Wednesday, July 22, 2009

Pancing sempena Bulan Ternakan Keli

SERDANG - Jabatan Perikanan akan menganjurkan Final Countdown Bulan Ternakan Keli di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini Sabtu ini.

Antara program yang dirancang sempena acara ini ialah pertandingan memancing terbuka dan untuk kanak-kanak, Ceramah Pengeluaran Ikan Keli Best dan Industri Asas Tani (IAT), Potensi Pemprosesan Produk Ikan Keli dan Promosi Ikan Air Tawar.

Bagi pertandingan memancing terbuka, acara akan dikendalikan Wakjali Event Management yang menawarkan hadiah RM5,000 untuk juara, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.

Pemenang keempat hingga 10 masing-masing menerima RM100 dan hadiah iringan.

Yuran penyertaan bagi kategori ini ialah RM41 untuk satu joran.

Pengarah Urusan Wakjali Event Management, Md Zali Kasran berkata, Jabatan Perikanan juga akan melepaskan 10,000 benih ikan ke Kolam Maeps selain 10 ikan patin seberat 7 hingga 10 kilogram setiap seekor, sebelum pertandingan dimulakan.

”Bagi pertandingan memancing kanak-kanak, penyertaan terhad kepada peserta di bawah umur 18 tahun. Yuran penyertaan dikenakan ialah RM5 untuk satu joran. Juara pertandingan bagi kategori ini akan membawa pulang hadiah wang RM500, kedua RM300 dan ketiga RM200. Pemenang keempat hingga 10 masing-masing menerima hadiah sagu hati,” katanya.

Bagi sesi ceramah yang akan diadakan beliau berkata, pihak Jabatan Perikanan akan menjemput semua penceramah yang terlibat dengan Program Ternakan Keli sejak awal Julai lalu, untuk hadir sebagai pakar rujuk di kaunter yang disediakan jabatan berkenaan.

Katanya, pendaftaran bagi pertandingan memancing terbuka akan diadakan bermula jam 6 pagi manakala pendaftaran kategori kanak-kanak serta ceramah perikanan, bermula jam 9 pagi.

Sementara itu, dalam pertandingan memancing Sabtu lalu di Kolam Maeps, lokasi sama bagi penganjuran acara ini, Faizal Yahya muncul juara dengan ikan tongsan 5.85 kilogram.

Tempat kedua disandang Yusof Sofi dengan tongsan 5.795 kilogram manakala Mohamad Dali dengan tongsan 5.760 kilogram di tempat ketiga.

Dengan kemenangan itu, Faizal menerima hadiah RM3,000, Yusof (RM1,200) dan Mohamad Dali (RM500).

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Jabatan Sistem Maklumat Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia, Salehan Lamin.

Sebarang pertanyaan mengenai acara di atas boleh menghubungi 013-3838655 dan 013-3113911.

Pekan bakal cipta jelapang padi baru

PEKAN – Projek menaiktaraf skim pengairan paya Kampung Pahang Tua dan Kampung Langgar melibatkan kawasan seluas 1,225 hektar di sini bakal mengubah wajah daerah Pekan yang bakal muncul sebagai kawasan jelapang padi baru.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, projek yang dijangka siap Ogos tahun depan turut mampu mengubah nasib 600 petani yang mengusahakan kawasan padi di sini.

Menurutnya, kerja-kerja menaiktaraf skim pengairan di sini sedang berjalan lancar dan beberapa masalah yang dimaklumkan oleh petani dapat diselesaikan melalui kerjasama yang diberikan.

“Saya berharap kerja-kerja ini berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan selain memastikan setiap peserta yang terlibat berpuas hati dengan projek yang dijalankan.

“Kelancaran projek yang menelan belanja sebanyak RM37.9 juta ini dijangka dapat memberi peluang kepada petani menuai hasil tanaman padi sebanyak dua kali setahun,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan kerja dua hari di sekitar daerah ini.

Johari berkata, kerja-kerja seperti membina tali air agihan konkrit, membina tali air utama, menaiktaraf parit air buang, menaiktaraf jalan pertanian dan lain-lain kini sedang berjalan lancar.

“Kerja lain yang berkaitan seperti menaiktaraf serta pembesaran pembentungan air keluar (outlet) Kampung Jambu serta menaiktaraf rumah pam Langgar turut dijalankan dalam memastikan sistem pengairan di sini berjalan dengan baik.

“Kami juga menjangkakan hasil padi sebanyak 10 tan sehektar bagi setiap musim tuaian terutamanya di bulan Mac dan jangkaan penurunan hasil mungkin berlaku pada tuaian kedua iaitu dalam bulan Oktober ekoran kekerapan cuaca hujan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat dan jangkaan bagi kawasan jelapang padi baru ini, pantauan serta tinjauan akan dilakukan sekurang-kurangnya dua bulan sekali bagi memastikan projek ini berjalan dengan baik dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau turut menjelaskan sistem pengairan yang disediakan turut mengambil kira faktor bencana banjir yang berkemungkinan besar berlaku pada setiap penghujung tahun.

“Pembinaan sistem ini mempunyai dua pintu air di mana jika berlaku banjir, air boleh disalurkan ke sungai Pahang dan laut bagi mengelak tanaman padi rosak akibat ditenggelami air.

“Jabatan pertanian juga akan membekalkan benih baru serta menyediakan kursus berkaitan seperti pengurusan sistem pengairan, kerja berpasukan, operasi manual dan lain-lain bagi menambah ilmu para peserta yang terlibat dalam mengusahakan kawasan padi di sini,” katanya.

Beliau berharap semua peserta dapat menggunakan manfaat yang disediakan secara sepenuhnya selain memperoleh pulangan daripada usaha yang dilakukan.

Beliau turut menyatakan hasrat kementerian yang bakal meluaskan usaha yang sama di daerah Rompin yang turut menunjukkan potensi untuk muncul sebagai kawasan jelapang padi.

Tuesday, July 21, 2009

Terminal Makanan Negara

Kompleks Simpang Pulai, Perak bakal beroperasi akhir tahun ini

LANGKAH memantapkan aspek pertanian negara memerlukan dasar proaktif dari peringkat asas lagi terutama dalam soal pengedaran hasil makanan itu daripada sumber atau ladangnya.

Salah satu ‘lubuk’ hasil pertanian penting Malaysia adalah tanah tinggi Cameron Highlands yang membekalkan pelbagai hasil makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan segar.

Demi memastikan tanaman tanah tinggi ini benar-benar mematuhi amalan pertanian baik serta kekal segar selepas diterima pelanggan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui agensinya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), bertindak membangunkan Terminal Makanan Negara atau singkatannya Teman di Simpang Pulai, Ipoh.

Terminal berkonsepkan pasar borong moden yang bakal siap sepenuhnya Oktober ini, dijangka menjalankan operasinya sebagai hab makanan halal serantau pertama di rantau Asia Tenggara pada penghujung tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Fama, Sahbani Saimin berkata, Teman yang beroperasi di kompleks dilengkapi prasarana moden itu akan menyumbang secara langsung di dalam aktiviti pemborongan, pembungkusan, pengumpulan dan pengedaran produk pertanian negara terutama tanaman tanah tinggi dari Cameron Highlands.

Melaka laksana Zon Industri Akuakultur

ALOR GAJAH: Jabatan Perikanan negeri kini giat melaksanakan projek pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA) secara besar-besaran dan terancang bagi memastikan sasaran menghasilkan 13,000 tan ikan ternakan menjelang tahun depan dicapai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, berkata langkah itu selaras hasrat kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas secara berpusat bagi memudahkan penternak memperoleh pelbagai keperluan ketika menjalankan projek berkenaan.

Katanya, ketika ini ada tiga kawasan berkenaan di negeri ini yang sedang beroperasi iaitu di Kampung Sempang di Serkam membabitkan projek ternakan ikan marin dalam kolam, Sebatu di Sungai Rambai bagi projek ternakan kupang dan Linggi di Kuala Linggi untuk projek ternakan ikan dalam sangkar.

"Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan sudah mewartakan setiap kawasan yang dikenal pasti sesuai dan berpotensi untuk pembangunan akuakultur sebagai ZIA. Selain itu, sehingga kini, peruntukan RM3.5 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur ketiga-tiga projek berkenaan.

"Adalah diharapkan, sasaran untuk menuai 13,000 tan hasil ternakan akan dapat diperoleh menjelang 2010," katanya ketika merasmikan Hari Bertemu Pelanggan anjuran Jabatan Perikanan negeri di Dewan Ar-Rasyidin, di sini, baru-baru ini.


Oleh Amir Mamat
amirapis@bharian.com.my

44 bakal taukeh rugi RM3 juta

KUALA LUMPUR – Seramai 44 bakal usahawan putih mata bukan sahaja gagal bergelar taukeh penternakan ketam komersil malah rugi RM3 juta selepas ditipu sebuah syarikat swasta di Alamanda di Seremban, Negeri Sembilan.

Kesemua 44 peserta projek yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan mendakwa teruja bergelar taukeh ketam setelah memperoleh maklumat mengenai tawaran syarikat tersebut untuk menyertai kursus sehari berhubung penternakan ketam dengan bayaran RM280 bagi seorang individu seperti disiarkan sebuah akhbar.

Selepas menyertai kursus, peserta yang berminat ditawarkan syarikat terbabit menjalankan penternakan dengan syarat perlu membeli sangkar pelihara yang diperbuat daripada fiber gelas berharga RM6,000 bagi setiap satu set termasuk 150 ekor benih ketam nipah.:

Peserta terbabit mendakwa, syarikat terbabit telah berjanji akan membeli semula ketam tersebut selepas tempoh matang dan turut menyediakan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) serta Majlis Amanah Rakyat (Mara) selain menunjukkan bukti bahawa syarikat itu mendapat perakuan daripada kementerian.

Lebih mengujakan, peserta turut dibawa ke sebuah pusat peliharaan ketam di Kuala Kurau, Perak pada tahun lalu untuk melihat bukti ketam yang diternak adalah projek yang berjaya.:

Bagaimanapun tidak sampai tiga bulan, semua benih ketam mati sebelum tempoh matang menyebbakan peserta mengalami kerugian.

Masalah itu dimaklumkan kepada syarikat terbabit namun mereka enggan bertanggungjawab.

Salah seorang mangsa, Abdul Kadir Sulaiman, 46 berkata, dia telah berhubung dengan pihak kementerian dan diberitahu ketam nipah sememangnya tidak boleh dikomersilkan.

“Saya tidak berpuas hati kerana syarikat berkenaan telah menipu kami dengan memberi jaminan seolah-olah ternakan tersebut layak untuk dikomersilkan,” katanya ketika ditemui di Wisma Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong berkata, semua 44 daripada 300 mangsa sudah membuat laporan polis dan laporan itu akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) secepat mungkin.
Sumber: Sinar Harian

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails