air sirap.

Aktiviti itu antara disediakan di kolam memancing berkonsepkan Agro Pelancongan diusahakan pemenang Anugerah Penternak Ikan Jaya Kebangsaan 2011.

Bermodalkan kira-kira RM800,000, bekas kakitangan kerajaan itu tidak menyesal berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada perniagaan baru itu.

Melihat kepada gaya berpakaian, tidak siapa menyangka pemegang lesen ‘flying fox’ itu pernah menjadi tenaga pengajar Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kini usahawan berjaya.

Konsep agro pelancongan mula diperkenalkan Selangor Tourism dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor, dua tahun lalu.

Pembukaan kolam restoran juga adalah usaha jabatan berkenaan mempromosikan produk ikan air tawar kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

Ia sekali gus menjadikan Fish Valley pusat pengumpulan dan makanan air tawar merangkumi tiga kolam memancing, 16 kolam ternak dan sebuah restoran ikan air tawar.

Hanim berkata, pembabitannya dalam dua program kerajaan termasuk Biro Tata Negara (BTN) dan PLKN mencetuskan minatnya membuka kolam memancing Fish Valley berkonsep­kan agro pelancongan.

“Pada awal pembabitan, saya hanya memiliki beberapa kolam ikan. Perniagaan kemudian dikembangkan kepada skala lebih besar termasuk me­nyediakan aktiviti lasak dan berkhemah.

“Kalau dulu hanya ada aktiviti memancing ikan, kini sebuah restoran berkonsepkan masakan ‘Thailand Food dan Chinese Food’ juga sedia menerima tempahan pengunjung,” katanya.

Selain memancing, pe­ngunjung juga berpeluang menjaring ikan secara berkumpulan menerusi pakej disediakan bernilai RM400 untuk lima orang termasuk makan tengah hari.

“Pakej ini sangat istimewa kerana pengunjung dapat merasai pengalaman menjaring ikan di dalam kolam.

“Kami akan mempraktikkan cara menjaring dan menarik ikan dan ada yang bernasib baik akan melalui pengalaman dilanggar ikan,” katanya memberitahu, pakej itu sangat digemari pelancong Jepun dan Singapura.

Katanya, konsep pancing dan lepas yang dilaksanakan dalam kolam memancing itu untuk memastikan bekalan ikan mencukupi.

“Ada ikan mempunyai berat antara 10 hingga 90 kg seekor. Jika bernasib baik, mereka dapat memancing ikan arapaima atau ikan keli Mekong.

“Biasanya tempoh 40 minit memancing, barulah umpan mengena,” katanya memberitahu, pakej itu berharga RM35 bermula dari jam 7 pagi hingga 7 petang setiap hari.

Bagi yang berminat untuk membawa pulang ikan dipancing, kolam khas juga disediakan untuk pengunjung.

“Ikan ini akan ditimbang berdasarkan harga dan beratnya dan jika ada yang mahu kami masak untuk mereka, perkhidmatan itu juga disediakan,” katanya.

Menurutnya, aktiviti ‘jungle trekking’ dan tapak aktiviti keluarga ditawarkan menerusi pakej bermalam dalam hutan.

“Untuk pakej perkhemahan, bayaran dikenakan mengikut jumlah peserta, biasanya RM60 seorang.

“Harga masih boleh dirunding asalkan pe­ngunjung bersetuju. Jika ada yang mahu membuat aktiviti memanggang ikan atau kambing, semua kemudahan akan disediakan,” katanya.

Katanya, bagi mengelak pengunjung bosan, mereka menyediakan pakej dalam hutan 24 jam, jungle trekking dan pelbagai aktiviti lain.

“Jika mahu memancing pada waktu malam, Fish Valley Sdn Bhd me­nyediakan kemudahan itu,” katanya.

Untuk menunggang kenderaan ATV, acara sukan itu disediakan di sekitar kolam memancing termasuk meredah hutan.

Hanim berkata, restorannya mempunyai tukang masak berpengalaman untuk menyediakan pelbagai hidangan berkonsepkan Thai dan Cina.

“Kami mempunyai 27 menu ikan air tawar yang menyelerakan. Berbanding spesies ikan air tawar lain, ikan tilapia merah paling mendapat permintaan.

“Setiap minggu ada saja menu baru dicipta tukang masak untuk memenuhi cita rasa pelanggan,” katanya.

Perancangan masa depan, Fish Valley Sdn Bhd berhasrat membina 60 chalet di atas bukit berdekatan kolam memancing.

Menyentuh mengenai industri penternakan ikan air tawar, katanya, dia menggunakan konsep pulangkan yang lama dan gantikan yang baru jika ada ikan tilapia dijual berbau hanyir.

Bagaimanapun, keadaan itu katanya jarang berlaku kerana konsep penternakan ikan tilapia sangat istimewa. Ia menggunakan air bukit.

“Ini bagi memastikan ikan tilapia kami lebih bersih dan sihat,” katanya.

Hanim berkata, syarikatnya mengeluarkan kira-kira 11 tan ikan tilapia merah sebulan selain ikan baung dan jelawat.

“Permintaan terhadap ikan tilapia banyak diterima daripada restoran Cina.

“Untuk memastikan bekalan mencukupi, saya memperkenalkan konsep ladang kontrak ikan tilapia merah,” katanya.

Seekor ikan tilapia seberat 800 gram boleh dinikmati seramai empat orang dengan satu sajian mencecah RM60.

Dia juga membekal­kan dua tan ikan tilapia merah sebulan untuk pasaran Singa­ pura.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails