Sunday, September 29, 2019

Orang Asli tanam pokok terung



Beberapa penduduk Orang Asli suku kaum Bateq menjaga dan membersihkan kawasan tanaman terung di Kampung Kuala Koh, Gua Musang










GUA MUSANG 29 Sept. - Penduduk Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh di sini mengusahakan tanaman terung sebagai permulaan projek ekonomi bagi menambah pendapatan mereka.



Benih pokok terung itu dibekalkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kepada 52 keluarga Orang Asli sejak dua minggu lalu.

Seorang penduduk Orang Asli, Fazir Pikas, 20, berkata, sehingga kini lebih 1,000 batang pokok terung yang diusahakan secara bersama oleh penduduk kampung itu yang dijangka mula mengeluarkan hasil kira-kira sebulan lagi.


Katanya, golongan muda di kampung itu diajar oleh pihak Jakoa untuk menjaga kebun terung berkenaan dari peringkat mula ditanam sehinggalah keluar hasil yang dijangka sebulan lagi.



“Kami diajar dan diberi pendedahan menjaga tanaman terung itu.

“Kami datang ke kebun terung ini dua kali sehari pagi dan petang untuk menjaganya termasuk membersihkan kawasan daripada dinaiki rumput," katanya di sini, hari ini.




Seorang lagi penduduk Orang Asli, Along Kulim, 23, pula berkata, tanaman terung itu dijalankan secara berkelompok untuk penduduk di Kampung Kuala Koh.

Katanya, sebagai penduduk tempatan mereka menyambut baik kerana bakal memberi punca pendapatan kepadanya dan penduduk lain.



“Ada juga pokok terung itu sudah mengeluar buah dan kemungkinan sebulan lagi keluar buah sepenuhnya sebelum dapat dipasarkan.

“Kita berharap Jakoa akan menambah tanaman lain selepas ini seperti lada, tembikai serta buah labu,” katanya.



Sementara itu, Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, pihaknya telah membekalkan pokok terung itu kepada 52 keluarga kaum itu.



Katanya, jabatan itu akan sentiasa mendidik penduduk Orang Asli dalam pertanian moden supaya dapat hidup berdikari untuk masa depan. - UTUSAN ONLINE

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails