Wednesday, December 23, 2009

Penduduk pelajari teknik penyembelihan


KAJANG – Penduduk sekitar Taman Jasmin dekat sini diberikan pendedahan baru berkaitan teknik penyembelihan yang betul melalui ‘Kursus Penyembelihan Siri 1 2009’.

Yang Dipertua Badan Kebajikan dan Khairat Kematian (BKKK) Taman Jasmin, Datuk Mohamed Zain Zakaria berkata, kursus diadakan bertujuan memberi pendedahan pertama kepada ahli kariah dan BKKK serta penduduk sekitar.

“Melalui kursus ini maka peserta dapat memahami dan mempelajari teknik serta penyelenggaraan penyembelihan dengan cara yang betul, mengikut hukum syarak, halal dan toyibban.

“Kursus diadakan secara teori dan praktikal di mana kefahaman dapat diberikan dengan lebih jelas lagi dan sebanyak 40 ayam serta dua ekor kambing telah diberikan untuk tujuan latihan secara praktikal,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Mohamed Zain berkata, salah satu syarat penyertaan adalah setiap peserta dikehendaki melakukan praktikal penyembelihan seekor ayam kampung sebagai syarat utama penyertaan mereka.

Beliau berkata, selepas menyertai kursus penyembelihan ini maka penduduk akan lebih yakin untuk melakukan penyembelihan dengan sendirinya tanpa rasa ragu dan kursus sebegini berkemungkinan akan diadakan secara berkala iaitu setahun sekali.

“Penyertaan daripada penduduk sekitar disasarkan hanya seramai 30 orang tetapi kini ia telah melebihi daripada angka itu dan penyertaan amat memberangsangkan malah peserta berpuas hati dengan kursus penyembelihan yang diadakan,” katanya.

Menurutnya, kursus anjuran bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan BKKK Taman Jasmin itu diadakan pekarangan Surau Taman Jasmin dan Dewan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kafa Integrasi Taman Jasmin.

Hadir sama, Penolong Pengarah Unit Halal, Jais, Ahmad Solihin Maryakon dan beliau telah merasmikan kursus penyembelihan itu.

Sumber:Sinar Harian

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails