Tuesday, June 8, 2010

Ladang Satelit lima tahun lagi

Pelajar ikut kursus ternakan di Australia

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan perjanjian persefahaman dengan kerajaan Australia untuk menghantar pegawai atau pelajar jurusan pertanian mengikuti kursus lanjutan penternakan lembu di negara itu bagi melahirkan lebih ramai pakar tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata kepakaran serta standard penternakan Australia diperakui pada peringkat global membolehkan rakyat Malaysia mendalami bidang itu secara teori dan amali dalam membantu negara merealisasikan konsep Ladang Satelit dalam tempoh lima tahun lagi.
“Menerusi perbincangan dengan Menteri Industri Utama, Perikanan dan Sumber Northern Territory, Konstantine Vatskalis, mereka berminat membuka peluang kepada penternak atau pelajar pertanian tempatan mengikuti kursus jangka pendek atau lanjutan di Universiti Northern Territory dan dijangka perjanjian bakal ditandatangani November ini.
“Kita boleh membuka sebuah ladang ternakan di Australia untuk memastikan bekalan daging halal pasaran Malaysia mencukupi mengikut spesifikasi Kawalan Makanan Negara pada kadar harga lebih rendah,” katanyaselepas mengadakan lawatan kerja di Ladang Opium Creek, Wilayah Utara Australia, kendalian syarikat Jerambak PTY LTD (Jerambak), dimiliki kerajaan Brunei, di sini semalam.
Sumber:Berita HArian

Pengeluar daging, susu terbesar

FELDA menerusi anak syarikatnya Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, menjalin usaha sama dengan Middle East Oils & Grains Ltd (MEOG) dan Felda IFFCOAllana Malaysia Sdn Bhd bagi melaksanakan projek ternakan lembu bersepadu membabitkan pelaburan RM688 juta.

Projek berkenaan yang akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini, bakal menyaksikan FELDA muncul pengeluar daging dan susu lembu terbesar negara. Perjanjian usaha sama antara ketiga-tiga syarikat itu dimeterai di Kuala Lumpur. Ia disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Yusof Noor. Di bawah perjanjian itu, ketiga-tiga syarikat akan menubuhkan syarikat usaha sama di kenali sebagai Felda IffcoAllana Malaysia (FIAM).

Felda Global serta MEOG yang berpangkalan di India masing-masing akan memegang 40 peratus kepentingan syarikat usaha sama itu, manakala Felda IFFCOAllana memegang baki 20 peratus.

Menerusi usaha sama itu juga, setiap syarikat akan menyumbang sumber serta kepakaran masing-masing, yang mana Felda Global akan menyediakan tanah untuk ternakan, MEOF menyediakan rantaian pengedaran dan pemasaran global, manakala Felda IFFCOAllana pula akan menyediakan baka ternakan serta kepakaran dalam membina pusat penyembelihan serta kemudahan pemprosesan daging bertaraf dunia.

Najib dalam ucapannya pada majlis pemeteraian perjanjian usaha sama itu berkata, pakatan yang dijalin Felda Global itu akan membantu negara ini mengurangkan pergantungan kepada import daging lembu dan susu untuk memenuhi keperluan bilangan penduduk negara yang semakin meningkat.
Ketika ini Malaysia hanya menghasilkan 25 peratus daging lembu untuk kegunaan tempatan dan lebih memeranjatkan, hanya lima peratus saja bekalan susu tempatan.

Keadaan ini meletakkan beban yang tidak sewajarnya di bahu pengguna tempatan yang terpaksa membayar harga lebih tinggi bagi daging lembu dan susu import, selain mengehadkan pembangunan ekonomi negara apabila kita terlalu bergantung kepada bekalan luar untuk bekalan makanan tempatan, katanya.

Beliau juga menegaskan, usaha sama itu menjadi satu lagi mercu tanda bagi Felda Global yang baru dilancarkan operasinya Julai tahun lalu.

Dalam tempoh singkat Felda Global sudah menunjukkan kemajuan untuk menjadi satu daripada syarikat peneraju antarabangsa dalam industri pertanian, katanya.

Beliau juga memuji usaha sama itu yang mana syarikat terbabit menggunakan kepakaran masing-masing untuk menambah nilai tanah estet milik peneroka Felda.

Kita ada lebih 800,000 hektar tanah estet milik pekebun kecil, tetapi hanya sejumlah kecil digunakan untuk ternakan, dan kita juga tiada rantaian pasaran antarabangsa, justeru menerusi pakatan ini setiap rakan kongsi akan menggunakan kemahiran masing-masing untuk kebaikan syarikat, katanya
.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails