Sunday, July 3, 2011

Cubaan ternak arnab berjaya


Mohd. Ismail Padzil menunjukkan pelbagai spesies arnab ternakannya.


BIASANYA minat, pengalaman dan galakan keluarga menjadi tunjang atas kejayaan seseorang. Tetapi berlainan pula dengan Pengarah Urusan One Stop Rabbit Farm & Trading (1SRFT), Mohd. Ismail Padzil kerana bosan duduk di rumah selepas bersara daripada perkhidmatan swasta mendorongnya mengintai peluang perniagaan yang ada.

“Sebelum bersara daripada sektor swasta, saya tidak pernah merancang melakukan apa-apa.

“Tapi disebabkan tidak betah duduk di rumah saya menghadiri pelbagai kursus perniagaan dan penternakan termasuk melawat ladang ikan, ayam, kambing, lembu dan arnab,” katanya semasa ditemui di ladang arnab miliknya di Bukit Badong, Kuala Selangor baru-baru ini.

Memang pada mulanya projek ternakan terutama arnab tidak pernah terlintas di fikirannya.

Bagaimanapun projek ternakan yang tidak digemarinya satu ketika dulu, kini menjadi perniagaan yang amat disukai.

“Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta, kerana kini saya dapati ternakan arnab mempunyai banyak ruang untuk diisi,” katanya.

Dia kini aktif dalam projek membiakkan pelbagai baka arnab bagi bekalan daging secara komersial selain sebagai haiwan peliharaan.

Selepas mengunjungi beberapa ladang ternakan arnab, Mohd. Ismail memulakan projek tersebut dengan membeli 40 ekor arnab pada tahun lalu.

Kini setelah lebih setahun, dia mempunyai lebih 3,000 ekor arnab pelbagai jenis termasuk pedaging dan arnab hiasan di tanah seluas tiga ekar milik keluarganya.

Mohd. Ismail juga rajin menghadiri beberapa kursus dan bengkel memilih arnab. Ini kerana haiwan berkenaan mudah diternak dan tempoh pembiakannya cepat berbanding haiwan lain.

Saiz arnab yang kecil membolehkannya dibiakkan di kawasan sangkar tanpa kawasan yang besar memudahkan pengurusan ternakan.

Selain itu beliau dapati tidak ramai penternak menternak arnab secara komersial walaupun permintaan terhadap daging arnab adalah tinggi.

“Lima bulan pertama saya di dalam ternakan arnab, saya dapati terdapat permintaan yang tinggi bagi daging arnab.

“Tambahan pula tidak ramai penternak arnab komersial terutama golongan Bumiputera menyebabkan saya semakin serius dalam ternakan arnab,” katanya.

Apabila ternakannya mencecah angka 400 ekor dalam tempoh enam bulan pertama, Ismail terus membeli baka baru seperti baka pedaging dan hiasan.

Jika pada peringkat permulaan, Ismail hanya mempunyai empat jenis baka arnab tetapi kini belia memiliki lebih 10 baka arnab termasuk pedaging dan hiasan.

Bercerita mengenai cabaran dalam ternakan arnab, Ismail mengakui arnab mudah dijangkiti dengan pelbagai penyakit terutama kudis.

“Bagi mengatasi masalah berkenaan, Ismail terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi membuat sangkar tambahan serta ubat-ubatan.

“Arnab sensitif dan senang berjangkit dan terpaksa dikuarantin bagi mengelakkan merebak ke ternakan lain,” katanya.

Ismail berkata selepas enam bulan bergiat dalam ternakan arnab, beliau sudah mula serasi dan berjaya menyelesaikan masalah kesihatan sehingga bilangan arnab mencapai 1,000 ekor.

Melihat kepada perkembangan pesat ternakan arnab, Mohd. Ismail mengambil keputusan membangunkan syarikat yang mengeluarkan produk arnab secara komersial.

Ismail mendaftarkan syarikat 1SRFT pada 9 September 2009.

Selepas hampir dua tahun terbabit dalam projek penternakan arnab, dia kini mampu tersenyum dengan memiliki 3,00 ekor.

“Seekor arnab dijual mengikut kadar harga berbeza bergantung kepada jenis baka arnab.

“Biasanya arnab peliharaan dijual pada harga bermula RM100 manakala arnab pedaging pula dijual pada harga RM38 sekilogram,” katanya.

Bagi memberikan yang terbaik bagi pelanggan, Mohd. Ismail mempunyai rumah sembelih halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Ini bagi memastikan pelanggan mendapat daging arnab yang disembelih secara halal,” katanya.

Dia yang sentiasa memantau industri arnab mendapati, ternakan berkenaan mempunyai pasaran yang luas.

Malah katanya, bukan saja daging arnab mendapat permintaan yang tinggi, malah kulit arnab memikat pembeli dari luar negara.

“Buat masa ini saya berharap dapat mengedarkan daging arnab halal bukan saja ke seluruh negara tetapi juga ke luar negara.

“Kami memberi lebih perhatian kepada aktiviti penjualan baka kepada penternak dan peminat arnab, menjual daging segar kepada orang tengah dan pembuat sate,” katanya.

Selain menjual arnab daging dan hiasan, Ismail juga membuka zoo mini Taman Arnab Bukit Badong bagi menempatkan arnab serta beberapa haiwan seperti kuda, burung merak, monyet, ayam mutiara dan pelbagai jenis ikan.

“Taman Arnab Bukit Badong biasanya dikunjungi oleh pelawat sekitar Kuala Selangor terutama kanak-kanak sekolah dan tadika.

“Di sini mereka boleh bermain dan memberi makan arnab yang dilepaskan di kawasan terbuka,” katanya.

Tidak menoleh ke belakang, Ismail merancang membina restoran berasaskan daging arnab sebagai satu ciri keistimewaan.

Bagi merealisasikannya, Ismail telah mula menanam pelbagai jenis sayuran kampung yang biasa digunakan dalam masakan.

“Saya mahu mengikis perspektif negatif kebanyakan masyarakat di negara ini yang tidak gemar atau 'geli' hendak memakan daging arnab ini.

“Sebenarnya mereka tidak tahu yang daging arnab lebih berkhasiat daripada haiwan ternakan lain dengan dipanggang, daging arnab enak dimasak rendang, kari atau gulai," katanya lagi.

Sumber:utusan malaysia

Tuah Marina dalam pertanian


Marina Nasir dan Mohamed Firdaus Mokhtar kini boleh berbangga dengan pencapaian projek pertanian sayur-sayuran yang mereka usahakan di sijangkang.


Mungkin ramai pengusaha pertanian atau usahawan yang pernah melalui saat getir. Jatuh dan bangkit semula sama ada dalam bidang perniagaan yang sama atau berjaya selepas beralih ke bidang lain.

Itu pun selepas lama menceburkan diri, gagal dan selepas mencapai usia tertentu. Kadangkala datang perasaan putus asa lantas mengambil keputusan untuk berundur.

Namun, tuah mungkin menyebelahi Dewi Marina Nasir, 27, yang mencuba banyak cabang perniagaan tetapi tidak begitu berjaya pada awalnya. Tetapi berkat ketabahan dan kegigihan, beliau akhirnya boleh menarik nafas lega.

Beliau yang mesra dipanggil Marina menceburkan diri dalam perniagaan kecantikan pada awalnya meskipun memiliki kelayakan akademik dalam pengurusan pelancongan.

Mengimbau kembali saat menceburkan diri dalam perniagaan, Marina, anak kelahiran Johor itu memberitahu beliau pernah bekerja sebagai penyelaras pelancongan bermula tahun 2003.

Minatnya dalam perniagaan muncul selepas bekerja dalam industri tersebut dan mula mencongak bidang yang dapat menambat jiwanya.

Semangat yang sudah berputik itu tidak dipersiakan. Lantas dalam usia yang begitu muda dia membuka salun kecantikan pada 2005.

Beroperasi selama tiga tahun iaitu sehingga 2008, meskipun salun berkenaan menunjukkan tanda-tanda untuk berkembang, Marina bagaimanapun melihat peluang lain yang dirasakan mendatangkan pulangan lebih baik .

"Cabarannya besar tetapi saya rasakan sesuatu yang lebih baik. Selepas terbaca iklan dalam sebuah akhbar berkaitan kursus penanaman cili saya menyertainya," ungkap Marina.

Berkongsi lebih lanjut pada pertemuan itu yang turut ditemani suaminya, Mohamed Firdaus Mokhtar, 27, Marina berkata, dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan asas dan pengalaman dalam bidang pertanian.

"Saya redah sahaja, tapi saya yakin. Pertanian moden bukan lagi menggunakan cangkul," katanya ketika ditemui di ladangnya di Sijangkang Selangor.

Kerana berasakan diri daif dalam pertanian, dia mendapatkan bantuan lanjut daripada Insitut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai penanaman cili khususnya teknologi fertigasi.

Teknologi penanaman fertigasi merujuk kepada kaedah yang menggunakan sistem pengairan dan pembajaan serentak yang disalurkan terus kepada pokok menggunakan paip khas.

Baja dicampur dengan air dalam satu tangki khas pada kadar yang telah ditetapkan dan disalurkan mengikut keperluan pokok.

Selepas memperoleh maklumat tambahan dan memahami serba sedikit teknologi penanaman cili, Marina tidak menoleh ke belakang lagi.

Selepas menjual salunnya, dia sudah mula mengumpul modal hasil jualan tersebut dan mendapatkan sumber lain hasil simpanan peribadi dan meminjam daripada keluarga serta saudara mara.

Hasilnya, sebanyak RM70,000 berjaya dikumpulkan. Bagi memulakan usaha beliau menubuhkan syarikat Green Agro World yang beribu pejabat di Klang Selangor.

Selain menjadi penggerak kepada projek penanaman cili, syarikat terbabit juga membekal dan menjual hasil pertanian dan penternakan, menjual peralatan pertanian serta menjual, memborong dan mengedar produk industri kecil dan sederhana (IKS).

Selaku Pengarah Projek, Marina berperanan penting bagi memastikan cita-citanya untuk maju dalam bidang perniagaan tercapai, apatah lagi pertanian merupakan bidang baru baginya,

Suaminya pula memberi tumpuan menyediakan kelengkapan infrastruktur dan logistik selain membantu Marina mencari pasaran.

"Saya bermula di Jalan Tanjung (Sijangkang) dengan menyewa tanah pada peringkat awal dengan dibantu tiga orang pekerja berkeluasan satu hektar atau dengan kapasiti 4,000 pokok cili.

"Tidak lama selepas itu, tiga hektar lagi dibuka dengan kapasiti 12,000 pokok di Jalan Mawar," ujarnnya.

Sehingga kini dia mempunyai 24 hektar kawasan penanaman cili fertigasi baka kulai di sekitar Sijangkang dengan 10 hektar mengandungi 4,000 pokok cili manakala 14 hektar lagi ditanam 5,000 pokok cili sehektar.

Marina bertuah kerana dia mendapat bimbingan pakar penanaman cili secara fertigasi dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid.

Kata Marina, meskipun dia mendapat bimbingan dalam penanaman cili menggunakan struktur pelindung hujan (SPH), dia tidak mengaplikasikan sistem SPH bagi mengurangkan kos pembangunan.

Marina juga mendapatkan bimbingan daripada Agrobank dalam aspek pengurusan selain mendapatkan pinjaman RM50,000 daripada bank terbabit menerusi skim mikrokredit pada 2009.

Kini dia mampu mengeluarkan antara 700 kilogram cili sehari dan bercadang meningkatkan pengeluaran kepada 26 tan sebulan pada hujung tahun ini.

Setiap pokok cili yang ditanam pula mampu mengeluarkan 120 buah cili atau empat kilogram semusim.

Beliau banyak memasarkan cili ke pasar borong dan bagi mengekalkan pengeluran agar lebih stabil penanaman dilakukan secara berjadual supaya pengeluaran sentiasa ada.

Dalam pada itu, bagi meminimumkan kos operasi, Marina mengggunakan pendekatan kitar semula cocoa peat sebagai medium penanaman.

Sabut kelapa yang telah digunakan, dikitar semula sebagai medium penanaman untuk musim seterusnya selepas proses rawatan yang teliti.

Untuk tujuan itu, syarikatnya telah membeli tiga mesin yang boleh mengitar semula sehingga 100 polibeg sehari.

Sumber:utusan malaysia

Usahawan tani perlu kemahiran


Dr. Mahamud Shahid (duduk) membimbing usahawan tani memeriksa tanaman cili mereka.


Terdapat beberapa peringkat atau tahap bagi membangunkan nilai keusahawanan yang ada pada seseorang pengusaha supaya mereka dapat bersaing .

Pengarah Urusan Malayan Agro Consult Sdn. Bhd. (MayConsult), Zainal Abidin Yahya berkata, empat peringkat tersebut merupakan rangkuman beberapa elemen dan nilai positif yang mejadi penggerak atau panduan dalam usaha memajukan diri.

"Dalam membangunkan usahawan kami berpendapat para peserta perlu menguasai kemahiran teknikal (keterampilan) dengan melalui empat tahap,'' ujarnya kepada Mega baru-baru ini

Beliau diminta mengulas mengenai beberapa penekanan penting yang dibangkitkan oleh pengusaha sayur-sayuran fertigasi dan hidroponik, Dewi Marina Nasir.

MayConsult merupakan syarikat tempatan yang menawarkan program kursus dan latihan keusahawanan pertanian sejak beberapa tahun lalu.

Aktiviti terdiri daripada menyediakan maklumat/sumber yang diperlukan oleh usahawan permudahkan proses permohonan pinjaman, membantu kesukaran yang dihadapi oleh usahawan yang berdaya maju mendapatkan pembiayaan, menyediakan khidmat nasihat bagi lain-lain keperluan.

Ia juga membantu usahawan menyediakan pelan perniagaan, khidmat nasihat strategi pemasaran produk, khidmat nasihat aspek teknikal pelaksanaan projek, khidmat nasihat kewangan, akaun dan simpan kira, mengemukakan laporan pakar daripada siasatan dan lawatan, memberikan maklum balas dan mengemaskini maklumat ke dalam direktori.

Peserta boleh dinilai tahap keterampilan masing-masing dengan cara mereka dikehendaki menyediakan Rancangan Perniagaan Cadangan Projek dan di Persembahkan di hadapan para panel penilai di akhir program atau bimbingan.

Padi Hibrid Siraj dikomersial bulan depan


TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri) melihat pokok Padi Hibrid Siraj di Tambun Tulang, dekat Kangar, semalam.


KANGAR - Padi hibrid pertama dengan tujuan pengkomersialan, iaitu padi Siraj akan mula dikomersialkan di negara ini pada bulan depan dengan kapasiti permulaan sebanyak 200 tan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran dan kualiti padi serta pendapatan petani.

Padi berkenaan dihasilkan melalui kerjasama antara MOSTI, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin (YTSS) dan RB Biotech Sdn. Bhd..

Menurut beliau, bagi tujuan pengkomersialan itu, sebanyak empat tan padi berkenaan dihasilkan Stesen Penyelidikan Padi Hibrid MARDI di Tambun Tulang di sini, manakala selebihnya merupakan hasil penanaman di Kelantan dan Kedah.

"Kita jangka pada tahun depan pengeluaran benih padi hibrid ini akan mencecah sehingga 2,000 tan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Stesen Penyelidikan Padi Hibrid MARDI Perlis dan pelancaran Pengkomersialan Padi Hibrid Siraj yang disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd. Johari Baharum dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Menurut Maximus, padi hibrid itu mampu mengeluarkan hasil lebih tinggi 20 peratus berbanding padi biasa malah prestasi hasil padi berkenaan di Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Selangor mencapai lebih 25 peratus sehingga 60 peratus lebih tinggi berbanding varieti padi biasa.

"Walaupun harga benih lebih mahal namun petani hanya perlu menggunakan antara 25 sehingga 30 kilogram benih bagi keluasan satu hektar berbanding 250 kilogram sehingga 300 kilogram benih padi biasa untuk keluasan yang sama," ujarnya.

Sementara itu, Johari berkata, stesen berkenaan akan memainkan peranan sebagai pusat informasi dan pemindahan teknologi yang dijana serta akan memberi manfaat kepada agensi pengembangan penyelidik dan institusi penyelidikan.

Menurut beliau, melalui stesen tersebut padi hibrid akan diterima secara meluas di negara ini dan akan meningkatkan pengeluaran beras negara selain mengurangkan import beras.

Program padi hibrid mendapat peruntukan sebanyak RM23 juta dari MOSTI di bawah Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9).

Melalui kerjasama tersebut, padi hibrid Siraj telah berjaya dihasilkan pada 2005 daripada kacukan padi luar negara jenis Indica dan Japonica dan dijangka padi hibrid baru iaitu Siraj 2 akan dihasilkan tidak lama lagi.

Penghasilan Siraj 2 adalah merupakan padi hibrid pertama hasil kacukan varieti luar negara dan tempatan, MR220.

Sumber:utusan malaysia

Tips pertanian organik

PERTANIAN organik adalah amalan yang menggabungkan antara kaedah manual, teknologi moden dan juga keseimbangan alam.

Amalan ini bertujuan menghasilkan sumber makanan yang berkualiti tinggi tanpa menggunakan bahan kimia sebagai baja mahupun mengawal perosak dan penyakit.

Pertanian organik mengembalikan keseimbangan alam sekitar dengan tidak memberi sebarang kesan yang mencemarkan alam sekitar.

Maka, tidak salah jika kita melabelkan pertanian organik adalah suatu amalan pertanian yang mesra alam.

Disebabkan dunia hari ini diancam pelbagai bentuk pencemaran hingga mencetuskan pelbagai penyakit yang berpunca daripada makanan, maka banyak negara mula menggalakkan makanan organik.

Ia adalah salah satu cara terbaik bagi menangani semua masalah kesihatan manusia dan pencemaran alam.

Bak kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati, marilah kita sama-sama mengubah cara pemakanan kita dengan makanan yang ditanam secara organik.

Lokasi

* Kawasan yang bebas atau jauh daripada pencemaran.

* Hampir dengan sumber air yang bersih.

* Tidak berdekatan dengan ladang konvensional (bukan organik).

* Sebaiknya pilih kawasan yang baru diterokai bagi petani yang ingin. membuka ladang organik komersial.

* Wujudkan kawasan penampan (bahan atau tumbuhan pencegah pencemaran) seperti tembok, parit dan tumbuhan yang tinggi dan ditanam rapat.

Penanaman

* Guna biji benih atau pembiakan vegetatif yang bebas daripada racun kimia.

* Dua kaedah penanaman iaitu semaian biji benih atau tanam terus di atas batas. Guna kompos dan baja organik untuk penyediaan batas.

* Bahan organik, baja organik, dan hormon pertumbuhan semulajadi seperti FFJ (fermented fruit juice) dan FPJ (fermented plant juice) sebagai baja tanaman.

* Penyiraman perlu dilakukan dua kali sehari iaitu pagi dan petang. Guna sumber air bebas klorin.

Kawalan rumpai

* Rumpai yang tumbuh dalam batas dan di luar batas perlu sentiasa dibuang. Ini kerana rumpai boleh menjadi perumah bagi sesetengah serangga perosak.

* Dua kaedah kawal rumpai iaitu secara manual (merumput) atau menggunakan mesin pemotong rumput.

* Kerja merumput perlu dilakukan sebaik-baiknya seminggu sekali. Kurang rumpai bermakna kurang persaingan antara rumpai dan tanaman. Serangga perosak juga boleh dikurangkan.

* Sungkupan boleh digunakan untuk mengawal masalah rumpai. Selain itu, ia dapat mengekalkan kelembapan tanah. Contoh sungkupan ialah plastik silver shine , jerami padi, daun-daun kering dan sabut kelapa.

Kawalan perosak dan penyakit

* Kultura: Guna jarak tanaman yang disyorkan, tanam varieti rintang/toleran penyakit, sungkupan, tanaman selingan/giliran, tanam pokok repellent (penarik atau penghalau serangga perosak).

* Mekanikal: Bungkus buah, pasang bunyi bising waktu malam untuk halau haiwan perosak dan kawal rumpai dengan menggunakan jentera kecil.

* Fizikal: Perangkap cahaya, perangkap warna (kuning/biru), feromon, pagar, rumah kalis serangga.

* Biologi: Penggunaan serangga, kulat, bakteria dan virus bermanfaat yang merupakan pemangsa semulajadi serangga perosak.

* Semburan racun organik. Jenis racun organik bergantung pada jenis perosak dan penyakit tanaman tersebut.

Kutipan Hasil

* Hasil sayuran organik dituai setelah ia cukup matang. Sayuran jenis daun elok dibasuh untuk membuang sisa tanah yang melekat pada daun dan batang sayur.

* Waktu yang sesuai untuk menuai adalah awal pagi atau lewat petang. Ini akan mengurangkan stress tanaman (sayur tidak cepat layu).

* impan sayur pada suhu antara 10 dan 12ºC. Sayur akan tahan selama seminggu atau lebih.

* Selepas satu atau dua kali penanaman dilakukan pada batas yang sama, batas perlu direhatkan lebih kurang dua minggu tanpa sebarang tanaman. Ini bertujuan untuk mengembalikan semula kesuburan tanah.

* Sebaik-baiknya tanam tanaman jenis kekacang (kacang tanah, kacang hijau, kacang soya dan lain-lain) tiga kali setahun untuk mengembalikan semula nutrien yang telah hilang. Selain itu, kita akan dapat hasil sampingan iaitu kekacang.

Kebaikan pertanian organik

* Hasil sayur segar, berkualiti dan semestinya selamat dimakan tanpa sebarang kesan sampingan.

* Ia bebas daripada penggunaan bahan kimia/sintetik yang boleh menjadi punca penyakit.

* Mengekalkan keseimbangan ekosistem alam, memelihara mikrorganisme tanah, memulihara tanah dan secara tidak langsung kita dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar

* Rasa sayuran organik lebih segar, rangup dan tahan lebih lama jika disimpan pada suhu yang sesuai.

Sumber:utusan malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails