Showing posts with label Silaj Jagung. Show all posts
Showing posts with label Silaj Jagung. Show all posts

Wednesday, April 29, 2009

TEKNIK PENYEDIAAN SILAJ JAGUNG

Silaj jagung ialah sejenis makanan alternatif yang murah bagi ternakan lembu dan biri-biri. Ia dibuat daripada sisa-sisa tanaman jagung manis seperti batang, daun dan putik jagung.

Pengeluaran dan penggunaan silaj jagung dapat mengurangkan perbelanjaan membeli bahan makanan ternakan seperti Palm Kernel Concentrate dan sangat sesuai dalam perladangan intergrasi seperti menternak lembu cara fidlot dengan menanam jagung manis.

Dari segi kandungan nutrien, silaj mengandungi protin mentah dan 'metabolizable energy' setanding dengan rumput lain (kandungan nutrien bagi sisa tanaman jagung manis dikutip hasil 75 hari selepas ditanam berbanding dengan rumput P. purpureum yang dikutip pada waktu yang sama).

Peralatan untuk membuat silaj jagung

Untuk memungut sisa pokok jagung manis di ladang, ia boleh dilakukan secara manual atau mengguna jentera seperti forage harvester dan treler. Sisa-sisa pokok jagung perlu dihancurkan atau dicincang halus mengguna mesin shredder untuk membungkus sisa tanaman jagung yang telah dihancurkan, alat-alat yang diperlukan ialah seperti berikut:-

1.Beg plastik polletilina hitam berukuran 213 cm x 275 cm (84" x 108"),
tebal 0.18 mm dan muatan 600 kg.
2.Rangka kayu berukuran 113 cm lebar empat segi x 122 cm tinggi.
3.Tali atau tiub basikal untuk mengikat.

Tempat untuk menyusun dan menyimpan beg silaj hendaklah dekat dengan kandang lembu supaya senang diambil untuk diberi makan kepada lembu setiap hari.

Teknik membuat silaj jagung

1.Pokok-pokok jagung dipotong pada umur 75 hari selepas menanam dan dikumpulkan. Pastikan pokok jagung tidak kering di ladang supaya kandungan kelembapan batang jagung dapat dikekalkan. Batang jagung dipotong dan diangkat secara manual dan dihancurkan dengan mesin shredder atau dipotong dan dihancurkan dengan mesin forage haverster, kemudian diangkut dengan treler.

2.Pokok jagung yang telah dihancurkan dimasukkan ke dalam beg plastik yang diletakkan pada rangka kayu mudahalih yang mudah dipasang dan mudah dibuka.

3.Pokok jagung yang telah dihancur ini dipadatkan dengan cara memijak untuk mengurangkan ruang udara di dalam beg.

4.Selepas beg plastik diisi dengan penuh, beg diikatkan dengan tali atau tiub plastik dengan sempurna dan disimpan sekurang-kurangnya 30 hari dalam keadaan tanpa oksigen.

5.Pastikan beg plastik tidak berlubang bagi mengelakkan udara masuk dan ini boleh menyebabkan silaj rosak dan menjadi kompos. Silaj boleh disimpan lama selagi udara tidak masuk. Setiap kali beg pembungkus silaj dibuka, udara yang terdapat dalam perlu dikeluarkan dengan menekan beg sebelum diikat.

Hasil silaj jagung

Satu hektar jagung manis boleh mengeluarkan 15-20 metrik tan silaj semusim pada kelembapan 70%. Jumlah tersebut dapat menampung sebanyak 10 ekor lembu bagi tempoh dua hingga tiga bulan. Berat silaj yang harus dibekalkan kepada seekor lembu setiap hari ialah 10% daripada berat badan. Pemakanan daripada silaj biasa ditambah dengan PKC tetapi kurang daripada biasa, iaitu 3% daripada berat badan.

Kos pengeluaran silaj

Kos pengeluaran silaj dengan menggunakan beg plastik hitam polietilena ialah RM43.00 setan atau 43 sen sekilogram.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails