Saturday, July 18, 2009

Pusat kumpul ayam kampung di Senggarang

BATU PAHAT 17 Julai - Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang akan mewujudkan pusat pengumpulan untuk membantu memasarkan ayam kampung yang diternak penduduk di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ja'affar Hashim berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan ayam berkenaan dipasarkan lebih teratur.

Menurutnya, sebuah rumah kedai di Taman Senggarang 2 telah dibeli pihaknya baru-baru ini untuk dijadikan pusat pengumpulan ayam berkenaan.

"Selain untuk jualan segar, ayam itu juga akan diproses untuk dijadikan beberapa produk sejuk beku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 1,000 ekor anak ayam kampung kepada 40 peserta ternakan berkelompok di kawasan Senggarang di sini semalam.

Pada majlis tersebut, para peserta turut menerima bantuan makanan ayam, palong air dan palong makanan, ubat anti stres, EM dan antibiotik daripada kerajaan.

Ja'affar berkata, bagi menggalakkan orang ramai memakan ayam kampung, pihaknya akan meminta kerjasama peniaga ayam agar turut menjual bahan tersebut di tempat mereka setiap hari.

Menurutnya, satu perbincangan telah diadakan dengan para peniaga ayam untuk membina reban khas di tempat mereka untuk menempatkan ayam-ayam kampung itu.

"Ini untuk membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan tersebut sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan pengusaha restoran dan gerai makan atau mereka yang mengadakan majlis kenduri agar menyajikan lauk ayam kampung.

"Sebanyak 14 restoran termasuk gerai di Senggarang telah dikenal pasti akan menyediakan menu ayam kampung sebagai hidangan mereka," katanya.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails