Showing posts with label projek tani. Show all posts
Showing posts with label projek tani. Show all posts

Wednesday, July 29, 2009

Johor: Projek tani 26 pelajar pendidikan khas juara

PONTIAN: Kegigihan 26 pelajar pendidikan khas bermasalah pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup, di sini mengusahakan kawasan pertanian ternyata berbaloi apabila mereka terpilih sebagai juara pertanian di peringkat negeri, baru-baru ini.

Mereka mengusahakan sebidang tanah di kawasan sekolah itu dikenali sebagai Laman Pertanian Kelas Integrasi yang ditanam dengan pelbagai jenis sayuran antaranya kacang panjang, terung, timun, lada, sawi, kucai, cendawan, jagung dan labu manis yang hidup subur.

Selain itu, pelajar yang mengendalikan laman pertanian itu turut mengusahakan ternakan ikan keli.

Ketua Unit Program, Maryati Md Khalid, berkata program berkenaan memberi peluang kepada pelajar pendidikan khas untuk mengalami dan melakukan sendiri aktiviti bagi memenuhi konsep Taman Ternak Makan Sendiri.

Beliau berkata, pelbagai pengetahuan pertanian dicurahkan kepada pelajar mengikut kaedah dan teknik yang betul dengan bantuan pegawai pelbagai unit dari Pejabat Pertanian daerah seperti cara mengendalikan sudut semaian, tanaman sayuran hijau, tanaman herba dan ternakan ikan keli sistem Pro-Asli.

Katanya, di sudut semaian, pelajar diberi pengetahuan cara menyemai pelbagai jenis pokok, khususnya sayur-sayuran mengikut kaedah dan teknik yang betul.

"Selain itu, pelajar juga dilatih menyelenggarakan model perusahaan tanaman cendawan tiram, memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengenali jenis tanaman herba dan kaedah ternakan ikan keli sistem Pro-Asli yang berasaskan ternakan organik," katanya.

Maryati berkata, pendedahan dengan pelbagai teknik yang betul mengenai cara bercucuk tanam amat penting kepada pelajar kerana ia dapat melatih mereka cara mengendalikan satu kawasan pertanian dengan baik sekali gus mampu menjadikan bidang pertanian sebagai pilihan kerjaya pada masa depan.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails