Saturday, January 16, 2010

Industri tani penjana kekayaan


Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.

Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

"Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori," katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd pada tahun 1996.

Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu, berkata, hari ini beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn Bhd dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.

Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang (GAP) dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

PENGALAMAN 20 TAHUN

"Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam," katanya.

Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan tiga tan kerepek ubi kayu sehari. Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

TERNAK KAMBING

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersil di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka berkata beliau yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

"Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Beliau berkata pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.

Menurutnya ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.

Mahathir berkata hari ini kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu.

"Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing," katanya.

Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

TIDAK PUTUS ASA

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor," katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya

Vitato varieti baru keledek

Vitato varieti keledek yang bermutu ciptaan MARDI.


Ubi keledek bukanlah asing kepada kita. Ia sering menjadi menu dalam hidangan seharian. Cuma mungkin ramai yang tidak sedar akan khasiat dan nilai pemakanannya. Bergantung kepada jenisnya, ada yang kaya dengan bahan antioksida seperti b-karoten (memberi warna oren pada ubi) yang ditukar menjadi vitamin A apabila di dalam badan. Ada pula yang mengandungi vitamin C, vitamin E dan antosianin (memberi warna ungu).

Dalam semua jenis ubi keledek terdapat kandungan serabut diet dan zat galian kalium agak tinggi. Serabut diet ini berkesan menentang diabetis, sembelit dan kanser usus besar. Kalium pula berguna untuk mengatasi tekanan darah tinggi dan baik untuk jantung. Bagi menunjukkan kepelbagaian baka keledek, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti Vitato. Ubi keledek ini mempunyai banyak berkhasiat dan boleh dimakan segar atau diproses untuk jadikan tepung atau bahan masakan.

Kultur tisu atasi masalah anak benih

KAEDAH moden pembiakan anak benih pokok pisang secara tisu kultur dilihat mampu menjana pembiakan berganda dan sekali gus menyelesaikan masalah kepada peladang yang ingin mengusahakan tanaman pisang secara skala besar dan komersial.

Kalau selama ini peladang sering dihantui bagaimana untuk mendapatkan anak benih dalam jumlah yang besar di samping mampu mengeluarkan hasil berkualiti dan tahan serangan penyakit kini dengan adanya teknologi baru ini masalah itu dijangka dapat diatasi.

Perbadanan Bioteknologi Melaka, melalui anak syarikatnya Invitrotech Sdn. Bhd. kini bergiat aktif meneroka kaedah itu dan semakin menampakkan hasil dalam membantu peladang mendapatkan anak benih pisang dalam jumlah yang banyak, berkualiti dan tahan terhadap serangan penyakit.

Syarikat tersebut, yang ditubuhkan pada 2005 dan mula mengkomersialkan pengeluarannya pada 2007 melalui sebuah makmal di Kawasan Perindustrian MIEL, Masjid Tanah, telah menghasilkan lebih 300,000 anak benih pisang.

Setakat ini, ia memberi tumpuan kepada pengeluaran pisang jenis berangan, tanduk, cavendish, rastali dan nipah.

Kelebihan kaedah tisu kultur

Pengarah Urusan syarikat itu, Sukri Ibrahim berkata di samping benih anak pisang, syarikat itu juga mengeluarkan anak benih tanaman lain seperti herba, yang kini mendapat permintaan tinggi.

Beliau berkata terdapat banyak kelebihan tanaman melalui kaedah tisu kultur antaranya.

* Penghasilan bahan tanaman bermutu tinggi, sihat, bebas penyakit dan seragam dalam jumlah yang besar.

* Spesies tanaman herba yang dibiakkan secara in-vitro didapati kurang variasi di dalam kandungan secondary metabolites berbanding pembiakan biasa.

* Sesuai untuk spesies tanaman yang sukar dibiakkan dan spesies yang hampir pupus.

* Bahan tanaman yang bebas patogen serta disimpan di dalam keadaan in-vitro membolehkan pertukaran sumber genetik organisme yang selamat di antara negara.

Proses tisu kultur

Sukri berkata, proses pertama tisu kultur ialah mengenal pasti pokok induk dan kemudian mengambil tisu pada bahagian tertentu pokok induk itu bagi melalui proses nyah kuman bagi memastikan ia benar-benar bersih untuk diklonkan.

"Daripada satu tisu pokok induk itu, kami akan dapat hasilkan lebih kurang 2,000 pokok anak benih yang sama dengan pokok induk, sebab itulah pemilihan pokok induk itu paling diutamakan," katanya.

Selepas itu, keratan tisu tadi dimasukkan ke dalam medium seperti agar-agar yang mempunyai nutrien dan hormon tertentu bagi memastikan ia mampu membiak dengan lebih banyak.

Daripada medium berkenaan, keratan tadi akan membiak dan menghasilkan lebih banyak pucuk pokok sebelum dikerat dan dipindahkan ke dalam medium pengakaran bagi mengeluarkan akar daripada setiap pucuk terbabit, katanya.

Apabila setiap pokok itu sudah mengeluarkan akar, ia akan dipindahkan ke pasu kecil yang ditempatkan di dalam kawasan kecil dengan suhu yang sama seperti di makmal tisu-kultur iaitu sekitar 25 darjah Celsius bagi memastikan ia tidak menerima kejutan apabila beralih ke tanah.

Pokok yang telah kuat kemudian akan dipindahkan ke ladang dan proses ini biasanya mengambil masa empat hingga enam bulan.

Beliau berkata pihaknya membekalkan anak benih kepada pelanggan dalam bentuk polibeg dengan saiz pokoknya antara 10 dan 12 inci dengan daun yang berfungsi.

Permintaan tinggi

Bagi tumbuhan herba, Sukri berkata prosesnya sama cuma bahagian mana yang akan dipilih bergantung kepada protokol (cara) untuk membuat proses tisu kultur, misalnya pokok misai kucing (Orthosiphon stamineus) boleh menggunakan keratan pucuk.

Sukri berkata kini tahap pengeluaran syarikatnya adalah antara 70,000 dan 80,000 anak benih sebulan manakala bermula Januari depan pengeluaran akan ditingkatkan lagi kepada 100,000 hingga 150,000 anak benih sebulan.

"Pertengahan tahun depan pula pengeluaran akan ditingkat kepada 200,000 hingga 250,000 sebulan. Sekarang ini kemudahan makmal kami mampu buat sehingga 300,000 pokok sebulan," katanya.

Beliau berkata anak benih keluaran syarikatnya mendapat permintaan tinggi bukan sahaja di Melaka malah negeri lain seperti Kelantan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Melaka, Datuk Abu Pit mengakui kaedah tisu kultur telah berjaya mengatasi masalah peladang untuk mendapatkan benih anak pisang dalam kuantiti yang banyak.

Beliau berkata, daripada pemerhatiannya terhadap ladang pisang yang diusahakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau yang menggunakan anak benih pisang yang dikeluarkan Invitrotech Sdn. Bhd., berupaya memberi hasil yang baik.

PPK Merlimau mengusahakan ladang seluas 2 hektar di Merlimau dan masing-masing 4 hektar di Kampung Tasik dan Paya Buluh dekat sini, dengan memberi tumpuan kepada pisang Berangan, Tanduk, Lang, Nipah dan Kapas. -- BERNAMA

Ladang kontrak lahirkan usahawan


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa memberikan perhatian, khidmat nasihat dan bantuan bagi meningkatkan lagi tahap dan mutu pertanian di negara ini.

Salah satu cara adalah dengan mengubah pertanian tradisional kepada pertanian yang lebih moden dan mendatangkan hasil berlipat kali ganda.

Antaranya menerusi High Impact Project (HIP) atau Projek Berimpak Tinggi bagi membantu meningkatkan pertanian negara.

Buat masa ini terdapat lima Projek Berimpak Tinggi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Zon Industri Akuakultur (ZIA), Pusat Fidlot Nasional (NFC), Industri Asas Tani (IAT) dan Ladang Kontrak.

Di Selangor saja terdapat 250 petani yang terlibat dengan ladang kontrak di mana 25 peserta atau 10 peratus terletak di Pulau Indah, Pelabuhan Kelang, Selangor.

Bermula hanya dua orang peserta ladang kontrak pada penghujung 2004 yang menanam tembikai tanpa biji, jagung manis dan timun susu pada tanah seluas lima ekar dan kini terdapat 25 pengusaha ladang kontrak berdaftar dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di atas tanah seluas 40 hektar (100 ekar).

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail berkata, matlamat ladang kontrak adalah bagi memastikan pasaran, meningkatkan pendapatan, meningkatkan pemasaran, menghasilkan produk berkualiti serta meningkatkan teknologi rantaian berkekalan.

"Ladang kontrak merupakan hasil perjanjian dengan pengusaha dengan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diperbadankan (MoA Inc).

"Ini termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), FAMA dan Agro Bank," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke lima buah ladang kontrak di Pulau Indah baru-baru ini.

Beliau menegaskan semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggembleng tenaga membantu petani dengan MARDI terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), Jabatan Pertanian memberikan bimbingan, pembiayaan dari Agrobank manakala FAMA pula terlibat dalam pemasaran.

"Sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai permintaan yang tinggi dan dengan adanya kontrak dengan FAMA dapat memastikan pendapatan petani yang berterusan," katanya.

Mohd. Mokhtar berkata, ladang kontrak telah mencapai sasaran yang ditetapkan dengan petani menanam 17 jenis sayur-sayuran dan 13 jenis buah-buahan berdasarkan permintaan dan keserasian tanah.

Kawasan Klang mempunyai peserta ladang kontrak paling ramai kerana jawatankuasa kerja yang aktif dalam membantu peserta.

Malah selepas Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) ditubuhkan melibatkan jentera kerajaan, organisasi bukan kerajaan dan ketua masyarakat menjadikan program ladang kontrak menjadi lebih mudah.

Sementara ini Pengarah FAMA Negeri Selangor, Rohizad Ridzwan berkata, MPPP melibatkan 22 kawasan Parlimen di Selangor dengan kerjasama jentera kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat.

"Pulau Indah mencatatkan bilangan peserta ladang kontrak sehingga 10 peratus daripada seluruh Selangor kerana penglibatan ketua masyarakat serta golongan belia yang aktif dalam pertanian," katanya.

Manakala Pengarah Lembaga Pembangunan Nanas Malaysia (LPNM), Selangor Rosmizam Md. Yusof berkata, walaupun masih tidak terdapat penanam nanas berdaftar dengan pihaknya tetapi ini merupakan peluang memperkenalkan tanaman nanas di Pulau Indah.

"Buat masa ini pihak LPNM menjalankan promosi besar-besaran bagi menanam nanas dengan memberikan subsidi tanaman dalam bentuk input pertanian," katanya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails