Showing posts with label belimbing. Show all posts
Showing posts with label belimbing. Show all posts

Friday, February 4, 2011

Penjagaan belimbing besi

Nama botani atau saintifik bagi belimbing besi ialah Avverrhoa carambola yang tersenarai dalam keluarga Oxalidaceae.

Belimbing besi tidak mempunyai musim buah yang utama, tetapi ia berbuah sepanjang tahun, dan secara amnya, buah belimbing besi boleh dituai sehingga enam kali dalam setahun.

Pokok belimbing besi boleh dibiak dengan menggunakan kaedah pembiakan mata tunas dan kaedah pembiakan tut.

Kaedah cantuman mata tunas mempunyai peratusan kejayaan yang tinggi dan mudah untuk dipraktikkan.

Bagi membuat kaedah pembiakan cantuman mata tunas, bahan dan peralatan yang diperlukan adalah pokok penanti yang berumur empat bulan ke atas, ranting kayu mata tunas, pisau cantuman dan plastik pembalut lutsinar.

Setelah anak pokok berjaya dicantum serta diberi penjagaan yang sempurna di tapak semaian, maka anak pokok telah sedia untuk ditanam diladang apabila mencapai umur 10 bulan keatas.

Jarak tanaman bagi belimbing besi adalah disyorkan 6 meter (m) x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama yang mana jumlah anak pokok belimbing yang dapat ditanam ialah 278 pokok sehektar.

Pokok belimbing besi mula mengeluarkan buah bermula umur sembilan bulan dan keatas, dan pokok yang ditanam dengan menggunakan biji benih, pokok akan mula berbuah apabila mencapai umur empat tahun dan ke atas.

Buah belimbing besi perlu dipetik apabila terdapat perubahan warna hijau gelap ke warna hijau kekuningan. Kebanyakan buah belimbing besi mempunyai biji dan terdapat juga buah yang tidak mempunyai biji bergantung kepada kultivar.

Buah belimbing besi mempunyai rasa dari masam hingga manis, amat berjus, dan sangat rangup.

Varieti belimbing besi yang popular ialah B2 (Pendebungaan), B10 dan B17.

Monday, January 5, 2009

Belimbing berkalsium tinggi


Buah belimbing kalsium tinggi yang disimpan selama empat minggu dalam perjalanan ke Eropah lebih rangup berbanding yang tidak dirawat dengan kalsium.


BELIMBING atau Averrhoa carambola adalah buah yang kaya dengan Vitamin C dan dipercayai jika dimakan berterusan boleh mengurangkan penyakit darah tinggi.

Manakala kaum Cina pula percaya belimbing boleh merendahkan paras gula dalam darah.

Di negara ini belimbing ditanam secara komersial bagi pasaran tempatan dan eksport kerana kualitinya yang tinggi.

Nilai eksport belimbing segar adalah kira-kira RM32 juta setahun di kawasan kurang 900 hektar di mana 60 peratus adalah untuk pasaran luar negara.

Bagaimanapun buah belimbing yang dieksport ke negara-negara seperti Eropah, Hong Kong dan Singapura biasanya masih hijau atau belum matang kerana buah ini mudah rosak semasa proses pengendalian lepas tuai.

Kebanyakan buah belimbing yang dieksport ke Eropah dimakan sebagai salad dan jarang dimakan secara segar.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjalankan kajian bagi mengatasi masalah berkenaan.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, MARDI, Dr. Zabedah Mahmod berkata, pihaknya telah menjalankan kajian merawat buah belimbing dengan kalsium bagi mengurangkan kerosakan buah.

"Rawatan semburan kalsium didapati menghasilkan sel yang lebih kuat dan pejal memandangkan kalsium penting bagi mengekalkan kesegaran dan ketahanan buah," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau yang menjalankan kajian pengurusan lepas tuai pada buah belimbing yang diaplikasi dengan semburan kalsium mendapati kerosakan pada segi buah belimbing dapat dikurangkan.

Dr. Zabedah berkata, semburan kalsium yang menggunakan formulasi yang dihasilkan oleh MARDI diaplikasi pada kadar yang amat rendah.

"Buah belimbing akan disembur sebanyak tiga kali iaitu sekali semasa berbunga dan dua kali selepas berputik dan sebelum dituai," katanya.

Menyentuh mengenai semburan, Dr. Zabedah berkata, petani hanya perlu menyembur terus ke arah bunga dan buah.

Kaedah berkenaan, menurut beliau, dicadangkan kepada petani yang menanam belimbing untuk tujuan eksport bagi mengurangkan kerosakan pengendalian lepas tuai.

Beliau menambah, kajian yang dijalankan mendapati buah belimbing mudah menyerap kalsium berbanding buah-buahan lain

Selain itu pengurusan tanaman buah belimbing lebih mudah kerana buahan ini tahan lasak terhadap penyakit bakteria dan virus kecuali serangan lalat buah.

"Buah belimbing adalah buah tanpa musim dan boleh diaturkan dengan teknik cantasan bagi menyeragamkan pembungaan dan pembuahan.

"Ini biasa dilakukan dengan memotong dahan yang mati dan bersilang serta selepas dicantas tanaman akan dibaja dengan formulasi yang mengandungi potasium tinggi," katanya.

Dua minggu selepas dahan dicantas, bunga akan muncul dan pada masa bunga berkembang, lebah akan melakukan proses.

Belimbing yang dirawat dengan kalsium mempunyai sel yang lebih kecil dengan dinding sel lebih tebal dan padat, menunjukkan kalsium memainkan peranan penting dalam pembentukan sel yang teguh bagi buah dan lebih rangup.

Dr. Zabedah berkata, kepekatan kalsium di dalam buah meningkat sehingga 25 peratus manakala buah segar lebih rangup dengan 0.44 Newton (N) dibandingkan dengan 0.35 N bagi yang tidak dirawat.

Buah belimbing kalsium tinggi yang telah disimpan selama empat minggu dalam perjalanan ke Eropah lebih rangup berbanding yang tidak dirawat dengan kalsium.

Selain itu, belimbing juga kurang mengalami kerosakan seperti berwarna keperangan semasa pengendalian lepas tuai.

Kos tambahan yang diperlukan adalah RM190 atau dua peratus bagi setiap hektar ladang belimbing dan kos ini adalah menjimatkan kerana boleh mengurangkan kerosakan dan meningkatkan pasaran.

"Buah belimbing yang dirawat dengan kalsium juga tahan lebih lama dan jika kajian mendalam dilakukan, belimbing boleh dieksport dalam keadaan ranum untuk dimakan segar.

"Ini akan dapat meningkatkan lagi pasaran belimbing di negara pengeksport kerana setakat ini pasaran belimbing adalah statik dan sukar berkembang," katanya.

Petikan dari Utusan Online...



Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails