Monday, January 18, 2010

KT Swiftlet labur RM2 juta bina rumah burung walit

KUALA TERENGGANU 17 Jan.- KT Swiftlet Equipment & Trading (KTS), syarikat milik penuh bumiputera akan melabur RM2 juta ringgit dalam lima tahun akan datang bagi mengembangkan lagi perusahaan burung walit yang diceburinya sejak dua tahun lepas.

Pengurus KTS Syed Husein Helmi Al-Edrus berkata, pelaburan itu bertujuan membina tujuh buah rumah burung walit yang dianggar bernilai antara RM150,000 dan RM500,000 setiap buah.

"Tahun lepas kita sudah melabur sebanyak RM1.5 juta untuk dua buah rumah burung walit iaitu di Kampung Telaga Kuala Berang dan Kampung Batu Hampir Manir," katanya kepada Bernama.

Syed Husein berkata, sebelum itu, KTS melabur lebih RM1 juta untuk membina sebuah rumah burung walit di Kampung Cabang Tiga di sini dua tahun lepas, dan dalam tempoh itu syarikatnya sudah berjaya memperoleh hasil sebanyak kira-kira 13 kilogram sarang burung walit.

Menurutnya, harga sarang burung berkenaan, yang masih belum dibersihkan dijual pada harga RM4,000 lebih bagi setiap kilogram kepada pembeli dari Kuantan.

Beliau berkata, sejak menceburi bidang tersebut, Mara telah memberikan sebanyak RM250,000 kepada syarikat itu untuk dijadikan modal pengurusan ternakan burung walit.

Katanya, untuk mengembangkan lagi perniagaan dalam bidang itu, KTS merancang membina sebuah kilang pemprosesan sarang burung sendiri di Kampung Cabang Tiga bersebelahan tapak sarang burung yang sedia ada.

Syed Husein berkata, penglibatan orang Melayu dalam industri burung walit di Terengganu setakat ini sekitar 10 peratus berbanding bangsa lain.

"Bagaimanapun, semakin ramai orang Melayu sudah mula menunjukkan minat untuk melibatkan diri dalam industri sarang burung walit dalam setahun dua ini," katanya.

Beliau berkata, Kuala Berang merupakan salah satu lokasi terbaik untuk industri burung walit di dunia kerana persekitarannya yang aman, selain mempuyai banyak makanan. - Bernama

LKIM wujud ‘ladang laut’


Zawawi Othman (kiri) menyampaikan elaun sara hidup kepada salah seorang nelayan Semerak di Tok Bali, Pasir Puteh, kelmarin.


PASIR PUTEH 17 Jan. – Satu lokasi khusus dikenali sebagai ‘ladang laut’ yang kaya dengan pelbagai spesies ikan akan diwujudkan bagi membolehkan lebih 2,000 nelayan tradisonal Kelantan menikmati hasil berterusan.

Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Muhamad Yusuf, berkata, pihaknya sudah membelanjakan RM100,000 bagi melambakkan kawasan itu dengan longgokan tukun konkrit.

Menurutnya, untuk permulaan, kawasan seluas satu hektar untuk ladang laut kira-kira lima batu nautika dari pantai Kelantan itu adalah kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tukun bagi pembiakan pelbagai spesies ikan.

“Nelayan tradisional kawasan Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh sudah dibenarkan menangkap ikan di kawasan berkenaan.

“Lokasi itu dikenal pasti terdapat banyak ikan dari gred terpilih yang boleh dijual dengan harga yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan secara tunai di Tok Bali di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian (MPPP), Zawawi Othman.

Seramai 232 nelayan yang menganggotai Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semerak menerima elaun sebanyak RM200 seorang.

Muhamad berkata, pelaksanaan ladang laut di kawasan berkenaan juga akan dapat memikat pelbagai spesies ikan membina habitat pembiakan dan bermain di kawasan sekitarnya pada skala yang lebih besar.

“Kawasan ini dikhususkan kepada nelayan tradisional sahaja dan tidak dibenarkan sama sekali dicerobohi oleh bot nelayan yang berkapasiti besar untuk memukat di sekitarnya,’’ tegasnya.

Sebelum ini, kata beliau, nelayan tradisional terpaksa menangkap ikan di merata-rata tempat atau membuat tukun sendiri menggunakan batang buluh, daun kelapa dan sebagainya.

Muhamad berkata, LKIM sentiasa memantau ladang itu dengan mendapat perkhidmatan dan kepakaran penyelam profesional sekurang-kurangnya sekali bagi tempoh setahun.

“Ia bagi memastikan tidak berlaku pencemaran di samping memastikan tiada pukat hanyut tersangkut di kawasan berkenaan yang boleh menghalang ikan daripada membiak,” ujarnya.

Sumber:Utusan Malaysia

Industri tani penjana kekayaan


Kejayaan Ahmat Termizi Dollah Kusni dan isterinya, Jamirah membuktikan industri asas tani melahirkan usahawan berjaya.


Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.

Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

"Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori," katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd pada tahun 1996.

Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu, berkata, hari ini beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn Bhd dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.

Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang (GAP) dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

PENGALAMAN 20 TAHUN

"Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam," katanya.

Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan tiga tan kerepek ubi kayu sehari. Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

TERNAK KAMBING

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersil di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka berkata beliau yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

"Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Beliau berkata pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.

Menurutnya ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.

Mahathir berkata hari ini kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu.

"Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing," katanya.

Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

TIDAK PUTUS ASA

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor," katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya.

Durian Salak memberi rahmat


ORANG ramai memilih buah durian di Pesta Makan Buah Durian Bersama Media, di Kuching, Sarawak, baru-baru ini. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABDUL RAHMAN


KUCHING 12 Jan. - Musim buah-buahan ketika ini memberi rahmat kepada penduduk kampung terutama mereka yang mempunyai dusun buah-buahan.

Pokok rambutan dan durian berbuah dengan banyaknya sekali gus memberi pendapatan sampingan kepada mereka.

Bila memperkatakan tentang buah-buahan, 'raja buah' iaitu durian tetap menjadi pilihan orang ramai terutama yang didatangkan dari Kampung Pasir Pandak di daerah Serian.

Namun, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Kampung Salak yang lebih dikenali sebagai kawasan perkampungan nelayan mempunyai keistimewaannya sendiri.

Ini kerana, kampung yang terletak di salah sebuah pulau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai itu turut mempunyai hasil buah- buahan hutan termasuk durian yang mempunyai rasa tersendiri.

Bagi seorang penduduk, Rohana Yusuf, 36, mutu durian dari kampung itu setanding dengan durian dari Kampung Pasir Pandak.

Menurutnya, durian Kampung Salak mempunyai rasa yang enak kerana isinya yang kenyal dan rasanya yang sedikit masam.

Katanya, kebiasaannya durian dari kampung itu yang dikenali sebagai durian Salak dijual pada harga RM10 untuk empat biji.

''Bagi mereka yang ingin merasai sendiri keenakan durian Salak, mereka boleh datang sendiri ke kampung ini.

''Sudah ramai penduduk dari kawasan lain datang ke sini kerana terpikat dengan keenakan durian Salak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menjelaskan perkara itu Hayati Jemaie, 46, memberitahu, peluang untuk menemui durian Salak hanya datang dua kali setahun.

Jelasnya, kebiasaannya durian Salak akan berbuah pada sekitar bulan Jun dan Disember setiap tahun.

''Selain menjual durian itu di kampung, penduduk turut menjualnya di bandar bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka," katanya.

Bagi Samiah Khalid, 51, kedatangan musim durian membantu meningkatkan pendapatan penduduk Kampung Salak.

Namun katanya, kerajaan perlu membantu penduduk kampung dalam mempromosikan durian Salak supaya dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Lapan lagi pusat pembenihan kelah bakal dibuka - Ongkili

KOTA MARUDU 12 Jan. - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bercadang menubuhkan lapan lagi pusat pembenihan ikan kelah bagi membantu perkembangan industri ternakan ikan air tawar itu di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, pembinaan lapan pusat itu bagaimanapun bergantung kepada kejayaan program perintis yang kini dilaksanakan di Kampung Tangkol, di sini.

"Matlamat kita adalah untuk membantu petani menceburi bidang penternakan ikan air tawar khususnya kelah yang mempunyai pasaran besar di negara ini dan di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat pusat pembenihan ikan air tawar Kampung Tangkol di sini, kelmarin.

Katanya, pusat yang dibangunkan menerusi Program Aplikasi Teknologi (TAP) Bersama Komuniti kementerian itu melibatkan pemindahan teknologi pembenihan ikan, menternak dan menyimpan ikan kelah.

Beliau menambah, pusat berkenaan turut membantu penduduk yang menggunakan kaedah penangkapan tradisional dikenali sistem tagal untuk menghasilkan benih ikan daripada ikan yang telah matang.

Menurutnya, pusat yang dibuka enam bulan lalu dengan kos RM300,000 itu kini dilengkapi kemudahan seperti kolam ikan terbuka dan dalam bangunan.

"Setakat ini ia telah berjaya menghasilkan benih daripada ikan matang," katanya.

Ongkili berkata, projek tersebut akan menjadi model kepada pembangunan pusat pembenihan ikan air tawar lain yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

"Kita turut mengkaji untuk mencipta makanan ikan menggunakan bahan-bahan tempatan seperti ubi kayu dan sisa buangan kelapa sawit selain bahan tradisional lain seperti kayu banyan, siput gondang emas dan tongkat ali," katanya.

Menurutnya lagi, Sabah mempunyai potensi besar dalam pembangunan ikan air tawar seperti kelah yang mampu mencapai harga sehingga RM600 hingga RM700 sekilogram di restoran makanan laut di negara ini.

Katanya, ini kerana negeri ini banyak menggunakan sistem tagal yang menyaksikan sungai tersebut ditutup untuk sebarang kegiatan penangkapan ikan dan hanya akan dibuka sekali setahun.

Beliau berkata, pada masa ini 379 sungai di Sabah melaksanakan sistem tagal termasuk 19 buah di daerah ini.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails