Saturday, July 18, 2009

Belai arnab sambil beli-belah


PENJAGA menunjukkan betapa jinaknya arnab di Taman Arnab Rafa Bunny World.

Pengunjung minat bermain dengan haiwan dikenakan bayaran

SHAH ALAM: Sebut saja arnab, kita pasti terbayangkan badannya yang berbulu putih bersih, manja, mesra serta menarik minat kanak-kanak untuk menjadikannya haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing.

Bagaimanapun, tidak ramai yang bersedia memeliharanya kerana menganggapnya ia memerlukan penjagaan yang rapi dan sempurna bagi memastikan haiwan itu terus sihat dan aktif bermain dengan pemiliknya menyebabkan ada ibu bapa lebih selesa membawa anak mereka melihat haiwan ini di zoo mini atau kedai menjual haiwan peliharaan.

Bagi penduduk sekitar bandar raya ini, kini mereka boleh melihat dan bermain dengan haiwan ini di Taman Arnab Rafa Bunny World (Taman Arnab) yang terletak di perkarangan Pasar Raya Besar Giant (Giant), Seksyen 13, di sini.

Taman Arnab dibuka sejak 1 Jun itu menempatkan kira-kira 150 ekor arnab dewasa dan kecil yang terdiri daripada pelbagai spesies antaranya Angora, Holland Lop, Mix Lop dan Lion Head.

Pengusaha dan pemiliknya, Rahimi Idris, 47, berkata taman itu dibuka sebagai kemudahan untuk orang ramai bersantai sambil menyaksikan gelagat haiwan comel itu ketika mengunjungi Giant untuk membeli-belah.

b


"Ia berikutan kedudukan Taman Arnab ini yang terletak di perkarangan Giant, selain segala kemudahan seperti surau, tandas dan medan selera yang lengkap tersedia di sini.

"Orang ramai juga tidak perlu keluar jauh untuk melihat arnab. Di sini, pengunjung dibenarkan memberi arnab makan dan bermain di tempat permainan khas yang disediakan," katanya ketika ditemui di Taman Arnab itu.

Rahimi berkata, pasaran arnab masih baru di Malaysia dan kebanyakan kedai haiwan yang beroperasi hanya membenarkan pengunjung melihatnya yang dikurung dalam sangkar tanpa membenarkan mereka menyentuhnya.

Berikutan itu, katanya, pihaknya mengenakan sedikit bayaran iaitu RM3 kepada setiap pengunjung sama ada dewasa mahupun kanak-kanak untuk memasuki taman untuk bermain dan memberi makan arnab terbabit tanpa had masa.

Bagaimanapun, bayaran RM4 dikenakan pada Sabtu, Ahad, cuti umum dan cuti sekolah.

Rahimi berkata, pihaknya juga menyediakan pakej lawatan untuk pelajar dan keluarga dengan harga berpatutan misalnya, RM10 bagi lawatan lima orang sekeluarga.

Katanya, sambutan daripada pengunjung taman sangat menggalakkan dan pada tiga minggu pembukaannya, lebih 200 ekor arnab sudah dijual.

Ditanya cara penjagaan arnab, beliau berkata, ia mudah kerana pelbagai jenis makanan berbentuk pellet yang diperbuat daripada rumput rumpai dan kalsium ada dijual.

Katanya, makanan itu dan air yang mengandungi mineral hanya perlu diletakkan di dalam sangkar bagi membolehkan haiwan berkenaan makan dan minum pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, katanya, arnab di taman itu juga dijual kepada mereka yang berminat dengan harga berpatutan iaitu di antara RM100 dan RM300 bergantung kepada saiz dan spesies.

"Kami juga ada menjual sangkar arnab yang berharga antara RM47 hingga RM65 yang disertakan bersama bekas air dan makanannya sekali, selain pellet dengan harga RM1 sebungkus.

"Kami mendapat bekalan arnab ini daripada pembekal di sekitar Lembah Klang dan Perak," katanya.

Rahimi berkata, orang ramai yang berminat mengunjungi Taman Arnab, boleh membawa bersama keratan akhbar cerita ini untuk mendapatkan potongan harga RM1.

Katanya, taman itu dibuka setiap hari termasuk cuti umum mulai jam 10 pagi hingga jam 9.30 malam.

Pengunjung, Muhammad Izlan Rezali, 12, berkata beliau yang menyukai arnab sanggup datang dari Taman Ampang Indah, Ampang, Kuala Lumpur ke Shah Alam semata-mata mahu menyaksikan sendiri gelagat haiwan itu.

"Saya kerap datang ke sini bersama keluarga pada waktu cuti sekolah untuk melihat sendiri arnab yang comel ini dan bermain dengannya," katanya.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails